Monday, June 27, 2011

SUARA AIR SUNGAI YANG MENGETUK PINTU HATI...

Ka’ab b. Ahbar meriwayatkan bahawa di kalangan kaum bani Israil dahulukala, ada seorang lelaki yang sentiasa melakukan perbuatan maksiat.


Pada suatu hari, dia turun ke sungai untuk mandi. Tiba-tiba ia mendengar suatu panggilan suara dari dalam sungai itu yang menyeru: “Wahai orang yang sedang mandi, hendaklah kamu merasa malu! Mengapakah kamu tidak bertaubat atas dosa-dosa yang telah kamu lakukan selama ini?”


Ketika ia mendengar ejekan dari sungai itu, dengan perasaan gelisah dia lalu keluar dari sungai tersebut sambil berkata: “Mulai saat ini aku tidak akan berbuat derhaka lagi kepada Allah!”


Setelah berkata demikian, lelaki itu lalu berjalan mendaki sebuah gunung yang secara kebetulan di atas gunung tersebut ada dua belas orang yang sedang beribadah kepada Allah SWT. Lelaki itu lalu bergabung dengan mereka sehingga datang musim kemarau yang sangat panjang di daerah itu.


Kerana dari hari ke hari yang dilalui terlalu panas, akhirnya mereka sepakat untuk turun dari gunung tersebut guna mencari tempat yang rendang untuk berteduh. Rupanya tanpa mereka sedari, pada waktu mereka turun dari gunung itu, mereka sampai kesebuah sungai yang pernah dahulunya membuatkan lelaki yang ikut bergabung bersama dengan mereka itu gelisah.


Pada waktu itu, kepada teman-temannya, lelaki tersebut berkata: “Aku tidak akan ikut bersama dengan kamu semua untuk turun kedalam sungai itu.”


Mereka bertanya : “Mengapa demikian?”


Lelaki itu menjawab: “Kerana air sungai itulah yang telah memperlihatkan kesalahanku sehingga aku pun merasa malu bila sungai itu masih menyebutkan kesalahanku kembali.”


Selepas itu, lelaki itupun pergi meninggalkan kawan-kawannya. Pada saat itu juga sungai itu lalu memanggil-manggil mereka: “Wahai hamba-hamba Allah ahli ibadah, apakah sebenarnya yang sedang di lakukan oleh temanmu itu?”


Salah seorang dari mereka menjawab: “Wahai suara yang datangnya dari air sungai, sesungguhnya teman kami itu menyangka bahawa di dalam sungai ini ada suara yang telah memperlihatkan kesalahannya, sehingga teman kami itu menjadi malu, apa lagi bila kamu sampai menyebutkan kesalahannya kembali.”


“Subhanallah, tolong sampaikan pesanku ini kepada temanmu itu, jika ternyata dia telah kembali bertaubat dan melakukan sesuatu yang baik, pasti Allah akan menerima taubatnya dan senang kepadanya dan ketahuilah olehmu bahawa Allah SWT telah menerima taubat temanmu itu. Sekarang pergilah kamu menemuinya, beritahukan hal ini kepadanya. Kamu semua juga, haruslah tetap beribadah kepada Allah SWT di tepi sungai ini!”


Mereka lalu memberitahu apa yang telah dikatakan oleh suara tersebut kepada temannya itu. Akhirnya mereka bersama-sama datang ke tepi sungai itu untuk tinggal di sana dan beribadah kepada Allah SWT.


Ketika sahabat mereka yang pernah berbuat keji itu meninggal dunia, maka sungai tersebut memanggil orang-orang yang ahli ibadah lain lalu berkata: ”Wahai para ahli ibadah dan hamba-hamba yang zuhud! Mandikanlah sahabatmu itu dengan airku ini serta makamkanlah dia di tepianku, supaya pada hari kiamat nanti dia dibangkitkan bersamaku.”


Orang-orang tersebut lalu melaksanakan apa yang diminta oleh air sungai itu. Setelah mereka menguburkannya, mereka bersepakat bahawa pada malam harinya mereka ingin tidur dekat makam sahabatnya itu. Setelah waktu pagi hari, barulah mereka akan kembali.


Akhirnya, pada malam itu juga, mereka bermalam di makam tersebut sambil menangis mengenang sahabatnya itu. Ketika waktu fajar sudah tiba, barulah mereka merasa mengantuk dan besok paginya di atas makam itu Allah telah menumbuhkan dua belas batang pohon Sarwah.


Pada waktu mereka melihat tumbuhnya pohon Sarwah di atas makam tersebut, mereka lalu berkata: “Sesungguhnya Allah SWT telah menumbuhkan pohon di atas makam ini. Dengan demikian bererti Allah merasa senang bila kita melakukan ibadah di makam ini.”


Akhirnya mereka sepakat memutuskan untuk menetap di sana sehingga bila salah seorang diantara mereka meninggal dunia, maka sahabat yang meninggal dunia itu pasti mereka makamkan di samping makam sahabatnya yang telah terlebih dahulu meninggal dunia.


Kisah-kisah Insan Bertaubat. Siri 1

PENDITA BANI ISRAIL YANG TERGODA...

Mughais b. Sumayyin meriwayatkan bahawa dahulu, di kalangan Bani Israil ada seorang pendita yang mengerjakan ibadah di tempat ibadahnya selama 60 tahun.


Pada suatu hari ia mengarahkan pandangannya kearah langit, kemudian ia pula merasa kagum pada bumi. Dalam hatinya berkata: “Alangkah baiknya jika aku turun dari bukit ini kemudian mendaki sebuah bukit yang lain sambil melihat-lihat pemandangan alam ciptaan Tuhan.”


Akhirnya dengan berbekalkan sebuku roti, pendita itu turun dari tempat ibadahnya untuk memenuhi hasrat hatinya itu.


Dalam perjalanan, tiba-tiba ia bertemu dengan seorang fakir miskin yang sedang dalam kelaparan. Kerana merasa belas kasihan, sebuku roti yang berada di tangannya itu diberikan kepada fakir miskin tersebut.


Perjalanan yang sangat panjang dan meletihkan itu membuatkan pendita tersebut bertemu dengan berbagai macam pemandangan sehingga akhirnya ia berjumpa dengan seorang wanita yang sangat cantik yang datang merayunya dengan cara membuka aurat di hadapannya. Melihat hal yang demikian itu, pendita tersebut tidak dapat menahan hawa nafsunya sehingga akhirnya ia terjerumus kedalam lembah dosa.


Namun nasib malang menimpa pendita itu, tidak lama selepas ia melakukan perbuatan terkutuk tersebut, malaikat maut datang mencabut nyawanya.


Setelah pendita itu meninggal dunia, tidak lama kemudian, fakir miskin yang pernah diberinya sebuku roti dahulu pula meninggal dunia.


Di hadapan Allah, amal ibadah yang dilakukan oleh pendita tersebut yang lamanya 60 tahun lalu ditimbang bersama dengan perbuatan dosanya. Ternyata dalam timbangan tersebut, amal ibadahnya dapat dikalahkan oleh perbuatan dosanya.


Akan tetapi selepas itu ditimbang pula amalnya iaitu sebuku roti yang pernah diberikan dahulu kepada fakir miskin dengan perbuatan dosanya itu.


Ternyata dalam timbangan tersebut, amalnya yang berupa pemberian sebuku roti tersebut dapat mengalahkan semua dosa-dosanya.


Pengajaran dari kisah ini ialah :-


  • Zina adalah satu perbuatan yang keji dan hina

  • Perbuatan zina amat besar dosanya sehinggakan amalan yang dibuat selama 60 tahun tidak dapat menebusnya

  • Amalan bersedekah yang ikhlas walaupun dengan sebuku roti sangat besar ganjarannya dan amat berat timbangan pahalanya.


Kisah-kisah insan bertaubat siri 1

Wednesday, June 22, 2011

AIR TERJUN SG. TALAN, BINTONGAN, REMBAU

Cuaca panas yang tidak menentu sekarang ini membuatkan aku merasa rimas dan badan cepat merasa penat apatah lagi jika kurang minum air.

Pulang kerumah setiap petang dalam keadaan letih lesu setelah mengharungi kesesakan jalanraya hampir satu jam setiap hari membuatkan aku tidak dapat menjalankan aktiviti lain selain dari tidur sahaja setelah beberapa rutin harian dirumah telah diselesaikan.

Alangkah seronoknya jika aku tinggal dan bekerja di kampung kerana jauh dari hiruk pikuk dan kesibukan kota yang tidak pernah ada kesudahannya.

Dalam keadaan ini, teringat aku akan sebuah sungai yang terletak berhampiran dengan rumah ibu mertuaku yang terletak di hujung kampung dimana airnya sangat dingin serta dikelilingi pokok-pokok kelapa yang meliuk lintuk apabila ditiup angin dan anak-anak sawit yang baru ditanam.

Setiap hujung minggu jika ada kelapangan, aku sekeluarga akan pulang ke Rembau untuk menziarahi keluarga dan menghabiskan masa disiang hari dengan berendam di sungai bersama isteri dan anak-anak sebelum bertolak pulang ke Kuala Lumpur pada malamnya.

Kali terakhir aku berkesempatan mandi di sungai tersebut adalah pada Disember 2010. Walaupun aku ada pulang beberapa kali selepas itu tetapi masa tidak mengizinkan untuk aku dan keluarga mengunjungi tempat perkelahan itu lagi.

Aku rindukan kedamaian desa, sungai-sungai yang mengalir lesu dengan airnya yang dingin, kehijauan pokok-pokoknya, binatang-binatang ternakan yang lepas bebas meragut rumput dan kanak-kanak yang sedang bermain dengan penuh keriangan.

Bilakah masanya aku dapat mengunjungi lagi sungai tersebut, bermandi manda dan berendam dengan sepuasnya? Wallahuaklam...

Saksikan rakaman video dan gambar-gambar semasa aku membawa anak-anak mandi disungai tersebut pada penghujung tahun lepas.






Papan tanda peringatan kepada pengunjung
yang mengunjungi tempat perkelahan ini

'keris' simbol kekuatan pahlawan Melayu di zaman silam...
sekarang yang tinggal adalah keris tidak bersarung...
Dimana aku pernah tengok...?

Jalan masuk ke tempat perkelahan

Anak-anak riang dapat mandi sungai

Aku belum nak mandi lagi, layari internet dulu....
tapi ade ke line dalam hutan tu?


kebun kelapa sawit terletak berhampiran sungai

Pokok-pokok kelapa meliuk lentok ditiup angin

Sebuah surau terletak di hujung kampong

Tuesday, June 21, 2011

PAPA KEDANA AKIBAT CERAI ISTERI PERTAMA


Kamal menundukkan mukanya, Air matanya menitis. Kamal benar-benar menyesal menceraikan Wahida. Selama ini, Wahidalah yang banyak memberi inspirasi dalam hidupnya.


Wahidalah juga gadis pertama yang dicintainya dengan sepenuh hati. Tapi mengapa tergamak Kamal menceraikan Wahida dengan talak tiga? Kenapa?.


Memang banyak kebaikan Wahida. Dialah yang banyak membantu saya., dari seorang yang hidup susah, bergaji kecil, berjaya hidup mewah.


Asalnya hidup saya memang susah. Bayangkan ketika itu gaji saya sebagai pegawai kerajaan sungguh memeritkan. RM1,200, tidak cukup untuk hidup selesa di bandar besar seperti Kuala Lumpur.


Wahida pula tidak bekerja. Pendapatan sekecil itu sungguh memeritkan. Setelah dua tahun berkahwin, saya dikurniakan seorang cahaya mata. Kehadiran anak membuatkan saya perlu bekerja dengan lebih kuat lagi untuk menyara hidup kami sekeluarga. Tetapi sebagai kakitangan kerajaan, saya dilarang melakukan pekerjaan lain.


Akhirnya, disebabkan terlalu terdesak, saya membuat pinjaman bank. Duit pinjaman itu saya gunakan untuk membeli keperluan rumah dan membayar semua hutang yang tertunggak. Tidak sampai setahun, wang pinjaman bank habis dibelanjakan. Saya berasa semakin terhimpit dek kerana hendak membayar hutang bank setiap bulan.


Wahida tidak pernah lekang memberi semangat kepada saya supaya bersabar. Katanya mungkin ini adalah ujian dari Allah. Gaji yang saya perolehi cukup untuk menampung kehidupan saya selama seminggu sahaja. Selebihnya saya terpaksa ikat perut ke pejabat.


Oleh kerana tidak ada cara lain untuk memberi makan kepada anak dan isteri, saya terpaksa berhutang dengan kawan-kawan. Cara ini sahaja dapat saya lakukan untuk menampung perbelanjaan. Saya gali hutang sana, bayar hutang sini.


Wahida sering berpesan supaya jangan berhutang. Mungkin hutang boleh buat hidup saya merana. Tetapi saya tidak ada cara lain.


Akhirnya Wahida ambil keputusan buat kuih-muih untuk ringan beban hutang saya. Wang hasil jualan walaupun tidak besar tetapi bolehlah menampung sedikit sebanyak perbelanjaan keluarga. Wahida juga ambil upah menjaga anak-anak jiran. Dapatlah sedikit sebanyak membantu saya meringankan bebanan saya.


Suatu hari saya bertemu seorang kawan lama dan dia menawarkan supaya saya menjadi rakan kongsinya dalam bidang landskap dengan modal RM50 ribu.


Macam mana kami hendak mencari modal sebanyak RM50 ribu untuk memulakan perniagaan ini? Hendak pinjam dengan bank memang tidak dapat. Kawan-kawan pula bukan kata hendak bagi pinjam, mereka sekarang sibok meminta supaya saya membayar wang mereka.


Wahida tidak henti-henti memberikan harapan supaya saya terus berusaha dan tidak berputus asa. Secara senyap-senyap, Wahida telah meminjam wang dari abang dan ayahnya tanpa pengetahuan saya.


Lima bulan kemudian, barulah Wahida memberitahu saya dia berjaya mengumpul wang sebanyak RM50 ribu. Ketika itu saya berasa sungguh terharu dengan kesungguhannya. Saya berterima kasih kepada Wahida. Kami pun memulakan perniagaan. Pada tahun kedua, perniagaan saya telah mendapat sedikit keuntungan.


Makin hari, perniagaan saya telah bertambah maju sehinggalah saya dapat membeli sebuah rumah dan kereta yang agak mewah untuk Wahida. Perniagaan saya terus menerus mendapat keuntungan besar. Sepuluh tahun mengembangkan perniagaan itu, ekonomi saya telah pulih sepenuhnya.


Suatu hari, saya telah bertemu dengan seorang gadis. Potongan gadis itu sungguh lawa dan menggoda. Siapa yang melihat gadis itu pasti tergoda. Penangan gadis itu membuatkan saya tidak dapat tidur lena. Setiap malam wajah gadis itu bermain-main di mata saya. Maklumlah pucuk muda baru hendak bercambah.


Saya pun mula memikat gadis itu dengan segala harta yang saya ada. Setelah hampir dua bulan menjalinkan cinta, kami membuat keputusan untuk berkahwin.


Suatu malam, saya menyatakan hasrat untuk tambah satu lagi cawangan kepada Wahida. Tapi hasrat saya telah dihalang.


“Abang! Kenapa abang nak kahwin lagi? Apa kurangnya saya, bang!” kata Wahida sambil air matanya laju menuruni pipi.


Wahida masih berkeras tidak membenarkan saya memadukannya. Pertengkaran malam itu berterusan. Saya pun tidak tahu kenapa saya berkelakuan demikian. Tidak pernah dalam sejarah saya menampar orang. Tapi malam itu Wahida orang pertama yang menerima tamparan saya.


Pang!, Wahida terjelepok jatuh. Wahida memegang pipinya. Air matanya makin deras mengalir gugur ke pipinya. Wahida merenung tajam muka saya.


“Sampai hati tampar saya. Baik! Kalau abang hendak berkahwin lagi, abang ceraikan saya. Ceraikan!!!” bentak Wahida.


Saya terkedu seketika. Perasaan bercampur baur. Saya masih sayangkan Wahida, tetapi saya juga cintakan gadis itu. Adakah patut saya lepaskan Wahida yang selama ini telah banyak berkorban untuk saya? Ya Allah! Berikanlah jawapan kepada saya.


Wahida terus mendesak saya. Kepala saya menjadi serabut. Saya tidak dapat membuat keputusan dengan waras. Akhirnya saya sekali lagi dirasuk. Saya menjadi berang. Sekali lagi saya menampar pipi Wahida.


“Baiklah! Kalau itu yang kau mahu, sekarang ini aku ceraikan engkau dengan talak tiga,” saya melafazkan cerai.


Wahida terkulai di atas sofa. Dia menangis teresak-esak. Wahida terus berlari masuk kedalam bilik lalu menghempaskan badannya keatas katil. Dia menangis semahunya.


Saya duduk di atas kerusi. Tiba-tiba kekesalan menyelubungi diri saya. Ya Allah! Apa yang sudah saya lakukan?


Kalau boleh saya ingin lupakan kejadian pahit ini tapi tak boleh. Saya masih dihantui biar ke mana saja saya pergi. Benarlah kata ibu, penyesalan saya tidak berguna lagi. Saya cuba buang perasaan penyesalan itu. Saya mahu membina hidup baru bersama gadis itu. Saya harap gadis itu akan membawa sinar baru kepada saya .


Ibu mendapat tahu tentang perceraian saya dengan Wahida. Ibu terus memarahi saya. Dia mengatakan saya terburu-buru menjatuhkan talak tiga. Kata ibu, masih ada jalan untuk selamatkan rumah tangga selain bercerai berai. Talak tiga pasti akan membuat hidup saya merana.


“Jika isteri pertama yang sanggup bersusah payah engkau sanggup ceraikan, pasti hidup tidak akan senang. Hidup akan menjadi papa kedana. Kau tengoklah nanti,” kata ibu.


Saya lihat ibu benar-benar kecewa dengan perceraian itu. Tapi bagi saya, itu semua adalah kata-kata mereka yang kecewa. Bagi saya selagi kita mempunyai niat yang baik, rumah tangga kita akan aman sentosa.


Benar, setelah dua bulan berumah tangga, perniagaan saya mengalami kerugian. Rakan kongsi saya Zamri, telah menganiayai saya. Dia telah merampas semua pelanggan saya dan juga projek-projek milik saya. Dia telah membuka perniagaannya sendiri.


Saya jadi tidak keruan. Saya mengalami banyak kerugian. Perniagaan saya kini hanya tinggal nyawa-nyawa ikan. Banyak projek tidak dapat dijalankan kerana kekurangan modal. Saya cuba meminta pertolongan dari isteri muda, tetapi dia tidak mahu membantu. Kehidupan saya kembali terhimpit.


Isteri muda pula terlalu mendesak supaya saya memberikan wang kepadanya setiap bulan. Tetapi saya tidak mampu. Perhubungan saya dengan isteri kedua mulai renggang dan mahligai yang dibina tidak sampai setahun akhirnya berkecai. Kami bercerai. Saya terus menduda.


Perniagaan yang diusahakan selama 10 tahun terpaksa ditutup. Saya terkontang-kanting. Hidup saya kembali dikelilingi hutang. Setiap hari saya diburu oleh pihak bank dan juga kawan-kawan untuk meminta hutang. Saya terpaksa mengelak dan cuba melarikan diri. Kereta saya juga telah ditarik. Segala harta benda saya telah disita oleh bank. Saya telah hilang segala-galanya.


Bukan saja harta yang telah hilang, tetapi saya juga telah hilang seorang kekasih yang sanggup sehidup semati dengannya. Andai dapat saya undurkan waktu, sudah tentu Wahida tidak akan saya ceraikan. Tapi apa boleh buat, itu semua sudah berlaku. Saya tersilap percaturan. Saya tak kenal yang mana kaca dan yang mana permata.


Memang benar kata ibu, saya tewas dibuai nafsu sehinggakan saya buta hati tidak nampak kebahagiaan di depan mata.


Kepada pembaca, jangan jadi seperti saya. Hidup saya merana akibat ceraikan isteri pertama. Sekelip mata, saya hilang semua apa yang saya sayang. Saya jadi papa kedana.


Benarlah seperti firman Allah dalam surah An-Nisa’, ayat 19 yang bermaksud :


“Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu (merasai) benci kepada mereka (disebabkan tingkah lakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu).


Kisah ini terjadi kepada Kamal, 48. Sehingga sekarang, Kamal masih menduda dan menyesali nasibnya bercerai talak tiga dengan isteri pertamanya, Wahida 41, Wahida kini juga masih menjanda.





Mastika 10/2010

DAHSYATNYA DOA SEORANG IBU

Ustaz Abdullah Mahmood sedang menyampaikan kuliah

Assalamualaikum Semua,

Satu ceramah bertajuk "Dasyatnya Doa Seorang Ibu" oleh Ustaz Abdullah Mahmud, bekas ustz ATM sungguh menarik dan jarang kita dengar. So kepada semua, luangkan sedikit masa berharga dengan membaca sedutan ceramah istimewa ini untuk kita sama-sama hayati dan amalkan sekadar mampu.

Ibu Kita dan Kita Sebagai Ibu
Lapangnya masa kita ada kaitan dengan keberkatan hidup kita. Kita adalah di bawah siksa Allah bila ada masa untuk buat benda tak baik tapi takdak masa nak buat yang baik. Jika kita tak pernah kecukupan duit maksudnya kita disiksa Allah.

Setitik air mata ibu jatuh, 10 kebajikan anak hilang so ibu2 jangan jatuh air mata ye dan anak jangan bagi ibu jatuh air mata. Menangis kerana anak berjaya dan bukan sedih kerana angkara anak.

Kalau balik tengah malam, buka lampu tengok dan tatap muka ibu, sebab wajah orang tidur akan menampakkan segalanya.

Ada 3 mata yang tak dijilat api neraka.

1. Melihat kaabah sehingga menitis air mata.
2. Membaca quran sehingga menitis air mata.
3. Memandang wajah ibu yg sedang tidur hingga berlinang air mata.

3 orang yg kita kena tengok dan selalu pandang dalam hidup, tengok masa tidor!
  • Anak.
  • Ibu.
  • Suami.
Sebagai selingan kata ustaz lagi, kalau kita ada berselisih faham dengan suami sampai nak bercerai, tengoklah muka suami kita tika dia tidor - kalau masih terbit perasan kasih, sayang, cinta, rindu atau simpati, janganlah bercerai tapi jika tiada timbul rasa itu semua - maksudnya jodoh dah memang takde, boleh proceed apa yang patut..

Orang yang selalu menatap dan memandang ibunya takkan menangis di hari kematian ibunya... kira menangis dalam hati je..Bagi siapa yg masih ada ibu, pandang lah ibumu selalu.

Adalah menjadi satu dosa jika kita mengguna jari telunjuk untuk menujukkan sesuatu pada ibu.

Kalau ada niat yang baik teruskan lah.. Allah akan bersama kita.

Kalau tak mampu lakukan sesuatu, pasang niat pun mencukupi, sebagai contoh, tak mampu tolong orang, niat nak tolong pun dah memadai.

Kalau kita tak mampu letakkan diri kita di tempat yang terbaik, Allah akan letakkan kita di tempat terbaik dengan syarat letakan ibu kita di tempat yang terbaik terlebih dulu.

Ada kaedah yang mana kita boleh minta pada Allah, "ungkit" kebaikan yang menimpa dengan tujuan untuk makbulkan doa kita. Kaedah tu dipanggil "wasilah amal" .

"Ya Allah semalam aku sudah bersedekah sebanyak RM1, kalau itu satu kebaikan jadikanlah ia penyebab makbulnya doaku ini".

Paling banyak buat baik dengan ibu kita, lagi mustajab. Makna dia wasilah amal ni sangat berkesan kalau yg dituntut tadi adalah hal yang berkaitan kebaikan yang dibuat kepada ibu kita.

Antara lain yang boleh dituntut adalah apabila kita ditimpa sakit/musibah.

Kalau ditimpa sakit, baca laa Innalillahiwainnaillaihirojjiun,,, lepas tu bicaralah dengan Allah..

"Ya Allah, berilah pahala besar untuk sakit yang aku tanggung ini" .

"Ya Allah, bagilah aku keampunan dosa atas sakit ku ini" .

Even suapkan anak pun kita boleh tuntut, apatah lagi sedekah kepada ibu dan orang yang memerlukkan.

Barang siapa yang tidak mendoakan ibu selepas sembahyang buat ibu yang sudah meninggal maka dikira dia anak derhaka walaupun pada waktu ibunya hidup dia tak pernah menderhaka. Maksudnya jika ibu masih hidup atau telah tiada, selepas setiap solat kita mesti doakannya!

Doa orang yang masih hidup makbul untuk orang yang hidup dan mati. Jadi doakan ibu kita jika ianya telah tiada.

Doa orang yang mati makbul untuk orang yang masih hidup.

Masa ni ustaz tu bagi contoh sadis sket..sedeh gak laa.. pi ke pusara mak kita cakap.."Mak, esok anak saya nak kawin, kalau mak ada tentu mak bahagia tengok cucu mak kawinkan" atau "bapa saya nak kawin esok, kalau bapa ada, pasti bapa akan gembira tengok sayakan.." Ustaz kata luahkan kepada ibu/bapa yang telah tiada kerana mereka mendengar dan mereka boleh mendoakan kita dari sana .

Bila lalu kubur, perlahankan dan beri salam! Mereka akan doakan kita "berkatilah si A ini" dan jika tak bagi salam, mereka akan kata "celakahlah orang ini" Jadi, jangan lupa bagi salam pd merika.

Tanda tanda siksa Allah atas muka bumi ni antara lain simpan harta sampai mati tak pernah keluarkan zakat.

Sesiapa yang bersedekah selalu, takkan miskin orang itu selamanya..

Bila nak berbelanja @ shopping untuk sedekah kerana dalam duit kita tu ada hak org susah. Jadi bila orang buta datang masa makan, bagi laa duit sebab kita nak cari org susah untuk sedekah dah amat susah masa sekrg and takde masa jadi Allah hantarkan org2 susah ini untuk kita dapatkan pahala!.

Jika mak kita sudah meninggal dan semasa hayatnya kita ada peruntukkan wang untuk dia, bila mak kita dah takde teruskan memberi peruntukkan tu sebagai sedekah. Jangan kurangkan peruntukkan!! "Ya Allah, aku sedekahkan bagi pihak ibuku, semoga pahala sedekah ni sampai kepada ibuku". Itu yang yang buat ibu kita bahagia di sana .

Kalau kita susah nak bersedekah, bayangkan wajah ibu kita baru kita ringan tangan nak bersedekah.

Allah panjangkanlah usia ibu bapaku supaya dia sakit dan nyanyuk..ini bertujuan memberi syurga pada anak2nya. Doa ini bukan bermaksud minta mereka sakit or nyanyok..ironinya keadaan demikian membolehkan anak2 berebut mahu menjaga mereka disaat mereka dlm keuzuran itu sbb balasannya adalah syurga. Jadi kalau tahu ibu/bapa sakit, berebutlah menjaga ibu/bapa kita. Besar sangat pahalanya.

Allah kalau boleh taknak kita masuk neraka jadi Allah takkan matikan seseorang dalam keadaan kotor dan berdosa jadi dia bagi kita sakit/malu/miskin untuk membersihkan kita sebelum dia mengambil kita.

Selalu Bergaduh Dengan Ibu

Jika ada antara kita yang selalu bergaduh dengan ibu, ada kemungkinan kita diganggu saka.

Antara ganguan saka, selalu mimpi bayi/budak. Dukung bayi, susu bayi or selalu mimpi jatuh dari tempat tinggi/ selalu sakit tulang belakang/ tulang belakang bengkok/ rasa mengantuk selepas asar.

Saka dipindahkan melalui Kasih sayang/ Harta pusaka, walaupun sebiji pinggan / Amalan / Sentuhan.

Symptom terkena saka:

Tak boleh tidor lena tapi bila dekat azan subuh, senang lena.

Bila dah peringkat teruk, di usia tua kita, tgh malam selalu lapar.

Susah nak dapat anak, senang gugur.

Ada rasa kelibat orang lalu.

Yang lagi parah, saka bersetubuh dgn kita, mengandung tapi anak hilang dalam kandungan jadi bila nak beintim, bercakap laa sedikit kerana saka menyerupai suami kita dan dia datang dalam keadaan diam.

Cara hilangkan saka, Zikir "Laillahaillalah" 700,000 sampai habis, insyallah saka akan cair dan keluar dari badan.

Antara penyakit saka adalah breast cancer, cancer rahim and cancer tulang.

3 penyakit yang tiada ubat yang penyakitnya adalah datang dari syaitan adalah cancer, aids and leukemia.

Kalau ibu kita sakit cancer dan dia tak mampu berzikir, kita tolong zikirkan.

Kalau ada penyakit was was, bacalah surah al-ikhlas.. "Qulhuwallahuahad..." 1000x sehari.

Anak Lari Dari Rumah

Kalau anak lari dari rumah, gantungkan bajunya dihanger dan anginkan dan hadiahkan surah al-ikhlas setiap hari.

Masa lauangan azan yang pertama, panggilah nama anak kita, insyallah akan sampai panggilan kita kepadanya.

Anak Degil

Bila anak dah tidor, duduk di hujung kepala pangil ROH ANAK

Wahai roh anakku "nama anak", jadilah kamu roh yang baik, roh yang bertimbang rasa pada ibu dan bapa, roh yang taat pada Allah, roh yang sayang sesama manusia. Respon dari org yang dah try sungguh menakjubkan setakat ni alhamdullilah kebanyakannya menjadi. Contoh kalu kita nak anak senang bangun ke sekolah.. just try and see.

Wallahualam....