Friday, February 14, 2014

PEMBUNUHAN BERAMAI-RAMAI DI MAY LAI...

 

16 Mei 1968, tarikh hitam yang tidak dapat dilupakan oleh semua penduduk kampung May Lai, Vietnam. Kira-kira pukul 7:00 pagi pada hari itu, sekumpulan askar daripada kompeni C di bawah pimpinan, Leftenan William Calley telah melancarkan serangan besar-besaran ke atas kampung tersebut. Semua itu berlaku kerana satu maklumat yang mengatakan kampung itu menjadi tempat persembunyian tentera Vietkong daripada batalion ke-48.


Bagaimanapun, operasi serangan tersebut menemui jalan buntu apabila gagal menemui sebarang petanda tentera musuh berada di kampung itu. Bimbang misi berkenaan tidak berjaya, platun itu cuba mendapatkan maklumat daripada penduduk tempatan untuk menjejaki kedudukan tentera musuh. Malangnya, penduduk kampung May Lai tidak memberikan kerjasama.


Justeru, Leftenan William Calley yang mengetuai operasi berasa bingung dan mulai marah terhadap penduduk kampung May Lai. Keengganan penduduk di situ untuk memberi kerjasama telah menyebabkan Calley mengesyaki dan menuduh penghuni May Lai bersekongkol melindungi tentera musuh. Ini kerana, sehari sebelum operasi itu dilakukan, salah seorang daripada anggota platunnya telah terbunuh akibat serangan hendap daripada tentera Vietkong sewaktu dalam perjalanan ke kampung tersebut.


Ekoran itu, Calley telah mengeluarkan arahan supaya membunuh penduduk di kampung May Lai.Tanpa rasa belas kasihan, anggota platunnya mula menembak bertalu-talu ke arah penduduk kampung tersebut. Lebih menyedihkan, golongan wanita dan kanak-kanak turut menjadi mangsa. Selain itu, ada di kalangan penduduk rentung akibat terperangkap di dalam kediaman mereka yang dibakar oleh anggota Calley.


Sementara itu, tidak lama selepas kekejaman itu berlaku, muncul sebuah helikopter tentera Amerika yang membawa Pegawai Waran, Hugh Thompson ke tempat kejadian. Thompson ke situ untuk menghentikan kegilaan Calley yang semakin memuncak. Thompson yang terkejut mengarahkan supaya semua anggota menghentikan serangan Dia juga memberi amaran akan menembak mana-mana anggota yang ingkar arahannya.

Tidak lama kemudian, Thomson dengan dibantu dua orang krew Penerbangannya, Lawrence Calburn dan Glenn Andreotta, terus menyelamatkan mangsa kekejaman itu dengan mengeluarkan 11 mangsa yang masih lagi hidup. Di fahamkan, akibat serangan gila itu, seramai 504 orang penduduk di kampung tersebut terkorban. Kebanyakan mereka terdiri daripada warga emas dan kanak-kanak.


Peristiwa pembunuhan beramai-ramai di kampung May Lai menjadi lambang kekejaman tentera Amerika Syarikat yang pada awalnya memulakan kempen menegakkan demokrasi untuk membebaskan rakyat Vietnam daripada cengkaman pengaruh komunis. Peristiwa itu kemudiannya menjadi perhatian dunia dan banyak pihak tidak berpuas hati dengan kejadian itu.



Ekoran itu, satu siasatan awal dilakukan untuk mencari punca sebenar kejadian itu. Seorang pegawai tentera Amerika Syarikat, Kolonel Oran Henderson bertanggungjawab menyiasat kes tersebut. Berdasarkan laporan bertulisnya pada penghujung bulan April 1968, Henderson telah mengambil keterangan beberapa anggota tentera yang terlibat dalam insiden terbabit. Mereka menyatakan seramai 20 orang awam di kampung berkenaan telah terbunuh secara tidak sengaja dalam operasi May Lai. Manakala, seramai 128 orang musuh telah ditewaskan dan seorang daripada tentera Amerika Syarikat telah terkorban.


Enam bulan selepas laporan itu, seorang tentera, Tom Glen yang sudah hampir menamatkan khidmatnya di Vietnam telah menulis sepucuk surat kepada Pemerintah Tertinggi Tentera Amerika Syarikat di Vietnam, Jeneral Creighton Abrams.


Dalam suratnya kepada Abrams, Glen mengemukakan tuduhan bahawa tentera yang dipimpin William Calley telah berulang kali melakukan kekejaman ke atas orang awam. Namun, surat yang ditulis Glen tidak memperincikan mengenai kejadian di May Lai.


Kemudian, Abrams mengemukakan surat tersebut kepada Mejar Colin Powell di markas Divisyen tentera di Chu Lai, Vietnam. Malangnya, keterangan Glen dalam suratnya itu disangkal sekeras-kerasnya oleh Powell. Dia menganggap surat yang ditulis oleh Glen adalah tidak benar. Buktinya, melalui beberapa keterangan pegawai atasan anggota tentera itu, tuduhan yang dikemukakan Glen adalah palsu kerana dia bukanlah anggota yang di tugaskan pada barisan hadapan.



Persoalannya, kenapakah insiden pembunuhan ini cuba dirahsiakan? Mengapakah penduduk kampung May Lai dibunuh? Ikuti siri kedua dalam pembongkaran insiden pembunuhan kejam pada edisi Majalah Infiniti yang ke-25.

Dipetik dari Majalah Infiniti Mei, 2011.

1 comment:

  1. Telah banyak kejadian sebegini kita ratapi ke atas saudara kita di Palestine......

    ReplyDelete