Thursday, August 5, 2021

TANYA SAMA ITU HUD HUD, M NASIR


"TANYA SAMA ITU HUD-HUD"??

Sekadar mendengar tidak cukup. Banyak perkataan dalam lagu M. Nasir "Tanya Sama Itu Hud-Hud" yang kita tidak faham. Lagu ini mencabar kita untuk mendalami makna di sebalik kata-kata yang puitis.

Setelah melakukan sedikit penyelidikan, barulah faham apa yang ingin disampaikan oleh M. Nasir melalui lagu ini. Apa yang ditemui membuatkan kita tersentak dan inilah mesej yang ingin dikongsi dengan semua pembaca blog.

M. Nasir memulakan dengan mengingatkan hadis Rasulullah saw bahawa umat ini akan berpecah kepada 73 kumpulan, hanya satu saja yang betul:

Tujuh puluh tiga pintu
Tujuh puluh tiga jalan
Yang sampai hanya satu jalan

Kemudian M Nasir membawakan kisah "Muraq" yang ditulis oleh Farid ad-Din Attar, seorang berbangsa Parsi pada abad ke-12 dulu. Cerita ini dimuatkan dalam puisi "masterpiece" "Persidangan Burung-burung" atau "The Conference of Birds." Puisi ini begitu popular sehinggakan Peter Brook & Jean-Claude Carrière serta beberapa produser lainnya melakukan adaptasi dan menjadikannya drama yang dipentaskan di Eropah (Paris) dan Amerika Syarikat (New York).

Menurut ceritanya, seekor burung mengajak burung-burung lain untuk bertemu dengan raja burung bernama Muraq. Mereka pun bersetuju. Sebelum kesemua burung-burung memulakan perjalanan itu, mereka harus bersumpah untuk mengikuti apa saja arahan dalam perjalanan ke sana tanpa bertanya sesuatu apa pun.

Dalam perjalanan itulah, burung-burung itu diuji satu demi satu melalui tujuh lembah ujian kerohanian. Ujian yang diterima itu adalah untuk membuatkan mereka mencari diri sendiri. Walaupun ada yang berjaya, banyak yang gagal dalam ujian demi ujian itu. Mereka hilang dalam mencari diri sendiri.

Daripada beribu-ribu ekor burung yang memulakan perjalanan itu, hanya 30 saja yang berjaya sampai ke Muraq. Kata Farid ad-Din Attar, "muraq" ini adalah sebenarnya diri kita sendiri. Ertinya, hanya sedikit yang mengenali diri sendiri:

Beribu-ribu Margasatua
Mencari raja si Muraq
Yang sampai hanya tiga puluh

Dalam lagu ini, M. Nasir menyebut:

Ooh... Sang Algojo
Ooh... nanti dulu

Siapakah Algojo? Algojo ialah orang yang menjatuhkan hukuman bunuh ke atas seseorang lain. Kata M. Nasir, nanti dulu. Usah terburu-buru. Dia bertanya kepada orang yang bakal menjatuhkan hukuman itu:

Lihat dunia dari mata burung
Atau dari dalam tempurung
Yang mana satu engkau pilih
Dalam kalut ada peraturan
Peraturan mencipta kekalutan
Di mana pula kau berdiri
Di sini

M. Nasir meminta agar burung-burung yang gagal sampai ke Muraq itu diberikan kesempatan membela diri:

Berikan ku kesempatan akhir ini
Untuk menyatakan kalimah sebenarnya
Berikan aku kesempatan akhir ini

Namun akhirnya, apabila diberikan kesempatan, burung-burung yang gagal itu menyalahkan Hud-Hud yang membawa mereka ke ke tujuh lembah ujian itu.

Tanya sama itu hud-hud
Lang mensilang
Kui mengsikui
Kerna dia yang terbangkan ku ke mari

Adakah kita kini menjadi seperti burung-burung yang menyalahkan Hud-Hud apabila kita meletakkan kelemahan diri sendiri kepada orang lain?

Adakah apabila kita meninggal dunia nanti kita akan menyalahkan Allah swt yang menciptakan kita bagi menjustifikasi segala kesalahan dan dosa sendiri di atas muka bumi ini?

Sendiri mau ingat.

No comments:

Post a Comment