Thursday, February 25, 2016

KAPAL ANGKASA CHALLENGER MELETUP DI UDARA...



Video saat-saat Challenger meletup selepas 73 saat dilancarkan...

Kepada mereka-mereka yang berumur dalam lingkungan sekurang-kurangnya tujuh tahun pada 1986, tentu masih ingat akan tragedi yang menimpa kapal angkasa Challenger yang meletup di udara selepas kira-kira 73 saat berlepas dari Kennedy Space Centre Florida, Amerika Syarikat.

Lebih menyayat hati apabila salah seorang yang diberi peluang untuk menyertai misi ke angkasa lepas itu ialah seorang guru wanita di salah sebuah sekolah di Amerika Syarikat yang turut terkorban dengan disaksikan oleh kaum keluarga, sahabat handai, serta ribuan murid-muridnya semasa pelancaran itu dibuat dan seterusnya meletup di udara.

Challenger ialah sebuah roket angkasa kedua milik NASA yang memulakan penerbangan sulung pada tahun 1983. Sepanjang tempoh perkhidmatannya, kapal angkasa itu telah melakukan penerbangan ulang-alik selama sembilan kali sebelum melakukan tugas terakhir pada 28 Januari 1986. Misi terakhir itu sekali gus memusnahkan tugasan ke-25 NASA.

Untuk mengikuti detik-detik cemas tentang peristiwa itu maka marilah kita sama-sama membaca kisahnya seperti di bawah semoga kita dapat mengambil iktibar darinya. 

THREE... TWO... One... suara dari bilik kawalan National Aeronautics and Space Administration (NASA) kedengaran jelas dalam ruang kokpit kapal angkasa Challenger. Ketujuh-tujuh orang anak kapal, Ellison S. Onizuka, Sharon Christa McAuliffe, Greg Jarvis, Judy Resnik, Michael J. Smith, Dick Scobee dan Ron McNair bersedia di tempat duduk masing-masing ketika pesawat mula meninggalkan padang Kennedy Space Centre, Florida. Tidak sampai dua minit 'melawan graviti', tiba-tiba boommm! roket hancur di ruang udara.


Asap berkepul-kepul di ruang udara...

Api marak di ketinggian lebih 80 kilometer bersama kepulan asap tebal bagaikan sebuah belon udara panas. Bau udara segar musim sejuk mula bertukar hangit. Suasana yang sebelum itu dihiasi kicauan burung, hilang entah ke mana. Tidak sampai beberapa saat letupan berlaku, serpihan demi serpihan mula 'menghujani' permukaan laut yang terletak bersebelahan pusat angkasa.

Ahli keluarga/sahabat handai, kru NASA, pelajar sekolah, media massa serta orang ramai yang menyaksikan insiden itu dari padang Kennedy Space Centre hanya terpaku membisu. Masing-masing mendongak ke ruang udara. Terkejut, berdebar dan takut bercampur baur bagai tidak menyangka sedang menonton adegan ngeri di depan mata masing-masing. Seketika kemudian, tangisan ahli keluarga mula kedengaran nyaring.



Tragedi Challenger yang meragut nyawa kesemua anak kapal hampir 30 tahun lalu telah meninggalkan kesan yang sangat mendalam kepada rakyat Amerika Syarikat. Bukan hanya mereka yang berada di tempat kejadian, bahkan penonton yang menyaksikan perlepasan pesawat secara langsung dari kediaman masing-masing turut merasai debaran detik-detik cemas itu termasuklah seorang jurutera NASA Elmerthomas yang mati akibat serangan jantung sewaktu melihat pelancaran dari rumahnya.

Dalam misi itu, kapal angkasa Challenger telah membawa seorang guru, Christa McAuliffe sebagai tetamu khas yang bakal menjadi 'orang biasa' pertama menjejakkan kaki ke angkasa. Sepanjang berada di sana, McAuliffe perlu berhubung dengan pelajar sekolah tentang keadaan dan pengalamannya di samping membuat beberapa penyelidikan. Program itu kemudiannya akan ditayangkan secara langsung menerusi saluran televisyen. Namun, semua itu hanyalah sebuah mimpi.

Sebelum tragedi hitam itu berlaku, Challenger sepatutnya berlepas pada 22 Januari 1986. Akan tetapi, disebabkan oleh masalah teknikal serta suhu yang terlalu rendah menyebabkan misi terpaksa ditunda sehingga enam hari. la berikutan risiko peralatan-peralatan tertentu yang tidak boleh berfungsi akibat membeku. Keadaan itulah yang berlaku pada pagi hari kejadian.

Malam sebelum pelancaran, amaran telah diberitahu oleh jurutera reka bentuk enjin pesawat syarikat Morton Thiokol, Roger Boisjoly kepada NASA di Kennedy Space Centre dan Marshall Space Centre. Dia meminta supaya membatalkan misi pelancaran roket dalam cuaca sejuk kerana bimbang dengan kemungkinan yang boleh berlaku. Namun, amaran itu tidak diendahkan oleh pihak NASA kerana sudah terlalu lama menangguhkan misi berkenaan.

Pagi itu, jurutera serta pakar-pakar yang bertugas membuat tinjauan seperti biasa. Semuanya dalam keadaan normal melainkan beberapa bahagian bawah badan kapal angkasa yang diselaputi ais. Langkah keselamatan diambil dengan mencairkan bahagian tersebut sehingga masa pelancaran terpaksa ditunda lagi dua jam berikutnya. Sekitar jam 11:39 pagi, NASA tetap berdegil mahu melancarkan roket berkenaan. Dalam tempoh 73 saat di udara. Challenger meletup tanpa amaran lagi.

Ketika kejadian, pihak berkuasa tidak terus menjalankan kerja-kerja pencarian sebaliknya mereka mengambil masa selama 24 jam untuk memastikan kesemua komponen dari bangkai Challenger jatuh ke permukaan bumi sepenuhnya sebelum operasi menyelamat dilakukan.

Dalam masa yang sama, Presiden Ronald Reagan juga turut menubuhkan sebuah Suruhanjaya Siasatan Khas untuk menyiasat punca kejadian. Antara yang terlibat ialah William P.Roger, Neil Armstrong, David C. Acheson, Eugene E.Covert, Richard P. Feynman, Robert B. Hotz, Donald J. Kutyna serta beberapa orang pakar berkaitan. Mereka mengambil masa selama 120 hari untuk mengesan punca tragedi.

Hasil siasatan menunjukkan, getah O-Ring yang menghubungkan antara tangki minyak dan kapal angkasa membeku pada masa perlepasan. Keadaan itu memberi tekanan kepada bahagian tertentu menyebabkan beberapa buah komponen gagal berfungsi. Bagai api disimbah minyak, tekanan itu telah merangsang tangki simpanan cecair pembakar lalu meletup sekelip mata tanpa sempat tanda lampu amaran menyala di ruang kokpit.

SELEPAS KEJADIAN

Selepas insiden itu, NASA tidak lagi menghantar ahli astronomi ke angkasa selama lebih dua tahun.Dalam tempoh itu, mereka telah menjalankan kajian dan memperbaiki mutu kapal angkasa baru. Akhirnya, pelancaran pertama selepas tragedi dibuat pada bulan September 1988. Dalam misi itu, NASA telah menyelenggarakan teleskop angkasa Hubble serta membina Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS). 

No comments:

Post a Comment