Wednesday, December 13, 2017

BIJIH TIMAH LONJAK EKONOMI IPOH...

Mungkin ramai tidak mengetahui, Ipoh, Perak adalah bandar raya keempat terbesar di Malaysia selepas Kuala Lumpur, Georgetown dan Johor Bahru.

Antara penyumbang pencapaian itu ialah disebabkan perkembangan pesat yang berlaku di Ipoh hasil kegiatan perlombongan bijih timah satu ketika dahulu.

Bukan itu saja, ia turut menjadikan Ipoh lebih terkenal berbanding daerah di negeri lain hanya kerana kekuatannya yang kaya dengan hasil mineral berkenaan.

Namun begitu, sebelum mengetahui lebih lanjut sejarah Ipoh yang berada dalam daerah Kinta, perlulah diketahui asal usul namanya. Berdasarkan sejarah, nama itu diambil daripada pohon 'epu' atau lebih dikenali sebagai pokok ipoh.

Masjid Panglima Kinta yang dibina pada tahun 1898...

Masjid Panglima Kinta kini sebagai 
Bangunan Warisan Negeri Perak...

Difahamkan, masyarakat Orang Asli menggunakan getah pokok itu yang dikatakan beracun sebagai panahan sumpit mereka untuk memburu haiwan dalam hutan. Manakala orang Cina pula menyebutnya sebagai Ipoh atau Paluh.

Pada 27 Mei 1988, Sultan Perak ketika itu, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah mengisytiharkan Ipoh sebagai bandar raya. Sejarah pentadbiran Ipoh bermula dengan pembinaan kawasan lapang pertama pada 1898 yang kini dikenali sebagai Padang Ipoh.

Kawasan pentadbiran Ipoh berkembang hingga menyeberangi Sungai Kinta dan wujudnya pekan baru (Ipoh New Town) ke jalan Anderson pada 1905 hingga 1914.

Istana Riswin pada tahun 1986

Bangunan Istana Riswin tidak banyak perubahan...

Pada 1905 hingga 1915 'Kinta Sanitary Board North' diwujudkandan pada 1916 hingga 1941, 'Kinta District Board' pula yang diwujudkan di bawah pentadbiran tentera British. Pada 1954 hingga 1956 'Ipoh Menglembu Town Council' ditubuhkan.

Kemudian, Ipoh dinaik taraf sebagai perbandaran dan dikenali Majlis Perbandaran Ipoh pada Mei l962. Perisytiharan itu sekali gus menjadikan Ipoh sebagai bandar pertama di negara ini dinaik taraf perbandaran selepas Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan.

Kemajuan di Ipoh berlaku secara berterusan dan tahun lalu diumumkan sebagai Bandar Perniagaan Sosial kelima di dunia selepas Pistoia di Itali, Barcelona (Sepanyol), Wiesbaeden (Jerman) dan Fukuoka (Jepun). 

Bangunan kolonial di jalan Sultan Iskandar

Kini ia dilebarkan bagi mengelakkan kesesakan...

Projek pembangunan mega bernilai RM2.1 bilion yang dibawa ke Ipoh dijangka memberi perubahan landskap yang besar di bandar raya berkenaan dalam masa beberapa tahun akan datang. 

Meskipun jarak kedudukannya lebih 200 kilometer dari Kuala Lumpur, tidak mustahil bandar raya itu mampu menyaingi kemajuan ibu negara.

Bulatan Sultan Yussuf pada 1963
dan menjadi antara mercu tanda Ipoh...

Landskap Bulatan Sultan Yussuf lebih menarik
 berlatar belakang bangunan moden...

Hospital Fatimah, Ipoh pada tahun 1974... 

Kini Hospital Fatimah merupakan
satu daripada  lima buah hospital swasta di Ipoh...


Sumber : Harian Metro
Wartawan : Nor 'Asyikin Mat Hayin

No comments:

Post a Comment