Friday, September 24, 2021

SURAH AL- HUMAZAH AYAT 1 (MENCARI DAN MENYEBUT KELEMAHAN ORANG LAIN)


 Video bacaan surah al-Humazah ayat 1-9 
oleh Afnizami Semail


Tafsir Surah al-Humazah Ayat 1 (Mencari dan menyebut kelemahan orang lain)

Pengenalan

Surah ini berkait rapat dengan Surah Takathur dan juga Surah al-Asr. Dalam Surah Takathur telah disebut tentang sifat manusia secara umum. Kebanyakan dari manusia leka dengan dunia, sampailah mereka mati dan masuk ke dalam kubur, barulah mereka akan sedar dengan realiti dunia ini. Tapi waktu itu mereka sudah terlambat untuk melakukan apa-apa lagi untuk memperbetulkan diri mereka.

Kemudian dalam Surah al-Asr, Allah memberitahu yang mereka yang leka itu, berada dalam kerugian. Oleh itu jangan leka lagi, jangan buang masa tapi hendak melakukan perkara yang patut mereka lakukan kalau mereka hendak selamat; dan kemudian telah diberikan dengan empat perkara utama yang manusia kena lakukan.

Allah hendak memberitahu dalam surah ini, orang yang puja dunia akan dimasukkan ke dalam neraka juga akhirnya. Mereka tidak akan pergi ke mana lagi. Kalau tidak ikut nasihat dalam Surah Takathur dan Surah al-Asr itu, maka tempat akhir mereka adalah dalam neraka.

Dan dalam Surah Humazah ini akan diberitahu tentang neraka itu. Ulama tafsir mengatakan, tidak ada lagi penjelasan yang lebih menakutkan tentang neraka, melainkan surah ini. Ini adalah kerana Allah sebut dalam surah ini tentang “Naarullah” [Api Allah!].

Kerana dalam surah-surah lain, Allah selalunya sebut “Naaru Jahanam” (Api Neraka) atau lain-lain nama yang digunakan. Tetapi apabila Allah mengaitkan api itu dengan DiriNya, ianya memberi isyarat yang api itu dinyalakan sendiri oleh Allah! Api yang kita buat tentunya tidak sama dengan api yang dibuat oleh Allah. Oleh itu, ini adalah sesuatu yang memang dahsyat sungguh! Tidak dapat dibayangkan betapa dahsyatnya ia!

Allah memberi deskripsi yang berat tentang neraka kerana ini adalah surah terakhir di dalam Al-Qur’an yang menyebut tentang akhirat dan neraka. Surah-surah selepas ini tidak membincangkan tentang akhirat lagi. Oleh itu, apabila yang terakhir, maka Allah berikan peringatan yang paling menakutkan sekali.

Ayat 1: 

Surah ini boleh dibahagikan kepada 2 perenggan makro. Ayat 1 – 5 adalah Perenggan Makro Pertama. Dalam perenggan ini kita belajar: apa guna menghitung-hitung harta jika dilaknat Allah?

Apabila manusia berebut dunia, tentunya akan bermusuh dengan manusia lain kerana dunia memang akan memisahkan manusia. Hanya kalau berebut akhirat barulah ada kasihan belas.

Dalam ayat ini juga Allah akan menjelaskan apakah maksud Humazah dan Lumazah.

وَيلٌ لِكُلِّ هُمَزَةٍ لُمَزَةٍ
Kecelakaanlah bagi setiap pengumpat lagi pencela,

Kalimah وَيلٌ bermaksud ‘kemusnahan’. Asalnya, kalimah ini adalah وَي sahaja (tanpa ل) yang juga bermaksud ‘kemusnahan’ tapi selalunya ditambah dengan ل yang bermaksud ‘untuk’ seperti وَيلَكَ [kemusnahan ‘untuk’ kamu]. Kerana selalu ditambah ل itu, maka kalimah ini terus memakai ل menjadi وَيلٌ terus.

Kalimah ini digunakan apabila seseorang itu sangat marah dan kecewa dengan orang lain. Sebagai contoh, digunakan oleh ibubapa yang kecewa dengan anak mereka. Mereka boleh kata: waylaka, aamin! (kecelakaan kepada kamu! berimanlah!). Dalam masa yang sama, orang yang mengatakan itu adalah sangat-sangat sedih kerana anak mereka telah derhaka. Ini seperti yang Allah firmankan dalam al-Ahqaf:17

وَالَّذي قالَ لِوالِدَيهِ أُفٍّ لَكُما أَتَعِدانِني أَن أُخرَجَ وَقَد خَلَتِ القُرونُ مِن قَبلي وَهُما يَستَغيثانِ اللَّهَ وَيلَكَ آمِن إِنَّ وَعدَ اللَّهِ حَقٌّ فَيَقولُ ما هٰذا إِلّا أَساطيرُ الأَوَّلينَ

Dan orang yang berkata kepada dua orang ibu bapaknya: “Cis bagi kamu keduanya, apakah kamu keduanya memperingatkan kepadaku bahawa aku akan dibangkitkan, padahal sungguh telah berlalu beberapa umat sebelumku? Lalu kedua ibu bapanya itu memohon pertolongan kepada Allah seraya mengatakan: “Celaka kamu, berimanlah! Sesungguhnya janji Allah adalah benar”. Lalu dia berkata: “Ini tidak lain hanyalah dongengan orang-orang dahulu belaka”.

Dalam Surah Humazah ini, Allah kecewa dengan kerakusan manusia yang ada harta tapi tidak membelanjakannya untuk kebaikan, untuk jalan Allah dan untuk orang yang memerlukan; tapi mereka hanya menumpukan perhatian dan usaha mereka untuk mendapatkan lebih banyak dan lebih banyak lagi harta mereka.

Jadi untuk mereka itu, Allah janjikan kecelakaan dalam surah ini (satu lagi surah yang dimulai dengan وَيلٌ adalah Surah Mutaffifin). Kedua-duanya tentang orang yang mempunyai perangai yang buruk – korup kerana tamak. وَيلٌ digunakan sebanyak 27 kali di dalam Al-Quran, dan digunakan 10 kali dalam Surah Mursalaat.

Apabila Allah letakkan kalimah لِكُلِّ, ia bermaksud semua mereka yang melakukan هُمَزَةٍ dan لُمَزَةٍ itu akan terkena, jadi jangan sangka akan terlepas. Maka kita kena tahu sifat mereka itu supaya kita dapat mengelakkan diri kita dari melakukannya.

Kalimat هُمَزَةٍ dan لُمَزَةٍ adalah dalam wazan فُعَلَ yang bermaksud perbuatan itu selalu dilakukan. Dan kerana kedua-dua kalimat itu bunyi berdekatan sahaja, bermaksud maknanya juga adalah lebih kurang sama sahaja dan boleh ditukarganti antara satu sama lain (kadang-kadang boleh guna هُمَزَةٍ dan kadang-kadang boleh guna لُمَزَةٍ). Perbezaan antara keduanya adalah sikit sahaja dan kerana digunakan bersebelahan dalam ayat yang sama, maka maknanya tentu tidak sama dan kita akan cuba untuk membezakan maksudnya dari segi bahasa.

Ibn Abbas mengatakan هُمَزَ bermaksud ‘belakang badan’ dan لُمَزَ pula ‘depan muka’. Oleh itu, هُمَزَةٍ digunakan apabila seseorang mengumpat orang lain di belakang mereka – ini juga dinamakan ‘ghibah’ dan لُمَزَةٍ pula digunakan apabila mengata berhadapan. Maka mengata berdepan juga adalah salah besar (kadang-kadang ada orang kata: “tak salah ni sebab aku cakap depan-depan, bukan mengutuk!”). Ayat ini memberitahu yang ini pun salah juga.

Oleh itu هُمَزَةٍ adalah berkenaan orang yang suka mengumpat. Dan kita jangan lupa yang apabila dikatakan ‘mengumpat’, kadang-kadang perkara yang dikatakan itu memang betul pun, tapi orang yang dikatakan itu tidak suka kalau dikatakan tentang dia dengan cara itu.

Dan لُمَزَةٍ pula adalah orang yang suka mencela. Dan kadang-kadang perkara itu tidak betul tapi orang yang melakukannya itu berniat nak jatuhkan orang lain.

Malangnya, orang kita memang suka kalau nak bercerita tentang orang lain. Katakanlah ada empat orang kawan makan sekali, dan seorang lagi kawan mereka yang kelima tidak ada kerana dia ada hal. Agaknya apa yang empat orang kawan dia akan bercakap? Kita boleh sudah agak yang mereka berempat itu akan bercakap tentang kawan mereka yang kelima itu. Macam-macam mereka akan katakan tentang dia. Dan katakanlah kalau salah seorang dari mereka berempat itu kena bangun untuk pergi kerja, kita sudah boleh agak yang tiga orang kawan dia yang tinggal itu akan bercakap tentang kawan mereka yang keempat itu pula! Ini adalah هُمَزَةٍ.

Bagaimana pula maksud لُمَزَةٍ dalam kes ini? Kadang-kadang mereka bertiga akan bersama-sama mengutuk kawan mereka yang keempat dengan berdepan, sambil mereka makan! Mereka akan gelakkan dia – ini bukan terjadi dengan musuh, tapi dengan kawan kawan! Masyarakat kita sudah rasa selamba sahaja merendahkan kawan yang di hadapan mereka.

Kalau dengan kawan pun mereka sanggup buat begitu, bayangkan kalau musuh yang mereka tidak suka? Kita sangka perkara itu biasa sahaja, tapi lihatlah bagaimana Allah memberi kecelakaan kepada orang yang jenis begini! Jadi kena periksa balik apa yang kita selalu lakukan. Kalau biasa buat apa yang disebut di atas, maka berhentilah.

Oleh itu, هُمَزَةٍ dan لُمَزَةٍ banyak berlaku dalam gossip. Ini terjadi apabila fikiran manusia itu tidak berfikiran tinggi, jadi mereka kena cari hiburan dengan cara lain, dan yang paling mereka suka adalah gossip tentang orang lain – cara orang bercakap, pakai baju dan apa sahaja yang orang lain lakukan.

Dan kerana itulah Allah telah sebut dalam Surah al-Asr sebelum ini, mereka itu adalah jenis orang yang dalam kerugian. Tidak berfaedah langsung apa yang mereka lakukan itu. Orang yang akhlaknya rendah sahaja yang akan mencari kesalahan dan kesilapan orang lain; mereka suka untuk memalukan orang lain. Mungkin kerana mereka sendiri ada banyak kelemahan dan kesilapan, maka mereka cuba menutup kelemahan mereka dengan menekankan dan menyebut-nyebut kelemahan orang lain supaya kelemahan mereka tidak nampak. Mereka hendak meninggikan diri mereka, tapi dengan cara merendahkan dan menjatuhkan orang lain.

Kadang-kadang لُمَزَةٍ dilakukan dengan cara tersembunyi. Sebagai contoh, nampak macam kita puji orang itu, tapi sebenarnya kita kutuk dia dengan menggunakan nada yang berlainan. Sebagai contoh, kita mungkin boleh kata kepada orang lain: “wah, pandai engkau yer?”. Dari segi lafaz, nampak macam puji tapi kita boleh gunakan nada yang sinis dengan memek muka yang berlainan untuk memberi isyarat sebenarnya kita mengutuk dia. Orang yang bercakap dan orang yang mendengar boleh faham apakah yang disampaikan. Tapi kalau kita tegur dia, dia mungkin kata: “eh, bukan aku puji dia ke?”.

Begitu juga, kalau kita menggunakan bahasa yang kesat, bahasa yang huduh kepada orang lain, itu juga adalah لُمَزَةٍ. Ataupun kadang-kadang mentertawakan orang lain di hadapan kita.

Ada juga pendapat lain tentang perbezaan dua kalimat yang kita sedang belajar ini. Dalam Tafsir Ibn Kathir disebut: Al-hammaz dan al-lammaz, itu bezanya: Kalau yang pertama melalui ucapan, sedangkan yang kedua melalui perbuatan. Makna yang dimaksudkan ialah tukang mencela orang lain dan menjatuhkan mereka. Tapi dengan cara yang berbeza.

Kalimah وَيلٌ juga boleh bermaksud perasaan menderita – ini adalah kerana mereka yang diperkatakan dengan sedemikian rupa, hati mereka akan menderita kerana mereka diperlakukan dengan sedemikian. Mereka rasa ‘pecah hati’. Akan tetapi, dalam ayat ini, Allah mempertahankan mereka yang sebegitu, kerana Allah menggunakan kalimah وَيلٌ sebagai kutukan kepada golongan هُمَزَةٍ dan لُمَزَةٍ itu.

Allah berjanji akan balas kepada mereka yang melakukan kesalahan itu. Kalau Allah yang mempertahankan, tentulah kita senang hati, bukan? Dan mereka yang dizalimi memang mendapat kelebihan seperti sabda Nabi:

Hadis dari Anas r.a , Rasulullah saw bersabda: اتق دعوة المظلوم وإن كان كافرا فإنه ليس دونها حجاب “Hendaklah kamu waspada terhadap doa orang yang dizalimi sekalipun dia adalah orang kafir. Maka sesungguhnya tidak ada penghalang di antaranya untuk diterima oleh Allah.” Hadis riwayat Ahmad – sanad hasan

Dan ingatlah, kalau ianya janji Allah, maka janji Allah itu adalah sesuatu yang patut ditakuti. Maka janganlah kita termasuk ke dalam golongan هُمَزَةٍ dan لُمَزَةٍ. Berhati-hatilah dengan percakapan kita.

Kalimah وَيلٌ juga boleh digunakan sebagai membawa maksud apa yang dilakukan oleh هُمَزَةٍ dan لُمَزَةٍ itu adalah perkara yang huduh dan buruk. Allah memberi janji kepada mereka yang melakukannya: bersedialah untuk menerima kehancuran!

Kadang-kadang kita buat lawak dan tidak sangka yang perkara itu adalah perkara yang besar, tapi belajarlah apa yang Allah katakan dalam ayat ini. Allah berfirman dalam Hujurat:11

يا أَيُّهَا الَّذينَ آمَنوا لا يَسخَر قَومٌ مِن قَومٍ عَسىٰ أَن يَكونوا خَيرًا مِنهُم وَلا نِساءٌ مِن نِساءٍ عَسىٰ أَن يَكُنَّ خَيرًا مِنهُنَّ ۖ وَلا تَلمِزوا أَنفُسَكُم وَلا تَنابَزوا بِالأَلقابِ ۖ بِئسَ الِاسمُ الفُسوقُ بَعدَ الإيمانِ ۚ وَمَن لَم يَتُب فَأُولٰئِكَ هُمُ الظّالِمونَ

"Hai orang-orang yang beriman, janganlah sekumpulan orang laki-laki merendahkan kumpulan yang lain, boleh jadi yang ditertawakan itu lebih baik dari mereka. Dan jangan pula sekumpulan perempuan merendahkan kumpulan lainnya, boleh jadi yang direndahkan itu lebih baik. Dan janganlah suka mencela dirimu sendiri dan jangan memanggil dengan gelaran yang mengandung ejekan. Seburuk-buruk panggilan adalah (panggilan) yang buruk sesudah iman dan barangsiapa yang tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim".

Kalimah هُمَزَةٍ juga boleh bermaksud memanggil orang dengan nama yang mereka tidak sukai. Contohnya kita gelar dia: Orang pendek, orang gelap, orang kepala besar dan macam-macam lagi. Ini selalu kita lakukan, bukan? Berhentilah dari melakukannya. Kadang-kadang kita sangka kita buat lawak sahaja. Kadang-kadang kita buat sambil lewa sahaja. Jadi, ia boleh dilakukan dengan cara sengaja atau sambil lewa sahaja

Ia juga boleh bermaksud memalukan atau menghina orang yang duduk di sebelah kita, walaupun dengan pandangan mata. Dan memang kita faham bagaimana kita boleh kutuk atau jatuhkan orang dengan pandangan mata pun, dengan cemek muka.

Dan yang lebih teruk, ia boleh berlaku dalam hal agama – sebagai contoh, ada orang yang mengutuk atau menghina orang lain yang hendak mengamalkan sunnah – simpan janggut, pakai niqab dan sebagainya. Kadang-kadang orang Islam pun cakap macam itu juga. Ini bukan orang kafir pun, orang Islam! Orang Islam jenis apa pun tak tahulah!

Ketahuilah yang ini bukan perkara ringan – orang itu nak buat sunnah tapi ada orang yang jahil yang gelakkan pula. Tapi zaman sekarang, ramai yang jauh dari agama, dan mereka meringankan perkara itu. Kita kena ingat yang mereka kutuk itu kepada orang yang sayang kepada Nabi, jadi mereka nak ikut apa yang Nabi lakukan.

Ayat ini adalah dalam format Jumlah Ismiah. Selalunya, dalam Jumlah Ismiah, ال digunakan, maka sepatutnya secara kebiasaan kalimah yang digunakan adalah الوَيلٌ dan bukan وَيلٌ sahaja. Akan tetapi, seperti yang kita lihat, Allah menggunakan kalimah وَيلٌ dalam bentuk nakirah (bentuk umum) sahaja. Ini bukan sesuatu yang biasa. Kenapa agaknya?

Kalau kalimah الوَيلٌ yang digunakan, jadi ayat 1 ini diterjemahkan begini: Kebinasaan kepada هُمَزَةٍ dan لُمَزَةٍ itu. Dan itulah juga maksud kalau menggunakan وَيلٌ dalam bentuk nakirah. Akan tetapi, dengan menggunakan format nakirah, ianya juga boleh digunakan dalam bentuk harapan atau doa.

Oleh itu, apabila format وَيلٌ digunakan, ia boleh juga bermaksud semoga kecelakaan ke atas mereka atau kecelakaan ke atas mereka. Kedua-dua makna ini boleh jadi, dengan membuang ال dari kalimah وَيلٌ itu. Dengan ada kebarangkalian doa ini, maka ini memberi tekanan kepada mereka yang melakukan هُمَزَةٍ dan لُمَزَةٍ, yang mereka mungkin akan dikenakan dengan kecelakaan itu, atau mungkin mereka telah tetap akan kena. Maka, kalau mereka ‘mungkin’ akan kena, maka mereka masih ada harapan lagi untuk mengubah sikap mereka.

Ada juga pendapat yang mengatakan وَيلٌ bermaksud satu bahagian di dalam neraka. Ianya sangat teruk sampaikan neraka sendiri meminta Allah untuk menghancurkan bahagian wail itu. Kerana neraka sendiri tidak tahan! Dan ianya diperuntukkan untuk mereka yang melakukan هُمَزَةٍ dan لُمَزَةٍ itu.

Apabila diletakkan ة (ta marbootah) pada kalimah هُمَزَةٍ dan لُمَزَةٍ itu, ia menunjukkan sesuatu yang ‘banyak’. Maksudnya, orang yang melakukan هُمَزَةٍ dan لُمَزَةٍ itu, mereka banyak melakukan kutukan dan celaan kepada orang lain, bukan sekali sekala sahaja. Dan kita boleh lihat bagaimana setiap ayat dalam Surah Humazah ini diakhiri dengan ة sebagai keindahan bahasa Al-Qur’an. Sedap sahaja kita baca, dan mudah untuk kita hafal, bukan?

Ia juga sebagai tanda mubalaghah (extreme) – sebagai contoh, kalimah qiyam bermaksud ‘berdiri’ tapi apabila kena berdiri pada jangkamasa yang lama di mahsyar nanti, Allah gunakan kalimah qiyamah setelah ditambah dengan ة.

Dari segi nahu juga, kita boleh lihat bagaimana kalimah وَيلٌ ini dalam status marfu’. Ini menjadikan ayat ini jumlah ismiyyah. Dan dari segi balaghah, apabila dalam jumlah ismiyyah, ia memberi maksud pengekalan kerana apabila kemusnahan itu diberikan, ianya sampai bila-bila.

Katadasar kalimah هُمَزَةٍ adalah ه م ز yang bermaksud mencucuk seseorang dengan sesuatu yang tajam. Kalimah ini juga digunakan dalam surah al-Mu'minoon:97

وَقُل رَبِّ أَعوذُ بِكَ مِن هَمَزاتِ الشَّياطينِ
Dan katakanlah: “Ya Tuhanku aku berlindung kepada Engkau dari bisikan-bisikan syaitan.

Maksudnya, syaitan akan mengganggu manusia dengan bisikan-bisikan mereka, dan diumpamakan sebagai cucukan. Oleh itu, همز adalah gangguan yang menyebabkan orang yang kena gangguan itu tidak suka. Kerana kalau orang cucuk-cucuk kita, kita tidak suka, bukan?

Kalimah لُمَزَةٍ pula dari katadasar ل م ز yang bermaksud berterusan mencari kesalahan pada seseorang dan kemudian membongkar kesalahan itu untuk memalukan orang itu. Ini adalah perbuatan yang buruk sekali. Kita sebagai manusia memanglah sentiasa ada kekurangan. Dan kalau dicari kekurangan itu, memang akan berjumpa, tidak syak lagi.

Oleh itu, jangan dicari kekurangan orang lain kerana kita pun ada kekurangan juga. Kalau orang cari salah kita pula, bagaimana? Adakah kamu itu malaikat? Maka kita pun tidak suka, akan tetapi mereka yang dimaksudkan dalam ayat ini sanggup mencari dan menyebut-nyebut tentang kelemahan orang lain. Mereka lupa agaknya yang mereka itu pun tidak sempurna.

Sumber: Celik tafsir

No comments:

Post a Comment