Monday, January 5, 2015

HAIKAL KINI MERINGKUK DALAM PENJARA...


Firman Allah SWT; "Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan mengadu nasib dengan anak panah itu adalah perbuatan keji daripada perbuatan syaitan. Maka hendaklah menjauhinya supaya kamu beroleh kemenangan dan keberuntungan." (AL-Maaidah: 95)

Ketahuilah setiap perintah Allah SWT itu mempunyai hikmah dan rahsianya tersendiri. Begitu juga dengan arak, bahawasanya Allah mengharamkan arak adalah disebabkan boleh menghilangkan akal, kawalan diri dan nafsu, menjejaskan maruah dan martabat, merosakkan jasmani dan rohani termasuklah kesannya terhadap aqidah. Begitulah yang dilalui oleh Haikal (bukan nama sebenar) yang baru berusia 17 tahun.

Disebabkan pengaruh rakan sebaya dan terikut-ikut perangai mereka, Haikal mula meneguk minuman keras. Biar pun pada mulanya hanya sekadar suka-suka, namun siapa sangka kerana benda haram itu jualah dia ditangkap atas tuduhan merogol dan menjebakkan dirinya ke jeriji besi.

Jika kini rakan sebayanya sibuk belajar kerana bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), namun Haikal menghabiskan masanya di penjara atas sabit kesalahan merogol dan merompak, dan kehilangan kad pengenalan diri.

Menurut Haikal, sejak pertengahan tahun lalu dia telah mengambil keputusan untuk berhenti sekolah akibat kesempitan hidup yang dihadapi keluarga.Maklum sahajalah tinggal di tengah-tengah bandar Kuala Lumpur, ibunya pula merupakan ibu tunggal yang terpaksa membesarkan lapan orang anak seorang diri.

"Saya bukan tidak minat belajar, tetapi saya rasa sudah tiba masanya cari duit sendiri. Saya tidak mahu susahkan orang lain terutamanya ibu, lagi pun saya anak lelaki. Sejak bercerai dengan ayah, ibulah yang menjadi ketua keluarga. "Bermula dengan bekerja sebagai pelayan restoran, saya mula seronok pegang duit sendiri tanpa meminta-minta pada orang lain," katanya ketika ditemu bual di penjara Kajang.

 Jelas Haikal, perbuatan keji itu berlaku berikutan tindakan di bawah sedar kerana berada di bawah pengaruh alkohol. Lebih malang apabila dia menjadi mangsa khianat rakan-rakannya ketika melakukan jenayah tersebut. Apa yang diingatinya, ketika malam kejadian dia pulang ke rumah ibunya untuk mengambil pakaian dan barang-barang peribadinya.


Sebelum kembali ke tempat kerja, dia berjumpa dengan rakan-rakan lamanya dan mereka habiskan masa bersama dan minum minuman keras. Katanya, malam itu adalah kali kedua dia meneguk minuman keras, itu pun setelah dicabar rakan-rakannya. Kali pertama dia muntah-muntah dan tidak sedarkan diri, kali kedua dia turut mengalami perkara yang sama. Rupa-rupanya selepas dirinya mabuk, tanpa pengetahuannya rakan-rakannya telah merancang untuk melakukan rompakan. Selain merompak, Haikal juga telah merogol. Tambah Haikal, hingga ke hari ini dia masih tidak ingat apakah perkara sebenar yang berlaku pada malam tersebut kerana dia benar-benar tidak sedarkan diri.

"Sejahat-jahat saya selama ini, tidak pernah saya bertumbuk atau mencederakan orang. Apatah lagi merogol. Paling jahat sekalipun, minum arak. Itu pun dengan kawan-kawan sebab nak suka-suka. Apa boleh buat, perkara ini pun telah berlaku, menyesal pun sudah tidak berguna. Inilah jenayah pertama yang saya lakukan dan membuatkan saya terpaksa ditahan polis dan masuk ke penjara," katanya dengan nada sedikit kesal.

MENYESAL DAN MENANGIS 

Di sepanjang tempoh ditempatkan di Penjara Kajang dia diberikan orientasi iaitu satu proses pemulihan untuk menyedarkan penghuni-penghuni. Bagi Haikal, biar pun baru dua minggu ditahan di Penjara Kajang, ternyata tempoh singkat yang diberikan amat berguna buat dirinya.

Jika selama ini hidupnya terumbang- ambing, kini di sini dia dapat mendekatkan dirinya dengan Allah dan agama. Malahan di sini jualah dia mula mengenali tikar sembahyang. Biar pun raut wajahnya tampak keras, namun jauh di sudut hatinya masih timbul keinsafan dalam diri apabila hari-hari disogokkan dengan kuliah-kuliah agama.


"Setiap hari kami di sini perlu menjalani latihan kawad, menghadiri kelas agama dan solat berjemaah. Sedikit sebanyak aktiviti ini mengubah saya ke arah kebaikan, kadang-kadang ada juga benda buat saya terasa dan menangis teresak-esak.

"Saat ini wajah yang paling diingati pastinya ibu saya. Biar pun ibu masih tidak menjenguk saya sejak saya ditempatkan di sini dan diam seribu bahasa setelah saya ditahan polis, saya akur. Pastinya ibu adalah orang paling sedih melihat keadaan saya sebegini," katanya sambil menundukkan wajah.

Biar pun, Haikal sendiri kurang pasti apakah hukuman yang bakal diterima kelak, namun jauh di sudut hatinya perasaan bimbang dan takut bersilih ganti.

Ternyata selain meringkuk di dalam penjara, Haikal juga bakal disebat, mungkin itu antara perkara paling ngeri yang bakal berlaku dalam hidupnya. Kini, hanya doa yang mampu Haikal panjatkan pada Tuhan agar meringankan bebanan kekhilafannya.

Dirinya amat menyesal apabila menconteng arang ke muka ibunya, sudahlah ibunya ibu tunggal, kini anaknya pula bakal bergelar penjenayah. Rasa gelap masa depan Haikal kelak, bagaimana dia mahu menghadapi situasi apabila keluar dari penjara kelak, hanya Tuhan yang mengetahui isi hatinya.

Di petik dari Majalah Keluarga Mac 2014

No comments:

Post a Comment