Tuesday, March 3, 2015

DENGKI AKAN MEMBUNUH DIRI SENDIRI...

Pada zaman dahulu ada seorang solih dan alim yang sangat disukai oleh raja. Dia sentiasa berada di majlis raja untuk memberikan pelajaran dan nasihat.

Orang solih itu menasihatkan: "Berbuatlah kebaikan kepada orang yang berbuat baik, kerana orang yang berbuat jahat itu akan binasa oleh kejahatannya sendiri."

Bagaimanapun apabila seseorang berbaik-baik kepada Raja dengan tujuan baik dan ikhlas tentu ada orang yang tidak menyukainya kerana dengkinya. Demikian juga halnya dengan orang solih yang satu ini. Di sebalik hubungan baiknya dengan raja ada seseorang yang juga dekat dengan istana tidak senang melihatnya selalu berdampingan dengan raja dan ingin melenyapkannya.

Maka orang yang dengki itu mulai mencari cara untuk menghasut raja. Setelah menemukan suatu idea, pergilah dia menghadap raja sambil berkata:

"Ampun tuanku! Orang solih yang sentiasa datang ke sini itu pernah berkata bahawa mulut raja berbau busuk."

"Apa?" Kata raja dengan hairan.

Kemudian baginda bertanya lagi: "Betulkah kata-katamu itu?".

"Betul tuanku." Kata orang yang dengki. Dia berkata pula: "Kalau tuanku ingin membuktikannya, sila perhatikan apabila dia bercakap dengan tuanku dia akan menutup hidungnya kerana tidak tahan dengan bau mulut tuanku."

Raja nampak agak marah dan berkata: "Baliklah engkau! Aku akan cuba menyiasat kebenaran ini."

Laporan orang yang dengki itu berhasil mempengaruhi fikiran raja. Si penghasut merasa gembira. Dia segera balik ke rumahnya dan memasak makanan yang banyak mengandungi bawang putih agar siapa saja yang memakannya mulutnya akan berbau. Setelah siap, dia menjemput orang solih yang didengkinya itu untuk makan bersama. Orang solih itupun makan tanpa curiga apa-apa demi menghormati undangan walaupun dia tahu bahawa hidangannya banyak mengandungi bawang putih. Kemudian seperti biasa orang solih itupun pergi ke istana untuk memberikan nasihat dan pengajaran.

Raja berkata: "Sila dekatlah engkau kepadaku!"

Orang solih sedar bahawa dia baru saja makan makanan yang banyak mengandungi bawang putih dan tentu saja mulutnya masih berbau. Oleh kerana itu apabila telah dekat dengan raja, dia menutup mulutnya dengan tangannya agar raja tidak terganggu oleh baunya.

Kini raja berasa bahawa keterangan orang yang memberi laporan itu memang betul. Kerana ternyata orang solih itu benar-benar meletakkan tangannya pada hidungnya sebaik saja dia mendekati. Raja marah, tapi ditahannya kemarahan itu di dalam hatinya agar tidak nampak bahawa sikapnya berubah.

Raja tidak bercakap apa-apa. Baginda hanya mengambil sekeping kertas dan pen kemudian menulis surat kepada salah seorang pegawainya. Setelah siap, surat rahsia itu ditutup rapat dan diberikannya kepada orang solih yang disayanginya itu.

"Sila kau hantar surat ini kepada si polan.." Kata raja.

Orang solih yang tidak tidak tahu apa kandungan surat rahsia yang dibawanya, segera pergi memenuhi perintah raja. Sementara orang yang menghasut raja berada agak jauh dari istana sambil mengintai-intai tindakan apa yang diambil raja ke atas orang yang dia dengki. Ternyata dia melihat orang solih keluar dari istana dengan gembira sambil membawa amanah raja. Dia segera mengejar dan bertanya: 

"Apa itu?"

Orang solih menjawab: "Ini surat raja yang ditulisnya sendiri dan menyuruh saya menyampaikannya kepada si polan."


"Berikan surat itu kepadaku, biar aku yang menyampaikannya." Kata si penghasut. Dengan menghantar surat tersebut, dia ingin dirinya dianggap sebagai orang terdekat raja.

Pada mulanya orang solih itu tidak mahu memberikannya kerana dia tidak mahu mengkhianati amanah raja. Namun si penghasut memaksanya dan meminta dengan bersungguh-sungguh, maka dengan terpaksa diberikanlah surat itu. Dengan bangganya si penghasut pergi membawa surat raja kepada pegawai yang dituju.

Sebaik saja surat itu sampai, si penerima terus membukanya dan dibacanya dalam hati sambil disaksikan oleh penghasut yang menghantarkannya. Surat itu berbunyi: "Apabila pembawa surat ini sampai kepadamu, maka segera bunuhlah dia, lapah kulitnya dan hantarkan kepadaku."

Pegawai yang menerima surat itupun berkata: "Raja menyuruh aku agar membunuh kamu dan melapah kulit tubuhmu."

Bukan main terperanjatnya si pembawa surat, dia menyesal bercampur geram dan sedih.

"Tidak! Tidak....... ! Sebenarnya surat ini bukan untukku. Oleh kerana itu aku minta izin dulu untuk melapor kepada raja". Katanya sambil cuba untuk beredar namun segera ditahan oleh pegawai berkenan.


Pegawai itu berkata lagi: "Surat raja tidak boleh dibantah dan perintahnya harus dilaksanakan."


Si penghasut cuba mengemukakan alasan dan perkara sebenar berkenaan dengan surat tersebut, namun tidak dihiraukan oleh pegawai. Maka diapun disembelih dan kulitnya dilapah untuk dihantar kepada raja.

Sementara orang solih yang sebenarnya akan dihukum tiba-tiba datang menghadap raja dan memberitahukan bahawa surat yang dibawanya telah diambil secara paksa oleh temannya, dan dialah yang menghantarkannya kepada pegawai yang dituju.

"Astaghfirullah....". Keluh raja dalam hatinya. Baginda diam sejenak mengenangkan nasib yang menimpa orang yang menghantarkan suratnya.

Kemudian raja bertanya: "Benarkah engkau ada mengatakan bahawa bau mulutku busuk?"

Orang solih menjawab: "Tidak! Sekali-kali tidak."

Raja bertanya lagi: "Jadi, mengapa ketika kamu bercakap denganku tadi engkau letakkan tanganmu di mulutmu?"

Orang solih menerangkan: "Ketika itu aku baru saja dijamu oleh teman yang meminta surat itu dengan makanan yang banyak mengandungi bawang putih sehingga mulutku berbau. Maka aku tutup mulutku supaya raja tidak terganggu oleh bau mulutku itu."

Raja mengeleng-gelengkan kepala kehairanan. Kini baginda faham perkara sebenar dan tipu helah si penghasut dan kaki bodek yang sudah pasti terbunuh itu. Kemudian baginda berkata: "Benar betul ajaran dan nasihatmu kepadaku bahawa orang yang jahat telah binasa kerana kejahatan yang dilakukannya sendiri."

Begitulah bahayanya hasad dan dengki. Oleh kerana itu Rasulullah S.A.W. bersabda yang ertinya: "Waspadalah engkau pada perbuatan dengki, kerana dengki itu memakan pada kebaikan seperti api memakan kayu bakar." 

KISAH NABI MUSA A.S. DENGAN LELAKI YANG TAUBATNYA TIDAK IKHLAS...

Pada zaman Nabi Musa A.S. ada seorang lelaki yang tidak jujur dalam taubatnya kepada Allah S.W.T., setiap kali dia bertaubat maka dia akan melakukan kembali perkara yang ditaubatnya, dia berbuat demikian selama 20 tahun.

Maka Allah S.W.T. menurunkan wahyu kepada Nabi Musa A.S. yang bermaksud: "Wahai Musa, katakan kepada si Fulan bahawa sesungguhnya Aku (Allah) murka kepadanya."

Sebaik sahaja Nabi Musa A.S. menerima wahyu tersebut maka Nabi Musa A.S. pun memberitahu lelaki yang disebutkan oleh Allah kepadanya. Apabila lelaki itu mendengar berita yang disampaikan oleh Nabi Musa A.S., sangat sedihlah hatinya mendengar berita itu.

Lelaki itu pun membawa diri menuju ke padang yang luas lalu dia berkata: "Wahai Tuhanku, telah habiskah rahmatMu atau membahayakan Engkaukah terhadap maksiatku, telah habiskah simpanan ampunanMu atau engkau menjadi kedekut atas hamba-hambamu? Dosa manakah yang lebih besar dari keampunanMu. Mulia itu adalah di antara sifat-sifatMu yang qadim, sedangkan tercela adalah di antara sifat-sifatku yang hadis. Apakah sifatku ini telah mengalahkan sifatMu? Apabila Engkau halangi hambaMu dari rahmatMu, maka kepada siapakah lagi mereka mengharapkan apabila Kamu menolak mereka, kepada siapakah mereka akan menuju."

Berkata lelaki itu lagi: "Wahai Tuhanku, kalaulah rahmatMu itu telah habis dan tidak boleh lagi selain dari siksaMu, maka Kamu pikulkanlah ke atasku semua siksa yang terdiri dari hamba-hambaMu dan aku menebus mereka semua dengan diriku."Setelah itu Allah S.W.T. berfirman kepada Nabi Musa A.S. yang bermaksud: "Wahai Musa, pergilah kepada orang itu dan katakan kepadanya; Seandainya dosamu itu memenuhi bumi sekali pun, Aku (Allah) tetap akan mengampuninya bagi kamu, setelah kamu mengenalKu dengan sempurnanya kekuasaanKu, pengampunan dan rahmatKu."

Rasulullah S.A.W. bersabda: "Tidaklah satu pun suara yang dicintai oleh Allah daripada suara seorang hamba yang berdosa, kemudian dia bertaubat dan berkata: "Ya Tuhanku." Allah S.W.T. akan menjawab: "Ya, hai hambaku. Mintalah apa yang kamu kehendaki, sesungguhnya engkau disisiKu adalah seperti sebahagian malaikat-malaikatKu. Aku di sebelah kananmu , di sebelah kirimu, di atasmu dan dekat dengan isi hatimu. Saksikanlah wahai malaikatKu, sesungguhnya Aku telah mengampuninya."

Wahai saudara-saudaraku, kisah yang kami paparkan di atas adalah untuk kita pesan pada diri kita sendiri bahawa janganlah kita mempermain-mainkan taubat yang kita buat, sebab kelak Allah S.W.T. akan mempermain-mainkan kita pula.

Walau pun kisah di atas menunjukkan tentang lelaki yang bertaubat tetapi tidak ikhlas, lelaki itu adalah seorang hamba yang mengetahui segala sifat-sifat Allah dan dia juga akhirnya mengetahui bahawa Allah sangat murka kepada orang yang berpura-pura dengan Allah, akhirnya lelaki itu tidak berpura-pura lagi.

Wahai saudara-saudaraku ingatlah bahawa kita ini adalah insan yang lemah, setiap kali kita bertaubat kadang-kadang kita kembali melakukannya, oleh itu hendaklah kita berdoa kepada Allah S.W.T. supaya dia kuatkan iman kita dan menjauhkan kita dari perkara-perkara yang menjadi kemurkaannya.

Kalau kita tidak berdoa kepada Allah, maka mustahil kita akan dapat meninggalkan perkara-perkara yang menjadi kemurkaannya. Sebab yang menciptakan kita adalah Allah S.W.T.

Kita juga hendaklah mengetahui lebih mendalam tentang sifat-sifat Allah, sebab dengan mengetahui sifat- sifat Allah maka susahlah bagi syaitan untuk was-waskan kita terhadap keEsaan Allah S.W.T.

Monday, March 2, 2015

KISAH ABU BAKAR SIDIQ R.A. TANPA PAKAIAN...

Diriwayatkan bahawa sahabat Rasulullah S.A.W. iaitu Abu Bakar Sidiq r.a. telah mendermakan hartanya ke jalan Allah sebanyak 40,000 dinar dengan cara sembunyi dan mendermakan 40,000 dinar lagi dengan cara terang-terang.

Abu Bakar Sidiq r.a. telah membelanjakan semua hartanya ke jalan Allah sehingga tidak ada apa-apa dan beliau tidak pernah keluar dari rumah beliau selama tiga hari kerana sudah tidak ada lagi walaupun sehelai kain untuk dipakai.

Satu hari Rasulullah S.A.W. telah pergi ke rumah Abu Bakar Sidiq, beliau telah melihat keadaan Abu Bakar Sidiq, maka beliaupun pergi ke rumah puterinya Siti Fatimah. Setelah menceritakan hal tentang Abu Bakar Sidiq r.a. maka Siti Fatimah merasa sedih kerana dia juga tidak mempunyai apa-apa untuk membantu Abu Bakar Sidiq r.a.

Sewaktu perkahwinan Ali r.a. dengan Fatimah, Rasulullah S.A.W. telah mengundang Abu Bakar Sidiq r.a., Umar r.a., Utsman r.a. dan Usamah r.a. untuk membawa barang Fatimah r.a. Antara barang-barang yang mereka bawakan ialah alat pengiling, alat penumbuk gandum, kulit yang disamak, sebuah bantal, sebuah kendi dan sebuah piring.

Apabila Abu Bakar r.a. melihat barang-barang ini maka beliau menangis lalu berkata: "Ya Rasulullah S.A.W., inikah barang perkahwinan Fatimah?", kemudian Rasulullah S.A.W. bersabda:

"Wahai Abu Bakar inipun sudah cukup banyak bagi orang yang masih ada di dunia."Siti Fatimah keluar sebagai pengantin dengan memakai pakaian dari bulu yang mana pakaian Siti Fatimah itu mempunyai tampal sebanyak 12 tampalan jahitan.

Setelah Rasulullah S.A.W. keluar dari rumah Fatimah dengan resah, maka Fatimah pun mengambil bantal yang diberikan oleh Rasulullah S.A.W. pada hari perkahwinan berserta dengan kain yang ditenun dengan tangannya sendiri lalu diberikan kepada pembantunya supaya diserahkan kepada Abu Bakar Sidiq r.a. dan memberikan sedikit pesanan.

Sebaik saja pembantunya sampai kerumah Abu Bakar Sidiq maka diapun menyampaikan pesanan yang dipesan oleh Siti Fatimah: "Sesungguhnya kami telah mengetahui apa-apa yang telah engkau lakukan terhadap hak-hak ayah dan sesungguhnya kami tidak mempunyai apa-apa kecuali sebiji bantal yang dihadiahkan oleh ayahku pada hari perkahwinanku dan sehelai kain ini."

Setelah pembantu itu menyerahkan bantal dan kain tersebut maka Abu Bakar r.a.. pun segera memakai kain tersebut tanpa dijahit tetapi dilekatkan dengan duri-duri kurma supaya kain itu tidak tersingkap, ia berbuat demikian kerana beliau sangat rindu benar untuk melihat Baginda Rasulullah S.A.W., beliau berjalan menuju ke rumah Rasulullah S.A.W. hanya dengan kaki yang tidak berkasut.

Setelah dia menziarahi Rasulullah S.A.W. maka pada malam itu turunlah malaikat Jibrail menemui baginda Rasulullah S.A.W. dengan berpakaian sama seperti yang dipakai oleh Abu Bakar r.a.

Rasulullah S.A.W. terkejut melihat akan keadaan Jibrail A.S. lalu berkata: "Wahai saudaraku Jibrail, aku belum pernah melihat kamu berpakaian begini sebelum ini". Lalu berkata Jibrail A.S.: "Wahai Rasulullah S.A.W., engkau melihat saya berpakaian seperti ini adalah sesungguhnya para malaikat di langit pun berpakaian seperti ini juga, ini adalah kerana cinta mereka kepada Abu Bakar r.a. dan untuk menyesuaikan dengan dia. 

"Kata Jibrail A.S. lagi: "Wahai Rasulullah S.A.W., sesungguhnya Allah S.W.T. mengirim salam kepada engkau dan berfirman pada engkau, katakan kepada Abu Bakar adakah dia rela kepadaku sebagaimana aku rela kepadanya."

Kemudian Rasulullah S.A.W. memberitahu berita yang disampaikan oleh Jibrail A.S. kepada Abu Bakar r.a. Sebaik saja beliau mendengar berita tersebut sambil menangis Abu Bakar berkata: Ya Tuhanku, aku telah rela padaMu dan Engkau telah rela kepadaku," sebanyak tiga kali.


Banyak kisah-kisah sedih para sahabat yang kita baca dan kebanyakannya kita ingat sebagai bahan sejarah. Apakah harus kita lupakan saja kisah sedih seperti yang dialami oleh Abu Bakar Al Siddiq r.a. Kita sepatutnya renung dan fikir kesan dari cerita ini dan harus bersujud kepada Allah S.W.T. sebab kemewahan yang Allah S.W.T. limpahkan kepada kita.

Adakah kita mendengar berita yang mengatakan orang yang sangat miskin hingga tidak ada pakaian untuk dipakai maka sudah tentu tidak, Allah S.W.T. memberi kemewahan dalam semua macam, tapi sayang hari ini manusia hanya berkata kekayaan dimiliki adalah apabila memiliki kereta yang besar, rumah yang besar, harta yang banyak dan macam-macam lagi. Apakah kita sedar dan bersyukur setiap hari kita dapat menikmati makanan yang mewah dan lazat sedangkan Rasulullah S.A.W. dan Aisyah tidak pernah dapat makanan selama sebulan selain buah tamar saja. Memang kita tidak dapat lakukan seperti apa yang Rasulullah S.A.W. dapat lakukan tapi hendaklah kita bersyukur terhadap apa yang Allah S.W.T. kurniakan kepada kita.

Tidaklah kaya seseorang yang kaya sekiranya dia tidak sujud kepada Allah, sebaliknya orang yang demikian adalah orang yang paling hina di sisi Allah dan di akhirat kelak neraka Jahanamlah tempatnya.

Wahai saudara-saudaraku, syukurlah dengan apa yang Allah berikan kepada kita nescaya Allah akan tambahkan kepada kita rezeki yang mewah. Allah jualah yang tahu mengapa diberi kekayaan kepada seseorang dan kemiskinan kepada seseorang kerana sesungguhnya Allah itu Maha Adil lagi bijaksana.

Thursday, February 26, 2015

KISAH MATAHARI YANG SENTIASA SUJUD KEPADA ALLAH S.W.T...

Gambar hiasan...

Dari Abu Dzar r.a. berkata bahawa Rasulullah S.A.W. telah bertanya kami: "Tahukah kamu semua kemanakah matahari itu selalu pergi?"

Lalu kami berkata: "Hanya Allah dan Rasulnya sahaja yang tahu."

Kemudian Rasulullah S.A.W. bersabda: "Matahari itu berjalan sehingga sampai di perhentiannya iaitu di bawah 'Arasy, kemudian matahari itu sujud, ia sujud sehingga datang perintah Allah: "Bangkitlah dan kembalilah ke tempatmu semula! Setelah matahari mendapat perintah dari Allah S.W.T. maka dia pun muncul kembali seperti biasa di tempatnya dan dia meneruskan perjalanannya seperti biasa sehingga kembali di tempat perhentiannya di bawah 'Arasy. Lalu matahari sujud lagi sehingga datang perintah Allah S.W.T.: "Bangkitlah dan kembalilah ke tempatmu semula! maka matahari pun bangun dan ia pun terbit semula seperti biasa di tempatnya.

Sabda Rasulullah S.A.W. lagi: "Matahari itu tidak pernah mungkir sedikit pun hingga ia sampai kembali ke tempat perhentiannya di bawah 'Arasy. Dan apabila matahari menerima perintah dari Allah S.W.T. yang bermaksud: "Bangunlah dan muncullah kamu di tempat kamu biasa tenggelam." Maka pada masa itulah akan terbit matahari di sebelah barat.

Sabda Rasulullah S.A.W.: "Tahukah kamu semua bilakah hal ini akan terjadi (terbitnya matahari sebelah barat), ianya akan terjadi pada hari di mana iman seseorang itu tidak berguna lagi, jika sebelumnya dia tidak beriman."

Semua ciptaan Allah S.W.T. sentiasa tunduk dan sujud pada Allah kecuali manusia dan jin yang ingkar, manusia mempunyai akal fikiran yang baik dan dapat memahami dan melihat dan merasai segala ciptaan Allah, tetapi malangnya masih banyak lagi yang ingkar pada perintah Allah.

Kalaulah matahari yang begitu kuat kuasa yang Allah berikan padanya sentiasa sujud pada Allah, jadi mengapakah kita yang lemah ini sangat degil dan keras kepala tidak mahu sembah Allah.

Kalau kita masih berdegil juga, sila lihat firman Allah dalam surah Al-Hajji ayat 18 yang bermaksud: "Tidakkah engkau tahu, bahawa kepada Allah sujud (tunduk) siapa yang di langit dan siapa yang di bumi, matahari, bulan, bintang-bintang, gunung-gunung, pohon-pohon, binatang-binatang yang melata dan kebanyakan manusia , tetapi kebanyakan (manusia yang lain ) berhak mendapat azab . Barang siapa yang dihinakan Allah, maka tidak adalah baginya orang yang akan memuliakannya, sesungguhnya Allah membuat apa-apa sahaja yang dikehendakinya.

DENDAM DAN IRI HATI SEORANG KHALIFAH...

Memang tidak ramai manusia apabila sudah memegang kuasa, kadang-kadang menggunakan kekuasaannya itu untuk membalas dendamnya kepada orang yang diperintahnya. Tidak kurang pula orang yang menjadi korban itu adalah manusia yang tidak berdosa, bahkan manusia yang berjasa kepada negara.

Pada masa Khalifah Al-Walid memerintah Daulat Bani Umaiyah, terdapat seorang panglima perang yang gagah berani dan cerdik bernama Musa bin Nusair. Panglima perang ini sudah berusia 60 tahun namun gerakan dan kecergasannya tidak kalah dengan orang muda. Panglima besar ini bercita-cita untuk menyebarkan syiar Islam di daratan Eropah melalui pantai Afrika Utara. Untuk tujuan ini, beliau memujuk orang bawahannya bernama Tarik bin Ziyad seorang panglima perang dari suku Barber memimpin pasukan Islam ke sana.

Setelah menyeberangi laut sempit dari pantai Afrika Utara, Tarik bin Ziyad berhasil mendarat di daratan Eropah. Sebaik saja mendarat di daratan Eropah itu, Tarik memerintahkan agar semua kapal-kapal yang digunakannya untuk menyeberang, dibakar kesemuanya. Dengan cara demikian, walau apapun yang terjadi tentera Islam tidak akan lari dari peperangan. Tarik berpidato di hadapan pasukannya: "Al-Aduwwu amamakum! Wal bahru wara-akum! Fakhtaruu ayyuma syiktum!" Yang ertinya: "Musuh ada di hadapanmu! Sedangkan di belakangmu terbentang lautan! Maka pilihlah yang mana satu yang engkau mahu!"

Setelah bertempur dengan hebat dan berani, terpacaklah panji-panji Islam di sana.

Tiada berapa lama kemudian panglima besar Musa bin Nusair mendarat di Eropah bersama pasukannya setelah mendengar kemenangan yang dicapai oleh Tarik bin Ziyad. Beliau datang dengan melalui jalan berasingan dengan jalan yang dilalui oleh Tarik bin Ziyad. Beliau menakluk kota-kota dan benteng yang belum sempat ditakluk oleh Tarik, dengan demikian penyebaran Islam di tanah Sepanyol itu berjalan dengan cepat.

Dengan usaha gigih panglima Musa bin Nusair ini, kini empayar Islam terbentang luas dari Asia ke Afrika sampai ke Eropah. Tibalah masanya bagi panglima besar ini untuk balik ke Damaskus setelah melakukan penaklukan bertahun-tahun. Beliau akan melaporkan hasil kejayaan besarnya dan menyerahkan harta rampasan yang tak ternilai harganya kepada Khalifah Walid bin Abdul Malik.

Ketika panglima Musa bin Nusair sampai di Palestin, dalam perjalanannya itu, Khalifah Walid bin Abdul Malik sedang sakit tenat dan menunggu ajal. Di sebalik kejayaan yang dicapai oleh Musa dan di sebalik penderitaan yang sedang dialami oleh Khalifah Walid yang sedang sakit, rupanya ada manusia yang bersifat aneh. Orang itu ialah Sulaiman bin Abdul Malik saudara kepada Khalifah Walid, dan dia pula yang akan menjadi Khalifah apabila Khalifah Walid wafat. Sulaiman merasa iri hati terhadap kejayaan yang telah dicapai oleh Panglima besar Musa bin Nusair. Dia ingin agar kejayaan Musa dalam memperluas empayar Islam di Afrika dan di Eropah berpindah kepada dirinya. Dengan kata lain dia ingin mencari populariti di atas titik peluh dan darah pengorbanan orang lain. Maka Sulaiman yang sudah dipastikan akan menjadi Khalifah sebaik saja Khalifah Walid wafat, menghantar surat kepada panglima Musa yang sedang berada di Palestin. Dalam surat itu Sulaiman menyuruh agar panglima Musa melambat-lambatkan perjalanannya atau menangguhkan kemasukannya ke Damaskus. Permintaan Sulaiman ini dapat disedari oleh Musa yang alim ini. Dia sedar bahawa Sulaiman ingin mengambil alih kepopularannya untuk dirinya yang akan menjadi Khalifah. Tetapi panglima Musa yang sudah berjuang berpuluh tahun itu tidak mahu diperbodohkan oleh Sulaiman yang bakal jadi Khalifah.

Dengan berani dan terus terang, panglima Musa menyampaikan pesanan kepada Sulaiman: "Anda telah mengkhianat! Demi Allah, anda telah membuat tipu helah dan tidak jujur. Demi Allah, aku tidak akan berhenti untuk menunggu, aku juga tidak akan berjalan dengan melambat-lambat dan juga tidak akan tergopoh-gapah. Tapi aku akan berjalan sebagaimana biasa saja, jika aku ditakdirkan menemui Amirul Mukminin dalam keadaan masih hidup, maka aku pasti sampai ke sana sebelum beliau wafat. Tapi jika sekiranya ajalnya sampai lebih dahulu sebelum aku tiba, maka itu adalah kehendak Allah."

Utusan itu segera pulang dan memberitahu pesanan Musa kepada Sulaiman. Maka tercabarlah Sulaiman sebelum menjadi Khalifah. Tiada berapa lama Musapun sampai ke Damaskus dan disambut dengan besar-besaran oleh para pegawai dan rakyat sebagai panglima yang telah berjasa. Ternyata Khalifah Al-Walid masih hidup. Musa segera melaporkan hasil perjalanan dan penaklukan pasukan perang yang dipimpinnya sambil memperlihatkan harta rampasan yang sangat banyak dan sangat berharga kepadanya. Khalifah masih sempat menyaksikan kejayaan itu dan menerima seperlima dari harta rampasan tersebut.

Sayangnya, tiga hari kemudian Khalifah Al-Walid wafat dalam usia 43 tahun.

Dengan wafatnya Khalifah Al-Walid, maka saudaranya Sulaiman bin Abdul Malik memegang jawatan Khalifah Daulat Bani Umaiyah yang ketujuh. Khalifah yang satu ini lain daripada yang lain. Kalau Khalifah yang sebelumnya sangat membanggakan dan menyanjung para pahlawan yang telah berjasa kepada negara serta menempatkan mereka pada jawatan-jawatan yang patut, Khalifah Sulaiman bersifat sebaliknya. Dia sangat benci dan iri hati terhadap kepopularan para panglima perangnya. Maka sebaik saja dia menjawat Khalifah, pro­gram utama yang dilaksanakannya ialah melepaskan rasa dendam, iri hati dan dengkinya. Untuk itu dia telah memanggil, mengugut, mengancam dan menurunkan beberapa orang berjasa dari jawatannya. Padahal di tangan merekalah Daulat Bani Umaiyah dapat bertahan dan semakin luas. Dan berkat merekalah para datuk-datuk dan ayahnya dapat bersenang-lenang di atas kerusi tahta kerajaan, sehinggalah dirinya mewarisi kemewahan pula.

Khalifah Sulaiman memanggil panglima Musa bin Nusair untuk meluahkan dendam hatinya: "Wahai Musa! Engkau ini sudah melampau. Engkau telah berani melanggar perintahku. Demi Allah, akan kukurangkan bilangan pasukanmu, kumpulanmu akan kucerai beraikan, hartamu akan kumusnahkan,. lalu aku akan menurunkan engkau dari kedudukanmu yang sekarang. Kerana dia, kau telah salah gunakan untuk memperolehi cita-cita kebesaranmu, malah engkau telah mengatasnamakan keluarga Abu Sufyan dan keluarga Marwan dengan sesuka hatimu."

Musa bin Nusair bukannya budak kecil, bukan pula orang bodoh seperti kerbau dicucuk hidung. Beliau tahu dari mana datangnya kebesaran Daulat Bani Umaiyah. Oleh kerana itu dengan sangat beraninya dia menjawab ugutan Khalifah itu dengan terus terang.

Kata Musa: "Wahai Amirul Mukminin, aku tidak merasa melakukan sebarang dosa kepada siapapun, kerana aku telah memberikan taat setiaku kepada khalifah-khalifah sebelum anda. Dan aku patut menjaga hati orang yang mendudukkan aku di tempat yang sepatutnya aku duduki."

Kemudian dia berkata lagi: "Adapun apa yang anda sebutkan tadi bahawa bilangan pasukanku akan dikurangkan, kumpulanku akan diceraiberaikan, hartaku akan dimusnahkan dan aku akan diturunkan dari kedudukanku, adalah kuasa Allah semata-mata dan akan kembali kepadaNya. Dialah yang mengurniakan nikmat dan kebaikan kepada aku, jadi kepadaNyalah sepatutnya aku mohon pertolongan."

Kata-kata panglima Musa itu sebenarnya adalah merupakan nasihat orang tua yang telah banyak makan garam kepada anak muda yang baru melangkah agar menyedari dirinya. Namun bagi Khalifah Sulaiman yang di dalam hatinya sudah tertanam benih-benih kedengkian dan dendam, nasihat itu dianggapnya suatu cabaran lagi atas kedudukannya. Maka dendam dan dengki Khalifah Sulaimanpun segera dinyatakan dalam bentuk pemberhentian para pegawai yang mempunyai populariti tinggi di mata rakyat kerana jasanya.

Mereka yang jadi mangsa dan diturunkan dari jawatannya itu antaranya panglima Musa bin Nusair, putera-putera panglima Musa bin Nusair iaitu panglima Abdul Malik bin Musa dan panglima Abdul Aziz bin Musa, panglima Kutaibah dan keluarga panglima Al-Hajjaj.

Pada suatu hari kepala mayat Abdul Aziz bin Musa yang terbunuh di Andalusia dibawa orang ke Damsyik dan diserahkan kepada Khalifah. Khalifah Sulaiman memanggil Musa bin Nusair dan mencampakkan kepala panglima itu ke hadapan Musa.

"Kenalkah engkau kepala siapa ini?" Tanya Khalifah kepada Musa.

Musa menjawab: "Ya. Ini adalah kepala Abdul Aziz bin Musa."

Rombongan yang membawa kepala Abdul Aziz berdiri dan menceritakan kepada orang ramai tentang pembunuhan panglima itu. Setelah mereka bercakap, berdirilah Musa sambil berkata: "Rahmat Allah ke atas kepala Abdul Aziz ini, wahai Khalifah! Demi Allah, sesungguhnya usia manusia ada di dalam ketentuanNya. Saya mengenali Abdul Aziz ini sebagai seorang yang pada siangharinya berpuasa dan malamnya bersembahyang serta lemah lembut kepada kaum Muslimin yang ada di bawah pimpinannya. Senang bagi siapa saja yang mengenalinya untuk memberikan persaksian begini kepadanya, akan tetapi engkau telah bunuh orang seperti dia."

Kebencian Khalifah Sulaiman terhadap panglima Musa tidak pernah habis-habis, ada saja sesuatu yang kata-kata perli yang ditujukan kepadanya. Pada suatu hari di sekeliling Khalifah Sulaiman ada ramai orang. Musa datang ke situ. Tiba-tiba saja Khalifah berkata: "Telah hilang sengat orang tua itu." sambil berkata demikian, tangannya menunjuk kepada Musa yang baru datang itu. Musa yakin bahawa kata-katanya ditujukan kepada dirinya, namun dia tidak jelas apa yang dikatakan. Maka setelah mengucapkan salam, Musa berkata: "Tadi Khalifah mengatakan sesuatu ketika saya baru masuk ke sini, dan saya percaya bahawa kata-kata itu ditujukan kepada saya."

Dengan sombongnya Khalifah Sulaiman berkata: "0...ya. Aku mengatakan, telah hilang sengat orang tua itu."

Dengan tegas pula Musa berkata: "Demi Allah, meskipun engkau katakan demikian, tapi mesti diingat, bahawa orang tua itu telah memberikan sumbangan besar pada agamanya, hidupnya telah ditumpukan sepenuhnya untuk jihad di jalan Allah dan telah menyiarkan agama Allah di merata ceruk dunia. Di tangan saya Allah telah menyempurnakan janjiNya kepada NabiNya. Memang saya tidak dapat bekerjasama dengan engkau, tapi saya telah bekerjasama dengan ayah dan datuk anda dalam jangka masa yang lama."

Khalifah Sulaiman tidak berani membantah keterangan Musa itu. Kerana di sekelilingnya ramai saksi-saksi hidup yang benar-benar mengetahui apa yang dikatakan oleh Musa itu memang benar belaka.

Supaya tidak dianggap membisu, Khalifah Sulaiman berkata: "Benarkah demikian?" Berulang kali, dan berulangkali pula Musa menjawab: "Memang demikian kenyataannya."

Menurut catatan sejarah, panglima Musa bin Nusair telah disingkirkan oleh Khalifah Sulaiman ke Madinah Al-Munawwarah. Di situlah pahlawan dan panglima besar Islam itu mengakhiri hayatnya pada tahun 98 Hijrah.

MIMPI SEORANG SAHABAT...

Tufail bin Amr Ad-Dausy adalah seorang yang mempunyai kedudukan tinggi di zaman jahiliyah. Di samping terkenal sebagai orang yang dermawan, penyair dan gagah berani, dia juga menjadi ketua kabilah Daus. Ketika pergi ke Makkah untuk mengerjakan haji, dia telah terpegun apabila mendengar seseorang membaca kalimah-kalimah yang sangat indah yang tak pernah didengarnya sebelum ini. Setelah sekian lama memasang telinganya untuk menyemak kalimah demi kalimah yang didengarnya, akhirnya dia membuat kesimpulan bahawa kalimah itu bukan buatan manusia. Maka diapun menghampiri orang yang sejak tadi menarik perhatiannya itu kerana beribadah dengan cara lain dari yang lain. Ternyata orang itu memang seorang Nabi yang menerima wahyu dari Tuhan Pencipta alam ini. Ketika itu juga Tufail mengucapkan: "Aku bersaksi bahawa tidak ada Tuhan selain Allah. Dan aku bersaksi bahawa Muhammad itu pesuruh Allah."

Sebagaimana sahabat-sahabat lain, sebaik sahaja Tufail memeluk Islam dia telah menyediakan dirinya untuk kepentingan Islam selama 24 jam, siap maju ke medan tempur bila semboyan perang berbunyi.

Suatu hari Tufail pernah memohon kepada Rasulullah: "Hai Rasulullah! Tempatkanlah kami di sayap kanan pasukan tuan dalam setiap peperangan yang tuan pimpin."

Permintaan ini diterima oleh Rasulullah. Maka Tufail Ad-Dausy bersama anak buahnya yang terdiri dari putera-putera kabilah Dausy telah membentuk satu pasukan kecil yang diberi nama 'Pasukan Mabrur". Tufail bersama anak buahnya terus menerus ikut dalam setiap peperangan yang dipimpin oleh Rasulullah S.A.W. sehingga hari pembebasan kota Makkah. Di zaman Khalifah Abu Bakar, Tufail dan anak buahnya yang belum menemui syahid tetap mengikuti setiap peperangan. Pada waktu peperangan melawan beberapa orang murtad dan nabi palsu, Tufail bersama anak buahnya masuk di dalam senarai tentera yang di hantar ke Yamamah untuk memusnahkan Musailamah Al-Kazzab. Berangkatlah Tufail bersama anak buahnya. Anaknya sendiri Amr bin Tufail pun ikut dalam pasukan itu.


Dalam perjalanan menuju Yamamah itulah Tufail sempat tidur ketika rehat di waktu malam, pada malam itu dia bermimpi. Pada pagi esoknya dia bercerita kepada teman-teman sepasukannya yang juga dihadiri oleh anaknya. "Malam tadi aku bermimpi". Kata Tufail memulakan ceritanya. : "Cuba kalian tafsirkan mimpiku ini!".

Sahabat-sahabatnyabertanya: "Bagaimana mimpimu itu?"


Tufail menjawab: "Aku bermimpi kepalaku dicukur. Seekor burung keluar dari mulutku. Seorang perempuan memasukkan aku ke dalam perutnya. Anakku Amr menuntut dengan sungguh-sungguh agar dia dibenarkan ikut bersamaku, tetapi dia tidak dapat berbuat apa-apa kerana antaraku dan dia ada dinding."

Sahabat-sahabat Tufail tidak ada yang dapat menyusun kata-kata untuk mentafsirkan mimpinya itu. Tetapi di dalam hati mereka ada jangkaan bahawa mimpi itu baik.

"Itu sebuah mimpi yang baik." Begitulah komen yang dapat keluar dari mulut sahabat-sahabat Tufail.

Kerana di antara mereka tidak ada yang mengeluarkan penafsiran yang sebenar, Tufail berkata: "Sekarang aku akan cuba tafsirkan sendiri.

Kepalaku dicukur, ertinya kepalaku akan dipotong. Burung yang keluar dari mulutku, ertinya nyawaku akan keluar dari mulutku. Seorang perempuan memasukkan aku ke dalam perutnya, ertinya tanah digali orang, lalu aku dikuburkan."

Kemudian Tufail berkata lagi: "Aku berharap semoga aku tewas sebagai syahid. Adapun anakku, dia juga berharap supaya mati syahid seperti aku, tetapi permohonannya akan dikabulkan kemudian."

Demikianlah Tufail mentafsirkan mimpinya sendiri dan dia sangat berharap agar mimpinya itu menjadi kenyataan.

Apabila pasukan kaum Muslimin sampai di Yamamah, terjadilah pertempuran hebat antara tentera kaum Muslimtn dan pasukan Musailamah. Ternyata pasukan Musailamah sangat kuat dan jumlahnya sangat ramai hingga kaum Muslimin terdesak dan khemah-khemahnya sempat musnahkan oleh tentera Musailamah. Tetapi berkat kepandaian dan kecerdikan Khalid bin Walid yang memimpin pasukan Islam, pasukan nabi palsu itu dapat dikalahkan setelah mengorbankan nyawa yang sangat banyak dan Musailamah sendiri terbunuh.

Dalam peperangan yang dahsyat itu, Tufail bin Amr Ad-Dausy mendapat luka parah dan tewas di medan tempur. Sementara anaknya yang meneruskan perjuangan ayahnya, terkena hentakan pedang musuh hingga kudung tangan kanannya.

Setelah peperangan berakhir, Amr bin Tufail balik ke Madinah dengan meninggalkan ayah dan tangan kanannya terbang terlebih dahulu ke syurga dari Yamamah. Separuh mimpi Tufail telah jadi kenyataan, dia telah syahid dalam memerangi nabi palsu.

Dengan hanya mempergunakan tangan sebelah kiri, Amr bin Tufail masih tetap mengikuti perjuangan Islam sampai pada masa Khalifah Umar bin Al-Khattab. Pada suatu hari Amr bin Tufail menghadiri majlis Khalifah. Apabila makanan dihidangkan, orang di dalam majlis itu menjemput Amr agar makan bersama, tetapi dia menolak dan bahkan menjauhkan diri.
Melihat itu Khalifah bertanya: "Mengapa? Barangkali engkau lebih suka makan kemudian. Atau mungkin engkau malu kerana tanganmu itu?"

Amr menjawab: "Betul, ya Amirul Mukminin!"

Khalifah berkata: "Demi Allah, aku tidak akan makanan ini, sebelum dianya disentuh oleh tangan kudung itu. Demi Allah, tidak seorangpun, yang sebahagian tubuhnya telah berada di dalam syurga, melainkanengkau.

Pada zaman Khalifah Umar Al-Khattab pula tentera Islam berangkat ke Yarmuk untuk memerangi pasukan Rom yang jumlahnya 240,000 orang. Peperangan ini memakan masa yang panjang. Kalah dan menang silih berganti dikuasai oleh kedua-dua belah pihak. Namun pada akhirnya pasukan Islam dapat memenangi perang ini setelah mengorbankan putera-putera Islam yang berjumlah 3,000 orang. Setelah perang selesai, tentera Islam memeriksa dan mengumpulkan mayat-mayat syuhada' yang bergelimpangan di sana-sani. Dari sekian ribu syuhada' yang meniarap itu terdapat satu di antaranya pahlawan sebelah tangan. Dia itu adalah Amr bin Tufail yang telah kudung tangan kanannya. Sempurnalah tafsir mimpi Tufail bin Amr. Dua anak beranak Tufail bin Amr Ad-Dausy dan Amr bin Tufail dan Amr bin Tufail telah sama-sama syahid di medan perang.

Allahu Akbar.

Wednesday, February 25, 2015

PEMBEBASAN DARI GANGGUAN JIN DAN SYAITAN...

Dah lama aku tak update blog...bukan sebab tak ade bahan atau cerita-cerita yang hendak dikongsi...tapi banyak urusan keluarga yang perlu diselesaikan terlebih dahulu. Bila dah ke hulu ke hilir tu...faham-faham sajelah...badan pun penat dan lesu...jadi balik rumah apa lagi nak buat...tidur awal lah jawabnya...Disebabkan itulah aku dah lama tak mengadap komputer di rumah untuk update cerita-cerita baru di dalam blog atau di Facebook.

Sekarang dah masuk tahun baru...nampaknya semangat nak berblog dah datang semula walaupun dah hampir dua bulan berlalu.

Kisah kali ini aku nak sambung balik cerita pasal rumah adik aku yang diganggu Jin dan Syaitan yang telah disiarkan pada bulan November 2014 yang lalu. Kepada para pembaca yang tertinggal kisah permulaannya, bolehlah klik di sini. Tajuknya 'Diganggu Jin dan Syaitan'. Selepas itu kisahnya disambung lagi di sini dan tajuknya 'Upacara Menghalau Jin dan Syaitan'.

Artikel ini adalah penutup kepada kedua-dua kisah yang dipaparkan melalui kedua-dua link di atas. Setiap yang bermula mesti ada pengakhirannya. Jadi begitulah apa yang telah dilalui oleh adik aku dan keluarganya selama tempoh sepuluh tahun menderita mengalami gangguan-gangguan itu.

Selepas Ustaz Halim selesai melakukan upacara pemulihan rumah dengan membaca ayat-ayat Al Quran, menyuruh kami melakukan azan semasa beliau menabur garam, lada hitam dan menyembur cuka di setiap penjuru rumah dan di pokok semambu tempat tinggal makhluk tersebut maka Ustaz pun memanggil kami lalu berkata:

"Pokok Semambu yang kat depan rumah tu kena tebang cepat sikit, kalau boleh, tebang esok lagi bagus, biar makhluk tu lari terus dan tak ada peluang nak datang balik...tebang tu biar korek dengan akar-akarnya sekali...tapi kalau tak boleh sebab takut rosak pulak jalan kat depan tu...potonglah sehingga kepangkalnya sahaja separas dengan jalan dan lepas tu sembur racun supaya ianya mati...." Itulah pesan Ustaz Halim pada kami semua. Kamipun angguk tanda setuju untuk melakukan apa yang disuruh oleh Ustaz Halim itu.

Upacara itu selesai pada jam 2.30 pagi dan kamipun bersurai. Pada malam itu, aku dan Abang Joe tidur di rumah abang Izhar sebab esok pagi kami nak ke Kulim, Kedah sebab ada majlis pernikahan anak saudara kami Ahmad Faizal di sana.

Walaupun Ustaz Halim suruh kami tebang pokok tu cepat, tapi disebabkan kesuntukan masa dan perlu hari yang sesuai maka selepas dua minggu ianya berlalu barulah pokok Semambu itu ditebang. Adik aku telah mengupah orang untuk menebangnya dengan kos RM200.00. Aku dan Abang Joe yang tidak dapat pulang pada hari tersebut hanya mengikuti perkembangannya dari jauh sahaja dan juga dari gambar-gambar yang dihantar melalui WhatsApp oleh Anak saudaraku Eika.

Setelah beberapa minggu berlalu...

Satu hari, aku melefon adik aku untuk bertanya khabar. Disamping itu aku juga ingin mengetahui akan perkembangan kehidupan mereka samada masih lagi diganggu atau tidak.

Menurut adik aku, selepas pokok Semambu tu dah ditebang, satu pagi beberapa hari selepas itu ketika waktu hampir nak Subuh, anaknya yang sering diganggu sebelum ini ada mendengar bunyi ketukan di tepi dinding bilik tidurnya. Beliau yang terkejut dan terjaga mendengar ketukan itu turut juga mendengar bunyi seakan-akan suara esakan tangis mirip suara gadis yang mendayu-mendayu seperti orang sedih. Anaknya itu yang agak berani cuba meninjau untuk mengetahui dari arah mana suara itu datang. Setelah diamati ia tidak melihat sesiapapun di situ dan ia menganggap itu adalah mainan perasaannya sahaja. Setelah hampir dua minit berlalu maka suara esakan tangis itupun terus hilang dan tidak kedengaran lagi sehingga ke hari ini.

Begitulah pada hari-hari seterusnya yang dilalui mereka. Kini kehidupan mereka kembali tenang dari gangguan Jin dan Syaitan. Bunyi ketukan serta esakan tangis yang didengari itu adalah yang terakhir kalinya.Wallahuaklam....




Saksikan beberapa keping gambar yang sempat dirakam 
semasa kerja-kerja penebangan pokok dilakukan...

Salah seorang pekerja sedang menebang pokok Semambu 
yang dikatakan dihuni oleh makhluk Jin dan Syaitan...

Jika dilihat pada fizikal pokok yang besar ini semua orang 
akan percaya bahawa pokok yang besar macam inilah tempat 
yang Jin paling suka tinggal tambah pula jika ia dipuja oleh tuan rumah sebelum ini...




Abang Mie iaitu biras adik aku turut membantu 
dalam kerja-kerja penebangan pokok ini...

Pokok yang telah ditebang akan diangkut dan dibuang 
dengan menggunakan motosikal roda tiga... 




Seperti saranan Ustaz Halim bahawa pokok ini mesti ditebang 
hingga kepangkalnya dan tunggulnya hendaklah diracun supaya ia mati...


Pokok yang telah tumbang digergaji supaya ia senang diangkut untuk dibuang...