Tuesday, June 21, 2011

PAPA KEDANA AKIBAT CERAI ISTERI PERTAMA


Kamal menundukkan mukanya, Air matanya menitis. Kamal benar-benar menyesal menceraikan Wahida. Selama ini, Wahidalah yang banyak memberi inspirasi dalam hidupnya.


Wahidalah juga gadis pertama yang dicintainya dengan sepenuh hati. Tapi mengapa tergamak Kamal menceraikan Wahida dengan talak tiga? Kenapa?.


Memang banyak kebaikan Wahida. Dialah yang banyak membantu saya., dari seorang yang hidup susah, bergaji kecil, berjaya hidup mewah.


Asalnya hidup saya memang susah. Bayangkan ketika itu gaji saya sebagai pegawai kerajaan sungguh memeritkan. RM1,200, tidak cukup untuk hidup selesa di bandar besar seperti Kuala Lumpur.


Wahida pula tidak bekerja. Pendapatan sekecil itu sungguh memeritkan. Setelah dua tahun berkahwin, saya dikurniakan seorang cahaya mata. Kehadiran anak membuatkan saya perlu bekerja dengan lebih kuat lagi untuk menyara hidup kami sekeluarga. Tetapi sebagai kakitangan kerajaan, saya dilarang melakukan pekerjaan lain.


Akhirnya, disebabkan terlalu terdesak, saya membuat pinjaman bank. Duit pinjaman itu saya gunakan untuk membeli keperluan rumah dan membayar semua hutang yang tertunggak. Tidak sampai setahun, wang pinjaman bank habis dibelanjakan. Saya berasa semakin terhimpit dek kerana hendak membayar hutang bank setiap bulan.


Wahida tidak pernah lekang memberi semangat kepada saya supaya bersabar. Katanya mungkin ini adalah ujian dari Allah. Gaji yang saya perolehi cukup untuk menampung kehidupan saya selama seminggu sahaja. Selebihnya saya terpaksa ikat perut ke pejabat.


Oleh kerana tidak ada cara lain untuk memberi makan kepada anak dan isteri, saya terpaksa berhutang dengan kawan-kawan. Cara ini sahaja dapat saya lakukan untuk menampung perbelanjaan. Saya gali hutang sana, bayar hutang sini.


Wahida sering berpesan supaya jangan berhutang. Mungkin hutang boleh buat hidup saya merana. Tetapi saya tidak ada cara lain.


Akhirnya Wahida ambil keputusan buat kuih-muih untuk ringan beban hutang saya. Wang hasil jualan walaupun tidak besar tetapi bolehlah menampung sedikit sebanyak perbelanjaan keluarga. Wahida juga ambil upah menjaga anak-anak jiran. Dapatlah sedikit sebanyak membantu saya meringankan bebanan saya.


Suatu hari saya bertemu seorang kawan lama dan dia menawarkan supaya saya menjadi rakan kongsinya dalam bidang landskap dengan modal RM50 ribu.


Macam mana kami hendak mencari modal sebanyak RM50 ribu untuk memulakan perniagaan ini? Hendak pinjam dengan bank memang tidak dapat. Kawan-kawan pula bukan kata hendak bagi pinjam, mereka sekarang sibok meminta supaya saya membayar wang mereka.


Wahida tidak henti-henti memberikan harapan supaya saya terus berusaha dan tidak berputus asa. Secara senyap-senyap, Wahida telah meminjam wang dari abang dan ayahnya tanpa pengetahuan saya.


Lima bulan kemudian, barulah Wahida memberitahu saya dia berjaya mengumpul wang sebanyak RM50 ribu. Ketika itu saya berasa sungguh terharu dengan kesungguhannya. Saya berterima kasih kepada Wahida. Kami pun memulakan perniagaan. Pada tahun kedua, perniagaan saya telah mendapat sedikit keuntungan.


Makin hari, perniagaan saya telah bertambah maju sehinggalah saya dapat membeli sebuah rumah dan kereta yang agak mewah untuk Wahida. Perniagaan saya terus menerus mendapat keuntungan besar. Sepuluh tahun mengembangkan perniagaan itu, ekonomi saya telah pulih sepenuhnya.


Suatu hari, saya telah bertemu dengan seorang gadis. Potongan gadis itu sungguh lawa dan menggoda. Siapa yang melihat gadis itu pasti tergoda. Penangan gadis itu membuatkan saya tidak dapat tidur lena. Setiap malam wajah gadis itu bermain-main di mata saya. Maklumlah pucuk muda baru hendak bercambah.


Saya pun mula memikat gadis itu dengan segala harta yang saya ada. Setelah hampir dua bulan menjalinkan cinta, kami membuat keputusan untuk berkahwin.


Suatu malam, saya menyatakan hasrat untuk tambah satu lagi cawangan kepada Wahida. Tapi hasrat saya telah dihalang.


“Abang! Kenapa abang nak kahwin lagi? Apa kurangnya saya, bang!” kata Wahida sambil air matanya laju menuruni pipi.


Wahida masih berkeras tidak membenarkan saya memadukannya. Pertengkaran malam itu berterusan. Saya pun tidak tahu kenapa saya berkelakuan demikian. Tidak pernah dalam sejarah saya menampar orang. Tapi malam itu Wahida orang pertama yang menerima tamparan saya.


Pang!, Wahida terjelepok jatuh. Wahida memegang pipinya. Air matanya makin deras mengalir gugur ke pipinya. Wahida merenung tajam muka saya.


“Sampai hati tampar saya. Baik! Kalau abang hendak berkahwin lagi, abang ceraikan saya. Ceraikan!!!” bentak Wahida.


Saya terkedu seketika. Perasaan bercampur baur. Saya masih sayangkan Wahida, tetapi saya juga cintakan gadis itu. Adakah patut saya lepaskan Wahida yang selama ini telah banyak berkorban untuk saya? Ya Allah! Berikanlah jawapan kepada saya.


Wahida terus mendesak saya. Kepala saya menjadi serabut. Saya tidak dapat membuat keputusan dengan waras. Akhirnya saya sekali lagi dirasuk. Saya menjadi berang. Sekali lagi saya menampar pipi Wahida.


“Baiklah! Kalau itu yang kau mahu, sekarang ini aku ceraikan engkau dengan talak tiga,” saya melafazkan cerai.


Wahida terkulai di atas sofa. Dia menangis teresak-esak. Wahida terus berlari masuk kedalam bilik lalu menghempaskan badannya keatas katil. Dia menangis semahunya.


Saya duduk di atas kerusi. Tiba-tiba kekesalan menyelubungi diri saya. Ya Allah! Apa yang sudah saya lakukan?


Kalau boleh saya ingin lupakan kejadian pahit ini tapi tak boleh. Saya masih dihantui biar ke mana saja saya pergi. Benarlah kata ibu, penyesalan saya tidak berguna lagi. Saya cuba buang perasaan penyesalan itu. Saya mahu membina hidup baru bersama gadis itu. Saya harap gadis itu akan membawa sinar baru kepada saya .


Ibu mendapat tahu tentang perceraian saya dengan Wahida. Ibu terus memarahi saya. Dia mengatakan saya terburu-buru menjatuhkan talak tiga. Kata ibu, masih ada jalan untuk selamatkan rumah tangga selain bercerai berai. Talak tiga pasti akan membuat hidup saya merana.


“Jika isteri pertama yang sanggup bersusah payah engkau sanggup ceraikan, pasti hidup tidak akan senang. Hidup akan menjadi papa kedana. Kau tengoklah nanti,” kata ibu.


Saya lihat ibu benar-benar kecewa dengan perceraian itu. Tapi bagi saya, itu semua adalah kata-kata mereka yang kecewa. Bagi saya selagi kita mempunyai niat yang baik, rumah tangga kita akan aman sentosa.


Benar, setelah dua bulan berumah tangga, perniagaan saya mengalami kerugian. Rakan kongsi saya Zamri, telah menganiayai saya. Dia telah merampas semua pelanggan saya dan juga projek-projek milik saya. Dia telah membuka perniagaannya sendiri.


Saya jadi tidak keruan. Saya mengalami banyak kerugian. Perniagaan saya kini hanya tinggal nyawa-nyawa ikan. Banyak projek tidak dapat dijalankan kerana kekurangan modal. Saya cuba meminta pertolongan dari isteri muda, tetapi dia tidak mahu membantu. Kehidupan saya kembali terhimpit.


Isteri muda pula terlalu mendesak supaya saya memberikan wang kepadanya setiap bulan. Tetapi saya tidak mampu. Perhubungan saya dengan isteri kedua mulai renggang dan mahligai yang dibina tidak sampai setahun akhirnya berkecai. Kami bercerai. Saya terus menduda.


Perniagaan yang diusahakan selama 10 tahun terpaksa ditutup. Saya terkontang-kanting. Hidup saya kembali dikelilingi hutang. Setiap hari saya diburu oleh pihak bank dan juga kawan-kawan untuk meminta hutang. Saya terpaksa mengelak dan cuba melarikan diri. Kereta saya juga telah ditarik. Segala harta benda saya telah disita oleh bank. Saya telah hilang segala-galanya.


Bukan saja harta yang telah hilang, tetapi saya juga telah hilang seorang kekasih yang sanggup sehidup semati dengannya. Andai dapat saya undurkan waktu, sudah tentu Wahida tidak akan saya ceraikan. Tapi apa boleh buat, itu semua sudah berlaku. Saya tersilap percaturan. Saya tak kenal yang mana kaca dan yang mana permata.


Memang benar kata ibu, saya tewas dibuai nafsu sehinggakan saya buta hati tidak nampak kebahagiaan di depan mata.


Kepada pembaca, jangan jadi seperti saya. Hidup saya merana akibat ceraikan isteri pertama. Sekelip mata, saya hilang semua apa yang saya sayang. Saya jadi papa kedana.


Benarlah seperti firman Allah dalam surah An-Nisa’, ayat 19 yang bermaksud :


“Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu (merasai) benci kepada mereka (disebabkan tingkah lakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu).


Kisah ini terjadi kepada Kamal, 48. Sehingga sekarang, Kamal masih menduda dan menyesali nasibnya bercerai talak tiga dengan isteri pertamanya, Wahida 41, Wahida kini juga masih menjanda.





Mastika 10/2010

No comments:

Post a Comment