Wednesday, January 18, 2017

KAUM YANG DIBINASA (KISAH NABI NUH A.S.)

Gambar hiasan...

Asal-usul Nama Nabi Nuh

Nama Nabi Nuh adalah Nuh bin Lamik bin Metisyalih bin ldris. Imam al-Kisa'i berkata, "Nama sebenar Nabi Nuh adalah Abdul Ghaffar atau Yasykur."

Menurut satu pendapat, Nabi Nuh dinamakan sebagai 'Nuh' kerana baginda melihat anjing yang mempunyai empat mata. Lalu baginda berkata, "Anjing ini sangat buruk dan menjijikkan."

Kemudian, anjing tersebut berkata pada Nabi Nuh,

"Wahai Abdul Ghaffar, engkau menghina ciptaan atau yang Mencipta? Jika hinaan itu kau tujukan kepada ciptaan, maka jelas memang demikian adanya. Namun, jika hal itu ditujukan padaku, maka aku enggan memilih untuk menjadi anjing. Jika hinaan tadi ditujukan kepada Pencipta, maka hinaan itu tidaklah layak, kerana Dia Maha Berkehendak atas apa-apa yang dikehendakiNya."

Disebabkan kata-kata tersebut, maka Abdul Ghaffar pun tidak henti-henti menangis atas kesalahannya itu. Maka dinamakannya dengan panggilan, 'Nuh' yang bermaksud 'menangis'.

Nabi Nuh A.S merupakan Rasul ketiga dalam turutan 25 orang Rasul terpilih, selepas Nabi Idris dan Nabi Adam, manakala bagi turutan para nabi, ada pendapat mengatakan Nabi Nuh merupakan nabi keempat setelah Nabi Adam, Nabi Idris dan Nabi Syits.

Pengutusan Nabi Nuh a.s. sebagai pembawa risalah kepada umatnya berlaku tatkala umurnya menjangkau 480 tahun. Ketika itu Jibril ditugaskan oleh Allah untuk memberikan perkhabaran tersebut kepada Nabi Nuh.

Jibril datang padanya lalu berkata:

“Aku adalah utusan Tuhan semesta alam, datang kepadamu membawa risalah. Sungguh, Allah telah mengutusmu untuk umatmu”. 

Hal ini sejajar dengan firman Allah:

“Sesungguhnya Kami telah mengutus Nuh kepada kaumnya (dengan perintah), 'Berilah kaummu peringatan sebelum datang padanya azab yang pedih”. 

Jibril memakaikan pakaian mujahidin, melilitkan serban dan memberinya tali pinggang 'saiful azmi' lalu berkata:

“Berilah peringatan kepada musuh Allah bernama Darmasyil bin Fumail bin Jij bin Qabil bin Adam”

Diceritakan bahawa Darmasyil merupakan seorang raja yang zalim. Juga merupakan manusia pertama yang menghasilkan arak dan meminumnya, manusia pertama bermain judi, dan membuat baju dengan emas. Dia bersama-sama kaumnya menyembah lima berhala yang bernama Wadd, Suwa', Yaghuts, Ya'uq dan Nasr seperti yang disebut dalam al-Quran.

Lima berhala ini dikelilingi oleh 1,700 berhala yang lain. Berhala yang disembah ini turut dibuatkan rumah yang diperbuat daripada batu marmar berwarna-warni. Setiap rumah mempunyai panjang dan lebar yang mencecah 1,000 hasta.

Setiap berhala itu turut dilengkapi dengan kerusi-kerusi emas dan perhiasan mewah. Berhala-berhala itu turut dijaga oleh petugas yang akan melayaninya siang dan malam.

Juga, diadakan hari raya untuk meraikan berhala-berhala tersebut. Mereka akan menyalakan api sekitar berhala, mempersembahkan binatang korban, lalu sujud memuliakannya.

Pada hari tersebut turut didendangkan alunan muzik, gong, pesta tarian sambil meminum arak. Malah pesta seks juga turut diadakan dengan para wanita diperlakukan seperti haiwan.

Pada hari raya tersebut, Nabi Nuh keluar menuju ke arah kaumnya dan berdiri di atas bukit, lalu berkata dengan sekuat tenaganya,

“Wahai kaumku, kedatanganku ini adalah atas perintah dari Tuhan semesta alam. Aku mengajak kalian untuk menyembah hanya kepadaNya dan meninggalkan penyembahan terhadap berhala-berhala itu!”

Seruan Nabi Nuh itu bergegar sehingga terdengar di setiap penjuru, dari hujung barat hingga hujung timur. Sejurus selepas itu, ditakdirkan oleh Allah berhala-berhala itu jatuh dari kerusi masing-masing. Semua pembesar kerajaan terkejut bahkan Raja Darmasyil juga turut pengsan lantaran seruan itu.

Setelah sedar, raja bertanya kepada orang sekelilingnya,

“Suara apakah itu? Salah seorang daripada mereka menjawab,

“Itu adalah suara seorang lelaki bernama Nuh. Dia adalah orang gila yang akalnya sudah tidak waras lagi.”

Lalu, raja memerintahkan tenteranya membawa Nabi Nuh menghadapnya. Ketika Nabi Nuh berada di hadapannya, raja pun bertanya,

“Siapakah engkau?”

Lalu Nabi Nuh menjawab:

“Aku ialah Nuh, utusan Tuhan semesta alam. Aku datang ke sini membawa risalah agar kalian semua beriman kepada Allah dan meninggalkan semua Berhala itu.

Lalu raja berkata:

“Jika engkau gila, aku akan mengubatimu. Jika engkau fakir, aku akan mencukupkan harta untukmu dan jika engkau orang yang terbelenggu dengan hutang, aku akan melunasi semua hutangmu.”

Nabi Nuh menjawab:

“Aku tidak gila, tidak fakir juga tidak terbelenggu dengan hutang. Aku adalah utusan Tuhan semesta alam.”

Nabi Nuh merupakan utusan Allah yang pertama termasuk dalam golongan 'Ulul Azmi'. Allah mengutusnya kepada kaum Qabil, kaum yang sangat keterlaluan menyembah berhala.

Nabi Nuh menyeru kaumnya untuk berikrar dengan kalimat, Tiada Tuhan yang berhak disembah selain Allah dan Nuh adalah Utusan Allah. Tatkala mendengar ucapan itu, raja menjadi murka lalu berkata:

“Sekiranya hari ini bukan hari raya, pasti aku akan membunuhmu secara kejam.”

Maka setelah peristiwa itu, bermulalah episod perjalanan dakwah Nabi Nuh ke atas kaumnya. Baginda tidak berputus asa untuk menyeru kaumnya yang degil itu,

“Sesungguhnya aku adalah pemberi peringatan yang nyata bagi engkau, agar engkau tidak menyembah selain Allah. Aku benar-benar khuatir engkau akan ditimpa azab pada hari yang sangat menyedihkan.”

Pemimpin kafir dalam kalangan kaumnya pula berkata:

“Kami tidak melihat engkau, melainkan hanyalah seorang manusia biasa seperti kami dan kami tidak melihat orang yang mengikutimu, melainkan orang yang hina serta mudah mempercayaimu. Kami juga melihat engkau tidak memiliki suatu kelebihan apapun atas kami, bahkan kami menganggap engkau pendusta.”

Demikianlah orang kafir mendustakan kerasulan Nabi Nuh. Pemimpin kafir kaumnya itu berkata lagi,

“Sesungguhnya, kami memandang engkau berada dalam kesesatan yang nyata.”

Lalu Nabi Nuh menjawab,

“Wahai kaumku! Aku tidak sesat bahkan aku ini adalah seorang Rasul dari Tuhan seluruh alam. Aku menyampaikan kepadamu amanat Tuhanku, memberi nasihat kepadamu dan aku mengetahui daripada Allah apa-apa yang engkau tidak ketahui.”

Walaupun mendapat tentangan yang hebat, Nabi Nuh tetap bersabar menghadapi kerenah kaumnya selama 950 tahun. Tujuannya hanya satu iaitu untuk menyeru mereka menyembah Allah, Tuhan sekalian alam dan tidak menyekutukanNya dengan apa jua sekalipun.

Baginda juga turut mengingatkan kaumnya akan segala anugerah dan nikmat yang mereka perolehi itu semuanya datang dari Allah.

Nabi Nuh berkata kepada kaumnya,

“Wahai kaumku! Apa pendapatmu jika aku mempunyai bukti yang nyata dari Tuhanku dan aku diberi rahmat dari sisiNya, sedangkan rahmat itu disamarkan bagimu. Apakah kami akan memaksa engkau untuk menerimanya, padahal engkau tidak menyukainya?

“Wahai kaumku! Aku tidak meminta harta daripadamu sebagai imbalan atas seruanku. Imbalanku hanya daripada Allah dan aku tidak sekali-kali akan mengusir orang yang beriman. Sungguh, mereka akan bertemu dengan TuhanNya, dan sebaliknya aku memandangmu sebagai kaum yang jahil.”

Sambung Nabi Nuh lagi,

“Wahai kaumku! Siapakah yang akan menolongku daripada azab Allah, jika aku mengusir mereka? Tidakkah engkau mengambil pengajaran?”

“Aku tidak mengatakan kepadamu, bahawa aku mempunyai gudang rezeki dan kekayaan daripada Allah. Aku juga tidak mengetahui yang ghaib, dan tidak pula mengatakan bahawa sesungguhnya aku adalah malaikat.”

“Juga tidak mengatakan kepada orang yang dipandang hina oleh penglihatanmu, 'Bahawa Allah tidak akan memberikan kebaikan kepada mereka. Allah lebih mengetahui apa-apa yang ada pada diri mereka.' Sungguh, jika demikian aku benar-benar termasuk dalam kalangan orang-orang yang zalim.”

Sungguhpun Nabi Nuh gigih berdakwah kepada kaumnya, namun yang beriman hanyalah sekitar 80 orang sahaja. Manakala selebihnya masih menentang, malah mempermainkan seruan tersebut.

Mereka berkata,

“Wahai Nuh, sungguh engkau telah berbantah dengan kami. Engkau juga telah memanjangkan bantahanmu terhadap kami. Maka, datangkanlah kepada kami azab yang engkau ancamkan, jika engkau termasuk dalam kalangan orang-orang yang benar.”

“Hanya Allah yang akan mendatangkan azab kepada kalian, jika Dia kehendaki. Kamu semua tidak akan dapat melepaskan diri.” Jawab Nabi Nuh.

Oleh sebab sikap kaumnya yang sering menentang seruan dakwahnya, Nabi Nuh mengadukan hal tersebut kepada Allah.

“Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah menyeru kaumku siang dan malam.Tetapi seruanku itu tidak menambah iman mereka, justeru mereka lari dari kebenaran. Sesungguhnya, setiap kali aku menyeru mereka untuk beriman, mereka memasukkan anak jari ke telinganya dan menutupkan wajah ke bajunya. Mereka tetap mengingkari serta sangat menyombongkan diri.”

Demikianlah kaum Nabi Nuh. Mereka sedikitpun tidak mengendahkan nasihat mahupun seruan baginda. Bahkan mereka saling memberi peringatan kepada sesama mereka,

“Jangan sekali-kali engkau meninggalkan penyembahan Tuhan-tuhan engkau dan penyembahan kepada Wadd, Suwa' Yaghtus, Ya'uq dan Nasr.”

Wadd, Suwa', Yaghuts, Ya'uq dan Nasr pada asalnya adalah nama orang-orang soleh dalam kalangan mereka. Setelah mereka meninggal, kaumnya sangat sedih akan kehilangan itu.

Lalu syaitan membisikkan kepada mereka untuk membuat patung dan dinamakan dengan nama orang-orang soleh tersebut. Patung-patung itu kemudiannya disimpan untuk sembahan pada majlis-majlis perayaan mereka.

Perjalanan dakwah Nabi Nuh cukup mencabar. Seruannya hanya didengari oleh segelintir sahaja. Setiap kali Nabi Nuh menyeru kaumnya menyembah Allah, mereka akan menutup telinga dengan tangan dan melemparkan batu-batu sehingga baginda pengsan.

Pemimpin kaum Qabil silih berganti. Selepas Raja Darmasyil mati, tugasnya beralih kepada anaknya bernama Tubin. Namun, Tubin ternyata lebih kejam. Perjalanan dakwah Nabi Nuh semakin mencabar. Sungguhpun begitu, baginda tetap meneruskan amanah yang dipikulnya.

Hal ini berlanjutan berkurun lamanya sehingga Tubin mati. Setelah itu, beliau digantikan oleh puteranya bernama Togrodus. Disangkakan keadaan kaumnya akan berubah dengan pemerintah yang baru, ternyata tidak. Ini kerana Togrodus lebih kejam dalam pemerintahannya.

Lalu, Allah mewahyukan kepada Nabi Nuh:

“Ketahuilah, tidak akan beriman di antara kaummu, kecuali orang yang benar-benar beriman sahaja. Oleh itu, janganlah engkau bersedih hati atas apa-apa yang mereka lakukan.”

Kemudian Allah memerintahkan kepada Nabi Nuh untuk membuat sebuah bahtera.

FirmanNya,

“Dan buatlah kapal bahtera itu dengan pengawasan dan petunjuk wahyu Kami. Dan janganlah engkau bicarakan dengan aku tentang orang-orang yang zalim. Sesungguhnya mereka itu akan ditenggelamkan.”

Setelah mendapat perintah tersebut, maka Nabi Nuh pun mula membina kapal seperti yang diwahyukan. Setiap kali pemimpin kaumnya berjalan melewatinya, mereka akan mengejeknya.

Lalu dibalas oleh Nuh, 

“Jika engkau mengejek kami, maka kami pun akan mengejekmu seperti engkau mengejek kami. Kelak, engkau akan mengetahui siapa yang akan ditimpa azab yang menghinakan dan siapa yang akan ditimpa azab yang kekal.”

Demikianlah Nabi Nuh bersabar di atas perlakuan kaumnya dan terus menyambung tugasnya membina kapal tanpa mempedulikan ejekan tersebut.

Maka, setelah kapal tersebut siap dibina, Allah pun berfirman, 

“Muatkanlah ke dalam kapal itu sepasang haiwan (jantan dan betina) dan keluargamu, kecuali orang yang telah terkena ketetapan dahulu dan muatkan pula orang- orang yang beriman.”

Ternyata orang yang beriman dengan Nabi Nuh hanyalah sedikit sahaja. Maka Nabi Nuh menyeru kepada para pengikutnya,

“Naiklah engkau semua ke atas kapal dengan menyebut nama Allah pada waktu berlayar dan berlabuhnya. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun, Maha Penyayang.”

Dalam surah al-Qamar, ayat 11-12, Allah turut merakamkan detik tersebut.

“Lalu Kami bukakan pintu-pintu langit dengan menurunkan air yang tercurah. Dan Kami jadikan bumi menyemburkan mata-mata air, maka bertemulah air-air itu sehingga meluap menimbulkan keadaan bencana yang telah ditetapkan.”

Dan kami angkut dia (Nuh) ke atas kapal yang diperbuat daripada papan dan paku, yang berlayar dengan pemeliharaan Kami sebagai balasan bagi orang yang telah diingkari (kaumnya).”

Allah menurunkan hujan tanpa henti dan semua mata air di bumi memancarkan air. Lalu keduanya bertemu dan menjadi banjir yang membentuk gelombang dahsyat sehingga mencapai tinggi puncak gunung. Banjir tersebut merupakan antara banjir paling tesar dalam sejarah manusia.

Saat itu, Nabi Nuh memanggil anaknya, Kan'an yang berada di tempat jauh dan terpencil,

“Wahai anakku! Naiklah kapal bersama kami dan janganlah engkau bersama orang-orang yang kafir.”

Lalu anaknya menjawab,

“Aku akan mencari perlindungan di gunung yang dapat menghindarkan aku daripada air bah ini!”

Nuh berkata lagi,

“Tidak ada yang melindungimu daripada azab Allah pada hari ini, selain Allah yang Maha Penyayang.” 

Isteri Nabi Nuh

Nabi Nuh mempunyai dua orang isteri iaitu Amrah dan Wal'ab. Amrah dikurniakan enam orang anak; tiga lelaki dan tiga perempuan iaitu Sam Ham, Yafus, Haswah, Sarah dan Bahyurah.

Wal'ab binti Ajuwel, dikurniakan dua orang anak lelaki; Balus dan Kan'an tetapi wanita ini kembali kepada agama asalnya setelah memeluk Islam. 

Betapa sedihnya Nabi Nuh mengenangkan anaknya Kan'an yang tidak mahu mengikut seruannya. Malah memilih untuk bersama-sama dengan kaumnya yang kafir hingga dia binasa dan tenggelam bersama mereka.

Begitu juga dengan isterinya, turut tenggelam bersama-sama golongan yang kafir kerana menolak ajakan suaminya, menyembah Allah

Kisah isteri Nabi Nuh ini turut diabadikan dalam al-Quran menerusi surah at-Tahrim ayat 10,

Allah membuat perumpamaan bagi orang-orang kafir, isteri Nuh dan isteri Lut. Keduanya berada di bawah pengawasan dua orang hamba yang soleh di antara hamba-hamba Kami.

“Lalu kedua-dua isteri itu berlaku khianat kepada suami masing-masing, tetapi kedua-dua suaminya itu tidak dapat membantu mereka sedikitpun dari azab seksaan Allah. Dan dikatakan kepada keduanya, 'Masuklah engkau berdua ke dalam neraka bersama orang-orang yang masuk ke neraka'.”

Disebabkan keengganan dan kesalahan yang dilakukan, akhirnya mereka ditenggelamkan, lalu dimasukkan ke dalam neraka. Mereka tidak memperolehi pertolongan selain Allah

Dan Nabi Nuh berkata,

“Wahai Tuhanku, janganlah Engkau biarkan seorang pun antara orang-orang kafir itu tinggal di atas bumi. Sesungguhnya jika Engkau biarkan mereka tinggal nescaya mereka akan menyesatkan hamba-hambaMu. Dan mereka hanya akan melahirkan anak-anak yang jahat dan tidak tahu bersyukur.”

Allah mendengar rintihan Nabi Nuh itu. Tenyata, apa yang dijanjikan oleh Allah untuk mendatangkan azab kepada kaumnya yang berdusta dan tidak mahu beriman benar-benar berlaku.

Setelah penduduk bumi itu lenyap dan tidak ditinggalkan walau seorang pun kecuali orang-orang yang beriman, maka Allah pun berfirman,

“Wahai bumi! Telanlah airmu dan wahai langit (hujan), berhentilah!”

Kemudian, air pun menjadi surut mengikut perintah Allah. Kapal itu akhirnya berlabuh di atas Gunung Judi.

Gunung Judi

Gunung Judi terletak di Armenia, sebelah selatan bersempadan dengan Mesopotamia.

Kapal Nabi Nuh dijumpai oleh orang-orang terdahulu dalam tamadun Babylon, di Gunung Judi, timur utara Jazirah Ibn Umardi Kurdistan.

la diperbuat dengan menggunakan besi logam, selain daripada kayu. Panjangnya 300 hasta dan lebarnya 50 hasta seperti yang tercatat dalam kitab Taurat.

Dalam peristiwa itu, anak-anak Nabi Nuh yang beriman hanya Sam, Ham dan Jafis.

Sungguhpun begitu, Nabi Nuh tetap memohon kepada Allah untuk menyelamatkan anaknya.

Katanya,

“Wahai Tuhanku, sesungguhnya anakku termasuk dalam kalangan keluargaku. Dan janjiMu itu pasti benar. Engkau adalah hakim yang paling adil.”

Lalu Allah berfirman,

“Wahai Nuh, sesungguhnya dia bukanlah termasuk dalam kalangan keluargamu kerana perbuatannya sungguh tidak baik. Oleh itu janganlah engkau memohon kepadaKu dengan sesuatu yang engkau tidak ketahui hakikatnya. Aku menasihatimu agar engkau tidak termasuk dalam kalangan orang yang jahil.”

Setelah keadaan menjadi reda, maka Allah berfirman lagi,

“Wahai Nuh! Turunlah dengan selamat sejahtera dan penuh keberkatan dari Kami, bagimu dan bagi semua umat mukmin yang bersamamu. Dan ada umat-umat yang Kami beri kesenangan dalam kehidupan dunia, kemudian mereka akan ditimpa azab Kami yang pedih.”

“Demikianlah kisah Nabi Nuh bersama kaumnya yang degil dan tidak bersyukur. Akibat tindakan, kesalahan malah kelancangan kata-kata mereka, Allah telah menunaikan janjiNya dengan menurunkan azab yang luar biasa sehingga akhirnya mereka semua binasa tanpa ada sisa walau satupun. Manakala bagi kaumnya yang beriman, Allah menyelamatkan mereka dari azab tersebut.

Firman Allah,

“Dan sesungguhnya, Kami telah jadikan kapal itu sebagai tanda (pelajaran). Maka adakah orang yang mahu mengambil pelajaran? Maka betapa dahsyatnya azabKu dan peringatanKu. Dan sungguh, Kami telah memudahkan al-Quran untuk peringatan, maka adakah orang yang mahu mengambil pelajaran?”

Allah telah membinasakan kaum Nuh ketika mereka mendustakan utusanNya, Nuh. Tatkala tiba bencana banjir Allah telah menyelamatkan Nuh bersama orang-orang yang bersamanya di dalam kapal. Manakala mereka yang kufur dan enggan ikut bersama Nuh ditenggelamkan dalam lautan banjir yang besar.

Renungan

“Sesungguhnya kita tidak dapat memberi hidayah kepada orangyang kita sayangi, tetapi Allah lah yang akan memberi hidayah kepada sesiapa yang Dia kehendaki.”

No comments:

Post a Comment