Sunday, March 13, 2011

TRAGEDI TG. KUPANG

Bangkai pesawat Boeing 737 milik MAS yang terhempas
dan mengorbankan 93 penumpang dan 7 anak kapal


Pada 4 Disember 1977, Negara gempar ekoran suatu tragedi mayat – kemalangan udara yang membabitkan kapal terbang MAS. Sejak tarikh itu, bagi mereka yang masih ingat, Tanjung Kupang adalah satu nama yang tak boleh dikikis memori.nya Kemalangan itu membabitkan Penerbangan 653 Boeing 737 dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur.

Tragedi tersebut mengorbankan kesemua 93 penumpang dan 7 kakitangannya. Kejadian yang berlaku di Kampung Tanjung Kupang dekat Gelang Patah, Johor merupakan tragedi nahas udara yang paling buruk dalam sejarah tanah air. Kerana inilah kali pertama melibatkan pesawat penumpang MAS yang terbesar ketika itu.


Nahas itu juga merupakan kemalangan yang melibatkan kehilangan nyawa paling besar dalam sejarah Negara. Kesemua mayat 100 orang dalam kapal tersebut hancur, keadaan bangkai pesawat itu juga amat teruk sehingga besi-besi pun berkecai.


Bahagian-bahagian tubuh badan seperti tangan, kaki, perut berselerakan malah kelihatan tali perut tersangkut di atas pokok-pokok bakau. Tidak ada satu mayat pun yang lengkap ditemui apatah lagi untuk dikenali. Cebisan mayat yang ditemui dimasukkan ke dalam karung-karung plastik oleh pasukan tentera yang ditugaskan. Bagi mereka yang pernah melawat tempat kejadian itu, pastinya akan terperanjat dengan apa yang mereka saksikan.


di hutan paya bakau inilah
kapalterbang itu terhempas

Segalanya bermula apabila Penerbangan 653 berlepas dari Bayan Lepas jam 7.15 malam dan dijadualkan mendarat di Subang jam 7.55 malam sebelum berlepas semula ke Singapura. Ketika hendak mendarat di Subang, pilot Kapten G.K. Ganjoor melaporkan ke pusat kawalan bahawa pesawat telah dirampas dan tidak jadi mendarat.



Sebuah akhbar tempatan edisi jawi
melaporkan berita nahas tersebut

Menurut mereka yang pernah mendengar rakaman kotak hitam itu, perampas itu berseorangan dan bersenjatakan pistol. Semasa di ruang udara Johor perampas itu mengarahkan agar kapal terbang itu berpatah balik ke Kuala Lumpur.


Apabila pilot enggan menuruti kehendaknya dia ditembak. Tatkala itu juga seorang pramugari yang masuk ke dalam kokpit juga ditembak. Apabila co-pilot memberikan alasan bahawa minyak tidak mencukupi untuk berpatah balik, dia pun ditembak.


Segala kejadian di dalam kokpit didengari oleh penumpang di kabin. Ini menimbulkan suasana huru-hara yang tidak dapat dibayangkan dengan pelbagai suara raungan dan tangisan orang dewasa, kanak-kanak dan wanita. Beberapa minit selepas itu segala-galanya hilang . . . kini yang tinggal hanyalah kotak hitam, kenangan pilu dan kubur besar.


Menurut kisah, kapal terbang itu meletup di udara sebelum jatuh terhempas ke bumi. Berdasarkan laporan terdapat dua letupan berlaku di udara. Sebab itulah serpihan kapal terbang dan isinya bertaburan dalam lingkungan lingkaran satu batu. Impak letupan yang kuat ini juga menerangkan mengapa mayat-mayat hancur berkecai.


Kesemua yang maut dalam penerbangan itu kini disemadikan dalam sebuah kubur besar berdekatan Taman Bunga, Jalan Kebun Teh, Johor Bahru. Kubur tragedi mangsa itu unik. Pertama, kerana ia besar, kedua kerana ia menghimpunkan kesemua mangsanya dalam satu liang lahat tanpa mengambil kira anutan agama.


Ini kerana kesemua mayat mangsa tragedi tersebut hancur berkecai. Jadi adalah mustahil untuk menentukan identiti masing-masing, sebab itulah pangasingan dari segi anutan agama juga mustahil.


Pengkebumian dilaksanakan pada 9hb. Disember 1977 di atas satu kawasan tanah yang dikhaskan oleh kerajaan Negeri Johor. Cebisan-cebisan mayat dimasukkan ke dalam liang lahat dalam tujuh keranda yang berasingan dan upacara menyembahyangkan mayat dijalankan untuk semua agama.


Kerja-kerja pengkebumian
sedang dijalankan


Bermula dengan upacara Islam, diikuti dengan Buddha, Kristian dan Hindu termasuklah agama Yahudi. Upacara Buddha dilaksanakan oleh seorang sami yang diterbangkan khas dari Bangkok manakala Kristian dilaksanakan oleh seorang paderi dari Jerman.


Kini, kalau anda melawat pusara tersebut ada kalanya kelihatan sejambak bunga menghiasi persekitaran. Di sana tidak ada batu nisan, yang ada hanyalah batu marmar dan tulisan yang tertera di atasnya – menunjukkan bahawa ia adalah sebuah kubur. Nama-nama dan kerakyatan mereka yang terkorban terpahat di atasnya.


Memorial peingatan tragedi Tg. Kupang.


Meskipun tragedi itu telah hampir empat dekad berlalu namun ia masih tinggal sebagai misteri. Ada dua jenis misteri, misteri yang pertama ialah apakah yang sebenarnya berlaku. Siapakah yang merampasnya, apakah kemahuannya dan bagaimanakah kapal terbang itu boleh meletup. Misteri yang kedua ialah dikaitkan dengan kisah-kisah pelik yang berlaku berhampiran dengan pusara tersebut.


Menurut ceritanya, ada orang yang melihat pramugari berpakaian lengkap berjalan-jalan di tengah malam, tetapi anehnya uniform yang dikenakan bukanlah uniform masa kini, tetapi uniform lama yang tidak digunakan lagi.


Ada pemandu teksi menceritakan bahawa dia ditahan oleh penumpang yang apabila ditanya ke mana destinasinya, lalu dijawab hendak mencari ‘mata’ yang hilang.


Sebenarnya banyak lagi kejadian aneh yang berlaku, namun yang pastinya seluruh insiden itu hendaklah menjadi pengajaran kepada yang masih hidup, agar kita lebih berhati-hati supaya kejadian perampasan sebegini tidak berulang lagi dan agar kita sentiasa mencari bekalan ‘pulang’ kerana maut sering menerpa tanpa disapa.


Mastika

4 comments:

  1. AJ, kubur tragedi Tg. Kupang ni sebelah taman tempat saya duduk dulu di JB. Jalan masuk ke taman rumah saya (Taman Kemajuan Ekonomi Islam),di Jalan Kebun Teh sama dengan jalan masuk ke Perkuburan Tg. Kupang. Banyak cerita yang kami dengar semasa duduk di situ dulu, sampaikan roomates saya ramai keluar menyewa di taman lain, sebab takut balik lewat malam kalau perlu buat OT. Tetapi sepanjang saya duduk di situ, (3 tahun), saya tidak pernah pulak berjumpa benda pelik2 walaupun selalu balik lewat malam daripada aktiviti di luar. Selalu juga kita orang lepak di kawasan perkuburan tu.

    ReplyDelete
  2. Selalunya bagi kita orang melayu, selalu mengaitkan sesuatu tragedi itu dengan makhluk halus seperti Jin dan Syaitan. Itu semua perbuatan syirik.

    Iblis, Jin dan Syaitan takut kepada orang yang kuat imannya seperti saudara sebab itulah ia tidak dapat mengganggu.


    ReplyDelete
  3. Jais jais...badigo sood.

    ReplyDelete
  4. Ramai berjumpa makhluk halus menyerupai pramugari dan penumpang ingin menumpang teksi dgn berbagai kerenah mereka yg menakutkan...

    ReplyDelete