Thursday, September 23, 2021

SURAH 'ABASA TAFSIR AYAT 17-23

 

Video bacaan Surah 'Abasa ayat 1-42
irama Jiharkah oleh adik Nuril Maulia
dari Mufid Media.

Selepas selesai tafsir surah 'Abasa ayat 1-6 dan ayat 7-16, maka sekarang saya ingin menyambung ke ayat 17-23. 

Supaya tidak terputus hubungan dengan ayat-ayat di atas, maka tuan-tuan boleh klik Di sini bagi ayat 1-6 dan klik Di sini bagi ayat 7-23.

Tafsir Ayat 17-23
(Asal kejadian manusia)

Ayat 17:

Dari ayat ini sehingga 21 adalah Perenggan Makro Ketiga. Ia mengandungi Dalil Aqli Anfusi tentang akhirat.

قُتِلَ الإِنسانُ ما أَكفَرَهُ
Binasalah manusia; alangkah amat sangat kekafirannya?

Lafaz قُتِلَ الإِنسانُ bermaksud ‘semoga binasalah manusia!’. Kalimat ini ditujukan kepada manusia yang mendustakan hari berbangkit. Ini adalah teguran yang amat berat dalam Bahasa Arab. Kenapa mereka sampai dimarahi dan dilaknat begitu sekali?

Kerana betapa besar kekufuran mereka. Setelah mereka mendengar peringatan dari Allah ﷻ dan Nabi ﷺ, masih lagi mereka mahu kufur? Lafaz ما أَكفَرَهُ adalah uslub ta’jub, kerana sangat hairan dengan sikap mereka. Kerana mereka sanggup membinasakan diri mereka sendiri dengan tidak menghiraukan wahyu Allah ﷻ.

Mereka banyak berdusta tanpa sandaran, bahkan hanya menurut ilusinya yang menganggap hari kiamat itu mustahil terjadi, mereka tidak mempunyai pengetahuan sama sekali dalam hal ini. Sudah teruk sangat mereka itu.

Atau, lafaz ما أَكفَرَهُ boleh bermaksud ‘apa yang menyebabkan mereka boleh jadi kufur?’ Kenapa setelah ditunjukkan dengan peringatan yang hebat dari Al-Qur’an itu, mereka masih lagi tidak mahu percaya? Dalam surah sebelum ini telah diceritakan bagaimana Firaun (Naaziat: 20-21) telah ditunjukkan segala mukjizat dan tanda, tetapi dia masih lagi tidak beriman. 

فَأَراهُ الآيَةَ الكُبرىٰ
Lalu Musa memperlihatkan kepadanya mukjizat yang besar.

فَكَذَّبَ وَعَصىٰ

Tetapi Fir’aun mendustakan dan mendurhakai. Walaupun Firaun telah ditunjukkan dengan mukjizat yang besar, Firaun masih lagi tidak mahu beriman. Maka, golongan musyrikin pun jadi macam itu juga. Bayangkan, manusia yang telah ditunjukkan dengan mukjizat yang paling hebat, iaitu Al-Qur’an, tetapi masih lagi tidak mahu percaya.

Maka mereka itu lebih teruk dari Firaun. Musyrikin Mekah paling teruk kerana mereka menolak wahyu itu di depan Nabi ﷺ sendiri, alangkah celakanya mereka.

Bagaimana pula dengan orang Islam kita sendiri? Tidakkah ramai yang tidak mengendahkan pengajaran dari Al-Qur’an ini? Bukankah majoriti dari masyarakat kita buta dengan ilmu wahyu? Jangan kata orang awam, yang orang agama pun kadangkala buta dengan wahyu. Kerana itu banyak ajaran pelik dalam masyarakat yang diajar oleh para ustaz dalam masyarakat kita.

Ayat 18:

Allah ﷻ tegur orang yang engkar. Dalam bahasa kita zaman sekarang, ‘sekolah’kan mereka.

مِن أَيِّ شَيءٍ خَلَقَهُ
Dari apakah Allah menciptakannya?

Allah ﷻ mempersoalkan, yang manusia berlagak ni, dia lupakah yang dia jadi dari apa? Dia kena fikir sikit dari benda apa yang Allah ﷻ ciptakan dia. Kenapa hendak sombong sangat?

Ayat 19:

Selepas Allah ﷻ tanya, Allah ﷻ sendiri yang jawab untuk ingatkan mereka.

مِن نُطفَةٍ خَلَقَهُ فَقَدَّرَهُ
Dari setitik mani, Allah menciptakannya, lalu menentukannya.

Allah ﷻ ingatkan yang manusia dijadikan dari air mani yang hina. Kenapa hina? Kerana kalau kena pada baju kita, bukankah kita akan kikis buang? Kalau jatuh ke tanah, ayam tak patuk, itik pun tak sudu. Maknanya, asal kejadian manusia itu bukanlah dari benda yang mulia, tetapi dari benda yang tidak ada apa-apa nilai pun.

Dan setelah Allah ﷻ jadikan kita, Dia menentukan perjalanan hidup kita. Dia telah mentakdirkan apa yang akan jadi dengan kita: bagaimana rupa kita, kulit warna apa, pandai atau tidak, tinggal di mana, siapa kenalan kita, ada penyakit atau tidak, apa kerja kita, anak kita akan dapat berapa, semua sekali.

Ditentukan semua perkara dari sekecil-kecilnya hingga ke sebesar-besarnya. Semua itu telah ditakdirkan sebelum insan itu jadi manusia lagi. Jadi ini adalah cerita sebelum manusia itu keluar lagi dari perut ibunya. Itu semua kita tidak dapat tentukan sendiri. Semuanya Allah ﷻ yang atur dan kita kena terima sahaja.

Tetapi manusia masih lagi sampai hati hendak melawan Allah ﷻ? Masih lagi mahu engkar dengan arahan Allah ﷻ? Allah ﷻ yang tentukan rupa bentuk dia dan kemudian Allah ﷻ yang takdirkan semua, tetapi manusia sombong juga lagi?

Ayat 20:

Kemudian Allah ﷻ lahirkan manusia itu.

ثُمَّ السَّبيلَ يَسَّرَهُ
Kemudian Dia memudahkan jalannya.

Dan Allah ﷻ memudahkan jalan untuk manusia keluar dari perut ibunya. Ikut laluan rahim keluar dari ibu. Allah ﷻ yang mudahkan. Ianya satu proses yang kalau difikirkan amat susah – bayangkan bayi itu besar, tetapi boleh keluar ikut laluan yang sempit. Tetapi Allah ﷻ mudahkan dengan QudratNya.

Dan boleh juga bermaksud, Allah ﷻ memudahkan dia di dalam perjalanan hidupnya. Selepas Allah ﷻ taqdirkan kita lahir, kita dimudahkan dalam kehidupan kita. Segala keperluan kita Allah ﷻ berikan. Dari kita bayi, tidak tahu bercakap lagi, Allah ﷻ ilhamkan kepada ibubapa kita untuk memberi kita makan, beri belaian dan kasih sayang.

Dan ketiga, Allah ﷻ juga memudahkan manusia untuk mendapat petunjuk. Setiap manusia telah dibekalkan dengan fitrah mahukan kebenaran, kenal Allah ﷻ dan ini telah diletakkan di dalam sanubari manusia. Kemudian Allah ﷻ bangkitkan para Rasul, ada kitab wahyu dan lain-lain lagi sumber petunjuk. Ini seperti yang disebut dalam ayat yang lain:

إِنَّا هَدَيْناهُ السَّبِيلَ إِمَّا شاكِراً وَإِمَّا كَفُوراً
Sesungguhnya Kami telah menunjukinya jalan yang lurus; ada yang bersyukur dan ada pula yang kafir. (Al-Insan:3)

Memang ada banyak petunjuk telah diberikan, tetapi kalau manusia tidak mahu terima, itu adalah kerana mereka sombong sahaja.

Ayat 21:

Masih lagi tentang perjalanan hidup manusia. Akhirnya manusia itu mati.

ثُمَّ أَماتَهُ فَأَقبَرَهُ
kemudian Dia mematikannya dan memasukkannya ke dalam kubur,

Dan kemudian manusia akan dimatikan dan dikuburkan. Lafaz ‘kubur’ maksudnya ‘dimasukkan dalam tanah’, sama ada ada kubur atau tidak; kerana kalau tidak tanam pun dalam kubur seperti yang biasa kita lihat, setiap manusia itu akan hancur jadi tanah dan akan masuk ke tanah juga. Sebagai contoh, kalau dibakar, mati dalam laut, di mana sahaja, akhirnya akan hancur dan turun ke tanah juga.

Allah ﷻ hendak ingatkan manusia, mati pun kamu tidak dapat kawal – sudahlah hidup kamu pun kamu tidak dapat kawal, mati pun kamu tidak dapat kawal, tetapi masih hendak sombong lagi?

Akhirnya kamu akan menjadi tanah. Tanah pun satu bahan yang kamu pandang jijik. Kamu basuh dari badan dan pakaian kalau kena pada kamu. Lihatlah, asal dari air mani yang hina dan akhirnya jadi tanah yang hina juga. Lihatlah, betapa hinanya manusia. Tetapi hairan, masih hendak sombong lagi.

Ayat 22:

Mati bukanlah satu penentuan, bukan penamat; tidak habis lagi kisah manusia walaupun telah mati.

ثُمَّ إِذا شاءَ أَنشَرَهُ
kemudian bila Dia menghendaki, Dia membangkitkannya kembali.

Dan kalau Dia hendak (kalau Allah ﷻ yang hendak, bukan kita), maka Dia akan menghidupkan kita kembali.

Dari segi bahasa, kita boleh lihat apabila manusia dihidupkan kembali, ianya dilakukan dengan cepat, tidak perlu proses lagi. Allah ﷻ boleh buat begitu, terus bangkit sahaja. Sedangkan semasa lahir, Allah ﷻ jadikan ada proses, air mani bercantum dengan telur ibu, melekat di dinding rahim, duduk dalam rahim selama 9 bulan dan seterusnya.

Akan tetapi bila hendak hidupkan balik, Allah ﷻ hidupkan begitu sahaja. Kerana Allah ﷻ tidak perlukan pun segala proses itu semua. Sengaja Allah ﷻ hendak manusia lahirkan manusia dengan cara begitu walaupun sebenarnya kalau Allah ﷻ kehendaki, Dia boleh terus jadikan sahaja manusia dalam sekelip mata.

Ayat 23:

Setelah Allah ﷻ menceritakan perjalanan hidup manusia, sekarang Allah ﷻ tegur kesalahan manusia yang engkar.

كَلّا لَمّا يَقضِ ما أَمَرَهُ
Sekali-kali jangan; manusia itu belum melaksanakan apa yang diperintahkan Allah kepadanya,

Sekali lagi kita bertemu dengan lafaz كَلّا. Seperti kita telah sebut sebelum ini, ia adalah lafaz penekanan. Allah ﷻ hendak tekankan apa yang akan disebutkan selepas itu. Kerana perkara seterusnya ini amat penting, Allah ﷻ letak lafaz untuk menunjukkan penekanan.

Atau lafaz كَلّا bermaksud ‘jangan begitu’. Jangan teruskan segala perbuatan salah mereka itu. Kena ubah keadaan mereka.

Lafaz يَقضِ bermaksud – menjalankan tanggungjawab. Allah ﷻ mengatakan manusia ramai yang belum menjalankan tanggungjawab mereka sepenuhnya lagi sebagai hambaNya. Ramai yang lalai dan culas dari menjalankan tanggungjawab.

Tetapi, bagaimana kita hendak melaksanakan tanggungjawab kita sebagai hamba Allah ﷻ kalau kita sendiri tidak tahu? Bagaimana hendak tahu? Maka kenalah belajar agama terutama sekali kena habis belajar dan faham tafsir Al-Qur’an 30 juzuk. Inilah pertama sekali yang kena dilakukan. Kemudian belajar hadis dan sunnah.

Apabila digunakan lafaz لَمّا, maksudnya sampai sekarang manusia masih lagi tidak memenuhi perintah Allah ﷻ. Tetapi masih ada harapan lagi kerana selagi belum mati, masih ada harapan lagi. Oleh itu selepas dengar segala teguran ini, berubahlah.

Nantikan sambungan tafsir ayat 24-37 
(Lihat pada makanan kita)

Kembali ke ayat 1-6 klik Di sini

Sumber : Celik tafsir

No comments:

Post a Comment