Monday, February 29, 2016

PENGAKUAN SEORANG LELAKI CURANG...

Gambar sekadar hiasan...

LELAKI curang? Itu biasa. Lelaki memang tabiatnya mengurat. Pantang tengok perempuan dahi licin, semua dia nak try. Sedihnya, perempuan yang jadi mangsa. Tertipu dengan godaan suami orang. Terpedaya dengan fiil suami yang pijak semut tak mati bila di depan isteri tapi ligatnya nauzubillah bila di belakang isteri.

Lebih parah, alasan lelaki zaman sekarang berlaku curang cukup sukar diteka. Lihat sahaja betapa bodohnya bekas suami Hally Berry, Eric Benet, apabila sanggup meninggalkan salah seorang wanita tercantik dan berjaya di Hollywood. Atau Hugh Grant yang memilih untuk berasmara dengan pelacur jalanan sedangkan dia memiliki kekasih jelita seperti aktres Elizabeth Hurley.

Jadi, siapa lelaki paling curang di dunia?

Kata peneliti, lelaki Perancis merupakan pencinta terbaik di dunia. ; Malangnya cinta mereka bukan cinta sejati. Kajian mengenai kecurangan yang dilakukan oleh French institute of Public Opinion (IFOP) mendapati seorang bagi setiap dua lelaki di negara itu mengaku curang terhadap isteri masing-masing.

Keadaan ini bukan sesuatu yang mengejutkan. Rakyat Perancis sememangnya terkenal dengan sikap curang sejak tahun 1970-an lagi. Ketika itu, kadar kecurangan di negara itu adalah 19 peratus. Kini peratusan itu meningkat dengan ketara apabila 55 peratus daripada warga lelaki di negara itu mengaku mencurangi pasangan mereka.

Jadi lelaki Perancis sangat bertuah. Sekurang-kurangnya itulah yang dialami Presiden Francois Hollande. Apabila skandalnya bersama aktres jelita Julia Gayet didedahkan oleh majalah Closer awal tahun ini, rakyat langsung tidak menyalahkannya. Bagi mereka adalah normal buat seorang lelaki untuk berlaku curang terhadap pasangannya. Malah, kajian mendapati warga Perancis adalah golongan paling mudah memaafkan individu curang.

Lelaki di India juga sama. Tinjauan global laman web persahabatan dan temu janji, CupidBay.com, mendapati 49 peratus lelaki di negara itu mencari peluang untuk menjalinkan hubungan seksual secara aktif di Internet.

Berada di kedudukan seterusnya adalah lelaki Pakistan. Seramai tujuh peratus suami berketurunan Pakistan menggunakan Internet untuk mencari temu janji membuat hubungan di luar pernikahan. Ini diikuti dengan lelaki Mesir dan Arab Saudi yang mencatat enam dan lima peratus.

Di Indonesia pula, kira-kira 25 peratus daripada lelaki berkahwin 4 didapati berlaku curang terhadap pasangannya. Data itu diperolehi menerusi kajian mengenai kecurangan yang dilakukan oleh Universiti Indonesia, pimpinan pakar psikologi, Vudiana Ratnasari. Kebanyakan kes curang itu melibatkan para suami di kota besar seperti Jakarta yang telah berkahwin lebih dari sepuluh tahun.

Lelaki Belgium pula sangat bertuah kerana dibenarkan curang. Bagi rakyat negara itu, memiliki kekasih bukanlah satu kesalahan bagi lelaki berkahwin. Para suami boleh melakukannya tanpa perlu berahsia daripada isteri. Curang dibenarkan kerana kekasih dianggap sebagai antidepresan, atau terapi yang boleh menghilangkan stres bagi lelaki.

JIKA lelaki Perancis dan India dicap sebagai lelaki curang, lelaki Korea pula dikenal pasti sebagai lelaki paling setia. Kenapa? Ini kerana kerajaan Korea memantau penggunaan telefon bimbit di kalangan warganya. Setiap data dan aktiviti penggunaan telefon dirakam oleh kerajaan.

Jadi, apabila lelaki berlaku curang, para isteri boleh melaporkan perkara itu kepada pihak berkuasa dan meminta dibukakan rakaman percakapan serta SMS telefon bimbit suami mereka.

Semua data tersebut boleh dijadikan bukti kukuh dalam perbicaraan perceraian. Apabila terbukti mereka benar-benar curang, semua harta akan menjadi hak isteri dan anak-anak sepenuhnya tanpa sedikit pun akan diberikan kepada mereka. Inilah yang ditakuti lelaki Korea.

Tidak seperti lelaki di negara Eropah yang lain, lelaki Ireland tergolong dalam kelompok setia. Mereka menyanjung ikatan perkahwinan dan menentang hubungan tanpa nikah. Mereka percaya perkahwinan bahagia yang ditunjangi kesetiaan akan membuatkan lelaki memiliki tahap kesihatan yang baik, panjang umur dan kurang stres.

Bagaimana dengan lelaki Malaysia? Adakah mereka pencinta setia seperti lelaki Korea atau kasanova bak lelaki Perancis? Tepuk dada tanya minda!

Jika benar-benar setia tak mungkin ada kes seperti pembunuhan Norita Samsuddin atau kes pembunuhan seorang pensyarah beristeri, Bakaruddin Busu, yang rentung dibakar oleh teman lelaki kekasihnya.

Jika tak setia pula takkan ada perkahwinan seutuh Datuk Jamil Sulong dan Datuk Rosnani Jamil yang usia perkahwinan mereka mencecah 61 tahun. Jadi fikir-fikirkanlah!

Dalam melakukan kecurangan, usia bukan penghalang bagi lelaki. Kecurangan sering berlaku di kalangan pasangan muda. Namun, itu bukan bermakna lelaki berusia tidak berlaku curang.

Lelaki pertengahan usia curang kerana ingin mengembalikan kegembiraan atau mendapatkan kembali keyakinan yang semakin hilang akibat pertambahan umur. Atas sebab itulah, tinjauan sosial American Sexual Behavior mendapati para suami berusia 40, 50, dan 60 tahun masih berlaku curang. Bak kata pepatah, tua-tua keladi, makin tua makin menjadi.

Statistik juga menunjukkan bahawa lelaki kacak lebih cenderung untuk berlaku curang. Namun, bukan bermakna lelaki kurang tampan tidak akan curang. Bahkan, ramai lelaki muka pecah rumah memiliki teman wanita. Kenapa? Kerana mereka bijak memancing wanita dengan kekayaan dan pengaruh yang mereka ada.

Satu lagi persoalan dalam menghadapi masalah lelaki curang adalah keturunan. Benarkah bapa borek anak rintik? Mungkin ya, mungkin tidak.

Memang benar ada lelaki yang menjalinkan hubungan dengan ramai wanita kerana bapanya memiliki ramai kekasih atau isteri lebih daripada satu. Namun ada juga lelaki yang setia pada seorang isteri meskipun dia didedahkan dengan suasana itu sejak kecil lagi.

Sebenarnya, sesiapa pun boleh berlaku curang jika dia memilih untuk melakukannya. Jadi, siapa lelaki paling curang? Fikir dan nilaikan sendiri!

DALAM mengharungi cabaran untuk kekal setia terhadap pasangan, sebuah buku berkaitan dengan curang berjudul Pengakuan Seorang Lelaki Curang telah diterbitkan. Buku ini menumpukan kepada gejala tersebut di kalangan lelaki. Pun begitu, ia bukan hendak memburuk-burukkan lelaki.

Sebaliknya ia mengupas isu curang di kalangan lelaki dalam skop yang lebih luas. Bermula dengan sejarah curang, tanggapan masyarakat sejak zaman dahulu dan hukuman terhadap pelakunya.

Jika anda tertanya-tanya tentang punca kecurangan, buku ini memberikan jawapan menerusi kajian-kajian saintifik yang dilakukan oleh ahli akademik seantero dunia. Sekiranya anda mempunyai keinginan untuk mengetahui sejauh mana kesetiaan pasangan atau mahu menghentikan kecurangan pasangan, buku ini dapat dijadikan rujukan.

Terdapat tip-tip yang boleh diaplikasikan untuk mendapatkan rumah tangga bahagia selain kaedah memaafkan suami curang bagi mengembalikan kepercayaan. Kupasan tentang hukuman pula diharap dapat menyedarkan orang ramai bahawa curang adalah kesalahan serius bukan sahaja dari segi agama, tetapi juga dari sudut undang-undang.

Paling menarik tentulah pengakuan-pengakuan para suami, isteri dan orang ketiga yang terlibat dalam gejala tersebut. Paparan kisah dan pengalaman yang dikongsi itu bukanlah untuk membuka pekung atau memalukan sesiapa. Sebaliknya, ia bertujuan untuk memberi pengajaran dan panduan kepada masyarakat dalam menjalani kehidupan seharian.

Buku Pengakuan Seorang Lelaki Curang kini telah berada di pasaran. Dengan setebal 210 halaman, ia dijual dengan harga RM15 senaskhah. Apa lagi, dapatkan segera di kedai-kedai berhampiran. Sebarang pertanyaan boleh hubungi bahagian langganan di talian 03-8924 3988/3843 /3972 ©

No comments:

Post a Comment