Thursday, July 31, 2014

INILAH POHON YANG MEMAYUNGI NABI MUHAMMAD S.A.W.

Seorang paderi tinggal di sebuah gereja kecil berdekatan kota Busra. Tidak pernah dia melayan para pedagang dari Mekah yang berdagang di kota itu.

Suatu hari, paderi bernama Bahira itu menyaksikan satu keanehan. la berupa satu petanda yang telah dikhabarkan dalam kitab amalannya. Bahira menyaksikan sesuatu yang tidak disedari paderi lain pada kumpulan pedagang Quraisy dari Mekah. Bahira perhatikan segumpal awan yang mengiringi kumpulan itu.

Apabila kumpulan pedagang itu berhenti berehat, awan yang sama telah melindungi sebatang pohon yang di bawahnya sedang duduk berteduh seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun. Malah, ranting-ranting pohon itu turut tunduk merendang untuk melindungi anak itu daripada terik mentari. Bahira tidak tunggu lama. Segera dijemputnya rombongan itu menghadiri jamuan di rumahnya.

Para pedagang itu berasa hairan bila seorang paderi gereja menjemput mereka sebagai tetamunya.Tujuan Bahira hanya satu. Ingin bersua muka dengan anak lelaki itu. Hendak dipastikan apakah tanda yang disebut dalam kitab amalannya menepati ciri pada anak tersebut.

Bila sudah berdepan, lalu Bahira bertanyakan tentang Latta dan Uzza, berhala yang disembahnya. "Demi Tuhan, tiada perkara yang lebih aku benci daripada mereka," begitu jawab anak lelaki itu.

Lalu Bahira tanyakan beberapa soalan lain. Jawapan yang diberi kanak-kanak itu meyakinkan Bahira, inilah dia utusan terakhir yang ditunggu-tunggu seperti yang disebut dalam kitab amalannya.

Bahira turut melihat belakang tubuh anak itu. Tanda yang dicarinya jelas. Memang benar, inilah orangnya. Segera dia memanggil bapa saudara yang merupakan penjaga anak lelaki itu. Bahira memberi nasihat agar anak itu segera dibawa pulang dan dilindungi.

Kata Bahira: "Jika Yahudi melihat segala apa yang aku saksikan pada anak ini, mereka akan mencederakan bahkan membunuh anak ini kerana kelak dia akan mendapat amanah dan tanggungjawab besar untuk memimpin manusia. Segeralah engkau membawanya pergi dari kota ini!"

Peristiwa di atas sebenarnya berkaitan dengan Muhammad, Nabi akhir junjungan umat Islam. Ketika itu, Baginda berusia 12 tahun dan kali pertama mengikut bapa saudaranya, Abu Talib pergi berdagang ke negeri Syam.

Dalam sesetengah kisah lain, paderi Bahira turut dikenali dengan nama George iaitu orang pertama yang mengesan tanda kenabian Baginda.

Pohon Penaung Rasulullah s.a.w.

Kawasan padang pasir Buqa'awiyya di Jordan hanyalah dataran kering kontang yang dipenuhi debu pasir. Tiada pepohon mampu hidup di kawasan ber pasir itu.

Namun, di satu tempat terpencil di tengah padang pasir itu, kelihatan sepohon pokok yang rendang dan lebat daunnya. Hanya pohon itu satu-satunya tumbuhan yang mampu hidup di tanah gersang itu.

Salah seorang keturunan Rasulullah s.a.w. yang datang menziarahi
 pohon di mana Rasulullah s.a.w. berteduh ribuan tahun dahulu...

Usia pohon itu ribuan tahun lamanya. la hanya pohon biasa namun diselimuti keistimewaan sebagai bukti kebesaran Allah. Pohon itu digelar the only livingsahabi atau 'sahabat Nabi yang masih hidup'.

Dikatakan, itulah 'pohon borton' yang memayungi Rasulullah sewaktu duduk berehat di bawahnya ketika mengikut bapa saudaranya berdagang seperti kisah di atas.

Ajaibnya, 'pohon borton' itu masih hidup hingga ke hari ini. Terdapat kajian di Jordan yang membuktikan usia pohon ini sudah melebihi 1,400 tahun.

Kisah pohon borton ini yang dikaitkan dengan pertemuan seorang paderi Kristian dan Muhammad sewaktu kecil turut dilakarkan dalam sebuah dokumentari pendek berjudul The Blessed Tree.

la turut mendapat liputan luas daripada para sejarawan Islam terkemuka seperti Ibnu Hisham, Ibnu Sa'ad dan al-Tabari.

Namun, ada juga yang mengaitkan pohon tua ini dengan kisah Baginda sewaktu berdagang kali kedua ke negeri Syam. Usia Baginda ketika itu 25 tahun, membawa barang dagangan kepunyaan Khadijah (yang kemudian menjadi isteri Baginda).

Dikisahkan pembantu Khadijah iaitu Maisara yang turut serta dalam kumpulan itu telah menyaksikan beberapa keanehan. Antaranya apabila seorang pendeta Nasrani bertanyakan tentang gerangan Muhammad yang ketika itu sedang duduk berehat di bawah sebatang pohon rendang.

Kata pendeta itu, hanya seorang nabi yang telah disebut kedatangannya dalam kitab Taurat dan Injil yang mampu duduk di bawah pohon yang memayunginya ketika itu. Namun, tidak pasti apakah ia pohon sama seperti kisah pertama tadi.

Keberadaan pohon itu di zaman ini bagaikan satu bukti menyaksikan kecintaan sebatang pohon terhadap junjungan terakhir umat Islam. Subhanallah.

Masih tidak percaya? Anda boleh berkunjung ke Jordan. Lokasi pohon yang juga digelar 'the tree of Rasulullah' ini terletak di padang pasir Buqa'awiyya, 170 kilometer dari bandar Amman.

Di bandar kecil bernama Az-raq, ada pengangkutan yang boleh disewa untuk membawa pengunjung ke pohon itu. Namun tidak ramai yang sanggup pergi ke situ kerana perjalanan yang sukar merentas padang pasir.

Pohon ini diwartakan sebagai satu khazanah Jordan...

The only living Sahabi merupakan salah satu kawasan yang dijaga oleh kerajaan Jordan kerana diwartakan sebagai salah satu khazanah warisan sejarah negara itu.

No comments:

Post a Comment