Sunday, February 13, 2011

KOLAM SERIBU WAJAH

Satu lagi keajaiban alam yang perlu kita kagumi ialah Morning Glory Pool, di Yellowstone National Park, Wyoming, Amerika. Kolam 'Seribu Wajah' kerana penampilannya yang berwarna warni seperti biru, hijau, kuning, orange dan coklat tembaga.

Foto-foto ini menunjukkan saat kolam air panas ini berubah warna dan yang uniknya warna yang muncul tidak hanya satu tetapi berbagai warna. Misalnya, pada bahagian tengah danau yang terdapat ceruk dalam, berwarna biru muda, pinggirannya berwarna kuning, pinggir bahagian luar berwarna merah kecoklatan dan bahagian tengah berwarna hijau bening.

Fenomena ajaib ini membuatkan Morning Glory Pool sangat terkenal didunia sebagai tujuan wisata. Setiap tahun sekitar 3 juta lebih pengunjung datang ke sini untuk menyaksikan keajaiban kolam ini yang telah ujud sejak tahun 1880.

Kemunculannya yang mengejutkan seperti keindahan bunga di pagi hari ini dikatakan terjadi kerana peristiwa alam seperti gempa bumi yang berlaku di daerah itu. Asalnya kolam air panas ini didominasi warna biru terang tetapi kemudiannya berubah menjadi beberapa warna kerana pencemaran manusia dimana pengunjung didapati membuang wang syiling, batu, kayu bahkan sampah juga turut dibuang disini.

Akibatnya, benda-benda yang dibuang itu tertanam di dasar kolam dan lama kelamaan ia menyumbat saluran-saluran air panas itu di dasar kolam. Putaran air terganggu dan suhu air pun menurun. Kolam yang tadinya berwarna biru dengan wap yang mengepul-ngepul panasnya air kini tidak lagi panas.

Suhunya lalu menurun dan bakteria pun mula masuk menyebabkan warna biru berubah menjadi kuning, orange dan coklat tembaga. Pada awalnya bakteria hanya ada di pinggir kolam namun seiring dengan makin menurunnya suhu maka bakteria masuk hingga ke tengah. Warna biru kehijauan yang mendominasi kolam itu kini tidak lagi tetapi sebaliknya warna kuning, orange dan coklat tembaga mulai dilihat tersebar.

Jika keadaan ini tidak segera diatasi, mungkin suatu hari nanti keindahan kolam air panas ini akan tinggal kenangan.




Koleksi Suara Hati

GEMPUR JANGAN TAK GEMPUR

Sudah banyak artikel yang aku keluarkan didalam blog ini tentang pendatang asing tanpa izin di kawasan perumahan di Seri Kembangan dan Serdang ini. Banyak serbuan telah dibuat tapi masih tiada penyudahannya. Semalam satu lagi serbuan telah dibuat sepertimana laporan dibawah ini.

SERI KEMBANGAN – Ratusan warga asing yang bekerja di Pasar Borong Selangor di Seri Kembangan cuak selepas mereka dikepung ratusan Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 4 lewat malam kelmarin.

Mereka yang rata-rata tidak mempunyai dokumen perjalanan diri sah dikatakan cuba melarikan diri ke hutan berdekatan namun gagal berbuat demikian apabila anggota pihak berkuasa berjaya menahan kesemua yang cuba meloloskan diri.

Ops Rantau dilaksanakan Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang dengan kerjasama Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara, UNCHR dan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) itu berjaya memberkas 119 pendatang asing tanpa izin (Pati) atas pelbagai kesalahan.

Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Abd Razak Elias berkata, serbuan dilaksanakan selepas menerima rungutan daripada masyarakat yang mendakwa bimbang terhadap kebanjiran warga asing di pasar itu.

Beliau berkata, antara aduan yang diterima adalah peningkatan pekerja asing di pasar menyebabkan mereka memanipulasi harga barangan di situ. Selain itu, katanya terdapat laporan yang mendakwa warga asing bekerja di situ sering bergaduh sesama sendiri.

“Bertindak atas maklumat, pihak kami mengadakan operasi cegah jenayah bersepadu dengan beberapa agensi yang lain.

“Seramai 119 daripada 317 warga asing yang diperiksa ditahan untuk tindakan selanjutnya. Masing-masing didapati menyalahi pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen,” katanya.

Beliau berkata, ada di antara Pati terbabit turut ditahan kerana memiliki kad pelarian (UNHCR ) palsu.

“Seramai 78 didapati tidak mempunyai dokumen perjalanan diri yang sah, 24 permit tamat tempoh dan tinggal melebihi masa di negara ini.

“Mereka yang ditahan sebahagiannya dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ( KLIA), Sepang dan sebahagian lagi dihantar ke lokap IPD Subang Jaya,”katanya.

Menurutnya lagi, operasi berkenaan dilihat berjaya kerana tiada warga asing yang berjaya meloloskan diri apabila pihaknya terlebih dahulu mengepung kawasan pasar dengan keluasan 50 ekar itu.

“Operasi ini berjaya dengan bantuan 150 anggota polis dan agensi terlibat termasuk PGA, unit pengesan anjing (K9), unit pengesan persenjataan dan unit helikopter PDRM untuk mengesan senjata-senjata berbahaya di kawasan ini,”katanya lagi.

Sinar Harian 13/2/2011

Saturday, February 12, 2011

AKU KECURIAN LAGI

Basikal yang dibeli pada Disember 2010 tinggal kenangan.
Ia merupakan basikal yang ke 6 jika dibuat koleksi.
Sila klik untuk melihat kecanggihannya.

Dalam satu artikel yang telah dikeluarkan pada 4 Disember 2010 yang lalu, aku ada menceritakan tentang kejadian kecurian yang sering berlaku di kawasan perumahan kami atas tajuk "Pencuri Yang Tidak Berhati Perut."

Dalam perenggan kelapan dan kesepuluh didalam artikel tersebut, aku ada menceritakan tentang kecurian basikal dan juga motosikal yang sering berlaku seperti catatan berikut :-

"Kejadian kecurian yang sering berlaku amat membimbangkan semua penduduk di taman perumahan ini. Selain kejadian pecah rumah, pencuri juga gemar memecahkan kereta, mencuri motosikal dan basikal walaupun ianya disimpan didalam pagar rumah."- perenggan 8.

"Basikal anakku yang dibeli juga kerap hilang. Setelah dikira, ianya berjumlah sebanyak 5 buah, sebuah hilang dirumah manakala 4 lagi ketika mereka keluar kekedai."- perenggan 10

Pada kejadian semalam, 11 Februari 2011, sebuah basikal yang baru dibeli pada Disember 2010 seperti gambar diatas berharga RM300 telah dicuri didalam pagar rumah ketika umat Islam menunaikan Solat Jumaat.

Menurut anakku, sebelum ia pergi bersolat Jumaat dengan menumpang basikal kawannya, basikal tersebut masih berada didalam pagar rumah walaubagaimanapun ketika ia pulang basikal tersebut telahpun hilang.

Dua hari sebelum basikal itu hilang, aku telah membelanjakan wang sebanyak RM50 untuk menukar tiub depan belakang yang bocor dan memasang tongkatnya yang telah patah sebelum ini.

Nampaknya kawasan perumahan ini bolehlah dikategorikan sebagai kawasan hitam dan selepas ini mungkin aku akan memasang CCTV pulak.

Walaupun jiran aku berbangsa India telah membela seekor anjing garang jenis Rotweiller untuk mengawal persekitaran namun ia masih tidak dapat membantu dalam mencegah kecurian yang berlaku.

"Anjing ni kalau memekak setiap malam bolehlah, aku yang dah lama jadi jirannya pun kadang-kadang ia menyalak juga ketika aku pulang pada waktu malam. Mungkin dah lama tak dapat anjing betina kot" hampehhhhh betul!!!

FORUM BICARA RAKYAT - BUKU JINGGA



Sila dengar hujah-hujah, fakta serta statistik yang dikemukakan oleh ahli forum dari Pakatan Rakyat yang sangat meyakinkan manakala yang sorang lagi dari sebelah sana tu macam nak gadoh jer!!!

Friday, February 11, 2011

IKAN PAUS 4 METRIK TAN MATI TERDAMPAR DI PANTAI

SUNGAI PETANI 11 Feb. - Penduduk Kampung Pulau Sayak di Kota Kuala Muda dekat sini gempar dengan penemuan bangkai seekor ikan paus di kawasan pantai berhampiran, malam tadi.

Bangkai ikan paus dari spesies Bryde's Whale dianggarkan seberat 4,000 kilogram dan sepanjang 12 meter itu ditemui oleh seorang kanak-kanak yang kebetulan melalui kawasan pantai berkenaan kira-kira pukul 7.30 malam.

Ia merupakan kejadian kedua bangkai binatang marin terdampar di kawasan tersebut selepas kejadian tsunami pada 26 Disember 2004.

Pada 18 September 2006, penduduk Kampung Kepala Jalan yang terletak kira-kira lima kilometer dari Kampung Pulau Sayak digemparkan dengan penemuan seekor penyu besar di pantai berkenaan.

Radzuan Mohamad, 11, yang menemui bangkai ikan paus itu berkata, pada mulanya dia ternampak satu objek besar seperti longgokan sampah di tepi pantai berkenaan.

Bagaimanapun jelasnya, apabila dihampiri objek tersebut, didapati ia adalah seekor ikan besar yang tidak pernah dilihatnya.

"Saya pergi dekat ikan itu dan mendapati ia sudah mati," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurut Radzuan, dia memanggil beberapa penduduk yang berada berhampiran untuk melihat bangkai ikan itu.

Syukri Hassan, 40, pula berkata, sejak menjadi nelayan 20 tahun lalu, ini kali pertama dia melihat ikan sebesar itu.

"Saya percaya ikan paus ini mati di laut sudah beberapa hari dan bangkainya dihanyutkan ombak ke sini," katanya.

Sementara itu jurucakap Jabatan Perikanan negeri ketika dihubungi berkata, pihaknya telah menghantar pegawai untuk menjalankan siasatan di lokasi penemuan berkenaan.

"Pemeriksaan awal mendapati ikan ini adalah jenis Bryde's Whale yang merupakan salah satu spesies haiwan marin terancam di negara ini," katanya.

Jurucakap itu menambah, pihaknya telah mengambil sampel darah ikan paus terbabit untuk dihantar ke Pusat Penyu dan Ekosistem Marin (Tumec) di Rantau Abang, Terengganu.

Tinjauan Utusan Malaysia ke pantai itu pula mendapati bangkai ikan paus tersebut masih belum dialihkan dan menjadi tontonan penduduk kampung, bagaimanapun ia sudah mula mereput dan mengeluarkan bau busuk.


ORANG ramai memerhatikan ikan paus seberat kira-kira 4 tan
yang ditemui mati terdampar di pantai Pulau Sayak, Kota Kuala Muda, Kedah


Kehadiran bangkai ikan paus menarik perhatian tiga kanak-kanak
di pantai Pulau Sayak, Sungai Petani di Kedah semalam.



Utusan sabtu 12/2/2011

Wednesday, February 9, 2011

ISLAM SENTIASA DIPERLEKEHKAN


Islam semakin dipermain dan diperlekehkan. Terbaru tersiar dalam akhbar Utusan Malaysia tentang seorang wanita bernama Hau Yuan Tyng telah dihadapkan di mahkamah atas kesalahan mendera amah Indonesia.

Apa yang dikesalkan ialah kerana beliau mengenakan pakaian yang menutup aurat seolah-olah bagi memburukkan orang Melayu dan Islam dimata warga Indonesia.

Berdasarkan statistik bahawa kebanyakan kes penderaan keatas amah warga Indonesia bukan dilakukan oleh orang Melayu dan menurut pengirim gambar ini ia melontarkan persoalan adakah perkara ini dilakukan bagi menggambarkan bahawa pesalah kali ini adalah seorang Melayu yang beragama Islam.

Pada pendapatnya mungkin warga Indonesia tidak dapat membezakan samaada Hau Yuan Tyng itu adalah nama bagi orang Melayu dan Islam atau sebaliknya.

Begitulah keadaannya yang berlaku di Malaysia ini apabila Mahkamah tidak menegur dan sensitif pada pakaian bagi setiap pesalah yang datang semasa perbicaraan.

EKSPLOITASI ANAK-ANAK BAWAH UMUR


Cerita mengenai sendikit yang memperalatkan anak-anak bawah umur untuk mengutip sedekah dan memaksa mereka membuat jualan seperti kalender, kismis, herba dan minyak angin dikawasan tumpuan ramai tidak pernah berkesudahan.

Mengambil kesempatan diatas keperihatinan rakyat Malaysia terutamanya orang Melayu yang beragama Islam yang terkenal dengan sifat suka bersedekah dan cepat merasa simpati menjadikan sendikit-sendikit tersebut mengambil peluang dan kesempatan dengan menjadikan anak-anak dibawah umur tersebut sebagai umpanan mereka untuk mengaut keuntungan diatas jualan yang kebanyakannya tidak diperlukan.

Diantara tempat-tempat popular mereka ini menjalankan operasi ialah di kawasan Rehat dan Rawat (RNR) Lebuhraya Utara Selatan terutamanya di Seremban dan Nilai.


Anggota Polis memeriksa identiti sebahagian kanak-kanak bawah umur
yang disyakki telah dieksploitasi melakukan jualan amal dalam pemeriksaan
di sebuah pertubuhan di Chuah, Port Dickson, Negeri Sembilan
pada 25 Januari lalu.


Aku sangat bersimpati melihat anak-anak ini terutamanya anak-anak perempuan yang meraih simpati dengan bergerak dari meja ke meja untuk memujuk orangramai supaya membeli jualan mereka manakala anak-anak lelaki pula berdiri sepanjang masa menunggu pelanggan yang melintasi mereka untuk meraih simpati.

Walaupun mereka ini tidak memaksa tetapi hati kecil ibu bapa yang melihat mereka pasti merasa tersentuh apatah lagi bila terkenangkan anak-anak ini ada yang sebaya dengan anak -anak mereka. Ada sebahagian dari ibu bapa yang tidak mahu membeli tetapi menghulurkan wang kepada mereka sebagai tanda simpati tetapi anak-anak ini tidak mahu menerimanya kerana mereka dilatih untuk tidak menerima pemberian orang ramai tetapi sebaliknya mesti memperolehi wang dengan hasil jualan mereka.

Ini berkemungkinan jika anak-anak ini menerima wang pemberian orang ramai akan menyebabkan sendikit itu rugi tetapi sebaliknya anak-anak tersebut yang akan mendapat banyak wang untuk diri mereka sendiri.

Baru-baru ini Penguatkuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEINS), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Polis serta Penguatkuasa Majlis Perbandaran Port Dickson telah mengadakan pemeriksaan setelah menerima banyak aduan dari orang ramai tentang penglibatan anak-anak ini untuk mengutip derma bagi sebuah pertubuhan di pekan Chuah, Port Dickson sehingga larut malam.

Seorang penyelia yang merupakan ketua bagi zon selatan bagi pertubuhan tersebut telah ditahan kerana disyakki menggunakan kanak-kanak ini untuk melakukan jualan amal. Turut ditahan adalah tiga lagi individu yang mendakwa diri mereka sebagai 'ustaz' yang mengajar kanak-kanak tersebut disebuah premis di pekan tersebut.

terdapat lebih 83 remaja berusia antara 10 hingga 18 tahun dipercayai menjalankan aktiviti berkenaan sejak sekian lama dan mengeksploitasi mereka atas alasan ia kurikulum berkonsepkan keusahawanan.

Kebanyakan kanak-kanak yang dikenalpasti ini tidak rela melakukan tugas ini dan mahu meneruskan pelajaran secara normal dan rata-rata mereka ini adalah dari keluarga susah.

Beberapa pelajar mendakwa mereka yang berumur 18 tahun akan keluar dengan kenderaan yang disediakan selepas waktu Zohor manakala bawah 15 tahun pula selepas waktu Asar dan akan kembali pada pukul 10 malam.

Adalah menjadi harapan orang ramai supaya kegiatan ini dapat dihentikan dengan segera dan Pihak Berkuasa hendaklah membuat serbuan dari semasa kesemasa demi menyelamatkan anak-anak ini dari jatuh ketangan orang-orang yang tidak bertanggungjawab.



Gambar dan sebahagian artikel dipetik dari
Utusan Malaysia bertarikh 26 Januari 2011