Sunday, May 11, 2014

MISTERI PULAU BATU CAWAN, JOHOR...

BATU Cawan terletak di Mersing, Johor. Jarak-nya dari pantai Mer­sing Iebih kurang 500 meter sahaja. Maknanya dari pantai Mersing, kita dapat lihat dengan jelas seolah-olah wujud pulau kecil di tengah laut. Sekali pandang, ia tidak memiliki apa-apa keistimewaan.

Orangpun jarang ke sana untuk tujuan riadah kerana memang tak ada apa-apa di situ. Tapi bagi anda, terutamanya kaki pancing yang pernah mengunjungi tempat itu, pasti ada kenangan yang anda bawa balik. Itulah yang saya alami apabila saya pergi memancing di situ lapan tahun lalu. Di situ memang banyak ikan tapi pulau kecil itu juga menyembunyikan banyak misteri.

Pada awalnya, saya bersama dua anak saya, Abbil Arqam yang ketika itu berusia 13 tahun dan Abbil Affan (10 tahun) serta anak saudara saya Nor Ahmad, 28, bercadang memancing di Tenggaroh yang mengambil masa tiga jam perjalanan dari pantai Mersing.

Tetapi kami terpaksa membatalkan niat kami itu kerana apabila sampai di tengah laut, air yang tenang tak semena-mena menjadi besar dan melambungkan bot kami sehingga sukar dikawal.

Pada awalnya kami cuba melawan ombak itu tapi selepas masing-masing tidak terdaya, kami mengambil keputusan untuk berpatah balik sahaja.

"Itu petanda tidak elok. Baik kita berpatah balik sahaja, " kata saya 'kepada, Nor Ah­mad. Anak saudara saya itu hanya mengangguk tanda setuju.
 
Daripada pengalaman saya turun ke laut, jika keadaan seperti ini berlaku, ia bermakna akan berlaku perkara buruk jika diteruskan. Saya percaya apa yang berlaku ke atas kami adalah satu peringatan supaya kami tidak meneruskan niat kami. Bayangkan laut yang tenang tiba-tiba bergelora tanpa hujan tanpa ribut.
 
"Kalau macam ni, tak dapatlah kita memancing," kata anak saya Abbil Arqam. Saya lihat wajahnya seperti orang kecewa. Memang anak sulung saya ini minat sangat meman­cing, mungkin kerana sejak kecil sudah saya dedahkan dengan hobi ini.

Anak saya yang seorang lagi, Abbil Affan hanya terdiam tapi dari air mukanya dapat membaca bahawa dia juga ke­cewa. Bagi Nor Ahmad, dia mungkin tak kecewa sangat kerana sudah kerap mengikut saya memancing tapi anak-anak saya hanya memperolehi kesempatan begitu bila musim cuti sekolah.

"Apa kata kita ke Batu Cawan. Abah dengar di sana pun banyak ikan," kata saya cuba memujuk anak-anak saya itu. Saya lihat wajah masing-masing kembali ceria. Jadi, bot kami terus meluncur ke Batu Cawan.

Saya sebenarnya kurang berminat untuk memancing di situ kerana jaraknya terlalu dekat dan bagi saya cabarannya tidak hebat.
 
Sebenarnya, bila turun me­mancing, yang saya kejar ialah bukan ikannya tapi thrill yang saya dapat semasa menempuh pelbagai dugaan. Cabaran dan kesukaran itulah yang menyebabkan saya enjoy memancing. Lagi sukar, lagi seronok.

Tapi untuk tidak menghampakan anak-anak saya yang nampak kemaruk untuk me­mancing, saya halakan juga bot ke Batu Cawan.

Kami sampai ke sana pada waktu senja. Anak-anak saya nampaknya tidak sabar-sabar untuk memancing. Walaupun saya suruh mereka menunggu sehingga selesai menunaikan solat Maghrib, namun mereka nampaknya sudah tidak sanggup menunggu lagi.

Dengan ditemani Nor Ah­mad, mereka terus bertenggek di atas sebuah batu besar dan terus menghulurkan joran ke dalam air. Memandangkan Nor Ahmad boleh diharap, saya membiarkan anak-anak saya memancing sementara saya meneruskan niat saya untuk bersolat Maghrib.
 
Tapi sebaik sahaja saya se­lesai menunaikan solat, tiba-tiba saya dengar anak-anak saya bersuara cemas. Saya segera berlari ke arah mereka untuk melihat apa yang terjadi.

"Ada ular," kata Nor Ah­mad sebaik sahaja saya sampai. Saya tersengih mendengar kata-kata Nor Ahmad itu. Bagi saya, ia perkara biasa. Di tengah pulau sebegitu, ular adalah penghuni tetap.

"Kau orang ni buat abah cemas saja," kata saya tersengih.

Tapi saya lihat muka kedua-dua anak saya kelihatan cemas. Begitu juga dengan Nor Ah­mad. Tak pernah saya tengok dia secemas itu. Masa dia ikut saya mencari emas di Gunung Bukit Senyum dulu, tak ada pula dia panik walaupun terserempak dengan ular sawa sebesar batang pinang sedang berendam di dalam air.

"Bukan seekor bah, tapi banyak," kata Abbil Affan.

"Tengok tu," tunjuk anak saya. Saya segera melompat naik ke atas batu tempat mereka duduk.

"Hah!?" Saya sendiri terperanjat apabila melihat ke dalam air di tepi batu besar itu. Beratus-ratus ekor ular sedang berusaha memanjat batu tempat kami duduk. Semua ular itu dari jenis yang sama, berbadan berbelang-belang hitam.

 

Ia tidaklah terlalu besar tapi panjangnya tiap seekor lebih kurang sedepa. Ular jenis itu memang jarang ditemui tapi memang spesisnya wujud. Saya pernah melihat gambar ular jenis ini dalam sebuah majalah luar negara tapi saya tak ingat apa nama saintifiknya. Bagi saya, ia adalah ular laut.

Saya yang tadinya tenang dan menganggap remeh perkara itu mula turut berasa cemas. Saya bimbangkan keselamatan anak-anak saya. Mana tahu kalau-kalau dipatuk oleh ular-ular itu.

Saya dan Nor Ahmad mencapai kayu dan menguis ukar-ular yang seolah-olah berlumba-lumba untuk naik dari laut ke atas batu itu. Sementara Arqam menyuluh dengan lampu suluh. Semakin dikuis, se- makin banyak ular yang datang, seolah-olah mereka terhidu makanan di depan mere­ka.

Pelik juga saya memikirkan, bagaimana sebegitu ba­nyak ular boleh datang serentak ke arah kami. Ada- kah ular-ular itu menghidu sesuatu dari kami sehingga menarik perhatian mereka untuk berlumba-lumba datang kepada kami.

"Apa kita nak buat ni?" tanya Nor Ahmad. Cemas wajahnya belum hilang. Arqam dan Affan, jangan cakaplah. Pucat lesi muka me­reka. Kami semua sudah bermandi peluh, cuba menghalang ular-ular itu daripada naik ke atas batu termpat kami duduk itu.

"Bunuh sajalah," cadang Nor Ahmad selepas dia melihat saya tidak memberi reaksi kepada pertanyaannya tadi.

Cadangan Nor Ahmad menarik perhatian saya. Sebenarnya saya sendiri sudah putus asa berusaha menghalau ular-ular itu. Bayangkan daripada lepas Maghrib sampai ke pukul 4.00 pagi, kami tak henti-henti menguis ular-ular itu. Tangan saya terasa lenguh dan badan saya terasa amat letih bertarung dengan ular-ular itu.

Akhirnya saya mengambil keputusan untuk menggunakan kekerasan. Memang kalau boleh, saya tidak mahu membunuh ular-ular itu. Mana tahu ia bukan ular biasa, apatah lagi di tengah laut begitu. Lagipun kalau difikirkan secara logik, macam mana boleh datang ular sebanyak itu dalam sekelip mata. Tapi saya ti­dak ada pilihan lain. Saya nekad mahu membunuh ular-ular itu. Apa yang berlaku selepas itu akan saya serahkan kepada Allah S.W.T.

"Maafkan aku. Aku tak ada pilihan lain. Aku terpaksa bunuh kau," kata saya.

Saya mencapai golok di pinggang lalu saya cantas salah seekor ular itu. Saya pilih yang pal­ing besar yang saya anggap sebagai ketuanya. Terputus dua ular itu terkena mata golok saya, terus jatuh ke dalam air.

Sebaik sahaja ular yang saya cantas itu jatuh ke air, semua ular yang sedang memanjat ke batu tempat kami duduk, dengan sendirinya turun ke dalam air dan berlalu pergi. Tidak seekorpun yang tinggal.

Saya mengurut dada lega. Ta­pi dalam benak fikiran saya timbul satu pertanyaan yang sukar untuk saya cari jawapannya.

Mengapakah ular-ular itu berlalu begitu sahaja selepas salah seekor darinya saya bunuh? Apakah rahsia di sebaliknya? Kesimpulan yang dapat saya buat daripada peristiwa itu ialah ular-ular yang mengepung kami itu bukanlah ular biasa.

Bila fajar menyinsing dan air sudah pasang, kami mengambil keputusan untuk balik ke pantai Mersing. Hasrat untuk memancing terpaksa kami lupakan. Kedua-dua anak saya sendiri tidak lagi merungut kerana tidak dapat memancing seperti yang dirancang. Mungkin mereka masih dalam keadaan terkejut dengan peristiwa di Batu Cawan itu.

Begitupun, untuk tidak menghampakan mereka, dalam perjalanan pulang kami berhenti di tengah laut untuk memancing. Airnya yang tenang menyebabkan mudah untuk kami memberhentikan bot di tengah laut itu dan menghulur joran.

Begitupun, ketika tengah sedap memancing, kami sekali lagi menerima kejutan. Dari jauh kami ternampak cahaya api se­dang meluru laju di permukaan air menuju ke arah bot kami.

"Eh! Apa tu?" Nor Ahmad menunding ke arah cahaya api itu. Semua mata kami tertumpu ke arah cahaya api itu yang kelihatan cukup laju menuju kearah kami.

"Syyyhhh...Jangan tegur," kata saya kepada Nor Ahmad. "Tengok sahaja."

Mula-mula hanya satu cahaya api yang datang tapi selepas itu tidak kurang lima cahaya api datang serentak menuju ke arah bot kami. Setibanya cahaya api itu ke bot kami, ia tidak melanggar tapi berpu- sing-pusing mengelilingi bot seolah-olah sedang mengepung kami.

Sekali lagi kami berempat dilanda cemas. Kami cuba meninjau adakah benda yang kami nampak itu sebenarnya ikan. Tapi yang jelas, ia memang cahaya api. Malah semasa dia mengelilingi bot kami, kami terasa bahang panas. Ka­mi hanya terdaya memerhati. Terpaku.

Tidak lama kemudian ca­haya api itu beredar. Saya mengambil keputusan untuk tidak memancing lagi. Kami terus pulang ke Mersing, membawa satu kenangan yang sukar dilupakan sehingga sekarang.

 

Batu Cawan yang sepi itu rupanya menyimpan banyak misteri. Bukan saya seorang yang mengalami peristiwa di datang cahaya api malah beberapa orang rakan yang pernah mengunjungi juga mencerita kan hal yang sama.


Diceritakan oleh Abdul Aziz Rashid
Variasari 2/2003...

No comments:

Post a Comment