Tuesday, August 9, 2016

KENCING TIDAK PUAS BUKAN MASALAH RINGAN...

Gambar hiasan...

Lebih daripada 50 peratus lelaki berusia 45 tahun dan 90 peratus lelaki berusia 53 tahun mengalami masalah berkaitan dengan kencing tidak tus. Kebanyakan daripada mereka beranggapan ia disebabkan faktor usia yang semakin meningkat bukan penyakit yang perlu mendapatkan pemeriksaan dan rawatan doctor segera.

Disebabkan itulah ramai kalangan lelaki keberatan untuk mendapatkan bantuan profesional. Namun masalah ini akan jadi lebih berat sekiranya tidak dirawat. Ada banyak jenis penyakit yang boleh menyebabkan masalah berkaitan dengan kencing tidak tus. Antaranya ialah Benign Prostatic Hyperlasia (BPH), prostatitis, cystitis, kanser prostat, urethral stricture dan bladder disorders.

GEJALA...

Antara gejala seseorang itu menghidap penyakit berkaitan dengan masalah kencing tidak tus ialah kerap kencing. Contohnya kencing setiap 30 minit atau kurang terutamanya pada waktu malam. Kebiasaannya jumlah air kencing yang keluar adalah sedikit. Rasa ingin buang air kencing datang secara tiba-tiba, pancutan air kencing tidak banyak walaupun diteran dengan kuat.

Sebab utama kepada semua masalah berkaitan kencing tidak tus ini adalah berpunca dari BPH, iaitu keadaan di mana kelenjar prostat membesar dengan cepat namun ia bukan kanser. Punca BPH sehingga hari ini tidak diketahui tetapi para pengkaji mendapati BPH semakin kerap berlaku apabila usia lelaki itu meningkat. Sebahagiannya mungkin disebabkan oleh perubahan hormon berlaku pada lelaki yang semakin berumur. Selepas akit baligh, kandungan hormon testosteron turun, manakala hormon lain seperti prolaktin, estradiol follicle-stimulating dan lutenizing naik. Hormon-hormon ini menggalakkan penukaran testosteron kepada dihydrotestosteron (DHT). DHT adalah hormon yang bertanggungjawab menyebabkan berlakunya BPH.

BPH adalah ketumbuhan bukan barah yang paling kerap berlaku di kalangan kaum lelaki. la berlaku apabila bilangan sel di dalam prostat mula bertambah dan menyebabkan kelenjar prostat menjadi lebih besar. Pembesaran ini berlaku secara beransur-ansur dalam masa yang agak lama. Sebab itu ramai penghidapnya tidak sedar masalah ini sehingga prostat menjadi besar dan menimbulkan simptom yang berkaitan terutama selepas berusia 50 tahun.

KELENJAR PROSTAT...




Prostat adalah organ yang terletak di bawah pundi kencing, berbentuk seperti donat yang mengelilingi saluran kencing. Prostat sebahagiannya terbentuk daripada serat-serat otot. Kelenjar prostat ini menghasilkan air mani, manakala otot-ototnya itu akan menolak cairan Ini semasa ejakulasi. Selain itu, otot-otot ini bekerjasama dengan otot pundi kencing untuk mengawal pengaliran air kencing.

Dalam kes BPH, prostat yang semakin membesar akan menekan saluran dan pundi kencing. la menyebabkan air kencing di dalam pundi kencing tidak dapat dikeluarkan secara berkesan. Keadaan ini mengakibatkan pesakit berusia membuang air kencing lebih kerap dan menghadapi pelbagai masalah seperti dinyatakan.

KESAN BPH...

Sekiranya BPH tidak segera dirawat, ia boleh menyebabkan masalah seperti sukar tidur dan menjejaskan konsentrasi semasa bekerja. Selain itu, masalah BPH dikhuatiri menyebabkan air kencing naik semula ke buah pinggang melalui saluran kencing yang menyebabkan kerosakan buah pinggang kekal. Air kencing dalam pundi kencing yang tidak dibuang, terdedah kepada risiko jangkitan kuman meningkat memburukkan lagi masalah BPH.

Tekanan yang berpanjangan ke atas pundi kencing semasa proses membuang air kencing boleh menebalkan dinding pundi kencing, melemahkan otot-ototnya dan menyebabkan pundi kencing tidak berfungsi.

RAWATAN...

BPH tidak boleh disembuhkan melainkan dengan cara pembedahan, di mana tisu yang terlebih dibuang. Cara paling lazim dan berkesan untuk merawat BPH ialah pembedahan. Antara pembedahan yang disyorkan termasuklah: Reseksi Transurethral Prostat atau Transurethral Resection of the Prostate (TURP). Dalam pembedahan ini, pesakit akan dibius dan doktor memasukkan alat khas ke dalam uretra melalui zakar.

Pembedahan Insisi Transuretral Prostat atau Transurethral Incision on the Prostate (TUIP) boleh dijalankan jika prostat tidak terlalu besar. Sejenis alat akan dimasukkan ke dalam uretra untuk membuat satu atau dua potongan pada prostat. Hasilnya tekanan pada uretra akan berkurangan dan pesakit lebih mudah kencing.

Pembedahan Prostatektomi Terbuka (Open Prosatatectomy). Prostatektomi Terbuka boleh digunakan jika prostat sudah menjadi sangat besar di mana sebahagian daripada bahagian dalam prostat akan dibuang.

PENCEGAHAN...

Antara punca yang mempercepatkan lagi BPH adalah kurang mengamalkan gaya hidup sihat. Contohnya mengambil makanan tinggi kolestrol dan karbohidrat, merokok dan mengambil alkohol, kurang senaman dan kerap menghadapi tekanan. Oleh itu, amalkan langkah pencegahan seperti amalan berikut:-

1. Berhenti merokok dan pengambilan alkohol.

2. Kurangkan pengambilan daging dan lemak haiwan kerana kandungan lemak tepu yang tinggi dikaitkan dengan risiko kanser prostat.

3. Tambahkan pengambilan sayur-sayuran hijau yang kaya dengan vitamin, mineral dan serat.

4. Ambil omega-3 dan omega-6 penting untuk pertumbuhan hormon lelaki.

5. Minum lapan gelas air kosong sehari untuk membuang toksin.

6. Melakukan senaman secara rutin untuk meningkatkan perjalanan darah ke Bahagian prostat.

No comments:

Post a Comment