Sunday, May 25, 2014

PERKAHWINAN YANG DIHARAMKAN...

Gambar hiasan...

1. PERKAHWINAN MUT'AH
Perkahwinan Mut'ah ialah apabila seseorang lelaki dan seorang wanita berkahwin atas dasar perjanjian bahawa perkahwinannya itu hanya untuk sementara waktu, baik seminggu, sebulan ataupun setahun dan penceraian terjadi bila waktu yang ditentukan itu habis. 


Perkahwinan mut'ah ini adalah salah, tidak sah menurut syara'. Perkahwinan semacam ini termasuk dosa besar, kerana tidak berbeza dengan zina. Sebab, asas atau dasar yang melandasi perkahwinan adalah keteguhan ikatan, kemantapan, melahir dan memelihara keturunan serta mendidik anak-anak. Sedangkan perkahwinan mut'ah bersifat sementara tidak ubah seperti perzinaan yang berakhir dengan perpisahan dan kehancuran rumahtangga. 


Di zaman permulaan Islam, perkahwinan mut'ah dibolehkan kerana ramai kaum muslimin menyertai dalam perjuangan menegakkan agama Allah dan meninggalkan isteri-isteri mereka pergi ke negeri lain dalam masa waktu yang lama sekali, sehingga mereka terpaksa hidup membujang dan tidak ada yang menguruskan kehidupannya seharian. 


Pada zaman jahiliah, perkahwinan mut'ah merupakan adat kebiasaan yang dilakukan orang di mana-mana. Akan tetapi agama Islam menetapkan ketentuan hukum melalui cara peringkat demi peringkat, akhirnya mengharamkan perkahwinan mut'ah secara mutlak dan untuk selama-lamanya. 

Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah Baginda Rasulullah s.a.w. bersabda:




Larangan perkahwinan mut'ah ditegaskan enam kali dalam berbagai kesempatan, agar larangan atau pengharaman itu mempunyai kekuatan hukum yang kukuh dan agar kaum muslimin mengetahui persoalannya dengan jelas. Dengan perkahwinan mut'ah, tidak ada soal waris-mewarisi diantara dua orang suami-isteri, kerana perkahwinan itu sendiri salah dan apa sahaja yang ditegakkan atas dasar kebatilan adalah salah.


Al-Baihaqi meriwayatkan: Ketika Ja'far bin Muhammad r.a. ditanya tentang perkahwinan mut'ah beliau menjawab: "Perkahwinan mut'ah itu sendiri merupakan perzinaan", kerana perkahwinan semacam itu tidak bertujuan lain kecuali memuaskan hawa nafsu dan sama sekali tidak bertujuan memperolehi keturunan dan tidak mengindahkan pemeliharaan anak-anak. 

Selain itu, perkahwinan muta'ah sangat membahayakan kedudukan wanita, kerana wanita dipandang sebagai barang yang dapat berpindah dari satu tangan ke tangan yang lain. Bagi anak-anak yang lahir dari perkahwinan mut'ah, bahayanya lebih besar lagi, kerana mereka tidak akan mempunyai tempat berlindung yang tetap dan mantap serta tidak terurus pendidikan dan pelajarannya.


Semuanya itu akibat perkahwinan yang sejak awal lagi diniat dengan penceraian setelah beberapa lama kedua belah pihak dapat memenuhi kepuasan seksualnya. Meskipun ada setengah ulama memandang sah akad nikah yang tidak disertai syarat perceraian (talak), tetapi Allah s.w.t dengan tegas telah berfirman: 


 


Niat bercerai yang tersembunyi di dalam perkahwinan mut'ah itu jelas merupakan penipuan dan pemalsuan. Di dalamnya terkandung unsur-unsur perosak yang menghancurkan ikatan suci. Ikatan yang mempunyai erti terpenting dan terbesar dalam kehidupan manusia itu diubah menjadi tempat sekadar untuk memuaskan hawa nafsu. 


Rasulullah s.a.w. mengutuk dan melaknati lelaki dan wanita yang kahwin "pura-pura" dengan tujuan hendak mengecapi kelazatan syahwat semata-mata. Perbuatan seperti itu pasti akan mengakibatkan timbulnya rasa permusuhan dan kebencian, bahkan menghilangkan kepercayaan orang-orang yang dengan jujur dan bersungguh-sungguh hendak membangunkan kehidupan rumahtangga.


Perkahwinan yang diridhai oleh Allah s.w.t dan dikehendaki olehNya ialah perkahwinan yang memelihara kesucian atau kehormatan suami-isteri dan perkahwinan disertai dengan niat ikhlas hendak membangun kehidupan rumahtangga atas dasar saling harga-menghargai dan saling bantu membantu antara dua orang suami-isteri, iaitu perkahwinan yang bertujuan membangun keluarga muslim sebagai sebahagian dari keluarga umat Islam seluruhnya.


2. PERKAHWINAN TAHLIL ATAU LEBIH DIKENALI DI MALAYSIA 
DENGAN ISTILAH PERKAHWINAN 'CINA BUTA'... 


Perkahwinan tahlil ialah perkahwinan yang dilakukan oleh seorang lelaki dengan seorang janda yang telah tiga kali ditalak (atau dijatuhi talak tiga) oleh suaminya sesudah janda itu berakhir masa 'iddahnya. Setelah janda yang berkahwin itu digauli, lalu dia dicerai agar dapat dinikah lagi oleh bekas suaminya yang pertama. 


Tegasnya ialah, perkahwinan tahlil ini tidak lain hanyalah perkahwinan formal untuk menghindari ketentuan hukum Allah secara formal. Sebab, Allah mengharamkan lelaki menikah kembali dengan isterinya yang telah tiga kali dicerainya (atau telah dijatuh talak tiga), sebelum bekas isterinya itu kahwin lagi dengan lelaki lain dan kemudian dicerai oleh lelaki lain itu. Demikianlah ketentuan hukum Allah sebagaimana termaktub di dalam Al-Qur'anul-Karim (S. Al- Baqarah: 230). 


Perkahwinan tahlil merupakan perbuatan keji dan termasuk dosa besar. Allah mengharamkan perkahwinan semacam itu, melaknati pelakunya dan menganggap perkahwinan itu tidak sah (batil). Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Tirmuzi dengan isnad Hasan dan Sahih (baik dan benar) berasal dari Ibnu Mas'ud r.a., mengatakan:



"Rasulullah s.a.w. melaknati orang yang melakukan perkahwinan tahlil (al-halil-lelaki) dan orang yang hendak dihalalkan olehnya (al-halilah-wanita)."


Bahkan si muhallil diibaratkan seperti kambing jantan yang dipinjam sementara waktu"! Mengenai hal itu terdapat sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah, bahawasanya Rasulullah s.a.w. pernah bertanya kepada para sahabatnya:




Khalifah 'Umar Ibnul-Khatthab r.a. dengan tegas mengatakan: "Kalau dihadapkan kepadaku seorang al-halil dan seorang al-halilah, kedua-duanya pasti ku kenakan hukuman rejam, kerana kedua-duanya adalah penzina". Allah meridhai apa yang dikatakan oleh Ibnu Taimiyyah: Bahawa agama Allah jauh lebih mulia dan lebih suci daripada hanya sekadar mengharamkan hubungan seksual yang tidak sah sehingga orang perlu meminjam seekor kambing untuk memenuhi keinginannya.


Padahal orang yang suka kahwin banyak itu tidak berniat berkahwin dan tidak ingin hidup bersama perempuan yang dikahwininya. Perbuatan seperti itu jelas merupakan pelacuran dan perzinaan, sebagaimana yang dikatakan Rasulullah s.a.w.:




Hal itu merupakan kejahatan yang paling tercela dan tidak mungkin dapat diterima oleh orang-orang yang berfikir. Jauh sekali perbuatan itu boleh dibenarkan oleh syari'at para Nabi, lebih-lebih oleh syari'at yang tertinggi dan termulia, iaitu syari'at Islam yang dibawakan oleh Muhammad Rasulullah s.a.w.


Perkahwinan dengan seorang janda yang te!ah tiga kali dicerai atau ditalak tiga kali oleh suaminya, dipandang sah jika lelaki yang mengahwininya itu benar-benar atas kemahuannya sendiri dan benar-benar bertujuan hendak hidup bersama seumur hidup. 


Ia menggaulinya dengan sepenuh hati dan perasaan, sehingga mengecapi kemanisan madu isterinya dan isterinya pun mengecapi kemanisan madu suaminya. Apabila suami-isteri itu berkahwin dengan niat ikhlas dan kehendaknya sendiri, kemudian suaminya meninggal dunia atau mencerainya berdasarkan alasan yang diterima akal, barulah bekas suaminya yang pertama di halalkan berkahwin kembali dengan bekas isterinya itu setelah berakhir masa 'iddahnya.


3. PERKAHWINAN SYIGHAR


Pada zaman jahiliyah, seorang lelaki dapat mengahwinkan anak atau saudara perempuan yang berada di bawah jagaannya dengan lelaki lain atas dasar imbalan yang sama atau secara timbal-balik. Misalnya: Si A mengahwinkan anak atau saudara perempuannya dengan Si B, sebagai imbalannya Si B mengahwinkan anak saudara perempuannya dengan Si A. 


Berdasarkan perjanjian di dalam perkahwinan timbal-balik itu, maka baik Si A maupun Si B bebas dari kewajipan membayar maskahwin. Perkahwinan yang berupa pertukaran barang dagangan itulah yang disebut dengan "Perkahwinan Syighar". Perkahwinan begini jelas salah serta diharamkan oleh agama Islam.
Berlainan keadaannya dengan perkahwinan timbal-balik itu masing-masing lelaki yang berkenaan membayar maskahwin sebagaimana yang ditetapkan oleh hukum syara'. Dalam hal ini perkahwinan adalah sah dan benar menurut syara', kerana bukan berupa perkahwinan syighar.


4. PERKAHWINAN YANG DIHARAMKAN DALAM 
KEADAAN IHRAM, BAIK IHRAM HAJI MAHUPUN IHRAM UMRAH


Orang yang berada dalam keadaan ihram, baik ihram haji maupun ihram umrah, tidak dihalalkan melakukan perkahwinan, samada perkahwinan itu dilakukannya sendiri maupun diwakilkan kepada orang lain. Akad nikah perkahwinan harus ditangguhkan sehingga ihram berakhir. Pernikahan yang dilakukan dalam masa ihram adalah batal, tidak sah dan pelakunya adalah berdosa.


5. PERKAHWINAN SEMENTARA


Pengertian atau ta'rif (definisi) perkahwinan sementara ialah perkahwinan dimana di dalam ijab-kabul akad nikah diikrarkan ucapan atau kata-kata yang baik dan menunjukkan maksud hendak membangun kehidupan suami-isteri sebagaimana lazimnya menurut syara', tetapi bersamaan dengan itu disertai maksud yang menunjukkan pembatasan waktu perkahwinan, yakni perkahwinan itu hanya berlaku selama waktu tertentu panjang ataupun pendek. Misalnya, seorang lelaki berkahwin dengan seorang wanita untuk selama waktu tertentu seperti sepulu hari, sebulan, dua bulan dan sebagainya kurang atau lebih dari itu. 


Hukum perkahwinan seperti ini adalah batal, tidak sah menurut syara', kerana dalam akad nikahnya disertai maksud yang menunjukkan pembatasan waktu berlakunya. Perkahwinan untuk waktu-waktu yang terhad itulah yang membuat perkahwinan itu tidak baik bagi pembangunan kehidupan suami-isteri.
Perkahwinan sementara pada hakikatnya sama dengan perkahwinan mut'ah, atau sekurang-kurangnya sama erti dan tujuannya kerana tujuan perkahwinan sementara tidak berbeza dengan tujuan perkahwinan mut'ah. Perkahwinan sementara tidak memenuhi salah satu syarat yang diperlukan bagi perkahwinan yang berkekalan, iaitu ta'biid (tanpa batas waktu).


Demikianlah jenis-jenis perkahwinan yang diharamkan menurut hukum syara', sebagaimana yang telah dipersetujui oleh jumhur ulama ahli Fiqah.


Seorang ulama Fiqah sahabat lmam Abu Hanifah bernama Zafr, berpendapat bahawa perkahwinan sementara dapat berlaku sepanjang hidup dan syarat pembatasan waktu dapat dihapuskan kemudian, kerana maksud dalam ijab kabul akad nikah itu sendiri dibenarkan untuk membangun kehidupan suami-isteri. 


Pendapat Zafr itu tidak diterima, kerana ijab kabul perkahwinan sementara disertai dengan syarat yang tidak baik, itu syarat yang menunjukkan waktu yang terhad. dengan demikian maka sekalipun perkahwinan itu sah dan boleh dijalankan dalam masa waktu tidak terbatas tetapi di batalkan oleh syarat yang tidak sesuai. Perkahwinan yang sah dan benar ialah perkahwinan yang tidak disertai syarat yang tidak baik. Misalnya, seorang lelaki berkata kepada seorang wanita: "Aku berkahwin dengan engkau, tetapi setelah lewat waktu sebulan engkau ku talak". Perkahwinan itu sah, tetapi syarat itu batal.

Zafr membuat perbezaan antara perkahwinan sementara dengan perkahwinan mut'ah, kerana dalam ijab kabul perkahwinan mut'ah menggunakan lafaz "atamatta" ("aku berniat mut'ah"), sedangkan dalam ijab kabul perkahwinan sementara menggunakan lafaz "nikah" atau lafaz lain yang sama erti. Dengan demikian maka Zafr memandang sah perkahwinan tersebut kedua (perkahwinan sementara) dan tidak menyatakan sah perkahwinan tersebut pertama (perkahwinan mut'ah).

Lain halnya dengan jumhur ulama Fiqah, dalam hal ketetapan hukum mereka tidak membezakan antara perkahwinan sementara dengan perkahwinan mut'ah, kerana dalam dua jenis perkahwinan itu terdapat dorongan yang satu dan sama. Masalah pokok didalam akad nikah adalah makna dan tujuan, bukan kata-kata atau lafaz.

Kami berpendapat, yang benar dalam hal itu ialah pendapat jumhur ulama ahli Fiqah, iaitu yang tidak memandang sah perkahwinan sementara, iaitu jenis perkahwinan yang serupa dengan perkahwinan mut'ah. Tidak ada alasan untuk membezakan dua jenis perkahwinan tersebut, kerana masing- masing mengandungi pengertian sementara dengan pembatasan selama waktu tertentu.

Kerana itu, akad nikah dua jenis perkahwinan itu batal dan tidak sah, sebab tidak memenuhi salah satu persyaratan yang sah dan benar, iaitu ta'biid (tanpa batas waktu). Persyaratan ta'biid itu sangat penting, kerana atas dasar persyaratan itulah tujuan perkahwinan dapat diwujudkan, dan akan dapat mewujudkan pula tujuan kemanusiaan dan kemasyarakatan di mana perkahwinan disyari'atkan.

Dalil-dalil atau alasan-alasan yang menetapkan perkahwinan sementara tidak sah, sama dengan dalil-dalil dan alasan-alasan yang dikemukakan oleh para ulama yang mengharamkan perkahwinan mut'ah, kerana dua jenis perkahwinan itu sama- sama mencakupi pengertian sementara dan dalam batas waktu tertentu.

Kerana itu wajarlah jika dalam hal mengharamkan dan tidak mengiktiraf perkahwinan sementara, dasar hukumnya diambil dari ketetapan hukum yang mengharamkan perkahwinan mut'ah.

Sumber : Mutiara Perkahwinan Menurut Ajaran Islam...

1 comment: