Monday, April 25, 2011

PENTING! JIKA 'ANU' MAYAT BERKHATAN!...

Ustaz Abdul Hamid Abdul Ghani, 46, antara individu bertuah yang terlibat dalam pengurusan jenazah negarawan Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj, bekas Perdana Menteri Pertama.

Beliau juga orang yang bertanggungjawab menguruskan jenazah Timbalan Perdana Menteri, Allahyarham Tun Ghafar baba dan Almarhum Yang di Pertuan Agong, Sultan Salahuddin ibni Almarhum Sultan Abdul Aziz Shah yang juga Sultan Selangor.


Malah Ustaz Abdul Hamid pernah menguruskan jenazah mangsa Highland Tower yang tumbang pada 11 Disember 1993 dan helikopter Nuri yang terhempas di Genting Sempah pada tahun 2007.

Sehingga hari ini beliau telah menguruskan hampir 3,000 jenazah bermula dari memandi , mengapan sehinggalah mengebumikan …

Saya sudah lali berjumpa bermacam-macam rupa mayat yang sudah busuk, berlendir, berulat, rentung, hancur dan berkecai.Mula-mula saya ditugaskan memandikan jenazah di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) pada tahun 1987.

Bayangkan dalam sebulan, lebih kurang antara lapan hingga limabelas mayat yang perlu dimandi dan dikapan sebelum dikebumikan. Mayat yang saya urus, kebanyakannya mayat yang tidak dituntut waris, mangsa bunuh, mangsa kemalangan, mangsa bencana dan lain-lain lagi.

Walaupun sudah banyak mayat yang saya uruskan, namun saya tidak pernah kenal latar belakang mereka. Malah ada mayat bukan rakyat tempatan atau warga asing. Kadang-kadang, mayat yang saya uruskan, pihak polis pun tidak tahu apa bangsa dan agamanya kerana ketiadaan dokumen pengenalan diri.

Jadi saya laksanakan tugas ini sebagai tanggungjawab seorang Islam. Saya mesti laksanakan tugas sebaik mungkin biarpun pada mulanya berasa gementar dan loya berhadapan dengan keadaan mayat yang sungguh mengerikan.

Maka langkah pertama yang saya ambil adalah melihat terlebih dahulu ‘anu’ si mayat tersebut. Sekiranya ‘anu’ si mayat berkhatan maka kami akan uruskan mayat tersebut mengikut cara Islam.

Langkah mengenalpasti anunya ini bertujuan untuk mengenal pasti agama yang dianuti si mayat. Saya akui pada zaman moden sekarang, orang bukan Islam turut berkhatan demi menjaga kesihatan namun hal ini bukanlah suatu isu yang hendak dipertikaikan.

Mana mungkin mayat yang dikhatan itu dibiarkan begitu saja. Andai kata mayat itu benar-benar seorang Islam, siapa pula yang hendak menjawabnya nanti? Jadi setiap mayat-mayat yang kami dapati berkhatan maka kami uruskannya dengan cara Islam demi melaksanakan fardhu kifayah.

Pada suatu malam selepas saya menguruskan jenazah, saya terlena. Saya bermimpi dua ekor ular sebesar peha berwarna kehitaman muncul dan cuba membelit tubuh saya. Setiap kali ular itu menyerang, saya menepis dan melawannya dengan membaca ayat-ayat al-Quran. Lama juga saya bertarung dengan dua ekor ular itu sampailah kesubuh.

Bermacam-macam ayat yang saya baca supaya ular itu lari. Berpeluh-peluh badan saya mengelak dan menepis serangan ular hitam itu, sampai lemah tubuh saya dibuatnya.

Alhamdulillah, akhirnya ular itu mengalah dan menghilang begitu sahaja. Mengapa ular itu hendak membelit saya? Entahlah. Perkara ini mungkin berlaku disebabkan ada mayat yang saya uruskan sebelum ini ada mengamalkan ilmu hitam atau amalan yang berunsurkan khurafat dan jin. Sejak itu saya berhati-hati, bimbang mimpi aneh berulang lagi.

Antara kejadian yang tidak dapat dilupakan, sewaktu saya menguruskan mayat mangsa runtuhan bangunan pangsapuri mewah Highland Tower yang tumbang 17 tahun lalu. Dalam tragedi 11 Disember 1993 itu seramai 48 orang terbunuh.



Mayat mangsa runtuhan Highland Tower
turut diuruskan Ustaz Abdul Hamid Abdul Ghani.

Saya ditugas menguruskan lebih kurang 10 orang mangsa yang terbunuh. Antaranya mayat seorang lelaki yang tidak berkepala, puas pasukan penyelamat cari kepalanya tapi tidak berjumpa. Keadaan mayat lelaki itu memang teruk, sudah berlendir. Lendirnya warna hitam macam air longkang, sangat busuk. Saya pegang badannya, melekit, perutnya sudah pecah. Bila saya lihat anunya, sah dia orang Islam.

Saya lihat kulit dan daging dibahagian rusuknya pula sudah tidak ada sehingga menampakkan tulang temulang. Yang tinggal hanya sedikit daging di bahagian lengan dan pahanya sahaja. Itu pun sudah hampir reput.

Bau mayat tersebut memang dahsyat. Saya tidak tahu hendak gambarkan betapa busuk bau mayat itu sampaikan kawan saya yang bertugas dengan saya masa itu termuntah. Biarpun masa itu saya memakai penutup hidung tapi baunya masih dapat dihidu. Menusuk ke lubang hidung. Bila saya jirus dengan air, kulitnya macam hendak tanggal, ulat yang ada pula gugur satu per satu dari badannya.

Ulat terlalu banyak, saya tidak dapat buang, kesemua ulat memamah dagingnya. Dibawah kulit lengan dan pahanya saya boleh lihat ulat-ulat itu bergerak-gerak. Ulat itu macam ulat nangka tapi saiznya besar sedikit berwarna kekuningan. Saya jirus mayat itu dengan air sabun supaya bau busuk berkurangan kemudian saya kapan dan uruskan pengebumiannya.


Memang sedih, selain mayat tersebut ada juga mangsa runtuhan pangsapuri tersebut tangan dan kakinya sudah putus dan tercabut. Entah kemana perginya anggota badan yang hilang itu, mungkin sudah hancur ditimpa batu bata. Jadi saya terpaksa uruskan juga jenazahnya mengikut cara Islam setelah melihat anunya bersunat.

Pernah beberapa tahun lalu saya uruskan mayat mangsa kemalangan maut di Kuala Lumpur. Kepalanya sudah leper macam pinggan kemik, mungkin dilenyek bas atau lori. Matanya tersembul. Sebiji lagi matanya sudah hancur. Otaknya tersembur keluar. Baunya hanyir. Bila saya selak, anunya berkhatan, maka saya uruskan dia cara Islam.

Memanglah jika lemah semangat, boleh pengsan. Sebab, ada juga mayat mangsa kemalangan yang sudah hancur. Dagingnya macam sudah dicincang-cincang. Saya sendiri sampai keliru yang mana tangan dan yang mana kaki! Memang rumit hendak uruskan mayat seperti ini. Semua tulangnya patah-patah. Jadi saya terpaksa lapikkan dengan sehelai kain supaya apabila air dijirus daging-dagingnya tidak hanyut atau tercicir.

Walaupun dagingnya bertaburan, saya kena kutip dan kebumikan. Saya tidak tahu kemalangan apa yang menimpa mayat ini sehinggakan tubuhnya hancur macam kena gilis kereta api. Setiap kali saya jirus air, air yang turun tetap kemerah-merahan, bermaksud air bercampur dengan darah. Gambarannya seperti kita membasuh daging untuk dibuat kenduri. Tetapi seteruk mana sekalipun, tetapi jika anunya berkhatan saya tetap uruskan secara orang Islam.

Selain itu, saya juga pernah menguruskan mayat orang Islam yang mati terbakar. Mayat yang terbakar selalunya berkeadaan keras. Untuk kes ini, saya akan lihat dulu bagaimana keadaan mayat tersebut. Sekiranya mayat itu rentung maka saya tidak boleh buat apa-apa.

Pernah suatu hari saya terima mayat yang rentung, hangit baunya. Saya tidak boleh memandikan mayat itu kerana bila saya jirus air, tubuh mayat itu jadi lebur macam abu. Jadi saya terus tanam sahaja. Yang penting kena sahkan anu mayat itu berkhatan atau tidak. Kalau ya berkhatan, saya uruskan cara orang Islam.

Sama jugalah dalam kejadian helikopter terhempas di Genting Sempah. Semua orang tahu, hampir seminggu barulah kesemua mayat mangsa dijumpai. Kalau sudah seminggu, faham-faham sahajalah bagaimana keadaannya.

Bahagian muka, leher dan perut adalah bahagian yang paling cepat reput. Jumlah mayat mangsa enam orang semuanya. Jadi terus terang saya hanya uruskan lima sahaja, yang satu lagi memang saya tidak sanggup! Saya tidak sanggup! Memang saya tidak sanggup! Nak tahu kenapa?
Sebab mayat itu seorang perempuan. Jadi biarlah ustazah uruskan jenazahnya…
Mastika Okt. 2010

2 comments:

  1. Mengurus,Memandi,mengkafan,mengerjakan solat jenazah dan menguruskan pengebumian jenazah adalah FARDU KIFAYAH.Hadis Nabi yg diriwayatkan oleh Muslim...Maksudnya: ''Tiada seorang Muslim yg meninggal,kemudian disolatkan keatasnya oleh 40 org lelaki yg tidak menyekutui Allah dgn sesuatu pun melainkan diberikan syafaat terhadapnya pada hari kiamat nanti''

    ReplyDelete
  2. Aku sudah 2 kali menghadiri kursus pengurusan jenazah...tapi sehingga ke hari ini satu jenazahpun aku belum pernah menguruskannya lagi...

    ReplyDelete