Friday, December 14, 2012

SEPARUH MASA PERTAMA 45 MINIT...

SMS yang aku hantar kepada dua rakan, seorang di Kuala Lumpur dan seorang lagi di Raub yang meramalkan Malaysia akan kalah 2 - 0 pada perlawanan bolasepak Piala AFF Suzuki separuh akhir ke dua di Bangkok, Thailand 8 malam tadi menepati ramalan.

Sepertimana yang aku katakan sebelum ini bahawa kekuatan pasukan Malaysia dalam apa-apa sukan sekalipun, bukanlah kekuatan 'original' kerana jika mereka menang adalah kerana semangat yang di suntik oleh para penyokong setia yang tidak putus-putus memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada mereka.

Ada yang lebih ekstrem pula berkata bahawa 'penyokong-penyokong setia' pun bukan original juga sebab mereka pun di taja atau di bayar supaya nampak pasukan Malaysia mendapat sokongan rakyatnya padahal ramai yang menukar channel jika ada Liga Perdana England atau kejohanan bolasepak Eropah bermain pada waktu yang sama dengan kejohanan di rantau Asia terutama yang melibatkan Pasukan Malaysia. 

Kita tinggalkan Piala Suzuki AFF kerana aku ada satu maklumat mengenai permainan bolasepak yang hendak di kongsikan bersama dengan pembaca sekelian... 

Sejarah Separuh Masa Pertama 45 Minit...

Saintis sukan dan pemain-pemain veteran juga tidak dapat memberikan jawapan yang tepat kenapa masa perlawanan bolasepak bagi setiap separuh masa pertama adalah 45 minit dan bukannya 30 minit atau satu jam.

Apabila diajukan dalam forum sukan, tiada jawapan yang tepat dapat diterima, Cumanya ada seorang peserta yang dapat memberikan jawapan yang logik dan diterima akal walaupun kurang tepat.

Lelaki itu menjawab: "Sebab mengapa bolasepak di mainkan selama 45 minit pada separuh masa pertama ialah...Cuba anda fikir....Terdapat dua pasukan dalam satu perlawanan bolasepak. Satu pasukan ada 11 pemain dan setiap pemain membawa '2 biji bola mereka' setiap masa di dalam padang.

Jadi bagi kedua-dua pasukan yang mempunyai 22 orang pemain yang membawa bola masing-masing menjadikan jumlahnya sebanyak 44 biji. Dalam perlawanan pula ada sebiji bola yang direbut menjadikan bola yang ada di dalam padang sebanyak 45 biji. Oleh itu logik lah jika perlawanan bolasepak bagi separuh masa pertama 45 minit, tidak boleh lebih dan tidak boleh kurang.

Dalam sesuatu kes pula atau mana lah tau jika refree tersalah tiup wisel menjadikan masa terlajak 2 minit. Itu senang saja jawapannya sebabnya, refree pun bawa bola dia 2 biji juga, jadi 2 minit terlajak tu bola refree lah...

"He...he...hee, Jangan marah! kalau marah pun tak guna sebab Pasukan Bolasepak kita pun dah kalah 2 - 0

Thursday, December 13, 2012

MAWAR UNTUK IBU...

Seorang pemuda pergi ke kedai bunga. Hari itu hari jadi ibunya. Dia mahu memesan sejambak bunga mawar untuk dikirimkan buat ibunya di kampung.

"Yang penting aku tetap mengingati ibu. Buktinya, bunga ini ku hantar sebagai tanda ingatan, bila ada waktu terluang nanti, baru lah aku pulang menjenguk ibu," getus pemuda tadi.

Sambil menunggu mawarnya di gubah, pemuda itu terpandang seorang kanak-kanak perempuan berusia dalam lingkungan tujuh tahun di luar kedai bunga itu. Gadis kecil itu sedang menangis. Lantas pemuda itu keluar dan menegurnya: "Adik! kenapa menangis?"

Dalam sedu sedannya, gadis kecil itu menjawab: "Adik nak beli bunga untuk ibu tapi duit tak cukup!" Gadis kecil itu sedih. Dia hanya ingin membeli setangkai bunga mawar dalam kedai itu, tapi wang dalam sakunya tidak mencukupi.

Pemuda itu tersenyum, lantas memujuknya. "Jangan menangis, marilah abang belikan mawar itu untuk adik!"

Serta merta riak pilu hilang dari wajahnya...Matanya bersinar. Garis keceriaan terlukis kembali di bibirnya. Bagi pemuda itu, apalah sangat setakat setangkai mawar itu. bertangkai lagi mawar mampu di belinya. Yang penting, biarlah gadis kecil itu gembira dapat memberikan mawar itu buat ibunya.

Setelah selesai urusannya dan hendak pulang, pemuda itu mengajak gadis kecil itu: "Mari, abang tolong hantarkan!"

"Betul bang? Tolong hantarkan adik ke tempat ibu adik ye, tak jauh pun dari sini," Jawabnya gembira.

Pemuda itu tersenyum. Kereta di pandunya bergerak menuju arah laluan yang ditunjukkan gadis kecil itu. Sampai di destinasinya, pemuda itu terpinga-pinga apabila gadis kecil itu memintanya berhenti di tepi sebuah kawasan perkuburan.

"Terima kasih, abang," Ujar gadis kecil itu lalu keluar dari keretanya.

Masih dalam tanda tanya, mata pemuda itu mengikuti langkah gadis kecil itu berjalan di celah-celahan batu nisan hinggalah dia sampai ke salah sebuah kubur, gadis kecil itu meletakkan setangkai mawar yang di belikannya tadi.

Entah mengapa, kelopak mata pemuda itu mula di genangi air. Dadanya terasa sebak. Serta merta dia teringatkan ibunya di kampung. Pemuda itu memandu keretanya kembali semula ke kedai bunga tadi. Dia lantas membatalkan kiriman bunga itu. Sebaliknya, jambangan mawar yang di pesannya itu diambil, dibawa masuk ke dalam kereta.

Tanpa berfikir panjang, pemuda itu segera memandu pulang ke kampung untuk menemui ibunya...            


Tuesday, December 11, 2012

TAJ MAHAL DAN KEINDAHAN KASHMIR...


Taj Mahal...

Taj Mahal bukan saja ajaib, tetapi penuh dengan legenda yang akan membuat sesiapa saja terpegun. Bayangkan, monumen itu yang di bina oleh Shah Jahan untuk menempatkan kubur isteri tercintanya Mumtaz, mengambil masa selama 22 tahun untuk di siapkan.

Marmar putih di angkut beratus-ratus kilometer dari Agra menggunakan seribu ekor gajah, batu-batu berharga seperti jed, kristal,turquoise dan lapis lazuli di import dari China, Tibet, Sri Lanka dan Asia Barat, di bina oleh 22,000 pekerja dan kononnya selepas monumen itu siap tersergam, pekerja-pekerja berkenaan di potong tangannya. 

Rupa-rupanya Shah Jahan mahu membina sebuah lagi 'Taj Mahal' di seberang Sungai Yamuna menggunakan marmar hitam pula. Kemudian, membina jambatan untuk menghubungkan kedua-dua Taj Mahal itu. Tetapi hasratnya itu telah di tentang oleh puteranya Aurangzeb.

Aurangzeb mengurung Shah Jahan di istana merah dua kilometer dari situ sampailah Shah Jahan meninggal dunia lapan tahun kemudian. Di katakan dalam tempoh itu Shah Jahan sering meratap sambil memandang Taj Mahal hingga matanya menjadi buta.

Rupa-rupanya juga dahulu, terdapat seorang permaisuri yang sangat jelita serta sering menyanyikan lagu-lagu cinta dan rindu di Kashmir. Permaisuri itu kemudian menjadi gila, merayau-rayau di dalam hutan dengan pakaian compang-camping sambil bersyair kerana mencari-cari suaminya seorang raja yang hilang tanpa berita setelah di tangkap oleh Akhbar The Great.  

 
Peta Kashmir...

Ini adalah sebuah kisah benar yang terjadi di Kashmir, sebuah wilayah yang sangat indah di India yang di kelilingi oleh gunung-ganang bersalji. Di gunung-gunung inilah Shah Rukh Khan, Shilpa Shetty, Amir Khan, Aishwarya Rai dan pelakon-pelakon Bollywood lain sering beraksi dalam filem-filem mereka.

 
Salah satu pemandangan indah 
di kaki gunung Kashmir...

 Keindahan India bukan saja terletak pada Taj Mahal dan Kashmirnya, tetapi juga pada manusia dan kehidupannya. Kata pepatah, dari hitam kita kenal yang putih. Dari susah, kita kenal senang. Dari buruk, kita kenal yang indah. Begitulah India.

Kita akan terpegun melihat kehidupan masyarakatnya: Dari yang melarat sampailah yang kaya raya, dari yang berkereta kuda hinggalah kereta bercermin gelap. Kita juga boleh melihat lembu bersepah di tengah-tengah kota Delhi, orang kencing di tepi jalan, kedai gunting rambut di bawah pokok, wanita tua menjinjing tahi lembu untuk di jadikan bahan bakar semasa memasak dan sebagainya.

 
Pemandangan biasa di India 
dengan kepadatan penduduknya... 

Jangan rasa geli. Semua itu sebenarnya menghasilkan pemandangan yang sangat pelik, lucu dan menakjubkan. Kita takkan menemuinya di mana-mana tempat lagi di dunia ini kecuali di India, pusat bermulanya pelbagai tamadun, budaya serta kepercayaan.

 
Gadis India yang cantik menawan 
dengan sari dan kulitnya yang halus... 

Dalam masa yang sama, Jika kita ke India, kita juga akan terpegun melihat kehebatan seni bina Taj Mahal dan Istana Merah. Tasik Dal yang bagaikan hamparan emas pada waktu senja, permaidani Kashmir yang halus serta sari sutera yang menjadi kegilaan wanita masa kini. Sambil itu, kita juga boleh melihat-lihat gadis-gadis yang cantik dan halus kulitnya.

Selain itu, India Gate menjadi tugu peringatan kepada lebih 90,000 orang tentera yang terkorban semasa mempertahankan negara itu daripada serangan British, taman-taman bunga di kaki gunung yang di bina oleh raja-raja Mughal, Masjid Jame' yang boleh menempatkan berpuluh-puluh ribu jemaah, bazar untuk membeli belah dan bermacam-macam lagi.

India adalah tempat untuk kita melihat keindahan, keajaiban dan keunikan hidup manusia. Kita akan gila untuk merakam gambarnya. Tidak hairanlah kalau Mark Twain juga sangat mengkagumi India hingga penyair tersohor itu berkata: "India adalah tempat bermulanya tamaddun manusia, tempat lahirnya bahasa, ibu kepada sejarah, datuk kepada legenda dan moyang kepada tradisi.

Sejarah manusia yang paling berharga dan bermaklumat, hanya terdapat di satu tempat, iaitu India.

Monday, December 10, 2012

JANGAN AMBIL HARTA SUNGAI FURAT...

Sungai Furat...

Namanya Sungai Eufrat atau Furat. Turut di kenali dengan nama lain iaitu Eupharates dan al-Furat yang bermaksud 'Air Paling Segar'. Sungai Furat antara sungai terpanjang di Asia Barat. Ia merentasi tiga buah negara iaitu Iraq, Syria dan Turki.

Sungai Furat menjadi saksi kepada kebangkitan beberapa tamaddun suatu ketika dulu. Sejak tahun 925SM (sebelum Masihi), sungai ini menyaksikan pelbagai tumpahan darah, kesan peperangan akibat perebutan kuasa tanah jajahan di sekitarnya.

Sebelum kedatangan Islam, pesisir Sungai Furat di kuasai dua kuasa besar iaitu Byzantine (Rom) dan Parsi. Selama lebih tujuh abad, kedua-dua kuasa ini sentiasa berperang bagi menguasai kawasan jajahan takluk masing-masing.

Hanya setelah kebangkitan tamaddun Islam, barulah kedua-dua kuasa besar ini berjaya di tundukkan. Khalifah Abu Bakar merupakan tunjang yang membawa perubahan dalam pembinaan empayar Islam. Perjuangan itu di sambung oleh Khalifah Umar al-Khattab yang mencatatkan peristiwa penting dalam perkembangan peradaban Islam di seluruh dunia.    

Namun, Sungai Furat bukan sekadar saksi kepada kebangkitan Islam. Lebih penting, ia sebagai satu penanda aras. Ya! Penentu kepada 'hari keadilan' yang bakal menjemput manusia. 

Petanda Kiamat

Daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w. bersabda: "Tidak terjadi hari kiamat sehingga Sungai Furat menjadi surut airnya, sehingga ternampak sebuah gunung daripada emas, maka ramai orang yang berperang untuk merebutkannya.. Maka terbunuh sembilan puluh sembilan daripada seratus orang yang berperang, dan masing-masing yang terlibat berkata: " Mudah-mudahan akulah orang yang terselamat itu."

Dalam riwayat lain pula di sebutkan: "Sudah dekat satu masa di mana Sungai Furat akan menjadi surut airnya lalu ternampak perbendaharaan daripada emas, maka barang siapa yang hadir di situ janganlah ia mengambil sesuatu pun daripada harta itu."- Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.

Hadis ini jelas menerangkan bahawa sungai yang mengalir di tiga negara ini akan surut apabila tiba waktunya. Ketika itu akan tersingkaplah harta karun yang tersembunyi di dalamnya. Begitu besar nilainya apabila diibaratkan bagai segunung emas hingga manusia sanggup berbunuhan untuk merebut kekayaan itu. 

Sudah keringkah sungai ini?

Jangan risau. Airnya masih mengalir. Tapi, yang pasti, paras airnya semakin hari semakin berkurangan hari demi hari. 

Benarkah ada harta karun di dalamnya?

Itu juga belum pasti. Namun, dua batang anak sungai yang mengalir ke Sungai Furat sudah kering dan penduduk tempatan menemui kepingan syiling dan perhiasan emas dari dasar anak sungai yang telah surut itu. Malah, para pengkaji Barat juga sentiasa cuba mencari kebenaran apakah Sungai Furat menyimpan harta tersembunyi seperti yang di sabdakan oleh Rasulullah s.a.w.

Justru, tidak hairanlah jika pencerobohan Barat ke atas Iraq turut di kaitkan sebagai salah satu agenda mereka yang mahu merebut kekayaan yang tersembunyi di dalam Sungai Furat. Apa yang pasti, ingatan Rasulullah s.a.w. terhadap apa yang bakal berlaku ke atas Sungai Furat tidak mustahil akan terjadi tidak lama lagi. Ketika ini, sudah dapat di lihat peperangan berlaku di mana-mana sahaja, terutama di kalangan mereka yang tamak. Manusia akan bertelingkah hingga berbunuhan demi berebut kekayaan dari sungai ini.

Ingatlah wahai umat Islam, jangan dibutakan mata oleh harta Sungai Furat tatkala ia muncul kelak. Lupakan kekayaan itu, ingat pesan Rasulullah s.a.w. agar menjauhkan diri darinya.

Seperti yang dikatakan bahawa, keringnya Sungai Furat dan timbulnya kekayaan itu suatu petanda bahawa kiamat bakal menjelma tidak lama lagi!

Allah berfirman: "Sesungguhnya kiamat itu pasti datang, yang Aku sembunyikan masa kedatangannya supaya setiap dari kamu dibalas dengan apa yang telah kamu lakukan." - Surah Toha, Ayat 15...

KISAH BUANG BAYI...

Di pagi hari yang nyaman, dua warga tua Pak Abu dan Pak Majid yang sudah lanjut usia duduk berehat-rehat. Pak Abu membaca suratkhabar manakala Pak Majid hanya duduk termenung jauh sambil hisap rokok daun.

Pak Abu: "Majid, engkau tengoklah berita hari ini. Ada orang sanggup jual anaknya."
Pak Majid: "Hmmmm. (Jawab Pak Majid, macam acuh tak acuh.)
Pak Abu: "Kut ya pun terdesak nak duit, janganlah jual anak. Banyak lagi cara nak dapat duit    Kerja kat pam minyak ke, jual kacang putih ke, jual suratkhabar ke. Betul tak Majid...?"
Pak Majid: "Hmmmm...(Sambil menghembus asap rokok daun keluar melalui hidungnya...) 
Pak Abu: "Kau ni kenapa Majid? Takkan berita ini kau tak ambil peduli. Ini melibatkan kemanusiaan tahu. Binatang pun tahu jaga anaknya."
Pak Majid: "Hmmm...Nilah aku nak bagi tau engkau. Kalaulah aku masa muda-muda dulu...aku jual je anak-anakku tu..."
 Pak Abu: "Hah? Engkau biar betul Majid!"
Pak Majid: "Hoi...Abu, engkau sedar tak sekarang ni kita berada di mana? Sedarlah kita Abu...Kita sekarang berada di Rumah Kebajikan Orang Tua. Kalaulah aku tahu perangai anak-anak aku tu macam nilah, dah lama dah aku jual budak-budak tu!
Pak Abu: "He..he...he... 

Saturday, December 8, 2012

CACAT...SUATU KELEBIHANNYA...

Seorang lelaki yang berusia 30-an di lahirkan cacat. Beliau tiada kaki dan tangan. Bukan itu sahaja, beliau juga cacat penglihatan. Namun semangatnya untuk meneruskan hidup dan menjadi insan yang berjaya tidak pernah di halang oleh kecacatannya. Kini beliau menjadi seorang pakar motivasi yang terkemuka.

Dalam salah satu sessi motivasinya, beliau di tanya pelbagai soalan oleh peserta yang hadir. Salah satu soalannya: "Bagaimana Tuan dapat hidup ceria seperti hari ini dalam keadaan serba kekurangan? Maksud saya, kecacatan ini."

"Ini bukan kekurangan atau kecacatan, Ini suatu kelebihan. Kenapa? Kerana saya tidak perlu bertanggungjawab terhadap dosa yang di lakukan oleh tangan dan kaki."

"Tapi Tuan juga tidak mampu melihat."

"Ya, betul itu. Saya tidak ada peluang memandang perkara-perkara yang diharamkan. Saya juga tidak nampak kelemahan dan keburukan manusia lain yang boleh menyebabkan saya bersangka buruk dengan mereka."

"Tapi apa yang Tuan ada?"

"Saya ada mulut untuk menyampaikan kepada manusia lain agar sentiasa bersangka baik dengan Allah. Dengan mulut ini jugalah saya mampu membaca al-Quran dan berzikir. Alhamdulillah."

Pengajaran:  Setiap kekurangan jika di pandang dari satu sudut yang berbeza, pasti ia adalah satu kelebihan.      

TUKARKAN KEPADA SESUATU YANG LEBIH BAIK...

Di dasar laut yang hening dan jernih, tinggal sepasang tiram sederhana besar bersama koloninya yang melekat kukuh pada sebiji batu yang besar. Makanan mudah di dapati di situ dan habitatnya juga sangat sesuai untuk koloni tiram.

Suatu hari, arus tiba-tiba mengalir sangat deras sehingga menerbangkan butir-butir pasir di dasar laut tersebut.

Sepasang tiram tersebut tidak sempat menutup cengkerang mereka dan terpaksa menelan beberapa butir pasir yang termasuk ke dalam cengkerangnya. Mereka cuba meludah-ludah pasir tersebut tetapi tidak mampu. Mereka cuba mengangakan cengkerang luas-luas agar pasir dapat dikeluarkan, namun mereka berdepan risiko lebih banyak pasir akan masuk kedalam cengkerang.  

Setelah pelbagai ikhtiar di lakukan, tiram tersebut memberi satu cadangan kepada pasangannya: "Jika kita tidak boleh keluarkan pasir ini, apa kata kita cuba tukarkannya kepada sesuatu yang lebih baik?:

Pasangannya bersetuju tanpa sebarang bantahan. 

Setelah bertahun-tahun butiran pasir itu berada di dalam cengkerang sepasang tiram itu, akhirnya terhasillah sesuatu yang berharga. Warnanya putih bercahaya. Itulah dia sebutir mutiara yang asalnya hanyalah pasir.

Pengajaran: Jika tiram mampu mengubah sebutir pasir menjadi mutiara, maka manusia yang di kurniakan Allah dengan akal, lima pancaindera, hati dan status sebagai khalifah, apa agaknya yang manusia mampu lakukan?