Monday, December 23, 2013

NABI IDRIS DIANGKAT KE LANGIT...

"Dan ceritakanlah wahai Muhammad kepada mereka kisah Idris yang tersebut di dalam al-Quran. Sesungguhnya ia adalah seorang yang sangat membenarkan dan seorang nabi. Dan Kami telah mengangkatnya ke darjat yang tinggi." - Surah Maryam ayat 56 dan 57.

Nama Nabi Idris yang sebenarnya adalah 'Akhnukh'. Sebab dinamakan Idris, kerana beliau banyak membaca dan tekun mempelajari kitab Allah. Hobi Nabi Idris ialah suka menjahit baju. Acap kali beliau memasukkan jarum untuk menjahit pakaiannya, Nabi Idris mengucapkan tasbih. Jika pekerjaannya sudah selesai, kemudian pakaian itu diserahkannya kepada orang yang menempahnya dengan tanpa meminta upah.

Walaupun demikian, Nabi Idris masih sanggup beribadah dengan amalan yang sukar untuk digambarkan sehingga malaikat Izrail sangat rindu berjumpa dengan beliau. Kemudian malaikat Izrail memohon kepada Allah s.w.t., agar diizinkan untuk pergi menemui Nabi Idris. Setelah memberi salam, malaikat Izrail pun duduk.

Nabi Idris gemar berpuasa sepanjang masa. Apabila waktu berbuka telah tiba, maka datanglah malaikat dari syurga membawa makanan kepada Nabi Idris. Kemudian baginda beribadah sepanjang malam. Pada suatu malam malaikat Izrail datang menemuinya, sambil membawa makanan dari syurga. Nabi Idris menikmati makanan itu. Kemudian Nabi Idris berkata kepada malaikat Izrail. "Wahai tuan, marilah kita nikmati makanan ini bersama-sama," tetapi malaikat Izrail menolaknya.

Nabi Idris terus melanjutkan ibadahnya, sedangkan malaikat Izrail terus menunggu di tempatnya sampai terbit matahari. Nabi Idris berasa hairan melihat sikap malaikat itu. Kemudian baginda berkata: "Wahai tuan, mahukah tuan bersiar-siar bersama saya untuk melihat keindahan alam persekitaran?"

Malaikat Izrail menjawab: "Baik-lah wahai Nabi Allah Idris!"

Bergandinglah Nabi Idris dengan malaikat Izrail melihat alam persekitaran dengan pelbagai jenis tumbuh-tumbuhan hidup di situ. Akhirnya ketika mereka sampai pada suatu kebun, maka malaikat Izrail berkata kepada Nabi Idris.

Sudah ernpat hari mereka berjalan bersama-sama. Selama mereka bersahabat, Nabi Idris menemui beberapa keanehan pada diri temannya itu. Segala tindak tanduknya berbeza dengan sifat-sifat manusia biasa. Akhirnya Nabi Idris tidak dapat menahan hasrat ingin tahunya itu.

"Tuankah yang bertugas mencabut semua nyawa makhluk?" soal Nabi Idris.

"Benar wahai Idris!" jawab Izrail.

"Sedangkan tuan bersama saya selama empat hari, adakah tuan juga telah mencabut nyawa-nyawa makhluk?" soal Idris hairan.

"Wahai Idris, selama empat hari ini banyak sekali nyawa yang telah saya cabut. Roh makhluk-makhluk itu bagaikan hidangan di hadapanku, aku ambil mereka bagaikan seseorang sedang menyuap makanan!" kata Izrail.

"Wahai Izrail, apakah tujuan tuan datang? Apakah untuk ziarah atau untuk mencabut nyawaku?" tanya Nabi Idris.

"Saya datang untuk menziarahimu dan Allah s.w.t. telah mengizinkan niatku itu," kata Izrail.

"Wahai Izrail, kabulkanlah satu permintaanku kepadamu, iaitu agar tuan mencabut nyawaku, kemudian tuan mohonkan kepada Allah agar Allah menghidupkan saya kembali, supaya aku dapat menyembah Allah setelah aku merasakan dahsyatnya sakaratulmaut itu," kata Nabi Idris.

Malaikat Izrail pun menjawab: "Sesungguhnya saya tidaklah mencabut nyawa seseorang pun, melainkan hanya dengan keizinan Allah!"

Lalu Allah s.w.t. mewahyukan kepada malaikat Izrail agar mencabut nyawa Nabi Idris. Tanpa berlengah lagi malaikat Izrail segera mencabut nyawa Nabi Idris saat itu juga.

Sewaktu malaikat Izrail melihat kematian Nabi Idris itu, maka menangislah ia. Dengan perasaan hiba dan sedih malaikat Izrail bermohon kepada Allah supaya menghidupkan kembali sahabatnya itu. Allah mengabulkan permohonannya, dan Nabi Idris pun dihidupkan oleh Allah s.w.t. kembali.

Kemudian malaikat Izrail memeluk Nabi Idris seraya bertanya: "Wahai saudaraku, bagaimanakah tuan merasakan kesakitan maut itu? Bila seekor binatang dilapah kulitnya ketika ia masih hidup, maka sakitnya maut itu seribu kali lebih sakit daripadanya. Padahal kelembutan yang saya lakukan terhadap tuan, ketika saya mencabut nyawa tuan itu, belum pernah saya lakukan terhadap sesiapa pun sebelum tuan."

"Wahai Izrail! Saya mempunyai permintaan lagi kepada tuan, iaitu saya sungguh-sungguh berhasrat untuk melihat neraka, supaya saya dapat beribadah kepada Allah s.w.t. lebih banyak lagi, setelah saya menyaksikan dahsyatnya api neraka itu.

"Wahai Idris saya tidak dapat pergi ke neraka jika tanpa izin daripada Allah s.w.t.," jawab Izrail.

Akhirnya Allah s.w.t. mewahyukan kepada malaikat Izrail supaya membawa Nabi Idris ke dalam neraka. Maka pergilah mereka berdua ke neraka. Di Neraka itu, Nabi Idris dapat melihat semua bahan dan alat yang telah diciptakan Allah s.w.t. untuk menyeksa musuh-musuh-Nya seperti rantai-rantai yang panas, ular yang berbisa, kala, api yang membara, timah yang mendidih, pokok-pokok yang penuh berduri, air panas yang mendidih dan Iain-Iain.

Setelah berasa puas melihat keadaan neraka itu, maka mereka pun pulang. Kemudian Nabi Idris berkata kepada malaikat Izrail: "Wahai malaikat maut, saya mempunyai hajat yang lain, iaitu agar tuan dapat menolong saya membawa masuk ke dalam syurga. Sehingga saya dapat melihat apa-apa yang telah disediakan oleh Allah bagi kekasih-kekasih-Nya. Setelah itu saya pun dapat meningkatkan lagi ibadah saya kepada Allah s.w.t."

"Saya tidak dapat membawa tuan masuk ke dalam syurga, tanpa perintah daripada Allah s.w.t.!" jawab malaikat Izrail.

Lalu Allah s.w.t. pun memerintahkan malaikat Izrail membawa Nabi Idris masuk ke dalam syurga.

Kemudian pergilah mereka berdua, sehingga mereka sampai di pintu syurga dan mereka berhenti di pintu tersebut. Dari situ Nabi Idris dapat melihat pemandangan di dalam syurga.

Nabi Idris dapat melihat segala macam kenikmatan yang disediakan oleh Allah s.w.t. untuk para ahli ibadah dan wali-wali-Nya berupa buahbuahan, pokok-pokok yang indah dan sungai-sungai yang mengalir serta Iain-Iain kelazatan.

Kemudian Nabi Idris a.s berkata: "Wahai saudaraku Izrail! Saya telah merasakan sakitnya maut dan saya telah melihat dahsyatnya api neraka. Maka mahukah tuan memohonkan kepada Allah untukku, agar Allah mengizinkan aku memasuki syurga untuk dapat meminum airnya, untuk menghilangkan kesakitan mati dan dahsyatnya api neraka?"

Kemudian Allah memberi izin kepadanya untuk memasuki syurga. Nabi Idris pun masuk ke dalam syurga dan Nabi Idris meletakkan kasutnya di bawah salah satu pohon syurga, lalu ia keluar kembali dari syurga.

Setelah beliau berada di luar, Nabi Idris berkata kepada malaikat Izrail: "Wahai malaikat maut, aku telah meninggalkan kasutku di dalam syurga.

Malaikat Izrail pun berkata: "Masuklah ke dalam syurga dan ambil kasut tuan!"

Maka masuklah Nabi Idris, namun beliau tidak keluar lagi, sehingga malaikat Izrail memanggilnya: "Wahai Idris, keluarlah!"

"Tidak, wahai malaikat Izrail. Ini kerana Allah s.w.t. telah berfirman bermaksud, setiap yang berjiwa akan merasakan mati. Sedangkan saya telah merasakan kematian. Dan Allah berfirman yang bermaksud: "Dan tidak ada seorang pun daripadamu, melainkan mendatangi neraka itu." .

Dan saya pun telah mendatangi neraka itu. Dan firman Allah lagi yang bermaksud: "... Dan mereka sekali-kali tidak akan dikeluarkan dari syurga.

Maka Allah menurunkan wahyu kepada malaikat Izrail.

"Biarkanlah hambaku itu! Aku telah menetapkan di azali, bahawa Idris akan tinggal di Syurga!"

Allah menceritakan tentang kisah Nabi Idris ini kepada Rasulullah s.a.w. dengan firman-Nya bermaksud:

"Dan ceritakanlah wahai Muhammad kepada mereka, kisah Idris yang tersebut di dalam al- Quran. Sesungguhnya ia adalah seorang yang sangat membenarkan dan seorang Nabi. Dan kami telah mengangkatnya ke darjat yang tinggi."

2 comments:

  1. Seronok cerita-cerita kisah Nabi ni...klu bole Mr Bloger tlg cerita kisah Nabi lain pulak..

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum En. Jamil....

    Terima kasih kerana memberi komen...
    Insyaallah permintaan saudara akan diberi perhatian...

    Terima kasih...

    ReplyDelete