Tuesday, September 21, 2021

SURAH 'ABASA TAFSIR AYAT 7 - 16

Video bacaan Surah 'Abasa ayat 1-42
Irama Jiharkah oleh Adik Nuril Maulia
dari Mufid Media

Tafsir Ayat 7 - 16
(Buang sombong dengan al quran)

Dalam keluaran lepas, saya telah memuatnaik huraian dan tafsiran surah 'Abasa ayat 1-6. Kepada pembaca yang terlepas pandang dan ingin untuk membacanya sila klik Di sini.

Ok...Sekarang kita sambung lagi huraian dan tafsiran surah 'Abasa ayat 7-16 (buang sombong dengan al quran).

Ayat 7 :

وَما عَلَيكَ أَلّا يَزَّكّىٰ
Padahal tidak ada (celaan) atasmu apabila dia tidak membersihkan diri (beriman).

Allah ﷻ buka apa yang dalam hati mereka, di mana Allah ﷻ beritahu yang mereka memang tidak mahu membersihkan hati mereka pun. Kita dapat faham begini kerana Allah ﷻ letak أَلّا dalam lafaz ini. Bukan Allah ﷻ kata, ‘kalau dia tidak bersihkan diri’, tetapi Allah ﷻ kata ‘apabila dia tidak membersihkan diri’. Itu bukanlah salah Nabi ﷺ dan Allah ﷻ nyatakan dengan jelas dalam ayat ini.

Dan lagi satu makna yang kita boleh ambil dari ayat ini, bukan tanggungjawab Nabi ﷺ pun kalau mereka tidak bersihkan hati mereka. Kerana itu adalah tanggungjawab mereka sendiri. Dalam surah lain disebut yang Nabi ﷺ hanya beri ancaman sahaja, sampaikan sahaja, pemberi peringatan sahaja. Maksudnya, kalau memang mereka tidak mahu terima agama tauhid dan belajar dengan Nabi ﷺ, itu bukan salah baginda. Kerana tugas baginda hanya menyampaikan sahaja.

Begitu jugalah kita dengan orang yang kita sampaikan dakwah sunnah. Bukan tanggungjawab kita untuk memastikan mereka beriman atau tidak; tanggungjawab kita adalah menyampaikan sahaja, dengan cara terbaik yang kita boleh lakukan. Kalau mereka tidak terima juga, bukan salah kita, kalau kita sudah sampaikan.

Ayat 8:

وَأَمّا مَن جاءَكَ يَسعىٰ
Dan adapun orang yang datang kepadamu dengan bersegera (untuk mendapatkan pengajaran),

Lafaz يَسعىٰ bermaksud seseorang yang berjalan laju, tapi tidak sampai tahap berlari. Macam kita saie di Baitullah, ada tempat berlari-lari anak, bukan?

Ayat ini hendak menjelaskan bagaimana Abdullah Ummi Maktum itu datang dengan bersungguh-sungguh. Dia datang dengan bersemangat sebab dia memang hendak mendapat ilmu dan berbeza dengan pemuka Quraisy yang rasa diri mereka cukup dan tidak memerlukan apa-apa.

Ayat 9:

وَهُوَ يَخشىٰ
sedang dia takut kepada (Allah),

Abdullah ibn Ummi Maktum takut dengan Allah ﷻ. Dan takut kepada Allah ﷻ adalah penting. Kerana apabila takut kepada Allah ﷻ, maka kita takut untuk buat dosa. Apabila diberitahu yang beliau takut, maknanya dalam masa yang sama, ada yang tidak takut iaitu Musyrikin Mekah. Musyrikin Mekah tidak kisah dengan Allah ﷻ.

Ayat 10:

فَأَنتَ عَنهُ تَلَهّىٰ
maka kamu mengabaikannya.

Lafaz تَلَهّىٰ dari katadasar ل ه و yang bermaksud bergembira, hiburan – sesuatu yang kita buat sampai leka, terlupa kepada perkara yang lebih penting lagi. Begitulah kita dengan hiburan, bukan?

Allah ﷻ hendak beritahu kepada Nabi ﷺ, yang baginda telah leka dengan perkara yang lain, sampaikan baginda terlupa kepada Abdullah Ummi Maktum رضي الله عنه itu. Nabi ﷺ telah melebihkan orang lain yang tidaklah lagi penting dari orang buta ini.

Dalam masa yang sama, Allah ﷻ hendak memberitahu kita yang orang buta ini lebih penting dari pemuka-pemuka Quraisy itu. Allah ﷻ tahu hati orang kafir itu dan hati Abdullah رضي الله عنه itu. Allah ﷻ beritahu Nabi ﷺ jangan buang masa dengan mereka yang tidak mahu belajar, tidak mahu berubah.

Kalau kita berdakwah dan kita lihat ada harapan yang orang itu mahu kebenaran, maka tidaklah salah kalau kita teruskan. Kerana kita tidak tahu sama ada dia akan terima kebenaran atau tidak. Kerana kita tidak tahu dalam hati manusia.

Akan tetapi dalam kes ini, Allah ﷻ beritahu sendiri kepada baginda, kerana Allah ﷻ tahu apa yang dalam hati mereka. Oleh itu, jangan salah faham dengan ayat ini. Ayat ini bukanlah suruh kita jangan hiraukan dakwah kepada non-muslim. Kita kena tetap terus dakwah kepada mereka.

Ayat 11:

كَلّا إِنَّها تَذكِرَةٌ
Sekali-kali jangan (demikian)! Sesungguhnya ajaran-ajaran Tuhan itu adalah suatu peringatan,

Ayat ini sehingga ke ayat 16 adalah Perenggan Makro Kedua. Ia mengajar kita untuk buang kesombongan hati dan hendaklah beriman dengan Al-Qur’an.

Kalimah كَلّا ini ada banyak pentafsiran tentangnya. Yang pertama, ia mungkin Allah ﷻ sedang menempelak orang kafir. Kerana ia adalah sambungan kepada ayat-ayat sebelum ini. Sebagai teguran berat kepada mereka yang rasa mereka sudah cukup. Maksudnya, Nabi ﷺ tidak ada masa hendak layan mereka lagi. Lagi elok kalau Nabi ﷺ layan orang yang ikhlas hendak belajar.

Atau lafaz كَلّا itu sebagai penekanan kepada apa yang hendak disebutkan selepasnya. Allah ﷻ hendak tekankan yang sesungguhnya Al-Qur’an ini adalah peringatan yang amat besar. Maka jangan tidak beri perhatian kepadanya.

Kenapa Al-Qur’an digelar sebagai pemberi peringatan? Bukankah ia bawa benda yang baharu? Sedangkan kalau beri ingat, tentulah kepada perkara yang kita sudah tahu, bukan? Memang begitu kerana sebenarnya Al-Qur’an mengingatkan manusia kembali tentang syahadah kita semasa kita dijadikan dahulu. Ini disebut dalam surah Al A'raaf Ayat 172.

وَإِذ أَخَذَ رَبُّكَ مِن بَني آدَمَ مِن ظُهورِهِم ذُرِّيَّتَهُم وَأَشهَدَهُم عَلىٰ أَنفُسِهِم أَلَستُ بِرَبِّكُم ۖ قالوا بَلىٰ ۛ شَهِدنا ۛ أَن تَقولوا يَومَ القِيامَةِ إِنّا كُنّا عَن هٰذا غافِلينَ

Dan (ingatlah), ketika Tuhanmu mengeluarkan keturunan anak-anak Adam dari sulbi mereka dan Allah mengambil kesaksian terhadap jiwa mereka (seraya berfirman): “Bukankah Aku ini Tuhanmu?” Mereka menjawab: “Betul (Engkau Tuhan kami), kami menjadi saksi”. (Kami lakukan yang demikian itu) agar di hari kiamat kamu tidak mengatakan: “Sesungguhnya kami (bani Adam) adalah orang-orang yang lengah terhadap ini (keesaan Tuhan)”,

Maknanya, dalam diri kita sebenarnya sudah ada fitrah untuk mendapat peringatan kerana kita sudah kenal Allah ﷻ dari sebelum kita dikeluarkan ke dunia lagi. Akan tetapi kita sudah lupa tentangnya. Kerana itulah ada agama-agama yang lain dari Islam, sedangkan Islam adalah agama fitrah.

Agama lain itu terjadi kerana manusia sudah lupa perjanjian dan ikrar mereka sebelum mereka lahir. Oleh itu, wahyu Al-Qur’an mengingatkan kita kembali kepada apa yang kita telah ikrarkan dahulu. Ini bukan peringatan dari manusia tetapi dari Allah ﷻ sendiri. Kalau mereka tidak mahu dengar, bukan salahmu Muhammad ﷺ!

Atau Allah ﷻ menegur Nabi ﷺ dengan lafaz كَلّا yang bermaksud ‘jangan begitu’. Maknanya, Nabi ﷺ tidak boleh begitu terhadap Abdullah Ummi Maktum رضي الله عنه itu. Al-Qur’an ini adalah untuk semua orang, tidak boleh dibahagi-bahagikan, tidak boleh dikhususkan kepada orang-orang tertentu sahaja. Oleh itu Allah ﷻ suruh Nabi ﷺ jangan lebihkan orang kafir itu daripada orang mukmin.

Ayat 12:

فَمَن شاءَ ذَكَرَهُ
maka barangsiapa yang menghendaki, tentulah dia mengingatinya,

Kepada siapa yang mahu, akan mendapat peringatan. Tugasmu hanya menyampaikan. Sesiapa yang hendak, dia boleh ambil, terpulang kepada mereka. Iaitu mereka yang masih ada lagi cahaya fitrah dalam diri mereka. Yang masih mahu mendengar suara hatinya.

Jadi, adakah kita mahu mendengar suara hati kita dan belajar tafsir Al-Quran ini sampai kita boleh faham? Sepatutnya begitulah sikap kita terhadap Al-Qur’an. Kita kena ada usaha untuk mempelajari dan memahaminya. Kita belajar tafsir, belajar bahasa Arab, belajar bahasa Al-Qur’an, baca berulang-ulang supaya kita lebih faham dan amalkan apa yang kita belajar.

Kerana kalau tidak faham, bagaimana kita hendak amalkan? Akhirnya, kita kena sampaikan kepada orang lain, kerana itulah yang Allah ﷻ suruh kita lakukan. Adakah kita lakukan semua itu? Berapa ramai yang tidak kisah pun mereka tidak faham Al-Qur’an?

Dan berapa ramai yang salah faham dengan pelajaran Tafsir Al-Qur’an ini, sampai ada yang kata kita tidak akan dapat faham, bukan bidang kita, ulama sahaja faham, bahaya kalau belajar dan macam-macam lagi alasan, sampai mereka tidak belajar tafsir langsung? Dan bagaimana pula yang sampai sanggup melarang orang lain dari belajar kerana takut sesat?

Ayat 13:

في صُحُفٍ مُكَرَّمَةٍ
di dalam kitab-kitab yang dimuliakan,

Allah ﷻ sambung cerita tentang Al-Qur’an. Kenapa Al-Qur’an itu hebat?

Al-Qur’an itu tersimpan di dalam suhuf yang mulia. Lafaz صُحُفٍ bermaksud helaian-helaian. Allah ﷻ memberitahu betapa mulianya Al-Qur’an ini kerana ia terjaga. Dalam ayat ini Allah ﷻ menyebut tentang Al-Qur’an yang asal, yang disimpan di Lauh ul Mahfuz.

Ianya bukan kitab yang sebarangan, ianya amat tinggi, tetapi malangnya ramai yang buat tidak tahu sahaja. Allah ﷻ hendak beritahu, kalau mereka tidak inginkan, tidak endahkan perkara yang mulia, mereka pun tidak layak kerana mereka itu rendah.

Jadi tidak perlu terdesak sangat hendak hulur kepada mereka. Ianya adalah sesuatu yang mulia sampaikan tidak layak untuk disogok-sogok kepada orang yang tidak mahukannya.

Ayat 14:

مَرفوعَةٍ مُطَهَّرَةٍ
yang ditinggikan lagi disucikan,

Al-Qur’an itu bersifat yang tinggi dan suci. Allah ﷻ menekankan bahawa wahyu yang dibawa Nabi ﷺ adalah tinggi dan suci. Jadi mereka yang tidak mahu mendengarnya adalah di dalam kerugian.

Kalau ia tinggi tidak dapat dicapai dan ianya suci, maksudnya Al-Qur’an itu terjaga dari kekotoran dan penipuan. Tidak boleh sesiapa pun memasukkan perkara yang salah di dalamnya, juga tidak dapat dikurangkan. Maka salahlah fahaman puak Syiah yang mengatakan Al-Qur’an yang ada sekarang ini telah diubah, malah banyak yang dikurangkan. (Mereka kata Al-Qur’an yang sebenar sekarang disimpan oleh Imam Mahdi mereka).

Oleh kerana mulia dan tinggi Al-Qur’an itu, mereka yang mendengar dan belajar tafsir Al-Qur’an ini sepatutnya rasa beruntung. Tidak layak kalau mereka pandang rendah wahyu itu. Tidak patut mereka rasa diri mereka sudah cukup tanpa Al-Qur’an.

Ayat 15:

بِأَيدي سَفَرَةٍ
di tangan para penulis,

Lafaz سَفَرَةٍ bermaksud ‘penulis’. Siapakah yang dimaksudkan?

Pendapat jumhur mengatakan ianya adalah para malaikat. Maksudnya, Al-Qur’an itu terpelihara di tangan malaikat-malaikat yang menyalinnya dari Lauhul Mahfuz.

Begitulah pendapat Ibnu Jarir رحمه الله yang mengatakan bahawa pendapat yang sahih ialah yang mengatakan bahawa safarah adalah para malaikat yang menghubungkan antara Allah ﷻ dengan makhluk-Nya. Dan termasuk ke dalam pengertian ini dikatakan safir, yang ertinya orang yang menghubungkan di antara kedua belah pihak yang bersangkutan untuk tujuan perdamaian dan kebaikan.

Maka, safarah dalam ayat ini bermaksud penghubung antara Allah ﷻ dan makhlukNya. Dalam satu hadis, digunakan kalimah ‘safarah’ ini yang merujuk kepada para malaikat.

قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا إِسْمَاعِيلُ، حَدَّثَنَا هِشَامٌ، عَنْ قَتَادَةَ، عَنْ زُرَارة بْنِ أَوْفَى، عَنِ سَعْدِ بْنِ هِشَامٍ، عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “الَّذِي يَقْرَأُ الْقُرْآنَ وَهُوَ مَاهِرٌ بِهِ مَعَ السَّفَرَةِ الْكِرَامِ الْبَرَرَةِ، وَالَّذِي يَقْرَؤُهُ وَهُوَ عَلَيْهِ شَاقٌّ لَهُ أَجْرَانِ”.

Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Ismail, telah menceritakan kepada kami Hisyam, dari Qatadah, dari Zurarah ibnu Aufa, dari Sa’d ibnu Hisyam, dari ayahnya, dari Aisyah yang mengatakan bahawa Rasulullah ﷺ pernah bersabda: Orang yang membaca Al-Qur’an, sedangkan dia pandai membacanya (kelak akan dihimpunkan) bersama-sama dengan para safarah yang mulia lagi berbakti. Adapun orang yang membacanya, sedangkan dia melakukannya dengan berat, baginya dua pahala.

Ada juga yang mengatakan ia merujuk kepada para penulis Rasulullah ﷺ yang ditugaskan untuk menyalin Al-Qur’an selepas dibacakan oleh Nabi ﷺ. Rasullullah ﷺ telah melantik para penulis wahyu Qur’an dari sahabat-sahabat terkemuka, seperti Ali bin Abi Thalib, Muawiyah, ‘Ubai bin K’ab dan Zaid bin Tsabit رضي الله عنهم. Ada lebih kurang 40 orang penulis wahyu yang ditugaskan oleh Rasulullah.

Setiap kali ada ayat turun, baginda akan memerintahkan mereka menulisnya dan menunjukkan tempat ayat tersebut dalam surah, sehingga penulisan pada lembar itu membantu penghafalan di dalam hati.

Ayat 16:

كِرامٍ بَرَرَةٍ
yang mulia lagi berbakti.

Malaikat yang menulis dan menjaga Al-Qur’an itu mulia lagi banyak berbakti. Allah ﷻ hendak beritahu kepada kita betapa mulianya Al-Qur’an dan peringatan itu. Oleh kerana kedudukan Al-Qur’an itu, maka para malaikat yang tinggi dan mulia yang menyalin Al-Qur’an itu dan menjaganya.

Dan manusia amat beruntung jika dapat mempelajarinya. Oleh itu, kalau mereka tidak mahu dengar dakwah dari Al-Qur’an, maka bukan salah Nabi ﷺ. Yang rugi adalah mereka.

Bagaimana Al-Qur’an yang mulia itu mereka tidak hiraukan? Bagaimana masyarakat kita boleh belajar agama tetapi tidak belajar lagi tafsir Al-Qur’an? Kitab berjela-jela mereka belajar, tetapi tafsir Al-Qur’an belum belajar lagi. Ini adalah satu perkara yang amat pelik. Seolah-olah Al-Qur’an ini bukan sumber rujukan utama kepada pelajar agama. Sedangkan para sahabat dahulu tidak benarkan anak-anak mereka belajar sumber lain sebelum habis belajar tafsir Al-Qur’an.

Sambung ke ayat 17-23 (Yang menceritakan asal kejadian manusia) dengan klik Di sini atau kembali ke ayat 1-6 klik Di sini

Sumber : Celik Tafsir

No comments:

Post a Comment