"SETANDAN kelapa tidak semuanya elok, kerana adakalanya, buah kelapa tadi kelapa komeng, kecut dan ada yang gugur sebelum besar." Begitulah antara makna perumpamaan Melayu kita.
"Demikian jugalah dengan anak-anak yang kita lahir dan besarkan. Ada yang mati selepas dilahirkan dan ada yang lahir cacat. Ada yang pandai dan ada yang tidak." Demikian cerita Farahdiana dalam SMS yang dihantarkan dan ketika kami berbual panjang di telefon.
"Cerita saya di bawah ini bukan bertujuan mengumpat adik-beradik apatah lagi emak saya, tetapi sekadar mencurahkan rasa isi hati yang terbuku selama ini dan untuk mengurangkan rasa kekecewaan di hati.
"Kata orang tua-tua, meminta pada yang ada dan menangis pada yang sayang. Malangnya saya tak ada kedua-dua benda itu. Tak ada sesiapa yang pedulikan saya kalau saya nak minta tolong ketika susah dan tambah menyedihkan lagi tak ada orang yang sayangkan saya termasuk emak sendiri!
"Betul! Kalau emak tak sayangkan saya dah lama emak buang saya dalam longkang atau letak tepi masjid mahupun diberikan pada orang. Tetapi kerana emak sayanglah maka saya dibesarkan seperti adik-beradik lain. Namun ada perbezaan dalam pemberian kasih sayang yang cuma kita saja yang dapat merasakannya.
"Saya ada enam orang adik-beradik. Empat perempuan dua lelaki. Dua kakak saya perempuan. Sejak kecil saya kagum dengan kebolehan mereka. Sebab mereka pandai di sekolah, kata emak sejak tadika lagi, begitu juga dengan dua lelaki tadi, walaupun tak sepandai kakak, tetapi mereka memang rajin belajar dan pandai di sekolah.
"Emak ayah sering puji kepandaian mereka bila ada saudara mara datang bertamu atau ketika kami balik kampung. Adik-beradik emak menggalakkan mereka rajin belajar boleh masuk MRSM. Sememangnya itulah impian emak, sama seperti anak saudara lain, dan kemudian dapat melanjutkan pelajaran ke luar negara. "Masa kecil saya cuma mendengar sahaja, melopong tak tahu apa itu MRSM. Dipendekkan cerita memang kedua-dua kakak saya dapat masuk MRSM. Sementara abang saya, seorang masuk sekolah menengah sains seorang lagi sekolah di kawasan berdekatan rumah kami sahaja.
"Malangnya, saya sejak kecil lagi memang tak pandai sekolah dan selalu kena marah dengan emak. Perkataan bodoh, malas belajar sentiasa bermain di bibir emak. Bukan saya tak mahu jadi pandai dah cuba tapi tak pandai juga. Akhirnya sayalah jadi penunggu dapur, berkemas rumah, memasak dan mencuci pakaian menjadi tugas utama saya, belajar jadi perkara kedua.
"Kata emak, hantar saya sekolah buat menghabiskan duit sahaja. Saya lagi bodoh daripada abang ke empat. Sebab abang pun tak dapat sekolah berasrama. Tapi abang kemudiannya dapat masuk sekolah vokasional, jadi emak kuranglah marah pada abang, kecuali saya.
"Nak dijadikan cerita, ketika dalam tingkatan empat saya ada tugas tambahan iaitu kena jaga anak kakak sebab pembantu rumahnya cabut lari. Emak mestilah sanggup, sebab kakak anak kesayangan emak. Apa pun emak sanggup buat.
"Sebenarnya sejak kecil lagi saya sudah dapat rasakan diri saya dipinggirkan kerana tak pandai belajar. Ketika dalam tingkatan lima emak cadangkan saya jaga anak kakak sahaja kalau tak lulus SPM.
Namun, saya lulus SPM tapi tak sebaik kakak dan abang, saya nak cuba nasib kerja di kilang atau pasar raya. Tapi kakak kata daripada kerja tu baik duduk rumah dia jaga anaknya yang bertambah dua orang.
"Mestilah saya tolak, saya pun ingin bekerja macam mereka, walaupun tak bergaji dan pangkat besar seperti mereka. Emak angin! Namun emak lebih berkuasa, habis SPM saya jaga anak kakak yang dihantar ke rumah emak. Adalah setahun saya jaga anak kakak, lepas tu saya dapatkan pembantu Indonesia untuk tolong jaga anak kakak. Sebab saya beritahu emak saya nak bekerja sebab perlukan duit. Duit yang kakak beri memang tak mencukupi. Kerana kedegilan saya, emak merajuk. "Pada awalnya saya kerja di pasar raya. Lepas tu saya dapat jadi kerani. Ketika bekerja itulah saya jumpa suami saya, Izam yang membantu ayahnya berniaga kedai runcit. Malam dia jual burger. Selepas setahun berkenalan, Izam lahirkan hasratnya mahu melamar saya. Tapi saya minta tangguh kerana ketika itu kakak kedua belum kahwin begitu juga dua abang saya. Takkan saya nak langkah bendul dan mesti emak mengamuk.
"Nak dijadikan cerita rancangan kakak kedua nak kahwin terbantut, sebab ibu pihak lelaki ada pilihan lain. Kerana dah lama berkawan kakak frust dan tak berhajat nak kahwin lagi, lantas buat keputusan sambung belajar luar kampus.
Lega! Tapi abang ketiga pula nak kahwin. Maka saya buat keputusan nak kahwin dan beritahu emak ada orang nak masuk meminang. "Mulanya emak tak setuju, tetapi abang sokong, maka emak buat kenduri kahwin saya serentak dengan abang. Majlis kahwin saya tak semeriah majlis abang, cuma majlis doa selamat. Lepas majlis, waktu petang emak dan rombongan abang bertolak ke utara untuk majlis nikah dan kahwin abang.
Hambar
"Tinggallah saya di rumah suami isteri, sebab yang lain semua pergi ke utara. Perkahwinan saya tak ada majlis bersanding. Cuma keluarga Izam buat seminggu kemudian. Terasa sungguh hambar majlis perkahwinan saya. Saya fikir mungkin kerana hantaran perkahwinan saya cuma RM4,000 sedangkan abang RM10,000, mestilah meriah emak buat majlisnya. "Kini tujuh tahun berlalu, saya ada dua orang anak. Hidup kami suami isteri cukup sederhana. Kami tinggal menyewa di bahagian belakang rumah ayah Izam. Sejak kahwin, emak dan adik-beradik tak pernah jejakkan kaki ke rumah kami. Maklumlah kecil. Tapi bagi saya paling kurang sebulan sekali tetap pergi ke rumah emak.
"Sebab emak tinggal sendirian, ayah dah meninggal dunia. Kini abang ke empat sudah pindah sebab dapat kerja baru dengan tawaran gaji yang lebih baik. Manakala adik dah masuk universiti. Dua kakak duduk rumahnya sendiri termasuk abang ketiga. Kakak kedua walaupun belum kahwin tapi dia dah beli condo yang dekat dengan tempat kerjanya.
"Emak bimbang dia tinggal sendirian apabila adik bekerja nanti. Jadi untuk menghiburkan hati emak sesekali saya datang menjengah beliau sebab bimbangkan kesihatan dan keselamatannya. Lagipun emak dah tua.
"Saya masih bekerja, anak kami mentua saya jaga, Izam kini sudah ada van kecil berniaga burger, dan minuman di tapak khas yang disediakan untuk peniaga. Jadi tak mungkin saya boleh tinggal dengan emak. Lagipun saya tak fikir Izam selesa tinggal dengan emak, kerana Izam bukan menantu kesukaannya. Lagipun Izam tak ada kerja tetap dan bergaji besar, dia cuma penjual burger sahaja.
"Memang tepat kata emak, kalau saya tak pandai sekolah hidup tak boleh senang, tak boleh hidup mewah seperti kakak dan abang yang bergaji besar. Dahlah tak pandai, dapat suami tak ada kerja tetap cuma berniaga burger.
Tapi saya bersyukur kepada Allah kerana saya dan suami diterima baik oleh mentua saya. Mereka tak pernah membezakan anak-anak walaupun ada antara ipar saya lulus universiti, jadi pegawai tinggi kerajaan dan guru.
"Falsafah mentua saya, anak yang bergaji mereka tak perlu dibantu, sebaliknya bantulah anak yang kekurangan. Beliau juga nasihatkan anak-anak yang berjaya hulurkan bantuan kepada adik-beradik yang memerlukan, supaya ikatan kekeluargaan jadi lebih kukuh, tanamkan sikap tolong menolong sesama mereka. Sebab, bukan mereka tak mahu belajar jadi pandai tak mahu masuk universiti bila bekerja dapat gaji besar, sebaliknya nasib dan rezeki mereka adalah urusan Allah jua.
"Kerana itu rumah mentua saya bila hujung minggu sentiasa riuh dengan kehadiran anak cucu. Berbeza rumah emak saya, bila dipanggil baru datang, hubungan kami adik-beradik tak erat. Tapi emak kata dia bertuah lima orang anaknya semua berjaya masuk universiti dan bergaji besar kecuali saya.
"Bila memikirkan falsafah mentua saya, membuatkan saya menangis dan sedih mengenangkan nasib. Saya adik-beradik hidup sendirian tidak ada falsafah tolong menolong. Pandai masing-masinglah bawa diri."
No comments:
Post a Comment