Tuesday, August 24, 2021

ADAB MENZIARAHI ORANG SAKIT...

MENZIARAHI orang sakit hukumnya sunat, guna penghibur kesedihannya kerana kegembiraan orang sakit itu dapat juga menjadi ubat. 


Dari Abu Hurairah, berkata Nabi s.a.w. Hak seorang Islam atas orang Islam yang lain, ada 5 iaitu:

1. Menjawab salam 
2. Menziarahi orang sakit 
3. Menghantarkan jenazah 
4. Mengabulkan undangan dan  
5. Mendoa akan orang bersin
Riwayat Bukhari dan Muslim.

Orang yang menziarahi orang sakit hendaklah mendoakan agar sakitnya lekas sembuh dan menganjurkan supaya dia bertaubat dari segala dosa, membayar hutang (jika ada) dan berwasiat. Si sakit hendaklah baik sangka kepada Allah, kerana ia mengetahui bahawa Allah bersifat pengasih, penyayang dan pengampun.


Dari Abu Hurairah, berkata Rasullullah s.a.w., Allah s.w.t. telah berfirman "Aku menurut bagaimana persangkaan hambaKu kepadaKu" Riwayat Bukhari dan Muslim.

Berziarah atau melawat orang sakit itu sunat dan besar pahalanya kerana ia adalah menghiburkan hati orang yang sakit itu, menghiburkan hati keluarganya dan sebagai ujian berlatih menanam perasaan muhibah kasih sayang antara satu sama lain.

Adab Menziarahi Orang Sakit:

Sebagaimana juga ibadat-ibadat yang lain mempunyai syarat dan rukun serta adab, maka menziarahi orang sakit juga mcmpunyai adab yang tersendiri untuk diikuti agar ziarah itu mengikuti kehendak-kehendak Islam.

Maka di antara adab-adab menziarahi orang sakit itu ialah:

1. Orang yang berziarah itu sayugia jangan duduk lama-lama di sisi orang yang sakit itu. Cara yang sebaik-baiknya adalah sekadar memberi nasihat kepadanya supaya ia bersabar dan redha atas Qadha Allah Ta'ala, jangan dibawa mengerang atau mengeluh, tetapi dengan membanyakkan zikir kepada Allah supaya dapat pahalanya, lima kalimah suci yang patut dibaca oleh orang-orang yang sakit itu iaitu:


2. Setelah duduk disisinya rasalah tangannya, dahinya dan bertanyakan khabar bagaimana sakitnya dan bagaimana kedudukannya;

3. Zahirkan simpati kepadanya seolah-olah kita juga merasa sebagaimana ia merasakannya;

4. Sunat didoakan orang yang sakit itu supaya segera sembuh, tetap iman, tahan sabar dan sunat dipegang kepala atau tangannya lalu membaca doa seperti yang pernah dibacakan oleh junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w. itu kalimah:


Maksudnya: Ya Allah hilangkanlah penyakitnya, Wahai Tuhan bagi manusia, sembuhkanlah, Engkaulah yang menyembuhkan, tidak ada sembuhan melainkan sembuhan dari-Mu jua, suatu sembuhan yang tidak meninggalkan sebarang penyakit. 

Dengan nama Allah yang memiliki tanah bumi kami, dengan air liur setengah di antara kami maka disembuhkan penyakit kami.

Dengan nama Allah, aku mendoakan kamu dan Allahlah yang menyembuhkan engkau daripada segala penyakit yang ada pada engkau dan daripada kejahatan semburan pada tali yang tersimpul daripada kejahatan-kejahatan orang yang dengki apabila ia dengki.

Ya Allah, sembuhkanlah akannya dan sihatkanlah.

5. Sunat dibaca ketika menziarahi orang sakit yang ada harapan sembuh dengan kalimah:


6. Nasihatkan supaya bersabar kerana sakit itu mendapat pahala yang banyak dan ini sebagai cubaan semata-mata

7. Jangan makan makanan yang dihadiahkan orang kepdaanya atau makanan yang disediakan untuknya kerana apabila dimakan maka hilanglah pahala ziarah itu - (Bahrul Mazi Jilid 7 Masaalah 8)

8. Senangkanlah hatinya dengan nasihat jangan susah hati. Insyaallah penyakit ini akan sembuh.

Tujuan Ziarah Orang Sakit:

1. Dapat menghiburkan hati orang yang sakit itu, kerana adanya penziarah maka orang sakit itu merasa ada orang yang bersimpati;

2. Mengurangkan bebanan sakitnya dan memberikan harapan kepadanya

3. Mendoakan semoga segera sembuh;

4. Membawa makanan/minuman yang sesuai dan

5. Membantu meringankan penderitaan batinnya dan kalau boleh membantu untuk perbelanjaan keluarganya.

Hikmah Ziarah

Di samping Islam menggalak menziarahi orang sakit bukan sekadar mendapatkan pahala sunat semata-mata tetapi di sebaliknya ada terselit hikmat padanya iaitu:

1. Mendapat kasih sayang dari Allah s.w.t sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. daripada Abu Hurairah yang bermaksud bahawasanya seorang lelaki menziarahi saudaranya di dalam sebuah kampung, maka Allah perintahkan satu malaikat supaya memerhatikan lelaki itu dan bertanya ke manakah engkau? Jawabnya, aku ingin menziarahi saudaraku di kampung ini. Malaikat itu menyambung, apakah sebabnya engkau ziarahi dia? Adakah sesuatu sebab? Jawabnya tidak ada, hanya aku kasihkan dia kerana Allah sahaja. Malaikat itu berkata, bahawasanya aku adalah pesuruh Allah datang kepadamu menceritakan bahawasanya Allah kasih akan dikau sebagaimana engkau kasih akan dia.

Selain daripada itu perlu diingat bahawa menziarahi orang-orang yang soleh adalah terlebih afdhal;


Maksudnya: Barangsiapa yang menziarahi orang sakit, ataupun ziarah saudaranya kerana Allah s.w.t. maka terdengarlah suara yang memanggil dan mengatakan bagus dan bagus langkahmu, dan ambillah tempat tinggalmu di dalam syurga.


Maksudnya: Berilah makanan kepada orang yang lapar, ziarahilah orang sakit dan lepaskanlah orang tawanan.

2. Menjauhkan daripada api neraka sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Anas r.a. yang maksudnya: Sesiapa yang mengambil wudhu dan memeliharanya dengan baik rukunnya kemudian menziarahi saudaranya yang sakit kerana untuk mendapatkan pahala nescaya Allah jauhkannya daripada api neraka sejauh 70 tahun perjalanan dan

3. Mendapat rahmat dari Allah s.w.t. sebagaimana Jabir r.a. meriwayatkan sebuah hadis, Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: Barangsiapa menziarahi orang sakit nescaya sentiasa mendapat rahmat hingga ia duduk, setelah ia duduk Allah tutupi ia dengan nikmat dan keredhaannya.

Masa Berziarah

1. Janganlah ziarah di waktu sipesakit sedang tidur atau waktu makan, datangilah waktu yang bersesuaian dengan keadaan pesakit itu seperti waktu rehat dan bersedia menerima tetamu.

2. Tidak terlalu lama di sisi pesakit kecuali pesakit menghendaki ia berada disisinya.

3. Bolehlah membawa buah tangan seperti makanan jika bersesuaian, jika tidak boleh makan, maka eloklah tidak membawa makanan.

Adab Menziarahi Orang Yang Sakit Tenat:

Orang yang sakit tenat ertinya harapan untuk sembuh sudah tidak ada lagi. Dan kita dapat memahami bahawa keadaannya terlalu uzur dan kematian sudah terlalu hampir. Kalau kita perhatikan bulu kening sudah jatuh ke bawah tidak lagi terletak di atas tulang dahi, hidungnya pun sudah lembik manakala tapak kakinya sudah tidak tegak lagi. Maka patutlah dilakukan beberapa perkara umpamanya hendaklah diberi pengharapan yang Allah akan mengampunkan dosanya.

Penghargaan yang terakhir ialah sangka baik terhadap Allah. jangan biarkan si sakit itu bercakap yang bukan-bukan sehingga menimbulkan perasaan putus asa terhadap rahmat Allah s.w.t.

Maka si penziarah hendaklah:

1. Memperkatakan hanya perkara-perkara yang baik sahaja kerana malaikat a.s. akan mengaminkan apa yang kita ucapkan;

2. Memendekkan masa duduk dan mengurangkan bising dalam erti kata jangan membuat bising. Nabi s.a.w. pernah bcrsabda kepada sahabat yang datang menziarahi baginda sedang sakit dcngan sabdanya yang bermaksud "bangunlah kamu semua tinggalkan daku" kerana Nabi s.a.w. tidak mahu mereka membuat bising di sisinya...Wallahuaklam

No comments:

Post a Comment