Miliki taman khas kucing jalanan,
pengunjung boleh bawa pulang
secara percuma...
Ceria dan menyeronokan.
Bagi penduduk sekitar Dungun, Terengganu, Taman Rimba Bukit Bauk, sebelum ini sinonim sebagai pusat riadah dan aktiviti pendakian untuk seisi keluarga.
Namun kini, ia memiliki satu lagi tarikan pelancongan unik untuk penduduk tempatan iaitu Taman Kucing Dungun.
Taman berkenaan antara inisiatif Majlis Perbandaran Dungun (MPD) untuk memastikan kawasan tumpuan awam bebas daripada gangguan kucing jalanan dan pada masa sama memastikan haiwan itu tidak terbiar dan terjaga.
Taman jagaan kucing
yang luas dan selesa...
Inisiatif itu dimulakan pada tahun 2012 di Teluk Lipat dekat Sura namun lokasi terbabit dikatakan tidak lagi sesuai untuk penempatan haiwan berkenan.
Ia kemudiannya dipindahkan ke Taman Rimba Bukit Bauk pada Julai 2020 memandangkan kawasan itu lebih sesuai sekali gus menjadi satu lagi destinasi pilihan bagi pencinta kucing.
Menurut Yang Dipertua MPD, Lizan Che Mat, ketika ini, taman seluas kira kira 0.809 hektar itu menempatkan hampir 100 kucing jalanan. Katanya, semua kucing itu dikutip pihak dari beberapa lokasi terutama di Pasar Besar Dungun, Pasar Paka dan hadapan kedai makan sekitar daerah berkenaan.
"Taman Kucing Dungun adalah satu inisiatif kami untuk memastikan kawasan tumpuan awam bebas daripada gangguan kucing jalanan dan pada masa sama memastikan haiwan itu terjaga.
"MPD tidak keseorangan kerana kami turut bekerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu dalam memberi rawatan perubatan dan pemeriksaan kesihatan secara berkala bagi memastikan kucing terbiar itu kekal sihat," katanya kepada Harian Metro.
Menurut Lizan lagi, setakat ini, dua kakitangannya ditugaskan menjaga taman dan kucing berkenaan. Ketika ini, terdapat lima sangkar pengasingan disediakan mengikut kategori kesihatan haiwan iaitu Unit Rawatan Rapi, Unit Pemulihan, Unit Kucing Bahagia, Wad Keluarga Bahagia serta Wad Rawatan Ibu dan Anak.
Petugas memberi kucing makan
mengikut waktu yang ditetapkan...
Kata Lizan, meskipun selama ini terbiar di jalanan, haiwan itu jinak dan mudah mesra dengan pengunjung. Katanya, keletah haiwan itu mencuit hati dan tidak hairanlah walaupun baru dibuka Mac lalu, sambutan yang diterima begitu menggalakkan.
"Lebih 2,000 pengunjung direkodkan dan kita jangkakan ia akan meningkat memandangkan taman ini sentiasa dikunjungi setiap hari terutama pada sebelah petang.
"Kebanyakan pengunjung membawa anak masing masing untuk meluangkan masa bermain dan bermesra dengan kucing kucing yang dibiarkan bebas di taman ini.
"Namun, jika ada pengunjung yang mahukan kucing-kucing yang ada, MPD akan memberikannya secara percuma," katanya.
Kucing di taman ini
mudah didekati pengunjung...
Pengunjung tidak lepaskan peluang
bermesra dengan kucing yang ada...
Lizan berkata, berbeza dengan taman haiwan lain, pengunjung ke Taman Kucing Dungun tidak akan dikenakan bayaran kerana pihaknya mahu mendidik orang ramai supaya menyayangi kucing.
Begitupun, kata Lizan, pihaknya sentiasa mengalu-alukan sumbangan daripada pihak awam mahu pun swasta bagi sama-sama membantu menjaga kebajikan kucing terbabit.
Kata beliau, pengunjung boleh menyumbang makanan kucing, ubat-ubatan yang sesuai dan wang ringgit.
"Bagaimanapun, kami lebih mengalu-alukan sumbangan berbentuk wang tunai kerana ia diperlukan untuk membeli ubat-ubatan haiwan itu.
Kotak sumbangan wang tunai
yang disediakan MPD...
Antara makanan kucing yang
disumbangkan oleh pengunjung...
"Selain itu, ia juga dapat membantu menampung kos makanan (temasuk beras dan ikan) hampir 100 ekor kucing berkenaan yang dianggarkan sekitar RM200 hingga RM300 sehari," katanya.
Dalam pada itu, berdasarkan keluasan yang ada, taman berkenaan ketika ini mampu memuatkan sehingga 150 ekor kucing pada setiap masa.
Lizan berkata, pada masa hadapan pihaknya merancang mahu menambah kapasiti haiwan di taman itu dan sedang menunggu kelulusan dana dari kerajaan pusat.
Katanya, jika tiada halangan, taman itu kelak dapat memuatkan 300 ekor kucing jalanan terbiar namun ia bergantung kepada peruntukan yang diterima.
"Dianggarkan RM100,000 diperlukan untuk menambah kemudahan yang ada termasuk bilangan sangkar. "Andai ada pihak swasta atau individu yang mahu membantu, kecil tapak tangan, nyiru MPD tadahkan," katanya.
Kakitangan MPD memberi ubat
kepada kucing yang kurang sihat...
Sementara itu, Lizan turut mengingatkan orang ramai supaya jangan sesekali menghantar kucing yang tidak dipedulikan lagi ke taman itu kerana pihaknya ada cara sendiri iaitu mengutip haiwan berkenaan ketika operasi.
"Ada yang salah faham dan ramai datang menghantar kucing yang mereka mahu buang ke taman ini. "Kami tidak boleh menerima kerana taman ini khas untuk kucing jalanan yang terbiar dan bukannya kucing yang sudah tidak dimahukan oleh pemiliknya," katanya.
Apapun, inisiatif MPD itu wajar dicontoh pihak berkuasa tempatan lain di seluruh negara kerana terdapat banyak kucing yang terbiar di jalanan dan memerlukan bantuan.
Jadi, kepada pencinta kucing, jangan ketinggalan mengunjungi Taman Kucing Dungun kerana ia sesuai dijadikan sebagai pusat rekreasi keluarga di dalam kawasan alam semula jadi.
Artikel ini dipetik dari Harian Metro
Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus
asmaini@nstp.com.my
No comments:
Post a Comment