Monday, January 23, 2017

KAUM YANG DIBINASA (ASHABUL RASS)...

Ashabul Rass' merujuk kepada suatu kaum yang menyembah patung berhala di salah sebuah perkampungan di Yamamah iaitu Falaj, sebuah penempatan kaum Tsamud.

Asal-Usul Penyembahan Patung...

Menurut Abu Bakar Muhammad bin al-Hasan al-Naqqasy, penduduk Rass ini mempunyai sebuah telaga yang dijadikan sebagai sumber minuman serta menyuburkan tanaman.

Penduduk Rass ini diperintah oleh seorang raja yang adil dan baik hati. Setelah raja ini meninggal dunia, penduduk berasa amat sedih.

Kemudian, syaitan telah menyamar sebagai raja itu lalu berdiri di hadapan penduduk dan berkata, "Aku belum mati lagi. Tetapi jika kalian mahu melihataku, buatkanlah ukiran (bermaksud membuat patung berupa raja tersebut) dan aku tidak akan mati untuk selamanya."

Penduduk Rass berasa gembira lalu dibuatnya ukiran seperti yang diarahkan, kemudian diadakan upacara korban lalu mereka menyembahnya. 

Manakala menurut pendapat Ibnu Abi Hatim dan cendekiawan muslim lain mengatakan, penempatan penduduk Ashabul Rass itu terletak di Azerbaijan.

Selain itu, pendapat lain mengatakan perigi tersebut milik kabilah Tsamud sehinggalah mereka dikenali dengan nama 'Ashabul Rass'.

Ashabul Rass...

Perkataan 'Ashabul Rass' hanya disebut sebanyak dua kali dalam al-Quran.

Dari segi bahasa, 'ashab' bermaksud pemilik. Manakala 'rass' bermaksud telaga atau perigi yang dikelilingi dengan batu-batuan dan kering airnya.

Sesetengan riwayat mengatakan, kaum ini pernah diturunkan seorang utusan bernama Hanzalah bin Shinwan/Shofwan. Namun, ada pula pendapat lain mengatakan utusan itu adalah Nabi Syuaib as.

Menurut pendapat lain, dikatakan bahawa penduduk Rass ini menyembah pohon sanobar yang diberi nama 'Syah Dirakht' bermaksud 'Raja Pohon'. Mereka yakin dan menganggap pohon ini sebagai 'Tuhan Kehidupan'.

Pohon ini ditanam di setiap perkampungan. Pada setiap bulan, mereka akan mengadakan upacara perayaan besar-besaran mengikut ajaran mereka. Semua penduduk akan keluar menuju ke arah pohon sanobar ini dengan membawa binatang korban, menyembelih dan kemudian membakarnya.

Ketika asap pembakaran itu menjulang ke langit, mereka akan bersujud, menangis dan berdoa.

Suatu hari, utusan ini datang kepada penduduk Rass ketika sambutan perayaan itu hampir tamat. Mereka diseru agar meninggalkan ajaran tersebut dan beriman kepada Allah swt.

Namun, penduduk di situ tetap enggan beriman kepada Allah swt. Lalu utusan itu berdoa kepada Allah swt supaya penduduk Rass diberi pengajaran atas keingkaran mereka.

Tidak lama kemudian pohon sanobar vang mereka sembah itu mulai layu dan kering. Penduduk menjadi marah dan terkejut.

"Lelaki ini telah menyihir Tuhan kita!” Kata seorang lelaki dalam kalangan penduduk Rass itu.

Penduduk yang lain pula berkata,

“Sungguh, Tuhan kita telah marah kepada kita apabila lelaki ini mengajak kepada kekafiran, ayuh kita tinggalkan dia!”

Utusan yang datang untuk memperingatkan mereka akan kebatilan disambut dengan cercaan, hinaan bahkan diperlekehkan pula oleh penduduk itu.

Lalu, para penduduk yang ingkar itu masing-masing bersepakat untuk membunuh utusan tersebut. Ada yang mencadangkan agar utusan itu dihumban ke dalam perigi, kemudian, lubang perigi itu ditutup dengan batu yang besar.

Namun, dalam kalangan penduduk yang ingkar itu, terdapat seorang lelaki berkulit hitam yang beriman kepada Allah swt. Pekerjaan hariannya ialah mengumpulkan kayu bakar di hutan, kemudian menjualnya di pasar.

Hasil jualan tersebut akan dibeli makanan dan minuman untuk diberi kepada utusan yang berada dalam perigi itu.

Suatu hari, ketika dalam perjalanan ke pasar, lelaki itu berasa amat mengantuk, lalu dia tertidur. Diriwayatkan bahawa lelaki itu ditidurkan oleh Allah swt selama tujuh tahun. Namun, lelaki itu menyangka dirinya hanya tidur sebentar.

Setelah terjaga, dia meneruskan perjalanannya ke tempat utusan itu berada. Namun, dia mendapati utusan itu sudah tiada di tempat tersebut.

Pandangan Ahli Tafsir Mengenai Keberadaan Utusan Itu...

Menurut Tafsir Ibnu Kathir, al-Alusi dan al-Qurtubi, dikatakan bahawa sebelum lelaki itu dibangunkan dari lenanya yang panjang, Allah swt telah mematikan utusan itu.

Menurut Imam Ibnu Jarirat-Thabari, kemungkinan kaum tersebut sudah beriman, setelah Allah swt menurunkan azab kepada nenek moyang mereka. Lalu, mengeluarkan utusan itu dari dalam perigi.

Allah swt membinasakan penduduk Rass ini sedikit demi sedikit. Kawasan penempatan mereka dilanda kemarau yang amat dahsyat. Air perigi yang asalnya digunakan untuk mengairi tanaman dan kegunaan harian berubah menjadi keruh. Allah swt juga memusnahkan tanaman dan ternakan mereka.

Bahkan Allah swt juga memberi balasan, sesiapa yang meminum air dari perigi itu akan menjadi semakin haus. Manakala rumah yang dicuci menggunakan air perigi ini turut rosak sehinggakan kampong mereka musnah keseluruhannya. Akhirnya, penempatan penduduk Rass ini dihuni oleh jin dan binatang liar.

Renungan...

Tiga perkara yang merupakan kemuliaan dunia dan akhirat, iaitu memaafkan orang yang menzalimi dirimu, menyambung tali persaudaraan terhadap orang yang memutuskannya, dan sabar ketika engkau diperlakukan seperti orang bodoh.”

No comments:

Post a Comment