Saturday, July 20, 2013

ADAKAH ALIEN WUJUD?...





Jenis-jenis Alien 
seperti yang di gambarkan...


Apakah ada kehidupan di luar bumi? Sekiranya ada, siapakah dan seperti apakah makhluk itu? Apakah makhluk itu seperti yang digambarkan dalam filem-filem, iaitu makhluk berkulit hijau ataupun kelabu, dengan mata dan kepala besar? Apakah benar kecerdasan makhluk itu melebihi manusia? 

Hingga ke hari ini segala persoalan itu masih belum menemui penjelasannya.

Istilah alien merujuk kepada makhluk asing ataupun makhluk luar angkasa (extraterrestrial). Namun ada juga sebahagian pemerhati UFO yang meyakini alien sebenarnya berasal dari bumi. Sebahagian yang lain berpendapat, alien adalah makhluk niskala iaitu makhluk dimensi lain ataupun ghaib. Istilah makhluk dari luar angkasa ini mula digunakan secara meluas ketika tahun 1940-an dan menghubungkannya dengan fenomena UFO.

Umumnya, alien digambarkan sebagai makhluk yang berketinggian kira-kira empat kaki, dengan kulit berwarna kelabu (kadang-kadang biru-kelabu/hijau-kelabu). Tubuh mereka biasanya digambarkan panjang dan kurang berotot. Kaki mereka lebih pendek dan sendinya berbeza dengan manusia dan ini membuatkan langkah mereka seperti orang yang bongkok. Lengan mereka sering kali mampu mencapai lutut dan beberapa laporan mengatakan mereka mempunyai hanya tiga jari ataupun empat jari termasuk ibu jari di setiap tangan. Manakala bentuk kepalanya menyerupai mentol lampu pijar, botak dan disokong oleh leher yang kurus.Raut wajahnya didominasi oleh mata besar yang kebiasaannya berwarna hitam tanpa kelopak mata.

Umumnya, mereka dikatakan mempunyai hidung kecil yang leper, mulut kecil dan telinga kecil tanpa cuping. Dalam beberapa kes, alien dikatakan memiliki lubang hidung seperti lubang baji pada mukanya yang leper. Beberapa laporan mengatakan alien memakai baju seragam ketat berwarna neutral seperti pakaian sukan. Beberapa laporan lain pula mengatakan mereka bertelanjang bulat.     

Bagaimana Islam memandang fenomena Alien ini?

Walaupun tidak disebut secara jelas, pada abad yang lalu, Al-Quran sudah menerangkan kewujudan makhluk-makhluk selain manusia yang berada di luar planet bumi. Allah menyatakan dalam surah Ash-Shura, ayat 29 yang dalam bermaksud: 

"Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya, adalah kejadian langit dan bumi, serta segala yang Dia biakkan pada kedua-duanya daripada makhluk-makhluk yang melata (Daabbah) dan Dia Maha Kuasa menghimpunkan mereka semuanya apabila Dia berkehendak melakukannya."   


Dalam nukilan ayat di atas disebutkan Allah menciptakan makhluk-makhluk yang melata iaitu Daabbah yang terletak di antara langit dan bumi. Perkataan Ad-Daabbah ataupun Ad-Dawaab dalam kamus bahasa Arab diambil daripada kata Daabb yang bermakna makhluk yang merangkak, melata dan binatang. Makhluk melata dalam bahasa Arab memiliki erti yang luas. Ia bukan bermaksud makhluk daripada jenis haiwan semata-mata, namun dapat juga bermaksud makhluk seperti manusia, kerana di dalam beberapa ayat, Allah menyebutkan manusia sebagai Ad-Dawaabbi.


"Sebenarnya, sejahat-jahat makhluk yang melata, pada sisi hukum dan ketetapan Allah adalah orang yang pekak lagi bisu, yang tidak mahu memahami perkara apa pun dengan akal fikirannya." (Surah Al-Anfal, ayat 22)

Apakah ciri-ciri Ad-Daabbah itu? Al-Quran menyebut perihal Ad-Daabbah dan Ad-Dawaab dalam beberapa gambaran, antaranya:

"Dan Allah menciptakan tiap-tiap haiwan yang bergerak itu daripada air. Maka sebahagian di antara haiwan itu menjalar di atas perutnya, sebahagian di antaranya berjalan dengan dua kaki, dan sebahagian lagi berjalan dengan empat kaki. Allah menciptakan apa sahaja yang Dia kehendaki (selain daripada itu), kerana sebenarnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap perkara." (Surah An-Nur, ayat 45).

"Sebenarnya pada kejadian langit dan bumi dan pada pertukaran malam dan siang dan pada kapal-kapal yang belayar di laut dengan membawa benda-benda yang bermanfaat kepada manusia. Demikian juga pada air hujan yang Allah turunkan dari langit lalu Allah hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya, serta Dia bisikkan padanya dari berbagai-bagai jenis binatang. Demikian juga pada peredaran angin dan awan yang tunduk kepada kuasa Allah terapung-apung di antara langit dengan bumi. Sebenarnya pada semuanya itu ada tanda-tanda yang membuktikan keesaan Allah, kekuasaann-Nya, kebijaksanaan-Nya, dan keluasan rahmat-Nya untuk kaum yang mahu menggunakan akal fikiran."  (Surah Al-Baqarah, ayat 164).

"Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua-dua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan apapun dalam Al-Kitab; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka untuk dihisab dan menerima balasan." (Surah Al-An'am, ayat 38).

"Dan tiadalah apapun daripada makhluk-makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jua yang memberi rezekinya dan Dia mengetahui tempat kediamannya, dan tempat ia disimpan. Semuanya itu tersurat dalam Kitab (Lauh mahfuz) yang nyata." (Surah Hud, ayat 60).

"Sesungguhnya aku berserah diri kepada Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu. Tiadalah apapun daripada makhluk-makhluk yang melata di muka bumi melainkan Allah jua yang menguasainya. Sesungguhnya Tuhanku di atas jalan yang lurus. (Surah Hud, ayat 56).

"Dan kepada Allah sahaja tunduk sujud segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, daripada makhluk-makhluk yang bergerak serta malaikat, sedangkan mereka (malaikat-malaikat itu) tidak berlaku sombong takbur (daripada beribadat dan sujud kepada-Nya." (Surah An-Nahl, ayat 49).

"Sekiranya Allah menyeksa manusia disebabkan kezaliman mereka, tentulah Dia tidak membiarkan makhluk yang bergerak tinggal di muka bumi, tetapi Dia memberi tempoh kepada mereka hingga ke suatu masa. Kemudian apabila sampai tempoh mereka, tiadalah mereka dapat meminta dikemudiankan sesaatpun dan tidak pula mereka dapat meminta didahulukan." (Surah An-Nahl,ayat 61).

"Tidakkah dikau mengetahui segala yang ada di langit dan di bumi tunduk sujud kepada Allah, matahari, bulan, bintang-bintang, gunung-ganang, pokok-pokok kayu, binatang-binatang melata serta sebahagian besar daripada manusia? Dan banyak di antara manusia yang berhak ditimpa azab disebabkan kekufuran dan maksiatnya. Dan sesiapa yang dihinakan oleh Allah maka ia tidak akan beroleh siapa pun yang dapat memuliakannya. Sesungguhnya Allah tetap melakukan apa yang dirancang-Nya." (Surah Al-Haj, ayat 18).

"Dan apabila sampai masa berlakunya hukuman kepada manusia, Kami keluarkan untuk mereka sejenis binatang melata dari bumi, yang akan menyatakan kepada mereka, bahawa manusia dahulu tidak meyakini ayat-ayat keterangan dan pengajaran kami." (Surah An-Naml, ayat 82).

"Dan berapa banyak binatang yang tidak membawa rezekinya bersama, Allah jua yang memberi rezeki kepadanya dan kepada kamu dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui." (Surah Al-Ankabut, ayat 60).

"Dia menciptakan langit dengan tidak bertiang sebagaimana yang kamu melihatnya dan Dia meletakkan gunung-ganang di permukaan bumi supaya bumi itu tidak menggoyangkan kamu, dan Dia biakkan padanya berbagai jenis binatang. Dan Kami menurunkan hujan dari langit, lalu Kami tumbuhkan di bumi berbagai jenis tanaman yang memberi banyak manfaat." (Surah Luqman, ayat 10).

"Selepas kami tetapkan berlakunya kematian Sulaiman, tidak ada yang menunjukkan kepada mereka perihal kematiannya melainkan semut putih (anai-anai) yang sudah memakan tongkatnya. Maka apabila ia tumbang, ternyatalah kepada golongan jin itu, sekiranya mereka sedia mengetahui perkara yang ghaib nescaya mereka tidak tinggal sedemikian lamanya di dalam azab (kerja berat) yang menghinanya." (Surah Saba', ayat 14).

"Dan demikian pula di antara manusia dan binatang-binatang yang melata serta binatang-binatang ternak, ada yang berlainan jenis dan warnanya. Sesungguhnya yang takut kepada Allah daripada kalangan hamba-hamba-Nya hanyalah orang-orang yang berilmu, iaitu orang-orang yang mengetahui kebesaran dan kekuasaan Allah. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa lagi Maha Pengampun." (Surah Fatir, ayat 28).

"Dan sekiranya Allah mengira kesalahan manusia serta terus menyeksa mereka disebabkan amal-amal jahat yang mereka kerjakan, tentulah Dia tidak membiarkan tinggal satu pun makhluk yang bergerak di muka bumi. Tetapi, Dia tidak bertindak dengan serta merta, bahkan Dia memberi tempoh kepada mereka hingga ke suatu masa. Kemudian, apabila sampai tempoh mereka, maka Allah akan membalas masing-masing dengan adilnya, kerana sesungguhnya Allah sentiasa melihat keadaan hamba-hamba-Nya." (Surah Fatir, ayat 45).

"Dan pada kejadian diri kamu sendiri, serta pada kejadian segala binatang yang dibiakkan-Nya, terdapat juga tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Allah untuk orang-orang yang meyakininya." Surah Al-Jathiyah, ayat 4).

Berdasarkan ayat-ayat Al-Quran itu, kita dapat ketahui kewujudan dan ciri-ciri Ad-Daabbah seperti berikut:

  1. Makhluk yang berjalan di atas perutnya, ada yang berjalan dengan dua ataupun empat kaki.
  2. Makhluk yang berpijak, membawa maksud makhluk-makhluk yang memerlukan tempat berpijak.
  3. Dalam Surah Saba' ayat 14, pengertian daabbah dengan jelas mengarah kepada binatang merayap.  
  4. Memiliki bermacam-macam warna dan jenis.
  5. Daabbah tidak berada di atmosfera bumi.
  6. Dapat berkembang biak.
  7. Sesetengahnya dapat bercakap.
  8. Kewujudan Ad-Daabbah dalam pemahaman umum adalah makhluk melata yang bertebaran di muka bumi dan secara khususnya ada yang bertebaran di antara bumi dan langit.
  9. Ad-Daabbah tidak semestinya binatang ternak kerana dalam surah Fatir, ayat 28, ia disebutkan secara terpisah dengan binatang ternak.
  10. Hakikatnya, semua Ad-Daabbah sujud kepada Allah. Ad-Daabbah memiliki sistem ibadah yang tersendiri, berbeza dengan sistem beribadah manusia.
Justeru, dapat disimpulkan Ad-Daabbah ataupun Ad-Dawaab memiliki ciri-ciri dan tahap kepelbagaian yang banyak. Ada makhluk yang merayap, binatang ternak, bahkan ada yang menyerupai manusia.

Mari kita kembali kepada pertanyaan awal, Adakah Alien itu wujud?

Gambaran imej alien sebagai makhluk luar angkasa yang berkulit hijau ataupun kelabu, bermata dan berkepala besar, membuatkan penulis menyimpulkan belum ada bukti ataupun fakta yang tepat berkenaan makhluk ini. Malah para ilmuwan turut merumuskan, fenomena alien ataupun UFO ini masih dalam kategori pseudosains dan belum dapat dikembangkan menjadi teori ilmiah.

Namun begitu, sekiranya yang dimaksudkan adalah makhluk melata yang berada di luar angkasa, dapat disimpulkan ia wujud dan perkara ini merujuk kepada keterangan Allah.

Oleh itu, apabila ia ada disebut dalam Al-Quran, maka apakah sebabnya kewujudan alien masih belum dapat dibuktikan? Apakah Al-Quran memberikan maklumat yang salah?

Bagi menjawab persoalan ini, kita perlu kembali kepada inti pati kewujudan Al-Quran. Al-Quran adalah wahyu terakhir yang diturunkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad s.a.w. untuk disampaikan kepada umatnya sehingga akhir zaman. Antara 'Ijaz ataupun mukjizat Al-Quran adalah adanya ayat-ayat sains yang baru terbukti kebenarannya pada abad moden. Jadi, kebenaran ayat-ayat sains dalam A-Quran tidak semestinya terjawab pada zaman-zaman tertentu. Demikian juga dengan kebenaran ayat Al-Quran dalam surah As-Shura ayat 29 berkenaan kewujudan Daabbah ini. Ia mungkin terjawab pada zaman sekarang, ataupun menjadi antara bukti kebenaran mukjizat Al-Quran pada masa akan datang.

Apa yang patut dikritik oleh kaum Muslimin adalah kita jangan mempercayai sepenuhnya segala berita berkenaan UFO dan alien, kerana kebanyakan daripada berita itu bersifat hoax ataupun palsu. Ini bagi mengelakkan diri daripada terjebak dalam maklumat yang salah, sekaligus dapat merosakkan iman dan terjerumus ke jurang kemusyrikan.

Dipetik dari Buku Misteri 50 yang menggemparkan dunia...  

No comments:

Post a Comment