Saturday, February 13, 2010

MOTOSIKAL KU

Aku mula gian untuk mencuba menonggang motosikal sekitar tahun 1977. Masa tu motosikal dianggap barangan mewah. Tok e yang dah bekerja di Pejabat Tanah dan Daerah Taiping baru beli sebuah motosikal jenis Honda Cup C70. No. plat nya AAD 2798. Dengan motosikal inilah dia berulang alik ketempat kerja yang jarak jauhnya dari rumah 6 km.

Setiap pagi, sebelum dia bangun tidor, aku mengambil kesempatan secara diam-diam mencari dimana dia meletakkan kunci motosikalnya, bila dah dapat, apalagi akupun terus memecut dan meronda seluruh kampung dan taman perumahan kami. Setelah puas, aku akan meletakkan semula motosikal tadi ditempatnya tanpa meninggalkan sebarang tanda-tanda yang aku telah menggunakannya.

Dulu Motosikal adalah barangan terkawal, Ibu bapa akan memastikan bahawa anak-anak yang dibawah umur dan tidak mempunyai lesen dilarang sama sekali untuk menonggangnya dan jika didapati melakukannya maka hukuman rotan akan dikenakan.

Itu cerita 30 tahun dahulu, sekarang tidak lagi. Pada masa ini dimana-mana sahaja kita akan melihat budak-budak bawah umur dengan penuh gaya sambil membawa adik-adik kecil mereka menonggang motosikal dengan pengetahuan ibu bapa mereka. Ibu bapa tidak lagi menganggap ia satu kesalahan, kadang-kadang si ayah menyuruh anak-anak kekedai untuk membeli sekotak rokok atau surat khabar manakala si ibu pula menyuruh mereka membeli barang-barang yang telah kehabisan untuk dimasak seperti garam, rempah, belacan dan sebagainya.

Lebih malang lagi, sudahlah anak-anak dibawah umur, tidak mempunyai lesen memandu, membawa pembonceng pulak tu, kadang-kadang sehingga lebih dari seorang dan lebih malang lagi mereka tidak memakai topi keledar, dan lebih malang lagi mereka melanggar lampu isyarat dan terus memecut laju sambil membuat 'Whellie' dan 'u turn' yang merbahaya.

Aku mula memiliki motosikal sendiri ketika berumur 22 tahun. Motosikal jenis Yamaha Cup Y80 tu bernombor plat AAV 5120 warna biru dibeli di bandar Telok Intan, Perak, pada tahun 1983 dengan harganya pada masa itu on the road R1,800.00. Aku telah menggunakannya selama 4 tahun sahaja dan menjualnya dengan harga RM700.00 di sebuah kedai motosikal di Pekan Ampang.

Aku sedang mencuci motosikal pertamaku
iaitu Yamaha Cup Y80 bernombor plat AAV 5120

Selama 3 tahun aku tidak mempunyai motosikal dan berulang alik ketempat kerja dengan menaiki bas mini atau kadang-kadang menumpang kawan. Terasa betapa peritnya dan 'patah kaki' apabila tidak mempunyai sebuah motosikal.

Kemudian aku membeli sebuah motosikal Yamaha Cup Y80 juga 'second hand' bernombor plat BBX 4397 (kalau tak silap aku laa..) . Tapi biasa la barang terpakai, selalu mengalami kerosakan terutama di bahagian engine dan banyak mengeluarkan asap putih sampai seluruh KL berjerebu dengan asap putih yang keluar dari ekzos motosikal aku.

Dalam keadaan selalu mengalami kerosakan tu 4 tahun jugak la aku pakai dan hayatnya telah sampai pada tahun 1994 apabila aku menjualnya juga dengan harga RM700.

Permohonan aku untuk membeli sebuah motosikal dengan loan pejabat telah diluluskan sebanyak RM3,800. Model yang aku berkenan tu juga dari jenis Yamaha dengan model terbaru pada masa tu Yamaha Sport Y100 dengan nombor platnya WDP 4312. Aku merasa amat selesa apabila menggunakannya dan perjalanan ulang alik dari rumah ke pejabat sejauh 30 km terasa dekat dengan kelajuan yang aku berani bawa iaitu 100 km sejam mengambil masa antara 30 ke 40 minit dari Serdang ke Wangsa Maju.

Selama 10 tahun aku pakai motosikal tu, telah ada tanda-tanda yang ia telah mengalami kerosakan engine dan perlu di overhaul. Lagi pulak aku rasa sangat berbaloi menggunakannya selama 10 tahun. Aku terfikir motosikal apa yang aku nak beli pulak. 3 biji motosikal aku dulu semua dari jenis Yamaha, takkan Yamaha lagi, beli la Yangmurah pulak.

Tahun 1994, motosikal yang di jual di pasaran telah menggunakan teknologi lebih canggih dengan CC yang lebih besar dan menghidupkan enginenya pula dengan 'elektrik starter', harganya pulak gila-gila. Yamaha LC harga dia mencecah RM6,000 manakala Honda Wave pulak sekitar RM6,000 ke RM6,500. Loan pejabat dah tak boleh ambik lagi sebab aku dah pinjam RM28,000 untuk membeli kereta second hand jenis Ford Laser 1,600 CC. Tapi aku masih nak berlagak tak nak beli motosikal buatan Malaysia dari jenis Kriss Modenas yang pada masa tu baru keluar di pasaran.

Setelah puas berfikir dan tak mau buat hutang lagi maka aku telah membeli sebuah motosikal baru jenis Kriss Modenas 110 CC menggunakan Disc Brake dengan no plat WMH 601. Aku beli tunai pada tahun 2004 dengan harga on the road cuma RM4,400 sahaja bukan elektrik starter tapi kick starter, sebab tu murah sikit dengan menggunakan wang hasil jualan motosikal lama sebanyak RM1,100 dan dicampur dengan sedikit wang simpanan dan bonos yang diterima pada tahun tu. Nak bagi cantik lagi dan selamat dari selalu mengalami pancit aku tambah lagi dalam RM200 untuk sport rim dan tayar Tubeless. Untuk mengelakkan dari basahan hujan pulak aku beli sepasang baju GIVI dengan harga RM65.00.

Gambar motosikal Kriss Modenas 110 cc
No. Plat WMH 601 dari pelbagai sudut





Kini telah hampir 6 tahun aku menggunakannya tanpa banyak mengalami masalah dan berpuashati dengan motosikal buatan tempatan.

Sebagai tanda terima kasih kepada motosikal aku tu maka aku abadikan dia dengan menggunakan no platnya sebagai alamat blog aku iaitu http://wwwaj601.blogspot.com/

Itulah sejarah hidup aku berkenaan dengan sebuah motosikal dan pada keluaran yang akan datang aku akan menceritakan pulak pengalaman aku memiliki kereta yang penceritaannya lebih mendebarkan.

4 comments:

  1. moto y80 ngan y100 lg sedap bawak kan bang;)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Betul tu...tapi kita perlu mengikuti peredaran zaman tanpa menidakkan apa yang kita miliki sebelum ini...

      Tq atas komen saudara...

      Delete
  2. Nice. Motor pertama aku adalah modenas ct100. Aku nak beli modenas ct110 tapi kat kedai dah tak ada, production pula dah lama stop. Sokonglah barangan buatan Malaysia. Malaysia boleh.

    ReplyDelete
  3. Teringat pulak kisah2 lama bila baca blog ni, tahun 1994 dulu saya beli kawasaki k1 brand new tahun 2000 pulak beli lg kriss 1 dan kedua duanya masih pakai sampai hari ini. Dua2 chasis dia sama je.

    ReplyDelete