Thursday, December 28, 2017

MAHU JINAKKAN SUAMI? DATANG JUMPA FARIDAH!...

BETUL ke ada 'benda' dalam badan mak cik? Kalau ya, tolonglah buangkan!" ujar warga emas berusia 90 tahun itu kepada Dr. Faridah Zainuddin yang duduk di sisinya.

Anak lelaki wanita itu terkejut. 

Sebelum ini, sudah ramai pengamal perubatan yang dibawanya ke rumah untuk merawat ibunya. Namun, setiap kali mahu dirawat, ibunya akan menengking, meronta dan enggan memberi kerjasama. Tapi, dengan Dr. Faridah, tiba-tiba saja ibunya tenang dan setuju untuk dirawat.

Sebenarnya, wanita tua itu sudah lama terlantar sakit. Tidak mampu berjalan, hanya terlantar di atas katil. Yang menghairankan, wanita itu makan banyak tapi tubuhnya kurus kering.

Sudah ramai perawat datang, tapi belum ada kesan positif. Bila seorang rakan bercerita tentang kebolehan Dr. Faridah, anak wanita itu terus menghubungi Dr. Faridah dan meminta datang ke rumah ibunya di Kedah.

Sampai di hadapan rumah wanita itu, Dr. Faridah tidak terus melangkah masuk. Menggunakan air garam hitam, Dr. Faridah 'bersihkan' dahulu kawasan sekitar rumah. Bila melangkah ke dalam rumah pun Dr. Faridah lakukan, perkara yang sama,

Akhirnya, dengan mudah wanita itu menyerah diri untuk dirawat.

Melihat keadaannya, Dr. Faridah merasakan usia warga emas itu tidak lama. Jangkaannya tepat. Sebulan selepas dirawat, wanita itu meninggal dunia. Namun, dalam tempoh itu, keadaannya sudah banyak berubah. Wanita itu sudah tidak berselera makan, tidak marah-marah dan gelisah bila dibacakan surah Yasin. Perginya juga mudah. Hanya sesak nafas sedikit sebelum meninggal dalam keadaan tenang.

Kes begitu hanya sebahagian yang ditangani Dr. Faridah. Orang Melayu menyebutnya sebagai saka! Kalau diikutkan, sudah macam-macam pembawa saka yang datang berjumpa Dr. Faridah. Macam-macam versi cerita juga yang keluar. Ada yang kata mereka ada saka harimau, buaya, ular dan sebagainya. Namun bagi Dr. Faridah, apa saja bentuk saka yang disebut mereka, padanya ia tetap sama. Saka itu tetap salah satu unsur negatif yang perlu disingkirkan.

BUKAN hanya orang yang ada saka datang berjumpa Dr. Faridah, yang kena sihir pun ramai. Pernah seorang wanita berusia 30 tahun yang hidupnya tak keruan, badannya seperti dicucuk jarum setiap kali selepas waktu Maghrib. Semuanya angkara bekas teman lelakinya yang marah kerana dia berkahwin dengan orang lain.

Ada juga yang guna ilmu hitam kerana dendam sesama keluarga. Selalunya ada kaitan dengan harta pusaka. Tak dapat harta, dibuatnya orang itu sampai merana dan kurus kering badannya.

Kalau kes sihir, bergantung pada keadaannya. Bagi Dr. Faridah, antara kes saka dan sihir, lebih mudah dia membuang saka. Sebabnya, saka sekali ditarik hingga ke akar umbi, ia tidak lagi kembali.

Berbeza dengan sihir. Walaupun sudah dibuang keluar dari tubuh pesakit, namun si penghantar boleh menujukan ilmunya berkali-kali, bermakna si pesakit masih berisiko disihir lagi.

Selain itu, kes berkaitan rumah tangga juga banyak diterima Dr. Faridah. Kes curang adalah perkara biasa. Selalunya, Dr. Faridah akan 'scan' dahulu, apakah faktor pasangan pesakitnya curang ada kaitan dengan spiritual atau kerana sikap semata-mata.

Kadangkala, mungkin pasangan curang kerana ada faktor ketiga seperti sihir yang turut jadi penyebab. Jika begitu, Dr. Faridah akan 'bersihkan' dahulu unsur-unsur negatif yang dihantar pihak ketiga tersebut. Kemudian, barulah dipulihkan semula hubungan suami isteri itu.

Tetapi, jika pasangan itu curang kerana tabiatnya sendiri, Dr. Faridah hanya sediakan air kosong sahaja. Air itu bukan air biasa. la telah diterapikan dan diniatkan agar pasangan yang curang tertutup hatinya dan kembali kepangkuan keluarga.


Ramai juga golongan isteri diam-diam datang mengadu kepada Dr. Faridah. Ada seorang isteri ni, suaminya malas bekerja. Kalau kerja pun, sebulan dua dah berhenti. Kerjanya hanya makan tidur, malam keluar melepak dengan kawan. Si isterilah yang bertungkus-lumus menampung segala keperluan rumahtangga.

Bila Dr. Faridah scan, itu memang tabiat semula jadi suaminya. Dr. Faridah hanya minta nama penuh suami wanita itu, kemudian dibacakan ke dalam air dan Dr. Faridah suruh wanita itu campurkan air tersebut ke dalam minuman dan masakannya di rumah.

Tak lama kemudian, wanita itu beritahu, suaminya sudah mula berubah sikap. Tidak lagi keluar malam dan sudah mula mencari kerja.

Itu belum lagi kes yang suami panas baran, sikit-sikit naik tangan ke tubuh isteri. Yang suami kaki judi pun ramai juga. Semua Faridah guna kaedah yang sama. Konsepnya, buangkan tenaga negatif yang menjadi sikap negatif suami itu, dan masukkan tenaga positif yang memicu ke arah perubahan positif. Alhamdulillah, dengan izin Allah ramai para suami yang bermasalah sikap telah berubah tanpa mereka sedari.

KAEDAH diguna pakai Dr. Faridah juga mudah. Dia merawat hanya menggunakan tenaga dalaman yang disalurkan pada telur dan garam. Tidak menyakitkan.

Acap kali kita lihat perawat alternatif yang merawat saka selalunya akan 'berdialog' dengan saka atau jin di dalam tubuh pesakit. Kadangkala, pesakit itu akan menjerit, melolong kesakitan, menangis atau ketawa. Dalam interaksi itu, perawat akan memaksa ‘benda’ di dalam badan pesakit itu untuk keluar.

Berbeza dengan Dr. Faridah, konsep rawatannya tidak memerlukan dia untuk berdialog dengan 'benda' di dalam badan pesakitnya. Dia tidak perlu memaksa atau memujuk 'benda' itu keluar, Sebaliknya, teknik. reiki dan aura Dr. Faridah menggunakan tenaga dalaman.

Dengan menggunakan telur sebagai perantaranya, ia akan di alin keseluruh tubuh pesakit. la bukan saja menyedut saka itu keluar, bahkan turut menarik DNA saka itu sehingga ke akar umbi kerana ia sudah bersemadi dalam darah keturunan.


Apabila sudah selesai, telur itu akan dihanyutkan ke sungai. Pesakit pula akan dimandikan dengan air garam hitam bagi membuang segala unsur negatif di dalam badannya. Selalunya, pesakit akan keletihan selepas melalui proses ini. Yang terakhir, pesakit akan mandi semula dengan pati aura bagi mengembalikan tenaga positif  ke dalam tubuh.

Namun, satu syarat Dr. Faridah merawat kes saka, pesakit itu hendak lah bersetuju atau memberi izin untuk dia membuang saka tersebut. Jika tidak, sukar hendak dilakukan kerana empunya tubuh tidak mahu memberi "kunci' untuk membuka laluan bagi membuang saka tersebut.

Sebanyak mana telur digunakan dalam rawatan, ia bergantung pada tahap penyakit tersebut. Kalau kes ringan, hanya beberapa biji telur saja sudah cukup untuk menyedut segala bisa dan tenaga negatif yang ada dalam tubuh pesakit. Namun dalam kes berat seperti sihir, kadangkala Dr. Faridah menggunakan sehingga 10 biji telur. Selalunya, telur yang sudah dialin itu akan terasa lebih berat berbanding sebelumnya.

"Pernah saya alin kan telur pada pesakit yang kena santau. Lepas habis rawatan, dia mahu saya pecahkan telur tu sebab hendak lihat apa yang ada dalam telur tu. Saya tak bagi. Sebab kalau dipecahkan, benda yang dah ditarik masuk itu akan bebas semula. Jadi, apa guna saya susah payah tarik ia masuk dan kurung dalam telur tu?

"Mungkin orang lain bila rawat akan pecahkan telur dan tunjukkan kalau ada benda-benda santau seperti miang buluh, duri, paku, rambut dan sebagainya. Tapi, itu cara mereka. Cara saya bukan be'gitu!" tegas Dr. Faridah yang sudah lebih tujuh tahun menjalankan rawatan ini.

Selain daripada telur yang digunakan sebagai medium untuk menyerap tenaga negatif dalam tubuh pesakit, garam hitam juga adalah bahan utama dalam rawatan Dr. Faridah.

Garam hitam yang ditempah khas dari gunung Himalaya ini bukan garam biasa. la mempunyai konsep penyembuhan dan telah diterapikan dengan ayat-ayat rukyah supaya berfungsi untuk menarik elemen negatif dari sudut spiritual.


Bukan hanya penyakit bersifat gangguan spiritual sahaja, bahkan Dr. Faridah turut menggunakan kaedah yang sama dalam mengatasi pelbagai masalah lain. Antaranya seperti sukar dapat jodoh, sering keguguran atau sukar mendapat kerja.

Malah, Dr. Faridah juga sering dipanggil oleh premis-premis perniagaan yang 'diganggu' kerana perasaan hasad dengki atau mungkin kerana ada sesuatu yang menghuni premis itu.

Selain itu, ramai juga pesakit-pesakit biasa seperti angin ahmar, kencing manis, sakit-sakit badan dan sebagainya mendapatkan rawatan daripada Dr. Faridah.

"Kalau sakit yang memang disahkan oleh perubatan sains pun boleh datang. Tapi ingin saya tegaskan, rawatan ini bukan untuk tujuan menyembuhkan penyakit mereka, tapi untuk mengurangkan atau meringankan simptom kesakitan yang mereka hadapi. Kadangkala, ada juga yang datang kerana sakit fizikal tetapi bila diperiksa, rupa-rupanya ada kaitan juga dengan spiritual tanpa mereka sedar," ujar Dr. Faridah.

Pernah seorang wanita berusia 50 tahun yang sudah hampir setahun terpaksa solat dengan duduk di atas kerusi kerana sakit lutut. Lalu Faridah bantu dan tidak lama kemudian, dia sudah mampu untuk solat berdiri.

"Teknik rawatan ini boleh juga dilakukan penyembuhan secara jarak jauh. Konsepnya sama. Saya buangkan yang negatif dan alirkan tenaga positif. Orang Nampak macam mudah, tapi sebenarnya ia gunakan tenaga dalaman.

"Apa pun, sebelum nak berikhtiar, kita kena yakin. Kena berdoa minta pada Allah. Saya bukan bomoh atau pawang. Saya cuma gunakan ilmu yang diberi Allah untuk membantu sesama insan. Dengan izin-Nya, insya-Allah ada perubahan positif," ujar Faridah.

Oh ya, untuk para isteri yang pening kepala suami asyik buat perangai tu, cuba-cubalah jumpa Faridah. Jangan risau, tak perlu bawa suami pun. Manalah tahu, suami yang hidung belang, tahi judi, pembengis atau pemalas tu mungkin boleh dibetulkan semula sikapnya. Syhhhh... jangan beritahu suami tau!

NOTA: Jika mahu menemui Dr. Faridah, anda boleh datang ke Pusat Rawatan Faridah Aura Therapy di Bandar Saujana Putra, Selangor. Sebelum itu, sebaiknya anda lebih dahulu menghubungi Dr. Faridah di talian 017-6066519/012-6328934 untuk pertanyaan lanjut.

Dipetik dari Majalah Mastika 8/2016
Pengarang : Desi Ernita Dahnin @ Nita

No comments:

Post a Comment