Apakah ini Si Tanggang yang telah disumpah menjadi batu
kerana merderhaka terhadap ibunya...
(Gambar hiasan)
Zuhdi termenung panjang. Dia dalam dilema. Permintaan yang mana hendak diturut. Emak di kampung, baru saja telefon suruh balik. Sementara isteri beriya-iya mengajak bercuti di Kota Kinabalu, Sabah. Zuhdi merenung borang cuti di tangannya. Inilah pertama kali dia mengambil cuti sejak setahun yang lalu. Sebelum ini, bukan dia tidak mahu ambil cuti. Tapi, beban tugas memaksanya bekerja sepanjang masa. Sebagai penyelia tapak projek, dia tidak boleh bercuti selagi projek belum selesai. Projek hotel tiga bintang di Pulau Indah sedang berjalan dan hampir siap. Kerana projek itu hampir siap, ia berpeluang ambil cuti. Jika tidak, jangan harap. Walaupun cuti cuma seminggu, itu sudah dikira panjang.
Telefon berdering. Zuhdi melupakan soal cuti untuk seketika, lalu menjawab panggilan itu. Milah, setiausaha bosnya yang bersuara lemak merdu mengingatkannya mengenai mesyuarat dengan bos, jam tiga petang. Zuhdi hanya mengiyakan sahaja lalu meletak telefon. Selepas itu, dia mengeluh panjang. Dia tahu, dalam mesyuarat itu, bos tentu mahukan laporannya sebelum bercuti. Zuhdi jadi bengang pada bosnya yang tak bagi peluang langsung kepadanya bercuti lama sikit.Tapi, apa nak buat. Dia sendiri tahu dirinya penting kepada syarikat. Orang gelar dia orang kuat syarikat. Zuhdi akui ia rajin bekerja. Bukan kerana hendakkan ganjaran, tapi, kerana dia memang suka dan berminat pada tugasnya sekarang.
Lama termenung, Zuhdi kembali merenung borang cuti. Apa pun, cuti perlu dipohon. Soal hendak ke mana, akan difikirkan kemudian. Lalu dia menandatangani borang cuti itu.
"Abang, dah minta cuti?" Itulah soalan pertama ditanya Suhaila sebaik sahaja menyambut kepulangan Zuhdi dari kerja, belum pun sempat Zuhdi masuk ke dalam rumah.
"Dah." Jawab Zuhdi ringkas. Sebenarnya, dia kepenatan. Malas hendak melayan pertanyaan isterinya. Lebih-lebih lagi berkaitan soal cuti.
"'Berapa lama?"Tanya Suhaila lagi.
"Seminggu.." balas Zuhdi, acuh tak acuh.
"Seminggu saja..?" Suhaila seperti tidak puas hati. Dia mencebik, tidak gembira.
"Cukuplah tu. Kalau nak cuti lama, bukak company sendirilah," jawabnya sinis.
Suhaila terus menarik muka masam mendengar jawapan itu.
"Orang tanya elok-elok, dia jawab main-main pulak." Suhaila memuncungkan bibir sambil menjauhkan diri dari Zuhdi. Merajuklah tu. Zuhdi lemah betul bila tengok isterinya merajuk.
"Sayang, Abang gurau saja. Saja nak tengok reaksi Su," pujuk Zuhdi, lembut sambil memeluk pinggang isterinya. Sambil berpelukan dengan mesra, mereka beriringan masuk ke rumah.
"Bos bagi seminggu pun dah kira lama.Takkan Su tak faham kerja abang "pujuk Zuhdi lagi bagi meredakan rajuk isterinya. Suhaila seorang yang sensitif dan manja. Maklumlah, anak tunggal kepada ayah ibunya.Tapi rajuk Suhaila cepat reda. Dia tersenyum semula, lebih-lebih lagi bila mengenangkan rancangan mereka hendak ke Kota Kinabalu.
"Seminggu pun seminggulah. Confirm nak pergi K.K..?" Tanya Suhaila dengan mata bersinar-sinar. Dia merenung wajah Zuhdi, mengharapkan jawapan yang menggembirakan. Namun, soalan itulah yang sekali lagi melemahkan Zuhdi. Dia teringat wajah emaknya di kampung. Dia tahu emaknya kesunyian di kampung. Bapanya sudah lama meninggal dunia. Kakak sulungnya tinggal di kampung lain dan sentiasa sibuk menguruskan anak-anaknya yang ramai itu. Adik perempuan bongsunya pula masih menuntut di maktab perguruan. Hanya dia satu-satunya anak lelaki kepada emaknya. Dia menjadi anak kesayangan emak. Lebih-lebih lagi setelah berjaya memiliki diploma kejuruteraan awam dan mendapat kerja yang baik di syarikat korporat yang terkenal di negara ini.
"Jadi ke..?" Suhaila mengulanginya setelah melihat Zuhdi diam.
"Er..apa..?" Zuhdi pura-pura tak dengar. Suhaila kelihatan mengeluh sedikit.
"Jadi ke... nak pergi holiday kat Sabah..?" Ulang Suhaila.
Walaupun enggan memberi kata putus, dia terpaksa mengangguk sedikit demi menjaga hati isteri. Silap-silap cakap, nanti merajuk lagi.
"Abang serius ke ni..?" tanya Suhaila, tidak puas hati dengan anggukan Zuhdi yang kelihatan tidak serius itu.
"Emm... Serius. Er... abang rasa nak minum Milo.." Zuhdi menjawab dengan tidak semangat sambil cuba menukar topik. Suhaila segera meleraikan pelukan Zuhdi dan menapak ke dapur.
"Kalau jadi, Su nak buat tempahan sekarang..." katanya sambil berlalu ke dapur. Zuhdi tidak menjawab apa-apa. Dia menarik nafas berat lalu duduk di sofa. Anak mereka, Amin yang berusia tiga tahun tertidur nyenyak di sofa panjang. Zuhdi membelai dan mencium pipi Amin. Kemudian, Suhaila datang semula ber sama secawan Milo panas
"Su ingat nak booking dengan Mas Golden Holidays," katanya tersenyum riang sambil menghulurkan secawan Milo kepada Zuhdi. Zuhdi menyambutnya dengan tidak semangat. Dia tidak sangka Suhaila begitu serius hendak melancong ke Sabah. Sedangkan dia belum memberi kata putus. Baru merancang-rancang sahaja. Tapi, Suhaila sudah menganggapnya sebagai serius.
"Tak mahal ke..?" Zuhdi cuba melayan cakap isterinya sambil menghirup Milo.
"Tak. Seribu setengah saja." Zuhdi hampir tersedak mendengarnya.
"Tak mahal Su kata..?"
"Eh! Tambang pun dekat tujuh ratus. Campur sewa hotel five star dan belanja lain, tentulah sampai seribu lebih. Tu pun dah kira murah.." balas Suhaila, menegakkan pendiriannya untuk ke Sabah dengan pakej pelancongan Mas Golden Holidays.
Zuhdi terkedu. Dia tidak tahu apa nak cakap lagi. Nampaknya, Suhaila beriya-iya hendak melancong. Apa akan jadi jika dia membatalkan rancangan itu? Adakah mereka akan berperang besar?
"Tak kan tak balik. Sekarang ni musim buah. Buah tengah banyak. Lambat-lambat nanti, habis pulak.." Sayu dan sedih suara emak-nya di hujung gagang. Seperti petang tadi, Zuhdi sekali lagi terkedu. Dia terfikir-fikir bagaimana hendak menjawab.
"Lagipun... mak rindu kat Amin. Lama sungguh tak tengok dia. Asyik mimpi dia saja.." Sambung emaknya lagi. Zuhdi tidak sampai hati hendak menjawab kata-kata emaknya.
"Di bukan tak mahu balik.Tapi..."
"Tak dapat cuti..? Kenapa kau susah sangat dapat cuti..?" balas emaknya, seperti kesal.
"Er..mak..,. nantilah Zuhdi fikirkan. Kalau jadi, Zuhdi telefon mak balik..."
"Emm... Kirim salam kat isteri kau." Dengan kata-kata itu, emaknya meletak telefon. Dengan tidak semena-mena, perbualan mereka dua beranak tamat begitu sahaja. Dari suara dan cara emaknya meletak telefon, dia tahu emaknya marah. Zuhdi mengeluh kesal sambil meletak telefon perlahan-lahan.
"Siapa, bang..?" tanya Suhaila yang sedang menonton TV.
"Mak... Dia kirim salam.." jawab Zuhdi, perlahan.
"Mualaikum salam.."
"Mak suruh balik. Buah tengah banyak," kata Zuhdi dengan harapan Suhaila mahu mengikutnya balik ke kampung dan membatalkan rancangan hendak ke Sabah.
"Nak makan buah, kat sini pun banyak. Murah-murah pulak tu..."
Zuhdi sudah mengagak jawapan Suhaila. Dia tidak terkejut. Memang isterinya tidak berapa gemar mengikutnya balik ke kampung. Sejak mereka berkahwin empat tahun lalu, jarang sekali Suhaila bersetuju hendak balik. Kalau balik pun, dua tiga hari sahaja.
Suhaila kembali menumpukan perhatian kepada rancangan Cerekarama TV3. Zuhdi pura-pura menumpukan perhatian pada drama itu. Tapi, fikirannya melayang ke lain. Sejak berkahwin dengan Suhaila, hubungan Suhaila dengan emaknya tidak begitu rapat. Entah apa puncanya, masing-masing seperti tidak boleh ngam antara satu sama lain. Dia teringat waktu mula-mula hendak berkahwin dengan Suhaila dulu, emaknya tidak begitu setuju kerana Suhaila budak bandar dan anak orang senang.
Emaknya takut Suhaila tidak dapat menyesuaikan diri dengan kehidupan mereka yang susah dan hidup pula di kampung terpencil dari pembangunan. Tapi, baginya, itu bukan penghalang kerana mereka memang sudah suka sama suka. Zuhdi tetap berkeras hendak mengahwini jadis pilihan hatinya. Kerana sayangkan anak, emaknya terpaksa merestui walaupun tidak sepenuhnya rela.
Setelah berkahwin, kebimbangan emaknya menjadi kenyataan. Suhaila dan emaknya memang tidak serasi. Zuhdi pula kerap kali terperangkap dalam dilema. Antara hendak menjaga hati emak atau isteri. Dilema hendak ke Sabah ni bukanlah kali pertama. Kalau hendak dikenang balik, lebih daripada ini Zuhdi pernah rasa. Namun, setiap kali timbul krisis, dia akan menyebelahi isterinya. Perasaan emaknya sering diabaikan. Ini sering berlaku kerana emaknya lebih mudah beralah berbanding Suhaila yang keras hati itu. Dia beranggapan tak apa kalau emak merajuk kerana emak cepat sejuk. Tapi, jangan sampai Suhaila yang merajuk panjang.
Bila cuti bermula, bagaikan tiada pilihan, Zuhdi terpaksa terbang ke Sabah bersama anak isteri. Perasaan emak. di kampung terpaksa di tolak tepi. Sekali fikir, terasa macam takut bini. Tapi, bukan dia takut. Sebenarnya dia terlampau sayang bini. Balik dari Sabah, Zuhdi mula menyesal kerana cuti tinggal dua hari sahaja lagi. Hendak pulang ke kampung pun tidak sempat. Perjalanan balik ke kampungnya di Perlis, ambil masa lima enam jam. Tak sempat duduk lama-lama, terpaksa pula berkemas pulang. Buat penat badan. Letih pejalanan belum hilang, terpaksa pula kembali bekerja. Memikirkan semua ini, Zuhdi terpaksa menangguhkan kepulangan ke kampung sehingga cuti akan datang. Tapi, dia sendiri tidak pasti bilakah pula dia dapat mengambil cuti lagi.
"Kesian mak. Dia rindu kat Amin," kata Zuhdi bila sekali sekala teringat pada emaknya.
"Kalau macam tu, ajaklah dia datang sini," jawab Suhaila bersahaja. Sebenarnya dia tidak ikhlas. Dalam hati, dia tidak suka emak mertuanya datang. Kata-kata itu hanya sebagai pemanis mulut dan semata-mata kerana hendak bodek suaminya sahaja. Di awal perkahwinan mereka, emak Zuhdi kerap jua datang. Tapi, bila melihat layanan Suhaila yang tidak seberapa itu, emaknya kecil hati lalu tidak lagi suka hendak menjenguk mereka anak beranak.
"Mak tak suka datang sini. Dia bosan. Su bukannya selalu ada di rumah. Asyik keluar saja," luah Zuhdi yang selama ini tidak senang dengan sikap Suhaila bila emaknya datang.
"Su sibuk dengan direct selling," balas Suhaila cepat-cepat.
Namun, Zuhdi tahu itu hanyalah alasan untuk tidak melayan emaknya. Perniagaan jualan langsung barang-barang kosmetik yang diceburinya bukanlah maju sangat. Orang berniaga, dia pun hendak berniaga. Tapi, bukan pandai sangat berniaga. Barang-barang yang dibeli orang hanyalah sekadar dua tiga batang lipstik, dua tiga botol minyak wangi dan bedak. Itu pun, Suhaila merengek-rengek hendakkan kereta. Kononnya nak digunakan untuk bisnesnya - jumpa pelanggan dan Qrder barang-barang. Macamlah banyak sangat barang yang ditempah pelanggan-pelanggannya.
Kerana itulah juga dia terpaksa membelikan kereta Kancil untuk Suhaila. Disebabkan kereta itu, perbelanjaannya bertambah. Gajinya sebagai supervisor projek tidaklah seberapa. Lainlah kalau pengurus projek. Sejak membeli kereta itu, dia selalu sahaja kesempitan wang. Dulu, tiap-tiap bulan hantar duit kepada emaknya. Kini, jarang-jarang sekali. Selain bayar kereta, Suhaila juga boros berbelanja. Selalu sahaja shopping - beli baju, kasut, beg tangan dan macam-macam lagi. Jika tidak cukup duit, dia akan pakai kad kredit. Jadi, bila bil sampai di hujung bulan, dia mula pening kepala memikirkan bagaimana hendak menyelesaikannya.
Emaknya tidak pula bising-bising jika dia tidak hantar duit. Emaknya faham akan sara hidup yang tinggi di bandar. Di bandar, semuanya pakai duit. Sedangkan di kampung tidak. Kadang-kadang, bila balik kampung, emaknya menolak bila dihulur duit. Kata emaknya, simpanlah untuk kegunaan Amin, cucu kesayangannya. Ternyata, dalam banyak hal, emaknya begitu beralah dan bersabar. Bulan ini, dia tidak nampak duit lebih untuk dihantar ke kampung kerana dia sudah pokai. Ketika bercuti di Sabah, Suhaila dan dia sendiri berbelanja habis-habisan. Nampaknya, terpaksa tunggu gaji bulan depan.
Zuhdi tidak tahu apa kesudahan drama kehidupannya. Sampai bilakah drama ini akan berakhir? Sampai bilakah isterinya akan ngam dengan ibunya?
Namun, pertanyaan itu tidak ada jawapannya. Hari berganti hari, tahun demi tahun, sikap Suhaila masih sama. Kini, Amin sudah bersekolah darjah satu dan ada dua orang adik. Seorang lelaki bernama Zuhairi dan seorang perempuan bernama Sakinah. Sejak anak bertambah, entah macam mana, bisnes direct selling Suhaila semakin maju. Mungkin kerana rezeki anak-anak. Tapi, semakin banyak duit, Suhaila semakin boros.
Dia kerap ke pantai dan bermain jet-ski seperti ke Port Dickson, Pulau Pangkor, Cherating dan Langkawi. Jika Zuhdi tidak dapat cuti, dia akan pergi sendiri dengan anak-anak. Zuhdi membiarkan sahaja dia bercuti sesuka hati. Tambahan pula, dia pergi dengan duit sendiri dan membawa anak-anak. Sekurang- kurangnya, dapat membuatkan anak-anak mereka gembira. Cuma, Zuhdi sedikit bengang kerana Suhaila tidak mahu menjenguk emaknya di kampung.
"Kalau abang tak dapat cuti, apa salahnya Su saja yang balik kampung. Bawa budak-budak balik jumpa nenek dia orang," Zuhdi memberi cadangan bila cuti sekolah bermula. Biasanya, setiap kali Amin cuti sekolah, Suhaila akan merancang hendak membawa budak-budak makan angin.
"Ah, penatlah. Drive sorang-sorang," balas Suhaila, tidak berminat.
"Kalau tak larat drive, naiklah bas," kata Zuhdi lagi.
"Naik bas lagi susah. Siapa nak bawa beg.., Siapa nak kawal budak-budak tu..?"
Mendengar alasan demi alasan, Zuhdi mulai malas hendak mengusulkan cadangan balik kampung kepada Suhaila. Disuruh balik kampung, memang banyak alasan. Padahal, jika pergi makan angin, tidak pula dia terasa penat jika terpaksa memandu berjam-jam seorang diri.
Bila musim raya, Zuhdi selalu tersepit dalam dilema. Suhaila sedikit pun, tidak mahu bertolak ansur dengan emak mertua sendiri. Setiap kali raya, mesti nak balik rumah dia dulu. Padahal rumah emak bapanya dekat sahaja dengan rumah mereka. Bila balik raya ke kampung Zuhdi pula, setakat dua tiga hari sahaja. Zuhdi sendiri dapat merasakan bahawa Suhaila begitu rimas berada di kampungnya. Oleh kerana tidak mahu gaduh-gaduh dan bising-bising, Zuhdi terpaksa melayan perasaan Suhaila.
Perasaan emaknya terpaksa diabaikan. Dia tahu emaknya berkecil hati. Tapi, dia mengambil sikap sambil lewa sahaja terhadap perasaan emaknya itu. Dia tahu betapa dalam kasih emak terhadapnya.Walaupun emak merajuk, emak tetap menyayanginya sampai bila-bila pun.
Musim raya kali ini, Zuhdi berhasrat menghantar wang lebih ke kampungnya sebagai persiapan raya. Namun, sedang mengira-ngira perbelajaan raya, Suhaila pula menyatakan hasrat bendak membeli rantai emas baru. Sebenarnya Suhaila hendak membeli dengan duit sendiri. Tapi, tidak cukup lagi lima ratus. Jadi, terpaksa meminta sumbangan daripada Zuhdi.
"Su nak minta kat abang..? Abang pun tak cukup.." kata Zuhdi sambil menunjukkan kiraan belanjawan yang sedang ditulis pada sekeping kertas.
“Abang baru dapat bonus. Takkan tak cukup..?" tanya Suhaila, mula mencebik dan menunjukkan wajah bengang.
"Bonus sikit saja. Belanja raya banyak. Lagipun, raya tahun ni abang nak bagi lebih sikif kat mak..."
"Berapa..?" _
"Lima ratus.."
"Kenapa banyak sangat..?" Suhaila meninggikan suara kerana dengki Zuhdi lebihkan emaknya. _
"Buat belanja rayalah..."jawab Zuhdi.
"Orang kampung macam mak tak pakai duit sangat. Barang-barang kat sana murah. Ayam, kelapa, sarung ketupat..semua tak payah beli. Kuih pun buat sendiri. Bukan macam kita kat bandar ni. Nak raya, semua benda kena beli." Panjang benar Suhaila berleter.
"Apa salahnya bagi lebih..?" Zuhdi meninggikan suara.
"Alah.. kalau nak bagi pun. Patut-patut lah.. Kita pun nak pakai duit juga..." balas Suhaila macam hendak bergaduh.
"Su, rantai emas tu tak penting. Kan Su dah ada banyak rantai..?"
"Rantai lama. Su nak yang baru..!"
"Su ni pentingkan diri sendiri..!"
"Abang pulak, pentingkan emak abang saja..!
Pertengkaran malam itu, melarat-larat sehingga keesokan pagi dan petang dan malam dan pagi semula. Dua hari Suhaila memboikot suaminya. Makan minumnya diuruskan ala kadar. Lebih membuatkan Zuhdi tension ialah bila Suhaila menghidangkan kopi sejuk kepadanya. Akhirnya, kerana tak suka bergaduh, Zuhdi terpaksa mengalah. Dia terpaksa berbohong kepada emaknya, kononnya tidak cukup duit kerana hendak membeli baju raya dan kasut raya untuk anak-anaknya. Seperti biasa, emaknya memahaminya.
Namun, rahsia itu terbongkar juga bila mereka balik beraya di kampung. Suhaila yang suka berlagak itu memberitahu kakak dan adik Zuhdi bahawa Zuhdi yang membelikannya rantai emas baru. Melihat rantai emas yang berat dan berkilauan itu, emak Zuhdi terasa kecil hati. Dia tahu Zuhdi berbohong dan sentiasa lebihkan isteri dari dirinya. Selama berkahwin, tidak pernah pun Zuhdi memberi seutas rantai atau gelang.Tapi, kepada isterinya, Zuhdi memanjakan dengan barang kemas sehingga bergemerlapan seluruh tubuh Suhaila.
Lebih pilu ialah bila Zuhdi menghadiahkan sepasang kain untuk buat baju kurung. Untuknya, Zuhdi hanya membelikan kain biasa yang murah. Sedangkan untuk isterinya, dibeli Sutera Korea. Emaknya faham, Zuhdi tidak membelikannya sutera Korea kerana kain itu susah dijaga. Tidak boleh dicuci dengan air. Tapi, kena dry clean. Di kampung yang tersorok itu, manalah ada kedai dobi dry clean.
"Kalau tak bagi sutera Korea pun, bagilah sutera biasa kat mak," kutuk Zarimah, adik bongsu Zuhdi dengan perlahan. Zarimah sudah lama berbuku dengan kakak iparnya. Dia juga bengang kerana abangnya asyik melebihkan kakak ipar.
"Biarlah, Mah. Mak dah tua. Tak payahlah nak pakai sutera-sutera," kata emaknya perlahan juga kerana tidak mahu didengar oleh Zuhdi, Suhaila atau anak-anak mereka.
"Mak tak biasa pakai baju mahal," sambung emaknya semata-mata untuk mententeramkan dirinya. Sebenarya dia sedih. Lebih-lebih lagi bila mendengar hasutan Zarimah. Lagilah syahdu dan sayu hati orang tua itu.
"Alah.. kat kampung ni, tak ada dry clean. Macam mana nak pakai sutera korea," sindir Zarimah perlahan. Zarimah yang dengki kepada kakak iparnya itu cuba pula menghasut emaknya. Tapi, emaknya tetap sabar dan bersahaja.
"Dahlah tu, Mah.."
"Mak selalu masuk belah abang. Mentang-mentang lah dia anak lelaki sorang," kutuk Zarimah, sambil mencebik marah. Emaknya terdiam. Dia termenung panjang. Memang benar kata-kata anak bongsunya itu. Sejak kecil, dia selalu sahaja memenangkan Zuhdi. Agaknya, kerana itulah Zuhdi naik lemak. Sekarang ini, dia tidak dapat berbuat apa-apa. Walaupun kecil hati, dia tetap berdoa agar Zuhdi bahagia bersama anak isteri dan maju dalam soal kerja. Dia terpaksa mengenepikan perasaan hatinya demi kebahagian kesemua anak-anaknya.
Bila Amin naik tingkatan tiga, Zuhdi mendapat seorang lagi cahaya mata lelaki. Kehidupan Zuhdi dan Suhaila bertambah meriah dengan kehadiran orang baru. Namun, hubungan Suhaila dengan emak mertua semakin renggang. Kerana anak semakin ramai, emak Zuhdi terpaksa datang untuk membantu menjaga budak-budak. Bagaimanapun, Suhaila dan emak mertuanya sering berselisih pendapat.
Ada-ada sahaja benda yang tak kena yang dibuat oleh emak Zuhdi. Mereka selalu bertengkar dalam soal menjaga anak-anak. Sebagai orang tua, emak Zuhdi ada cara tertentu dalam mendidik budak-budak.
Orang tua macam mak Zuhdi mendidik budak-budak berdasarkan pengalaman.Tapi, bagi orang muda seperti Suhaila, ada caranya yang tersendiri. Suhaila banyak mengikut teori dalam buku. Budak- budak pula rapat dengan nenek mereka kerana nenek mereka baik dan penyayang.Tapi, Suhaila dengki. Dia tidak mahu anak-anaknya terlalu manja dengan nenek mereka. Ada-ada sahaja akalnya hendak merenggangkan anak-anak daripada nenek mereka. Suhaila juga enggan mendengar pendapat emak mertuanya. Sebaliknya, hanya menerima pendapat emaknya sahaja. Mentang-mentanglah emaknya lebih berpelajaran daripada emak mertuanya.
Namun, dalam setiap pertengkaran, Suhaila pasti menang kerana Zuhdi sentiasa menyokongnya. Kekeruhan semakin berpanjang sehingga Zuhdi sendiri naik boring. Kerana tidak tahan, Zuhdi pernah menengking emaknya. Dia bukan sengaja hendak berkasar. Tapi, tertekan dengan keadaan ribut-ribut dalam rumah sejak kehadiran emaknya.
Kasihan emak Zuhdi. Kerana terlalu tersinggung ditengking anak sendiri, dia cepat-cepat angkat beg dan balik ke kampung. Walaupun berat hendak meninggalkan cucu-cucunya, dia terpaksa melangkah pergi. Dalam hati, emak Zuhdi menangis mengenangkan layanan anak sendiri terhadapnya.
Tidak lama selepas itu, emaknya mulai sakit-sakit. Penyakit darah tinggi yang sudah lama dihidapinya semakin menjadi-jadi. Bila sudah tua, penyakit yang tidak serius, mula menjadi serius. Selepas beberapa lama menderita sakit, emaknya meninggal dunia. Zuhdi begitu sedih dengan pemergian emaknya. Baru terasa menyesal kerana selama ini dia mengabaikan tanggungjawab sebagai anak. Selama ini, dia memandang ringan terhadap penyakit dan perasaan emaknya. Baru terasa kesal kerana belum puas berbakti kepada emaknya. Sesungguhnya maknya terlalu berjasa kepadanya. Namun, sesal kemudian, tiada gunanya.
Zuhdi menangis sesungguh hati. Namun, kakaknya. melarangnya menangis begitu kerana akan lebih menyiksa mayat emak mereka.Tapi, Zuhdi tidak dapat menahan tangisan penyesalan itu.
Sejak kematian emaknya, Zuhdi semakin jarang pulang ke kampung. Dia hanya pulang setiap kali raya. Itu pun sekejap sahaja, semata-mata kerana hendak menziarahi pusara emaknya. Selepas itu, cabut balik ke Kuala Lumpur.
Apabila sudah meningkat tua, Zuhdi diserang bermacam-macam penyakit. Walaupun banyak duit dan mampu berubat di hospital mahal, penyakitnya tetap tidak pernah sembuh. Semakin tua, dia semakin uzur. Anak-anaknya sudah besar dan mempunyai kerjaya masing-masing. Mereka tidak tinggal bersamanya. Ketika dia sakit, hanya Suhaila sahaja yang berada di sampingnya, menguruskan makan minum dan keperluan hariannya.
Namun, sesuatu yang pelik berlaku ketika dia berada di ambang maut. Ketika malaikat maut mahu menjemputnya pulang, berlaku sedikit huru-hara. Zuhdi menggelupur kerana sakit. Maut memang menyakitkan. Tapi, cara Zuhdi berdepan dengan maut, kelihatan teramat siksa. Dia menggelupur dengan teruk sehingga terjatuh dari katil. Dia jatuh tertiarap di atas permaidani tebal dalam biliknya. Dalam keadaan mengaibkan itulah dia menghembuskan nafas terakhir.
Selepas dimandikan, orang-orang yang menguruskan mayatnya mendapati mukanya lebam-lebam di sana-sini. Tanda-tanda biru itu bertompok-tompok pada wajahnya.
Kata Ustaz yang menguruskan jenazahnya, memang ada mayat yang lebam, lebih-lebih lagi yang meninggal dunia kerana sakit jantung. Namun, lebam pada wajah mayat Zuhdi, adalah petanda yang tidak baik. Mungkin kerana semasa hayatnya, dia pernah menengking dan menyakitkan hati emaknya. Perbuatan Zuhdi sehingga menyebabkan emaknya merajuk dan tidak mahu tinggal bersamanya adalah satu perbuatan yang keterlaluan. Zuhdi termasuk dalam golongan derhaka. Kerana itu wajah mayatnya biru dan lebam. Sepatutnya, Zuhdi mengambil iktibar daripada peristiwa yang menimpa Al-Qomah, seorang sahabat Rasullullah S.A.W.
Kesilapan Al-Qomah bagi kita mungkin kecil. Tapi, kifarah yang Allah tunjukkan padanya amat besar. Mengikut cerita, Al-Qamah membeli dua pasang kain untuk isteri dan emaknya. Kerana melewati depan rumah emaknya ketika balik dari kedai, dia terpaksa membenarkan emaknya memilih kain itu terlebih dahulu. Apabila pulang ke rumah, isterinya pula tidak berkenan dengan kain yang lebihnya. Al-Qomah terpaksa ke rumah emaknya semula untuk menukarkan kain itu.
Kerana berkecil hati, emaknya berkata,"Al-Qomah, kau ambillah semua. Mak dah tua. Buat apa mak nak pakai."
Kerana kata-kata yang menggambarkan rajuk seorang ibu, ketika hendak meninggal dunia, ditakdirkan Allah, Al-Qomah tidak boleh menyebut Kalimah Syahadah. Semua orang berasa pelik sedangkan dia adalah seorang sahabat yang sentiasa berada di belakang Rasullullah S.A.W.
Rupa-rupanya, kerana ibu Al-Qomah tidak memaafkan kesalahannya. Lalu Rasulullah menyuruh Saidina Omar beritahu masyarakat agar menghimpunkan kayu api untuk membakar Al- Qomah. Kata Rasulullah , "Daripada dia disiksa pada hari Kiamat biarlah kita bakar dia hidup-hidup". Mendengar kata-kata itu, emak Al-Qomah berkata “aku yang lahirkan dia, bela, suap makan, mandikan dan pakaikan dia pakaian, apakah aku sanggup lihat dia dibakar hidup-hidup.. Emak Al-Qomah segera melafazkan kemaafan. Mendengar kata-kata keramat itu, barulah Al-Qomah boleh mengucap.
Mungkinkah Zuhdi tidak menerima keaiban jika emaknya masih hidup waktu dia hendak menghembus nafas terakhir dan memaafkan dosanya sepertimana yang berlaku pada Al-Qomah.
Dipetik dari buku Wajah-wajah mayat.
Dipetik dari buku Wajah-wajah mayat.
No comments:
Post a Comment