Sunday, January 19, 2014

LEMBAGA SERBA PUTIH PENGHUNI STOR KILANG...


Johan bekerja sebagai seorang pengawal keselamatan di sebuah kilang. Malam itu, dia bertugas bersama Amer, rakan sejawatnya. Tepat pada pukul 3.00 pagi dia bersiap-siap untuk pergi meronda di sekitar kawasan kilang.

Suasana di kilang gelap gelita dan sunyi sepi. Cuma lampu suluh di tangan saja menjadi sumber cahaya seiain lampu di bahagian depan kilang. Setelah sejam berlalu, peluh mula membasahi baju seragam Johan.

Sebenarnya malam itu merupakan kali pertama dia dan Amer melakukan rondaan di kilang itu setelah beberapa hari bekerja di situ. Dari apa yang diperhatikan kawasan kilang ini berdekatan dengan tapak perkuburan yang telah lama terbiar.

Selama beberapa hari bertugas di situ Johan telah mendengar pelbagai cerita yang menakutkan daripada rakan-rakan lain yang telah lama bekerja di sini. Mereka menceritakan pelbagai kejadian aneh usai jam 12.00 tengah malam.

Apabila teringatkan kembali cerita tersebut, bulu roma Johan mula meremang secara tidak sengaja. Dalam pada itu tiba- tiba Johan terkejut apabila suara Amer memecahkan kesunyian malam. "Johan!" teriak Amer.

" Bilik stor itu ada lampu!" sambil menunjuk ke arah sebuah bilik stor yang dikunci setelah kilang berhenti beroperasi. Pada firasat Johan mungkin ada penceroboh di dalam bilik tersebut. Lantas keduanya berjalan perlahan-lahan untuk melihat siapa pencerobohnya.

"Pintu berkunci dari luar," bisik Amer kepada Johan sambil cuba membuka pintu stor tersebut. Amer mengambil telefon lalu menghubungi bilik kawasan dan melaporkan apa yang sedang berlaku.

Tapi tiba-tiba pintu terbuka dengan sendirinya seperti ada angin bertiup dari dalam bilik tersebut. Johan mula berasa takut, tetapi Amer kelihatan tenang. Keduanya masuk ke dalam bilik stor dan ketika juga Johan dapat menghidu bau busuk seperti bangkai.

Selamatkan diri

Bilik stor itu diperiksa namun tidak menjumpai apa-apa yang mencurigakan. Bagaimana pun sewaktu sedang berada di dalam bilik itu Johan seakan terdengar suara yang mendayu-dayu memanggil namanya.

Dia seperti terpukau lantas berjalan ke arah suara itu. Tanpa berlengah, Amer menarik tangan rakannya itu sambil mulutnya terkumat-kamit membaca sesuatu. Tak lama kemudian di sebuah kerusi di hadapan mereka menjelma satu lembaga putih berambut panjang.

Wajahnya tidak kelihatan kerana lembaga itu hanya tunduk melihat lantai. Saat itu tubuh Johan dan Amer menggeletar. Rasa takut menyelubungi diri Johan dan tanpa menunggu lama dia sepantas kilat lari keluar daripada bilik stor dan bersembunyi di belakang bangunan tersebut.Ketika itu barulah Johan teringat bahawa dia telah meninggalkan Amer di dalam bilik tersebut. Saat itu dia buntu dan tidak tahu apa perlu dilakukan untuk menyelamatkan rakannya.

Sewaktu sedang berfikir, tanpa disangka lembaga yang ditemui di bilik stor itu muncul di hadapannya. Sekali lagi, Johan yang takut, melarikan diri sambil menjerit meminta pertolongan.

Bagaimana pun tak sempat berlari jauh, Johan jatuh bila kakinya tersadung batu lantas pengsan. Sebaik sedar, dia melihat Amer dan beberapa rakan yang lain berdiri di sebelah katil di dalam bilik kawalan.

Musykil dengan apa yang disaksikan di bilik stor dan belakang bangunan, Johan lantas bertanya kepada Amer dan rakan-rakan lain. Menurut salah seorang rakan yang ada di situ, gangguan itu memang selalu berlaku, malah pengawal keselamatan yang bertugas antara yang kerap diganggu.

Namun tiada apa yang boleh mereka lakukan kerana sejak dahulu lembaga itu memang sudah menghuni stor berkenaan dan perkara itu tidak sempat dikhabarkan kepada mereka berdua yang baru bekerja. Malah tempat itu juga pernah menjadi tempat pemujaan.

Apa yang berlaku kepada Johan malam itu membuatkan dirinya serik, keesokan harinya dia terus menghantar surat berhenti kerja kepada majikannya kerana tidak sanggup melalui lagi peristiwa menakutkan itu.

Sementara itu Amer pula masih punya kekuatan meneruskan kerjanya di situ namun membuat permohonan untuk bertugas hanya pada waktu siang. Bagi Johan, Walau ditugaskan waktu siang sekali pun dia eggan lagi menjejak ke kilang itu tambah pula bila mendengar cerita rakan pengawal lain yang mengatakan ada pengawal yang jatuh sakit sehingga lumpuh akibat gangguan lembaga kawasan tersebut. 

Dipetik dari Mingguan Wanita...

No comments:

Post a Comment