Thursday, October 27, 2011

DETIK-DETIK AKHIR PEMERGIAN IBUKU BHG. 1

Sabtu. 22 Oktober, 2011. Kira-kira jam 11.30 pagi, ketika aku berada dirumah, satu khidmat pesanan ringkas (SMS) masuk kekotak handphoneku. Ianya datang dari Romina adikku.

"Cmat, skrg ni rmh mk ramai ada tgh baca Yasin, pg td tba2 mk dh xblh ckp, mata pn dh xblh bka."

Tanpa membuang masa, aku terus menelefon Romina, tapi yang menjawabnya abangku Shamsuddin (Din). "Assalamualaikum Din, mak kena apa?" aku terus menanyakan soalan kepada Din.

"Mak nampak dah loghat." terdengar suara Din menjelaskan kepadaku akan keadaan mak. Aku yang tidak faham akan maksud Din terus bertanya "loghat tu apa Din?" Din terus menjawab "Mak nampak macam dah nak sampai hukum..."

Aku yang sangat terkejut mendengar penjelasan Din terus berkata "Aku nak balik sekarang ni" Din kemudian berkata "Terpulanglah pada hang" seketika itu juga talian telefon lalu terputus.

Tanpa membuang masa aku terus menelefon abangku Omar yang tinggal di Sungai Buloh, Johari di Sungai Pelong dan adik aku Rahim di Batu Caves untuk memaklumkan akan keadaan mak.

Setelah itu aku mengarahkan isteri dan anak-anakku bersiap segera untuk kami berangkat pulang ke kampungku di Taiping. Memandangkan jam ketika itu sudah pukul 12. 30 tengahari, aku menangguhkan ke pukul 1 supaya dapat menunaikan solat Zuhur terlebih dahulu.

Kira-kira jam 1.30 petang, Aku bersama isteri dan dua anakku iaitu Rini dan Amsyar pun berangkat pulang dengan sebuah kereta melalui lebuhraya Utara Selatan yang dijangka akan mengambil masa kira-kira 31/2 jam untuk tiba di kampung. Anakku yang sulung iaitu Afif sedang bekerja manakala Alia yang nombor dua berada dikolejnya di Banting, Selangor.

"Kita baru je balik 2 minggu lepas melawat mak." aku berkata secara tiba-tiba kepada isteriku. "Patutlah mak nampak macam letih dan tak ade mood." aku terus berkata-kata sambil mencapai handphone dengan tujuan untuk menghantar SMS kepada Romina (Na) bagi mengetahui perkembangan selanjutnya tentang kesihatan mak.

"Na...mak macamana?" tanyaku melalui SMS.
"Dh lena...kami bru hbs baca Yasin." jawap Na, juga melalui SMS.
Kira-kira 15 minit kemudian aku menghantar satu lagi SMS kepada Romina memaklumkan bahawa kami dalam perjalanan balik ke kampung.

Romina kemudian SMS memaklumkan "mak dah ok sikit." Mendengarkan penjelasan Romina itu maka aku terus menghantar SMS kepada Omar, Johari dan Rahim supaya jika ingin mengetahui keadaan mak, terus saja tanya mereka-mereka yang berada dikampung kerana aku ingin memberikan tumpuan semasa memandu.

Kami tiba jam 3.30 petang. Berada di sisi katil mak ketika kami tiba ialah kakakku Aishah (Esah), Fatimah (Timah), Jamaliah (Maliah), adikku Amri dan Romina (Na). Turut kelihatan ialah dua orang abang iparku iaitu Abdullah (Abang Lah, suami Esah) dan Mohd Nor (suami Timah).

"Mak kena stroke pagi tadi, tangan dan kaki kiri dah tak boleh bergerak lagi. Kami baru sudah baca Yassin, Ustaz Samad yang bawak, Din baru je balik sebab dia kena siap pasai besok dah nak pi haji " Romina memberitahuku.

Aku merapatkan diri ke katil. Aku lihat mak mengangkat tangan kanannya keatas dan kebawah seolah-olah seperti melakukan senaman. Mata mak terpejam. Aku bersalam dengan mak, sebaik-baik memegang tanganku, mak menggenggam erat dan aku dapat merasakan yang tanganku terasa sakit sedikit apabila mak memulas jari jemariku.

"Mak dari tadi macam tu lah, mata dia dari masa kena stroke sampai sekarang tak boleh buka lagi." Romina terus memberi penjelasan.

Kira-kira sepuluh minit kemudian, adik iparku, Zaini (suami Romina) datang, ketika dia melihat mak dalam keadaan begitu, dia terus berkata. "Kita tak boleh biar mak macam ni, kita kena bawak ke hospital cepat sebelum jadi apa-apa!"

Aku terus menelefon Din dan Shamsiah adikku memaklumkan bahawa kami akan membawa mak kehospital segera. Zaini pun terus menghubungi hospital Taiping dan kira-kira 15 minit kemudian sebuah ambulan dari Pertahanan Awam pun tiba dan mak terus dibawa kehospital dengan ditemani Maliah.

Kami segera menunaikan solat Asar dan sesudah itu terus menuju ke hospital Taiping. Ketika kami tiba, emak berada di wad kecemasan. Shamsiah, Romina dan Maliah turut berada dibilik kecemasan.

Aku memohon kepada pengawal untuk masuk sama kedalam, tapi tidak dibenarkan kerana katanya dah ramai, setelah aku merayu, akhirnya aku dibenar masuk tapi dengan syarat salah seorang kena keluar.

Ketika berada didalam, aku lihat dua orang doktor berbangsa Cina, (lelaki dan perempuan) sedang memberikan rawatan dan mengambil beberapa keterangan yang perlu dari kami. Setelah selesai semuanya, salah seorang doktor tadi (perempuan) memaklumkan bahawa mak kena stroke, dan sekarang dia perlu di scan dan di X-Ray bagi menentukan samada terdapat darah beku di otaknya ataupun tidak. Stroke yang menyerang mak juga perlu ditentukan samada darahnya beku atau cair, jika sekiranya beku, kami akan memberi ubat untuk cairkan dan jika sekiranya darahnya cair, kami tak beri apa-apa ubat. (Disini, aku nak minta maaf, jika sekiranya aku salah menceritakan apa yang aku dengar dari doktor).

"Tapi juru X-Ray akan datang pada pukul 9 malam nanti sebab sekarang dia ada ditempat lain, selepas X-Ray, baru boleh pindah ke wad biasa." doktor perempuan tadi menjelaskan.

Aku segera melihat jam di dinding hospital dan mendapati waktu baru pukul 6.30 petang. Sebentar kemudian abangku Mohd Izhar (At), isterinya Hamidah (kak Midah), abang dan kakak ipar Romina iaitu Abang Mi dan Kak Ton pun datang. Oleh kerana kami semua sudah tidak dibenarkan masuk, maka aku mengajak semua untuk pergi makan dulu dan tugas menunggu mak aku serahkan pada Shamsiah.

Dengan menaiki dua buah kereta, kami semua pergi makan di kedai yang berhampiran dengan hospital iaitu di stesyen keretapi Taiping. Hampir satu jam disitu, Shamsiah menelefon memaklumkan bahawa mak dah selesai X-Ray dan sekarang berada di wad biasa iaitu di Wad D5, tingkat 5, bilik kenanga.

Kami semua bergegas ke wad tersebut, tapi tidak dibenarkan masuk sebab waktu melawat dah tamat. Tapi kalau nak masuk juga kenalah bergilir-gilir seorang demi seorang. Aku akhirnya masuk dahulu, dan sedia ada didalam ialah Shamsiah yang mengiringi dari wad kecemasan tadi.

Mak sudah pun bertukar memakai baju hospital, kelihatan dua botol air dimasukkan melalui saluran. Mata mak terus terpejam dan nafasnya sedikit kencang. Aku merapatkan mukaku ketelinga kanan mak dan membisikkan bahawa aku berada disisinya ketika ini dan membacakan Al Fatihah, Tiga Qul dan mengajarnya mengucap secara perlahan ditelinganya . Sepuluh minit kemudian aku pun keluar untuk memberi peluang kepada yang lain pula.

Din telahpun tiba ke hospital setelah pagi tadi bersiap-siap mengemas barang-barangnya untuk di bawa ke Mekah. Turut tiba selepas itu Kakak ku Azizah beserta suaminya Abd. D dan anaknya Hafiz dari Batu Gajah, begitu juga dengan kedatangan anak saudaraku Noraina (anak abangku yang sulung iaitu Abd. Rani dan isterinya Siti Aishah yang kini sudahpun berada di Mekah). Noraina datang dari Pulau Pinang. Omar, Johari dan Rahim yang aku hubungi tengahari tadi masih belum tiba, tapi aku faham masalah mereka kerana sewaktu dihubungi, mereka semua tidak berada di rumah kerana ada urusan masing-masing yang perlu diselesaikan terlebih dahulu.

Setelah menunggu hampir setengah jam, Omar pun tiba bersama keluarganya. Manakala Johari dan isterinya Rohani yang hampir tiba kehospital, aku nasihatkan supaya balik dulu kerumah mak kerana aku yakin dia tak akan dibenarkan masuk kerana peraturan yang terlalu ketat. Setelah berbual-bual sebentar dengan Omar dan keluarganya, kami semua pun beredar untuk pulang ke rumah mak dan meninggalkan Omar serta isterinya Siti Hajar dan dua anak gadisnya iaitu Hidayah dan Syuhadah di ruang menunggu wad D5. Dari kejauhan aku melihat mereka merayu kepada pengawal untuk membenarkan mereka masuk.


Bersambung ke Bhg. 2...(sedang di update)

Wednesday, October 19, 2011

JIBRIL MENGAJAR ADAM ( BHG. AKHIR)....

Tanda Allah menerima korban tersebut adalah turunnya api putih dari langit yang akan menyambar korban tersebut. Adapun jika Allah tidak menerimanya, maka korban itu akan tetap ada di muka bumi sampai membusuk dan tidak akan ada seorang pun, haiwan atau burung yang mendekatinya.

Habil pergi menuju kambing dan haiwan ternakannya, kemudian dia mengeluarkan yang paling gemuk, paling baik dan paling kuat untuk di berikan kepada Tuhannya sebab dia mencintai Allah, dan siapa yang mencintai Allah maka hendaklah dia memberikan yang terbaik dari apa yang dimilikinya. Hal itu telah di lakukan oleh Habil.

Adapun Qabil yang hanya mencintai diri sendiri, dia pergi menuju tanaman dan tanahnya, kemudian memilih biji-bijian dan tanaman yang terburuk dari yang tumbuh di atas tanah untuk di berikan kepada Tuhannya sebagai korban. Dia yang hanya mencintai sendiri tidak akan boleh memberikan sesuatu kepada orang lain, kecuali hanya sesuatu yang terburuk dari apa yang dimilikinya,.

Kedua-dua saudara tersebut kemudian meletakkan korbannya di puncak salah sebuah gunung. Mereka menanti keputusan Allah tentang persoalan mereka.

Waktu terus berlalu, sementara Habil mengetahui bahawa korbannya akan di terima Allah. Di lain pihak, Qabil menghibur dirinya dengan kepalsuan bahawa dirinyalah yang akan menang.

Akan tetapi, kesudahannya sudah tentu Allah akan menerima korban Habil kerana ketulusannya yang sangat dalam menyajikan korban.

Api berwarna putih telah turun dari langit seperti tombak yang menghunjam, mengetahui sasaran yang ditujunya. Api itu menyambar korban Habil dengan begitu cepat. Maka Habil pun bersujud tanda syukur kepada Allah, sedangkan korban Qabil yang zalim masih ada dan tidak diterima Allah.

Syaitan pun segera mendatangi Qabil dari arah sebelah kanan, kiri, depan, belakang dan hadapannya seraya berteriak: "Iqlima telah hilang darimu. Adam berdoa kepada Tuhannya agar korban Habil diterima. Dia meninggalkanmu seorang diri, maka jangan engkau diam saja!"

Qabil berteriak di hadapan Habil: "Aku akan membunuhmu!"

Habil menjawab dengan tenang: "Sesungguhnya Allah hanya menerima (korban) dari orang-orang yang bertakwa. Sungguh, kalau kamu menggerakkan tanganmu kepadaku untuk membunuhku, aku sekali-kali tidak akan menggerakkan tanganku kepadamu untuk membunuhmu. Sesungguhnya aku takut kepada Allah, Tuhan seru sekelian alam. Sesungguhnya aku ingin agar kamu kembali dengan (membawa) dosa (membunuh) ku dan dosamu sendiri., maka kamu akan menjadi penghuni neraka dan yang demikian itulah pembalasan bagi orang-orang yang zalim."

Habil kemudian pergi, Qabil lebih kuat daripada Habil, hanya saja Habil tidak tunduk kepada syaitan dan tidak pula mendengar, sehingga tidak mungkin dia akan menyakiti saudaranya meskipun harga yang harus dibayarnya adalah umur dan hidupnya.

Fikiran jahat masuk ke dalam kepala Qabil seperti ombak tinggi di tengah lautan yang gelap gelita. Semua cara habis sudah, sementara Habil pasti akan mengahwini Iqlima.

Qabil berjalan di muka bumi dalam keadaan bingung, hingga kedua talapak kakinya membawanya sampai ke rumah. Namun dia tidak dapat melewati malam-malamnya dengan memejamkan mata. Dia menilai bahawa langit dan bumi memusuhinya dan berpihak kepada Habil.

Syaitan merasuk fikiran Qabil dan mempermainkannya. Malam terus berlalu dan pagi pun tiba, sementara di fikiran Qabil hanya ada satu tekad: "Aku harus membunuh Habil!"

Habil berangkat menggembala kambingnya, sementara dari kejauhan kedua mata Qabil terus mengawasinya. Ketika Habil sedang leka dalam pekerjaannya, tiba-tiba Qabil muncul dari arah belakang sambil membawa batu yang besar, Qabil memukulkan batu itu ke bahagian kepala Habil dari arah belakang sampai berlumuran darah dan dia pun tertewas dengan serta merta.

Syaitan ketawa meledak. Sesungguhnya dia telah berjaya memenangi babak baru dalam pertarungan melawan Adam. Pertama kali dia telah berjaya mengeluarkannya dari dalam syurga, kemudian sekarang dia telah berjaya menyaksikan seorang saudara membunuh saudaranya sendiri.,

Qabil terpegun di hadapan jasad Habil yang tidak bernyawa dan tidak bergerak. Dia tidak tahu apa harus dilakukannya, kemudian dia membawa mayat saudaranya diatas bahunya. Dia terus berjalan sambil menggendongnya, namun tidak tahu apa yang harus dilakukan dengan jasad saudaranya itu. Ketika rasa letih menyerangnya dalam perjalanan, tiba-tiba dia melihat dua ekor gagak yang berkelahi sampai akhirnya salah seekor darinya berjaya membunuh seekor yang lain.

Tiba-tiba gagak pembunuh menggali lubang ditanah untuk menguburkan gagak yang terbunuh. Maka Qabil pun tahu bahawa Allah telah mengirim kedua ekor gagak ini kepada dirinya. Oleh kerana itulah, dia kemudian menangis dan berkata: "Aduhai, celaka aku! Mengapa aku tidak mampu berbuat seperti burung gagak ini, lalu aku dapat menguburkan mayat saudaraku ini?"

Qabil kemudian berdiri menuju tanah lapang untuk menggali lubang bagi mayat saudaranya, kemudian meletakkan mayat saudaranya di dalam lubang tersebut. Inilah lubang yang menjadi kubur pertama di muka bumi bagi seorang korban pertama yang kuburnya digali oleh sang pembunuh pertama. Sesungguhnya Qabil telah membunuh satu perenam penduduk bumi pada waktu itu.

Ketika Adam kembali dari melaksanakan ibadah haji, dia mendapati salah seorang puteranya telah tewas, sedang putera yang lain telah menjadi pembunuh. Namun ternyata, bumi tidak mahu menyerap darah Habil, tumbuh-tumbuhan menjadi berduri, padahal sebelumnya tidak berduri dan haiwan-haiwan lari dari manusia setelah terjadinya perbuatan kejahatan yang mengerikan ini.

Adam menyaksikan Qabil, puteranya telah merampas Iqlima dan menculiknya. Adam berkata: "Pegilah! Kemarahan Allah dan kemarahanku sentiasa menyertaimu dan juga orang ramai yang melakukan perbuatan seperti perbuatanmu."

Sesungguhnya balasan itu sesuai dengan jenis perbuatan yang telah dilakukan, sebab Qabil pun tewas dibunuh oleh salah seorang puteranya. Sesudah peristiwa itu, Qabil pun beroleh bahagian dosa dan perbuatan pembunuhan dari setiap orang yang terbunuh di muka ini, sebab dialah mula-mula orang yang melakukan kejahatan pembunuhan di muka bumi ini.

Adapun Adam, sesudah peristiwa itu dikurniakan seorang putera yang diberkati Allah, iaitu Syits r.a. Berkat keberadaannya, kebaikan dapat mengalahkan kejahatan.

Kisah ini disebutkan oleh Allah s.w.t. melalui firman-Nya:




27. Ceritakanlah kepada mereka kisah kedua putera Adam (Habil dan Qabil) menurut yang sebenarnya, ketika keduanya mempersembahkan korban, Maka diterima dari salah seorang dari mereka berdua (Habil) dan tidak diterima dari yang lain (Qabil). ia berkata (Qabil): "Aku pasti membunuhmu!". berkata Habil: "Sesungguhnya Allah hanya menerima (korban) dari orang-orang yang bertakwa".

28. "Sungguh kalau kamu menggerakkan tanganmu kepadaku untuk membunuhku, aku sekali-kali tidak akan menggerakkan tanganku kepadamu untuk membunuhmu. Sesungguhnya aku takut kepada Allah, Tuhan seru sekalian alam."

29. "Sesungguhnya aku ingin agar kamu kembali dengan (membawa) dosa (membunuh)ku dan dosamu sendiri, Maka kamu akan menjadi penghuni neraka, dan yang demikian Itulah pembalasan bagi orang-orang yang zalim."

30. Maka hawa nafsu Qabil menjadikannya menganggap mudah membunuh saudaranya, sebab itu dibunuhnyalah, Maka jadilah ia seorang diantara orang-orang yang merugi.

31. Kemudian Allah menyuruh seekor burung gagak menggali-gali di bumi untuk memperlihatkan kepadanya (Qabil) bagaimana seharusnya menguburkan mayat saudaranya[410]. berkata Qabil: "Aduhai celaka Aku, mengapa aku tidak mampu berbuat seperti burung gagak ini, lalu aku dapat menguburkan mayat saudaraku ini?" karena itu jadilah Dia seorang diantara orang-orang yang menyesal. (QS. 5. Al Maa-idah:27-31)



Sumber : Himpunan Kisah-kisah Menarik Daripada Al-Quran.
(Dr. Hamid Ahmad Ath-Thahir).

Saturday, October 15, 2011

JIBRIL MENGAJAR ADAM BHG. 3...

Pada suatu hari keluarga Adam berkumpul mengelilingi makanan setelah matahari tenggelam dari permukaan cakrawala. Semua orang mula memakan makanan, sementara Qabil dan Habil, sambil makan, masing-masing mula mencuri-curi pandang kepada seseorang yang cantik, Iqlima, sehingga tatapan mata mereka berdua yang terpusat pada saudari mereka yang cantik diketahui Iqlima. Keadaan itu disedari oleh Adam yang mula merasakan bahawa kedua-dua pemuda itu (Qabil dan Habil) sudah menginjak usia kahwin dan dia harus mengahwinkan mereka.

Oleh kerana tidak ada manusia lain di muka bumi selain mereka, maka syariat dan agama Adam membenarkan perkahwinan saudara dengan saudarinya, namun dengan syarat, seseorang tidak boleh berkahwin dengan saudara kembarnya. Dengan demikian, Qabil akan mengahwini Labuda yang dilahirkan kembar bersama Habil manakala Habil pula akan mengahwini Iqlima yang cantik yang dilahirkan kembar bersama Qabil.

Adam berniat untuk menceritakan rancangan perkahwinan itu kepada kedua-dua orang puteranya setelah selesai makan. Setelah Adam dan anak-anaknya selesai makan, dia berkata kepada mereka sambil tersenyum: "Telah tiba waktunya untuk kami melihat anak-anak dan cucu-cucu kami. Oleh itu, aku akan menikahkan kamu berdua!"

Kedua-dua anak lelaki itu merasa senang, sementara kedua anak perempuan Adam tersipu-sipu malu mendengar berita itu, sehingga wajah kedua-duanya merah. Adam kemudian meneruskan perkataannya: "Menikahlah Qabil dengan Labuda, sementara Habil dengan Iqlima."

Semua orang pun senang, kecuali Qabil yang berteriak dengan marah: "Habil tidak akan menikah dengan Iqlima, Iqlima hanya untukku dan aku lebih berhak terhadapnya daripada Habil."

Adam hendak menenangkan puteranya seraya berkata: "Wahai Qabil, sesungguhnya Allah telah mengharamkan Iqlima untukmu. Dia hanya halal untuk Habil, maka taatilah perintah Allah.

Qabil menjawab: "Tidak!, aku tidak akan pernah mentaati selain hanya diriku, Iqlima untuk ku bukan untuk Habil."

Qabil harus menikah dengan Labuda. Kerananya, Qabil merasakan api yang berkobar dalam dada dan hatinya. Dia menatap Iqlima dan dia merasakan bahawa Iqlima lebih cantik daripada yang pernah dilihatnya. Iqlima seperti matahari yang menerangi kegelapan malam. Qabil tidak tahu bahawa musuhlah yang menyalakan api itu di dalam dada dan hatinya. Sang musuh itu adalah Iblis.

Qabil meninggalkan rumah sementara rasa marah hampir membunuhnya. Dia berjalan sambil menatap hamparan bumi. Dia tidak tahu ke mana akan melangkah atau ke tempat mana akan dituju? Tidak ada hal lain dalam fikirannya melainkan Iqlima.

Iblis mendapati Qabil sebagai mangsa yang mudah, maka dia pun mula membisik dan menelusup ke dalam hatinya seraya berkata: "Ternyatalah Habil adalah orang yang diutamakan dan lebih dicintai oleh Adam daripada kamu, lalu dia pun akan di nikahkan dengan si cantik (Iqlima). Sementara kamu pula akan dikahwinkan dengan Labuda yang kurang cantik.

Iblis mula menambahkan api permusuhan dan menghasutnya. Dia berkata: Habil enak, pekerjaannya cuma sebagai pengembala yang tidak begitu sukar, sementara Qabil adalah petani yang harus bangun lebih awal, mengurus tanah dan membajaknya, menuai tanaman, mengupas dan memilihnya. lalu setelah itu akan dinikahkan dengan Labuda, yang tidak cantik , sementara Habil yang kerjanya senang mendapat keuntungan dengan menikahi Iqlima. Ini tidak adil."

Qabil lupa bahawa setiap pekerjaan memiliki kesukaran dan keletihan sendiri dan pengembala kambing pun berasa letih dalam mengembala kambing-kambingnya. Dia lah yang menjaga kambing-kambing itu dari serigala, mengubati yang sakit, memberi makan dan minum kepadanya dan menjaganya dengan penuh perhatian.

Namun bisikan hawa nafsunya sudah sedemikian tinggi. Qabil bersumpah bahawa Iqlima hanya untuk dirinya seorang, maka terjadilah apa akan terjadi.

Qabil kembali kerumahnya dan dia mendapati ayahnya masih berjaga dalam keadaan sedih yang terpancar di wajahnya. Si ayah sedih kerana Iblis telah menguasai puteranya, padahal dia sangat mencintai Qabil dan Habil tanpa membezakan kedua-duanya sedikit pun.

Adam berkata: "Wahai Qabil, berikanlah korban dari tanaman mu kepada Allah, Habil pun akan memberikan korban dari kambingnya. Siapa pun dari kamu yang Allah terima korbannya, dialah suami Iqlima."

Kedua-duanya menerima idea itu, maka kedua-duanya bersedia untuk memberikan korban kepada Allah. Adapun Adam, kerana waktu haji telah tiba, dia pun pergi menuju Kaabah untuk bertawaf mengelilinginya. Dia meninggalkan India menuju Makkah. Sementara itu kedua-dua anaknya Qabil dan Habil telah bersedia untuk memberikan korbannya kepada Allah.

Bersambung....Nantikan...

Thursday, October 13, 2011

JIBRIL MENGAJAR ADAM BHG. 2...

Selanjutnya Jibril mengajar Adam bagaimana cara mengadun, kemudian Adam pun mula mengadun. Ketika Adam sedang mengadun, tiba-tiba dia menatap Jibril. Jibril kemudian berkata kepadanya: "Sesudah kamu adun, buatlah roti dulu sebelum kamu memakannya."

Adam bertanya: "Bagaimana caranya?"

Jibril menjawab: "Nyalakanlah api!"

Adam bertanya: "Dari mana aku mendapatkan api wahai Jibril?"

Jibril menjawab: "Kumpulkanlah ranting dan dahan yang kering yang ada di muka bumi."

Adam pun melakukan saranan Jibril, kemudian kembali kepadanya. Jibril mengambil dua ketul batu dan memukulkan salah satunya ke batu yang lain sehingga percikan api pun keluar dan membakar ranting pohon tersebut, maka menyala lah api itu.

Adam pun meletakkan adunan tersebut diatas api untuk dibuat roti, namun ia terbakar oleh api tersebut sehingga dia merasa sakit dan berteriak. Jibril berkata: "Engkau telah melanggar perintah Allah, sehingga api boleh membakarmu, wahai Adam."

Adunan itu telah berubah menjadi roti. Adam kemudian membawanya, sementara butir-butir peluhnya yang berguguran itu hampir memadamkan api. Rasa sakit akibat kelaparan itu hampir membunuhnya dan air matanya bercucuran kerana merasa sangat sedih akibat keluar dari syurga. Pembuatan roti telah selesai dan Jibril pun berkata kepada Adam: "Sekarang, makanlah wahai Adam!"

Adam membawa roti itu untuk Hawa, kemudia mereka pun mula memakannya.

Ketika mereka telah makan, rasa lapar pun hilang. Ketika rasa lapar hilang, mereka teringat akan makanan syurga yang begitu menggiurkan. Kedua-duanya teringat akan perintah Allah kepada mereka agar kedua-duanya tidak memakan buah di pohon terlarang itu. Kedua-duanya teringat saat di mana mereka diusir keluar dari syurga, menangislah mereka dan esak tangis pun menjadi semakin kuat.

Hari-hari penuh kebahagiaan dan kesenangan di dalam syurga pun berakhir. Hari-hari yang keras di alam dunia telahpun bermula. Mereka tidak mungkin kembali ke dalam syurga kecuali setelah mereka mati. Sungguh, waktu yang sangat panjang.

Betapa kerasnya kehidupan di muka bumi jika dibandingkan dengan kehidupan di dalam syurga! Inilah kenyataan dari keadaan Adam dan Hawa. Kedua-duanya terus menerus bekerja dan bersusah payah di alam yang sepi dan sangat luas ini, tanpa ada seorang pun yang membantu atau menolong mereka.

Allah kemudian menurunkan agama dan ajaran kepada Adam. Saat itu Adam berkata: "Hanya aku dan Hawa, tanpa ada orang ketiga yang bersama kami, lalu, untuk siapa lagi agama dan ajaran itu?"

Adam teringat bahawa Allah pernah berjanji kepadanya bahawa keturunannya akan memenuhi muka bumi. Oleh kerana itulah, dia menanti bila dirinya akan mempunyai keturunan.

Hawa kemudian hamil dan Adam pun sangat senang kerana dia akan menjadi seorang ayah. Di lain pihak, Hawa mengalami kesukaran sebagaimana kesukaran yang dialami kaum wanita ketika hamil, iaitu berupa rasa letih dan ngeri. Beberapa kali dia hampir meninggal, dan hal itu terjadi sebelum dia melahirkan janin yang ada di dalam kandungannya. Saat yang dinanti-nanti pun tiba, dimana Hawa melahirkan bayi yang ada di dalam kandungannya. Allah kemudian menganugerahinya seorang putera dan seorang puteri kembar.

Adam menatap kedua buah hatinya, lalu yang lelakinya dinamakan Qabil dan yang perempuannya di namakan Iqlima.

Iqlima adalah seorang wanita yang cantik dan memikat. Siapapun yang memandangnya tidak akan pernah merasa bosan kerana kecantikan wajahnya.

Baru beberapa bulan berlalu, Hawa sudah mengandung benih yang baru dalam rahimnya. Dia pun merasakan getirnya masa hamil lebih dari sekali sampai tiba waktunya melahirkan. Hasil dari kehamilan itu adalah anak kembar juga, lelaki dan perempuan. Yang lelaki dinamakan Habil manakala yang perempuannya dinamakan Labuda.

Keempat-empat orang anak itu membesar menjadi remaja secara bersama-sama dalam bimbingan si ayah, Adam a.s. dan asuhan si bonda yang hangat, Hawa a.s.

Iqlima lebih cantik dan menawan dari Labuda. Namun hal itu tidak membuat Adam menjadi lalai kerana selalu menyintai anak-anaknya tanpa membeza-bezakan antara yang seorang dengan seorang yang lain.

Ketika anak-anak tersebut telah dewasa, mereka pun mula melaksanakan pekerjaannya. Qabil memilih untuk menjadi seorang petani, tugasnya membajak ladang, mengurusnya hingga tumbuh menjadi tanaman dan menuainya, kemudia hasilnya digunakan untuk makanan sekeluarga.

Sementara Habil memilih menjadi pengembala kambing dan haiwan ternakan di ladang-ladang yang hijau, agar mereka boleh meminum air susunya, memakan dagingnya, kemudian menjadikan bulu-bulunya sebagai pakaian dan perhiasan.

Adapun Iqlima dan Labuda tinggal dirumah bersama Hawa untuk melayan dan membantunya melaksanakan tugas-tugas rumahtangga.

Bersambung.....Nantikan...

Wednesday, October 12, 2011

JIBRIL MENGAJAR ADAM BHG. 1...

Adam telah menyalahi perintah Tuhannya, kerana dia memakan buah terlarang yang telah Allah haramkan di dalam Syurga. Kerananya, dia diturunkan ke muka bumi bersama Hawa, kerana ketika itu Hawa juga memakan buah terlarang itu.

Setelah Syaitan berjaya menggoda Adam dan Hawa, dia ketawa senang, sehingga dia pun diusir dari Syurga, lalu ketiga-tiganya diturunkan ke muka bumi.

Adam dan Hawa berasa menyesal telah melanggar perintah Tuhan. Adapun Syaitan, dia terasa bahagia kerana telah berjaya menyesatkan Adam dan Hawa. Pada saat itulah Adam sedar bahawa syaitan sebenarnya adalah musuhnya dan musuh manusia semuanya yang merupakan keturunannya.

Kononnya Adam diturunkan dari syurga di sebuah gunung yang terletak di Negara India, sementara Hawa diturunkan di sebuah gunung yang terletak di tanah Hijaz. Tidak seorang pun dari kedua-duanya mengetahui jalan untuk menemui yang lain, sementara saat itu di muka bumi tidak ada seorang pun selain mereka.

Oleh kerana itulah Adam menangis dan bertaubat kepada Tuhannya. Demikian juga dengan apa yang dilakukan Hawa. Allah kemudian menerima taubat mereka dan berjanji untuk mengembalikan mereka lagi ke dalam syurga di lain waktu.

Namun masing-masing harus tetap berada di muka bumi dalam keadaan seorang diri. Adam meninjau, namun dia tidak melihat seorang manusia pun. Dia memanggil-manggil, namun dia hanya mendengar gema suaranya sendiri. Dia teringat saat dahulu masih berada di dalam syurga, ketika itu para malaikat bertawaf mengelilingi Arasy Allah seraya bertasbih mensucikan-Nya.

Adam kemudian berkata: "Ya Tuhanku, aku seorang diri bertasbih kepada-Mu di bumi yang luas ini. Adakah orang lain yang bertasbih kepada-Mu?"

Allah kemudian berjanji kepada Adam untuk menjadikan sebahagian keturunannya sebagai orang-orang yang bertasbih dengan memuji-Nya dan membina masjid untuk solat dan berzikir kepada-Nya. Diantara masjid-masjid tersebut, akan ada sebuah masjid yang merupakan rumah Allah yang suci (Baitullah Al-Haram). Rumah itulah yang akan dikunjungi manusia dan disanalah mereka bertawaf. Mereka yang akan mendatanginya berasal dari negeri yang sangat jauh. Ia adalah rumah Allah yang pertama kali didirikan di muka bumi.

Adam kemudian berkata: "Ya Tuhanku, dimanakah rumah yang suci dan tua itu?"

Allah kemudian memberitahu kepada Adam bahawa rumah tersebut ada di Makkah, negeri Allah yang suci.

Adam berasa rindu dan ingin mengunjungi rumah Allah yang ada di Makkah itu. Ketika Allah mengetahui ketulusannya, maka Dia pun memerintahkannya untuk berangkat menuju Makkah, tempat di mana rumah Allah itu berada, untuk bertawaf dan mengingati Tuhannya di sana.

Dalam perjalanan menuju Baitul Haram, Adam berlari dan lariannya semakin laju seakan-akan dia mempunyai sayap sehingga dia boleh tiba di Makkah dengan begitu cepat. Dia berangan-angan suapaya boleh bertawaf mengelilingi rumah Allah sebagaimana para malaikat pernah bertawaf di Baitul Ma'mur dilangit dan di sekeliling Arasy Allah.

Setibanya di sana, dari kejauhan dia melihat sebuah bayangan manusia yang lain. Setelah semakin dekat, terasa yakinlah bahawa orang itu adalah seorang wanita. Dia pun menghamburkan dirinya dengan cepat kearahnya, sementara hatinya seakan-akan terlepas dari tulang rusuknya kerana kegembiraan yang tak terperi.

Akhirnya dia berjaya menemuinya. Sesungguhnya wanita itu adalah Hawa, isteri tercintanya. Pertemuan itu terjadi di Makkah, diatas salah satu bukit yang ada di sana. Kedua-duanya saling mengenali di puncak gunung tersebut. Oleh kerana itu, tempat tersebut dinamakan Arafah.

Adam dan Hawa berangkat menuju rumah Allah yang suci di Makkah yang ternyata dijumpainya masih berupa batu yaqut (sejenis mutiara), dan mereka pun bertawaf mengelilinginya serta banyak berzikir kepada Allah. Setelah itu, mereka memulakan perjalanan untuk kembali ke Negara India, tempat asal Adam diturunkan dari Syurga.

Perjalanan itu sangat indah dan menyenangkan. Kebahagian Adam begitu besar kerana taubatnya di terima Allah. Namun demikian, kehidupan dunia yang dilaluinya penuh dengan kepayahan. Sejak saat itulah kehidupan yang penuh dengan kepayahan dimulakan.

Di dalam syurga, Adam dan Hawa tidak pernah mengenal lapar dan dahaga. Adapun di muka bumi , rasa lapar dan dahaga adalah naluri perut manusia. Adam dan Hawa terasa perut mereka sakit. Adam tidak mampu untuk berjalan, bahkan dia tidak boleh tidur. Kepalanya terasa pening, sementara pandangannya tidak dapat berfungsi dengan baik.

Malaikat Jibril kemudian turun dan menjelaskan perasan sakit itu kepada Adam. Jibril berkata: "Ini adalah rasa lapar, wahai Adam."

Adam menjawab dengan nada hairan: "Lapar? lalu, apa yang harus aku lakukan?"

Jibril menjawab: "Berdoalah kepada Allah agar ia memberi makanan dan minuman kepadamu!"

Air mata Adam menitis di kedua belah pipinya seraya teringat akan kewujudan dirinya di syurga yang memakan buah dari pohon yang ada di syurga dan meminum airnya. Sesungguhnya kenikmatan yang telah hilang. Sungguh, suatu kesenangan yang telah pergi. Adam pun berdoa kepada Tuhannya, sementara Hawa melakukan perkara yang sama.

Namun suara perut itu tidak kunjung henti, bahkan semakin kuat, dan jelas terdengar, sehingga lapar itu nyaris berubah seakan-akan menjadi suatu yang dapat mencabut nyawa Adam dan Hawa. Oleh kerana itu, kedua-duanya semakin khusyuk berdoa dan memohon pertolongan kepada Allah dengan mendesak.

Jibril kemudian turun membawa beberapa biji-bijian berupa gandum. Ia berkata kepada Adam dan menjelaskan kegunaan biji yang ada ditangannya. "Ini adalah makananmu, wahai Adam. Inilah yang mengeluarkanmu dari syurga."

Adam sangat senang dan berkata: Aku boleh memakannya sekarang?"

Jibril menjawab: " Tidak, tetapi tanamlah ia di tanah."

Adam kemudian menanam biji gandum itu di tanah dan Allah terus menumbuhkannya di saat itu juga sehingga Adam berasa sangat sangat senang. Dia berkata kepada Jibril: "Apakah aku dapat memakannya sekarang, wahai Jibril?"

Jibril menjawab: "Nanti dulu! Kamu harus menuai gandum itu terlebih dahulu."

Adam berkata: "Bagaimana cara menuainya?"

Jibril pun mengajar Adam bagaimana cara menuai gandum. Tidak berapa lama Adam menuai gandum tersebut, sementara rasa lapar hampir membunuhnya dan dia tidak mempunyai cara apa pun untuk mengusirnya selain melakukan apa yang diperintahkan oleh Jibril.

Adam menatap Hawa yang menangis kerana sangat lapar. Maka diapun bekerja dan bekerja lebih kuat lagi sehingga dia boleh menyelesaikan penuaian gandum tersebut dan memuji Tuhannya. Dia kemudian berkata kepada Jibril: "Sekarang, aku dan Hawa boleh memakannya?"

Jibril menjawab: "Belum, kamu harus mengupas kulit gandum itu terlebih dahulu."

Adam menjawab, sementara rasa letih hampir membunuhnya. "Bagaimana aku dapat mengupas kulit gandum itu?"

Jibril kemudian mengajarnya cara mengupas kulit gandum dan Adam pun melakukannya dengan cepat. Dia menyangka bahawa waktu makan sudah tiba setelah dapat mengupas kulit gandum tersebut. namun Jibril segera berkata kepadanya: "Sekarang, pisahkanlah antara biji gandum yang hendak dimakan dan biji untuk dijadikan benih."

Adam bertanya: "Bagaimana caranya?"

Jibril pun mengajarnya bagaimana cara memisahkan biji gandum. Adam kemudian mula memisahkan gandum-gandum tersebut. Adam menyangka bahawa saat makan telah tiba sesudah dia memisahkan biji gandum tersebut. Akan tetapi, Jibril dengan cepat berkata kepadanya: "Tumbuklah dulu sekarang! "Adam bertanya: "Bagaimana caranya?" Jibril pun mengajar bagaimana menumbuk gandum, sementara butir-butir peluh menitis diwajahnya. Rasa lapar di perut Adam itu seakan-akan raksaksa yang mengurut perutnya.

Setelah Adam menumbuk biji gandum itu, tangannya sudah menjangkau gandum itu untuk memakannya. Akan tetapi Jibril berkata kepadanya: "Giling dahulu, wahai Adam!"

Adam yang kelaparan menjawab dengan suara serak dan tersekat-sekat" "Dengan apa aku menggilingnya?"

Jibril pun datang dengan membawa dua batu yang salah satunya diletakkan diatas batu yang lain. Adam berkata: "Dengan alat penggilingnya ini?"

Adam pun mula menggiling gandum itu dengan alat penggiling tersebut. Nafas Adam terputus-putus saat menggiling gandum itu. ia tidak pernah memikirkan apa pun selain memberi makan untuk dirinya dan juga isterinya. Akhirnya, proses pembuatan tepung itu pun selesai. dan Adam menghulurkan tangannya untuk memakannya. Namun Jibril berkata kepadanya: "Adun lah tepung itu terlebih dahulu, wahai Adam!"

Kini Adam merasa bosan, sementara kesedihan tidak pernah terpisah darinya saat dia teringat akan syurga Firdaus, tempat dia telah diusir dari sana. Dia seolah-olah berkata: "Oh! seandainya aku tidak menyalahi perintah Allah dan tidak memakan buah terlarang itu."

Selanjutnya Jibril mengajar Adam bagaimana cara mengadun, kemudian Adam pun mula mengadun. Ketika Adam sedang mengadun, tiba-tiba dia menatap Jibril. Jibril kemudian berkata kepadanya: "Sesudah kamu adun, buatlah roti dulu sebelum kamu memakannya."

Bersambung ke Bahagian Kedua.......Nantikan...

Tuesday, October 11, 2011

MARILAH MEMBACA CERITAKU INI...

Untuk kesekian kalinya, aku pulang lagi ke kampungku di Simpang 4, Taiping, Perak pada 8, 9 dan 10 Oktober, 2011. Kali ni, Afif, anakku yang sulung dan Alia yang no. 2, tidak ikut serta kerana masing-masing ada komitmen lain.

Mengetahui yang keretaku kosong, Azizah (Jah) kakak ku no. 8 dalam keluarga, ingin menumpang, katanya dah lama tak balik ziarah emak. Kami semua faham bahawa Jah bukanlah sihat sangat sebab baru saja menjalani pembedahan jantung di Institiut Jantung Negara (IJN) baru-baru ni.

Kepulangan kami kali ini bukan setakat untuk menziarahi emak, tapi teruja sangat-sangat kerana adik kami yang bongsu iaitu Shamsiah (Sham) menjemput kami ke majlis doa selamat yang dia adakan sempena berpindah kerumah yang baru dibelinya. Jarak rumah barunya dengan rumah emak cuma kira-kira 1.5 km. sahaja.

Aku memulakan perjalanan dari rumahku di Serdang, Selangor, kira-kira jam 1 petang dan akan menjemput Jah di Batu Gajah, Perak. Aku memaklumkan kepadanya bahawa aku akan tiba kira-kira jam 3 petang nanti dan meminta dia bersedia kerana aku nak cepat sampai di kampung.

Aku terlewat setengah jam kerana 3.30 pm aku baru sampai, Abang iparku, yang kami panggil Abang D (Ahmad Rashidi), memaksa aku makan tengahari dirumahnya (Walaupun dah petang). Aku pada mulanya menolak tapi akur dengan kesungguhannya mengajak kerana katanya Jah dah bersusah payah memasak untuk kami (Aku dah bagitau dah yang aku taknak makan, tapi dia paksa juga). Untuk tidak menghampakannya, akupun makanlah...

Dalam aku dok menolak tu, tak sedar yang aku makan sampai 3 pinggan kerana Jah tau masakan kegemaranku iaitu kari ikan duri, ikan kembong goreng, ikan masin bulu ayam, kerang rebus, sayur campur, ulam timun dengan sambal belacan serta minuman jus oren.

erk...erk...erk, aku sendawa sampai 3 kali...Adoi...perut dah kenyang, mata pun mula lah mengantuk, macam mana aku nak drive ni...?, perjalanan jauh lagi iaitu kira-kira 100 km yang akan mengambil masa lebih kurang 1 1/2 jam lagi...

Melihatkan yang mataku dah layu, Jah lalu membuatkan aku secawan kopi O panas yang cukup dengan kepekatannya serta manis-manis buah sehingga mata aku yang dah layu tadi kembali segar selepas meneguknya sampai habis.

Kami meneruskan perjalanan pada pukul 5 petang didalam keadaan hujan lebat. Akhirnya pada pukul 6.30 petang, kami pun tiba dikampung, sedia menanti kami dipintu rumah ialah, Emak, Romina (adikku) dan Fatimah (kakakku). Mereka sedang rancak berbual. Emak macam biasalah, gembira dengan kepulangan anak-anaknya.

Selepas Maghrib, kami semua berkunjung kerumah baru Sham, Katanya majlis doa selamat telah selesai diadakan selepas Zohor tadi dengan jemputan lebih kurang 100 orang terdiri dari jemaah surau, jiran-jiran yang belum ramai lagi, kawan-kawan sekerja dan adik beradik.

Sham menyediakan makan tengahari menggunakan khidmat 'catering' dengan menunya nasi puteh, daging masak hitam, ayam goreng berempah, gulai ikan talang masin, ulam-ulam, laksa, kueh mueh dan minuman sejuk serta panas.

Gulai ikan talang masin sangat-sangat membuka seleraku, walaupun dah kenyang makan dirumah Jah tadi, di rumah Sham, aku hentam 3 pinggan lagi...erk...erk.erk...aku terus sendawa dan tersandar dikerusi tak boleh nak bergerak lagi.

Kira-kira setengah jam kemudian, tenagaku pulih kembali. Aku tanpa membuang masa menyertai yang lain melawat kesetiap pelusuk rumah Sham. Wah!!! besar sungguh rumahnya, dengan 4 bilik, hall dan diningnya sungguh luas, begitu juga dapurnya, bukan setakat ruang memasak, peti ais, mesin basuh serta kitchen kabinetnya yang ada disitu, tapi meja serta komputer dan sebuah TV dengan mejanya juga masih boleh diletakkan disitu dengan penuh selesa. Aku dapat merasakan yang Sham dan suaminya Azman (Man) berbesar hati dengan kedatangan kami pada malam itu. Anak-anak mereka seramai 3 orang pula sibuk melayan anakku Amsyar dan Asfarini bermain komputer...biasalah tu budak-budak sekarang ni .... tak habis-habis dengan facebooknya...

Rumah Sham adalah rumah Semi D, porchnya boleh memuatkan 2 buah kereta dalam satu masa dan masih ada tanah lagi untuk beliau menanam bunga serta bercucuk tanam. Nampaknya Sham sudah termasuk dalam Gred A, manakala aku masih kekal dalam gred C.

Setelah selesai semuanya, kami pun pulang kerumah emak untuk bermalam. Esok kira-kira jam 11 pagi kami seramai 6 orang berkunjung ke rumah Aishah (Esah) seorang lagi kakakku yang tinggal di Kota Tampan Air, Lenggong, Perak kerana suaminya Abdullah (Abg. Lah) tidak sihat. Perjalanan dari Taiping kerumahnya mengambil masa 1 1/2 jam dengan jaraknya 80 km melalui lebuhraya Kuala Kangsar -Grik.

Kami singgah di Restoran Tasik Raban yang terkenal dengan masakan ikan sungai dan ikan pekasam untuk dibawa kerumah Esah. Kira-kira jam 2 petang kami pun tiba dan terus menikmati hidangan tengahari. Esah sempat menggoreng ikan dan menyediakan beberapa jenis ulam dan sambal belacan bagi menambah dan membuka selera kami. Aku makan 3 pinggan lagi dan erk...erk...erk, aku terus sendawa...

Selepas berehat sebentar, kira-kira jam 5 petang kami mengambil keputusan untuk menziarahi keluarga adik arwah ayah iaitu Chu Hendon yang terletak di kampung Luat, kira-kira 5 km dari rumah Esah di Kota Tampan Air tadi. Kebetulan pula ketika kami sampai , Chu Hendon diserang demam manakala suaminya iaitu Chu Ariffin juga demam akibat disengat tebuan. Walaubagaimanapun keadaannya telah beransur pulih walaupun kakinya masih bengkak lagi...

Ramai kaum keluarga berkumpul untuk menziarahi ibu bapa mereka. Kebetulan pula hari itu adalah hari minggu maka anak-anak dan menantu yang berdekatan pun pulang . Disitu juga dapatlah kami semua bertemu dengan keluarga disebelah arwah ayah. Kali akhir aku bertemu mereka adalah kira-kira 3 atau 4 tahun dahulu dimana ketika itu aku menziarahi Chu Hendon yang telah selamat menjalani pembedahan bagi membuang selaput dimatanya.

Setelah meluangkan masa hampir 1 jam di Luat, kami akhirnya pulang semula kerumah emak diTaiping dan tiba kira-kira jam 8 malam untuk bermalam dimalam yang kedua. Kira-kira jam 9 malam selepas itu, Abangku Shamsuddin (Din) dan isterinya Kak Asni serta seorang lagi abangku iaitu Mohd Izhar (At) dan isterinya Hamidah (Kak Midah) datang untuk berjumpa dan bertanya khabar dengan kami semua. Adik kami Romina dan Sham yang baru berpindah rumah tadi juga datang sebab besok iaitu hari Isnin, kami akan pulang semula ke Kuala Lumpur.

Sepanjang 3 hari 2 malam dirumah emak, aku lihat emak sedikit uzur dan moodnya kurang untuk berbual dengan kami, terutamanya pada malam terakhir sebelum kami pulang ke Kuala Lumpur. Setiap patah perkataan yang kami tanya kepadanya, tiada respon darinya dan dia terus mendiamkan diri membuatkan kami semua merasa sedih. Kemuncak pada malam itu ialah apabila ia terkencing diatas tilam dikatilnya dan diwaktu tengahari pula ia terkencing diatas sofa diruang tamu. Nasib baik kami ramai pada hari itu dan bergotong royonglah kami membersihkannya.

Sebelum pulang Ke Kuala Lumpur pada hari Isnin, makan tengahari kami ditaja oleh adikku Amri (Bris) di RNR Batu 2 1/2, Simpang, Taiping. Selesai makan, kami melawat rumah baru Sham sekali lagi sebelum Din menghantar Timah ke stesyen bas Kemunting untuk ia pulang ke Pulau Pinang. Aku pula menghantar Jah pulang ke Batu Gajah, Perak sebelum aku meneruskan perjalanan balik ke Kuala Lumpur dan akhirnya tiba dirumah kira-kira jam 10 malam. Walaupun letih tapi hati aku gembira dan puas dapat berjumpa emak dan adik beradik yang tinggal disana...

Itulah dia ceritanya..., semoga kalian semua terhibur membacanya....hee...hee...hee...

AHMAD JAIS SELAMAT DIKEBUMIKAN...

Rakan-rakan artis menabur bunga di pusara
selepas pengebumian jenazah Allahyarham Ahmad Jais.


SHAH ALAM: Jenazah Allahyarham Penyanyi Datuk Ahmad Jais,75, atau nama sebenarnya Mohd. Jais Ahmad selamat dikebumikan kira-kira pukul 2 petang, di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, di sini, Selasa.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 9.30 pagi Selasa di Pusat Perubatan Darul Ehsan (DEMC ) di sini.

Allahyarham meninggalkan lima cahaya mata dan 13 orang cucu. Menurut anak keempat beliau, Maimun, 31, doktor mengesahkan kematian Allahyarham adalah disebabkan komplikasi penyakit paru-paru.

Kata Maimun, Allahyarham meninggal dunia di sisi beliau dan adik bongsunya iaitu Mashitah Mohd Jais, 25.

"Sejak semalam keadaan ayah bertambah kritikal dan doktor menasihati supaya kami bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Saya dan adik bersama Allahyarham sejak semalam dan sempat membacakan surah Yassin sehinggalah dia menghembuskan nafas terakhir pagi ini (Selasa)," ujarnya.

Selain Maimun dan Mashitah, tiga lagi anak Allahyarham ialah Mohamad Iskandar Mohd Jais, 45, Mohd Iesham, 43 dan Salawati, 30-an.

Jenazah sebelum itu dibawa ke Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini untuk dikapan dan disembahyangkan.

Peminat dan rakan artis penyanyi veteran itu kelihatan berkumpul di perkarangan masjid untuk memberikan penghormatan terakhir terhadap beliau.

Antara artis yang kelihatan adalah Datuk A. Rahman Hassan, Datuk Sharifah Aini, Uji Rashid, Hail Amir, Aziz Satar dan Ibnor Riza.

Allahyarham dimasukkan ke unit rawatan separa rapi di pusat perubatan itu pada 25 September lalu selepas mengalami masalah sesak nafas.

Beliau dikhabarkan mengadu penat selepas pulang daripada membuat persembahan di Batu Pahat, Johor, pada 8 September lalu sehingga terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan di Hospital Pakar KPJ Selangor, Shah Alam.

Allahyarham kemudian dipindahkan ke DEMC kerana beliau mempunyai rekod perubatan di situ.

Antara lagu popular beliau ialah Bunga Ku Puja Dipetik Orang, Dikau Pujaan, Gelisah dan Bahtera Merdeka.


Sumber : MstarOnline