Tuesday, January 6, 2015

MISTERI KEPUPUSAN MASTODON...


KEPUPUSAN mastodon, binatang purba yang mempunyai pertalian darah dengan gajah di Amerika Utara sering kali dikaitkan dengan aktiviti pemburuan tidak terkawal oleh manusia zaman batu.

Namun begitu, satu kajian radio karbon yang dijalankan oleh Universiti Oxford dan Universiti California ke atas fosil haiwan berkenaan mendapati kepupusan mastodon bukanlah disebabkan oleh aktiviti pemburuan manusia.

Pakar berpendapat, kepupusan haiwan jenis mamalia itu berkait rapat dengan perubahan cuaca dan habitatnya di Amerika Utara daripada hutan beriklim tropika kepada kawasan sejuk tundra. Sebelum ini, ramai beranggapan mastodon hidup di Artik atau kawasan yang di kelilingi oleh salji, bagaimanapun pakar mendedahkan habitat awal haiwan berkenaan adalah di kawasan beriklim tropika.

Mastodon dilihat lebih selesa menjalankan kehidupan di dalam hutan kerana mudah untuk mendapatkan sumber makanan. Pakar percaya, kawasan Artik dan sub-Artik merupakan penempatan sementara mastodon ketika berlakunya musim kemarau di kawasan habitat asal mereka.

Penemuan terbaru yang turut diletakkan di dalam jurnal Prosiding Akademi Sains Kebangsaan itu menyatakan, kepupusan mastodon sudah berlaku berpuluh-puluh ribu tahun sebelum wujudnya penempatan manusia.


Pakar turut menyatakan, banyak hidupan purba mati disebabkan oleh perubahan iklim pada akhir zaman ais yang berlaku kira-kira 10,000 tahun lalu, di mana mastodon merupakan salah satu daripada 70 spesies mamalia yang pupus di Amerika Utara.

KAJIAN ke atas fosil gigi mendapati mastodon gemarkan kawasan beriklim tropika. Pakar turut menyatakan, banyak hidupan purba mati disebabkan oleh perubahan iklim pada akhir zaman ais yang berlaku kira-kira 10,000 tahun lalu, di mana mastodon merupakan salah satu daripada 70 spesies mamalia yang pupus di Amerika Utara.


Kurator Jabatan Mamalogi di Muzium Sejarah Amerika Syarikat, Ross MacPhee berkata, berdekad-dekad lamanya para saintis cuba mencari maklumat baharu tentang misteri kepupusan mastodon. "Adakah kepupusan mastodon ada kaitan dengan pemburuan secara berleluasa yang dilakukan oleh penduduk awal di Amerika Utara? Atau disebabkan oleh masalah pemanasan global.

"Apakah mamalia bersaiz besar ini mati secara mengejut dalam jumlah yang banyak dan misteri inilah yang cuba diningkaikan oleh saintis," jelas MacPhee. Pakar paleontologi daripada Program Paleontologi Yukon, Grant Zazula berkata, fosil gigi mastodon bertindak secara efektif ketika melakukan kerja-kerja mengoyak dan membelah batang kayu, mengunyah daun dan pokok-pokok renek.

"Kesimpulannya adalah agak mustahil untuk haiwan berkenaan hidup di kawasan berais seperti di Alaska dan Yukon. Ini kerana fosil gigi jelas menunjukkan mastodon merupakan haiwan yang gemarkan tumbuh-tumbuhan," ujarnya. Zazula percaya mastodon hidup di kawasan Artik dan sub-Artik selama 125,000 tahun sebelum pupus sepenuhnya kira-kira 10,000 tahun lalu.

"Keadaan cuaca sejuk dan kejadian glasier yang berlaku 75,000 tahun dahulu telah mengakibatkan habitat mastodon terganggu sehingga menyebabkan raereka terpaksa berhijrah ke kawasan selatan Artik dan sub-Artik yang lebih panas sebelum pupus sepenuhnya," jelasnya lagi.

Dipetik dari Mingguan Malaysia 7 Dis 2014...

No comments:

Post a Comment