Monday, September 27, 2021

TAFSIR SURAH 'ABASA AYAT 24-37

Video bacaan Surah 'Abasa ayat 1-42 (lengkap)
irama Jiharkah oleh adik Nuril Maulia
dari Mufid Media.

Sebelum ni saya dah muatkan tafsir ayat 1-23 (klik Di sini). Sekarang kita sambung tafsir ayat 23-37 pula.

Tafsir ayat 24-37
(Lihat pada makanan kita) 

Ayat 24: 

Dari ayat ini sehingga ke ayat 32 adalah Perenggan Makro Kelima. Ia mengandungi dalil-dalil adanya akhirat. Dan ada dalil aqli tentang tauhid.

فَليَنظُرِ الإِنسانُ إِلىٰ طَعامِهِ
Maka hendaklah manusia itu memperhatikan makanannya.

Allah ﷻ beri dalil dengan suruh manusia lihat perkara yang biasa sahaja – makanan kita yang kita hadap setiap hari itu. Manusia hendaklah melihat dengan teliti apa yang dimakannya.

Lafaz نظرِ bukan sahaja bermaksud ‘melihat’ tapi renung dengan betul-betul, dan memikirkan tentangnya. Kerana kalau kita hendak fikirkan sesuatu dengan mendalam, kita kena tengok lama-lama dan fokus kepada sesuatu itu. Barulah dapat faham.

Ayat 25: 

Makanan yang kita makan itu, bukan terjadi begitu sahaja, tetapi ada proses bagaimana ianya dijadikan. Allah ﷻ menceritakan tentangnya:

أَنّا صَبَبنَا الماءَ صَبًّا
Sesungguhnya Kami benar-benar telah mencurahkan air (dari langit),

Sesungguhnya Allah ﷻ yang telah menurunkan air dengan banyak. صَبًّا bermaksud mencurah-curah turun. Air itu tidak datang sendiri. Allah ﷻ suruh kita fikirkan, dari mana datang air itu dan siapakah yang menurunkannya? Tentulah dari Allah ﷻ dan Allah ﷻ ingatkan kita dalam ayat ini.

Ayat 26:

ثُمَّ شَقَقنَا الأَرضَ شَقًّا
Kemudian Kami belah bumi dengan sebaik-baiknya,

Dan Allah ﷻ telah memecahkan bumi (sesuai untuk bercucuk tanam). Allah ﷻ jadikan bumi merekah dan gembur. Air senang masuk untuk mengairi tanam-tanaman itu. Ini juga penting supaya tanaman boleh bergerak dan hidup.

Siapakah yang menggemburkan tanah itu? Allah ﷻ ingatkan kita yang Dialah yang melakukannya.

Ayat 27:

فَأَنبَتنا فيها حَبًّا
Lalu Kami tumbuhkan biji-bijian di bumi itu,

Selepas Allah ﷻ jadikan tanah merekah dan gembur, Allah ﷻ tumbuhkan biji bijian. Dan kemudian Allah ﷻ jadikan ia hidup subur. Allah ﷻ sebutkan makanan yang penting atau makanan ruji dulu. Kerana inilah makanan yang dimakan banyak sekali oleh manusia, seperti gandum, beras dan sebagainya.

Ayat 28: 

Sekarang jenis makanan lain pula.

وَعِنَبًا وَقَضبًا
Anggur dan sayur-sayuran,

Dan Allah ﷻ juga menumbuhkan buah anggur dan sayur-sayuran dengan menurunkan air ke dalam tanah yang merekah itu. Ini adalah makanan tambahan kerana manusia memang suka ada makanan lain. Macam kita, takkan cukup dengan makan nasi sahaja, bukan?

Ayat 29:

وَزَيتونًا وَنَخلًا
Dan zaitun dan kurma,

Sekarang disebut buah zaitun dan kurma. Buah zaitun cukup dikenal dan dapat dijadikan sebagai lauk, begitu pula minyaknya. Bahkan minyaknya dapat digunakan untuk meminyaki tubuh dan juga sebagai bahan bakar untuk lampu.

Sedangkan buat tamar juga banyak kegunaan dan boleh digunakan dengan bermacam-macam cara.

Allah ﷻ sebut jenis-jenis makanan ini kerana makanan inilah yang dikenali oleh masyarakat Arab waktu itu dan dekat dengan hati mereka. Bukanlah buahan dan makanan itu sahaja yang ada. Allah ﷻ sebut perkara yang biasa dikenali kepada penerima pertama wahyu ini supaya mereka dapat mengaitkan dengan diri mereka.

Ayat 30:

وَحَدائِقَ غُلبًا
Dan kebun-kebun (yang) lebat,

Dan Allah ﷻ jadikan taman-taman yang hijau subur, yang lebat. حَدائِقَ adalah taman yang dijaga yang di dalamnya adalah kehidupan menghijau yang lebat. Ini adalah sesuatu yang amat menarik perhatian orang Arab kerana secara umumnya, mereka tidak mempunyai banyak tempat sebegitu, kerana mereka hidup di padang pasir yang gersang.

Ayat 31:

وَفاكِهَةً وَأَبًّا
Dan buah-buahan serta rumput-rumputan,

Ini termasuk segala jenis buahan yang sedap-sedap dan rumput rumputan untuk binatang. Sebelum ini Allah ﷻ sebut untuk manusia sahaja dan sekarang, أَبًّا adalah rumput untuk makanan binatang sahaja. Memang makanan binatang, tapi akhirnya binatang itu pun kita makan, bukan? Maka ia untuk kita juga sebenarnya.

Allah ﷻ sebutkan makanan manusia dengan banyak kerana hendak cerita semua makanan itu untuk manusia. Dan makanan untuk binatang juga, sedang binatang itu untuk kegunaan kita pula – kita makan binatang itu dan kita gunakan untuk kemudahan kita.

Asal lafaz فاكِهَةً adalah ‘gembira’. Digunakan untuk buah-buahan kerana kalau manusia makan buah-buahan, mereka akan jadi gembira.

Ibnu Abbas mengatakan bahawa fakihah adalah buah yang dimakan dalam keadaan segar, sedangkan al-abb ertinya tumbuhan yang hanya dimakan oleh binatang ternak dan tidak dimakan oleh manusia. Menurut riwayat lain yang bersumber darinya, disebutkan ianya adalah rumput untuk haiwan ternak.

Ayat 32: 

Kesimpulan untuk segala makanan yang telah disebut sebelum ini, selepas Allah ﷻ suruh kita tengok dan renung kepada segala makanan itu.

مَتاعًا لَكُم وَلِأَنعامِكُم
Untuk kesenanganmu dan untuk binatang-binatang ternakmu.

Semua makanan itu sebagai faedah untuk manusia dan ternakan kita. Allah ﷻ sebut manusia dulu لَكُم sebab manusia lebih penting dari binatang. Malah, binatang-binatang itu pun dijadikan untuk kegunaan kita.

Allah ﷻ sebut tentang makanan dan jasaNya untuk mengajak manusia kembali kepada agama yang benar. Allah ﷻ menceritakan jasaNya kepada manusia supaya manusia ingat siapakah yang telah memberi segala itu kepada mereka. Kalau orang buat kebaikan untuk kita, tentulah kita akan sayang kepada dia, ikut cakap dia, bukan?

Bagaimana pula kalau semua yang kita ada dari Allah ﷻ? Tentulah segala apa yang Allah ﷻ suruh kita buat, kita kena taat, bukan? Dalam istilah psikologi, ini dipanggil positive reinforcement. Maknanya, tengoklah apa jasa yang Allah ﷻ telah berikan kita, kenanglah jasa Allah ﷻ. Ini sepatutnya membawa manusia kepada Islam. Kena taat kepada suruhan Allah ﷻ kerana telah banyak nikmat Dia yang kita makan dan pakai.

Ayat 33: 

Ayat 33 – 37 adalah Perenggan Makro Keenam dan ia mengandungi gambaran Hari Kiamat.

Ayat 37 ini adalah ayat takhwif ukhrawi. Sekarang sudah diberi ancaman kalau tidak mahu terima juga positive reinforcement yang telah disebutkan sebelum ini. Kalau dengan manusia, untuk kita beri nasihat, kita suruh dia ingat balik jasa kita kepadanya. Tetapi kalau dia masih berdegil, mulalah kita beri ancaman kepadanya, bukan?

فَإِذا جاءَتِ الصّاخَّةُ
Dan apabila datang suara yang memekakkan,

Ini adalah apabila datang jeritan yang amat kuat. الصّاخَّةُ adalah jeritan yang amat kuat. Kaum musyrik mendengar pesanan dan dakwah Nabi ﷺ tetapi mereka tidak mahu mendengar. Mereka tidak endahkan apa yang baginda sampaikan. Mereka pekakkan sahaja telinga dan pendengaran mereka. Tetapi mereka takkan dapat melawan apabila pekikan yang kuat itu akan datang nanti.

Dan Allah ﷻ telah pernah kenakan azab pekikan kepada umat sebelum umat Nabi Muhammad ﷺ. Kerana degil sangat nak dengar nasihat dari para Rasul mereka, maka Allah ﷻ beri azab. الصّاخَّةُ adalah jeritan yang sangat kuat sampaikan kalau dengar, boleh terus jadi pekak. Allah ﷻ hendak beritahu mereka: Sekarang kamu boleh tutup telinga kamu dari dengar nasihat, tetapi lihatlah nanti apa yang akan kena kepada kamu.

Azab الصّاخَّةُ itu akan datang pada Hari Kiamat nanti. Hari yang semua makhluk akan dimatikan. Hari yang menentukan permulaan Hari Kiamat. Kemudian Allah ﷻ sebutkan apa yang akan terjadi pada hari itu dalam ayat seterusnya.

Ayat 34:

يَومَ يَفِرُّ المَرءُ مِن أَخيهِ
Pada hari ketika manusia lari dari saudaranya,

Pada hari itu, manusia akan lari dari saudaranya kerana tidak mahu menolong saudaranya itu. Mereka juga takut mereka dipertanggungjawabkan oleh saudara mara mereka itu. Kerana dulu pun mereka pernah kejam terhadap mereka, atau tidak menjalankan tanggungjawab kepada mereka.

Kalimah المَرءُ yang digunakan dalam ayat ini dan bukan الرجل yang juga terjemahan kasarnya adalah lelaki juga. Ini adalah kerana المَرءُ selalunya bermaksud orang yang tidak mementingkan diri sendiri, seorang yang sanggup korbankan dirinya untuk tolong orang. Akan tetapi, Allah ﷻ hendak beritahu, orang yang macam ini pun akan lari dari saudaranya.

Lafaz يَفِرُّ bermaksud lari dari sesuatu yang menakutkan. Sampai begitu sekali mereka lari dari saudara mara mereka. Padahal, sepatutnya dengan saudara mara kitalah kita akan rapat bukan? Kalau di dunia merekalah yang kita selalu bersama, bukan?

Selalunya, kalau kita ada masalah dan hendak cari perlindungan, kita akan cari saudara kita, bukan? Akan tetapi kali ini, mereka lari dari saudaranya sendiri. Keadaan sudah jadi terbalik pula. Kenapa? Sebab ada hak hak saudaranya yang tidak dia penuhi. Oleh kerana saudara kita itu rapat dengan kita, tentu kita banyak berurusan dengan mereka.

Akan tetapi, kadang-kadang dengan saudara mara kitalah yang kita ada masalah, berkelahi, bertegang urat, tidak bertegur sapa lagi dan macam-macam masalah lagi; sedangkan, dengan orang lain baik-baik sahaja. Sampaikan kadang-kadang manusia tidak memenuhi hak-hak saudara mereka pun ada.

Oleh itu, di akhirat nanti, apabila dia nampak saudara mara dia, dia akan lari. Mereka lari sebelum mereka mengadu yang ada hak mereka yang tidak memenuhinya semasa di dunia. Dan waktu di akhirat nanti, semua akan kisah, tidak boleh hendak beri peluang langsung, walaupun dengan saudara mara. Jadi bila dia nampak saudara dia, dia teringat yang dia tidak penuhi hak saudaranya itu.

Jadi dia takut saudaranya itu akan tuntut hak dari dia, maka dia akan lari awal-awal lagi. Bila nampak sahaja, dia akan teringat segala kesalahan yang dia telah lakukan kepada saudaranya itu, maka dia akan lari. Begitulah yang akan terjadi kalau kita tidak jaga hubungan baik dengan saudara mara kita semasa di dunia.

Ayat 35: 

Selepas saudara mara kita, siapa lagi yang kita lebih rapat?

وَأُمِّهِ وَأَبيهِ
Dari ibu dan bapanya,

Bukan sahaja dia akan lari dari saudara maranya sahaja, tetapi dengan emak dan ayahnya pun dia akan lari. Sedangkan siapa ibubapa kita? Merekalah yang telah melahirkan kita, menjaga dan membesarkan kita. Kita paling rapat dengan mereka. Sepatutnya dengan merekalah kita berbakti.

Tetapi sebaliknya, manusia akan lari dari ibubapa mereka kerana emak dan ayah akan menuntut segala pemberian mereka semasa di dunia dahulu. Manusia akan tahu yang ibubapa mereka akan minta pahala dari anaknya itu. Mereka akan ungkit segala jasa mereka. Jadi anak itu akan awal-awal lari daripada ibubapanya.

Mungkin ada yang akan bertanya: “takkan emak dan ayah akan buat perkara macam itu. Bukankah segala apa yang mereka lakukan semasa di dunia dahulu, mereka ikhlas?” Jangan sangka begitu, kerana di akhirat nanti keadaan akan jadi berlainan sangat.

Waktu itu “nafsi-nafsi” – ingat hanya untuk diri sendiri sahaja. Sudah tidak kisah tentang orang lain lagi, yang penting dan fokus mereka adalah untuk menyelamatkan diri sendiri – tidak kira sama ada mereka terpaksa menyusahkan atau menjatuhkan anak sendiri atau ibubapa sendiri.

Ayat 36: 

Siapa lagi yang lebih rapat daripada ibubapa? Tentulah keluarga sendiri, iaitu anak isteri sendiri.

وَصاحِبَتِهِ وَبَنيهِ
Dari isteri dan anak-anaknya.

Dan mereka sanggup lari jauh dari isteri dan anak-anaknya. Padahal, mereka itulah yang paling rapat dengan kita. Dahulu berkongsi hidup dengan mereka. Bayangkan hidup bertahun-tahun dengan isteri, mungkin tidak pernah berenggang walau sehari. Kemudian setelah sekejap sahaja berdua, dikurniakan anak dan anak itulah penghubung kasih sayang, buah hati pengarang jantung semasa di dunia dahulu. Kita sanggup lakukan apa sahaja untuk anak kita, bukan?

Tetapi, seseorang itu akan lari dari isterinya dan lagi teruk, dengan anak yang sepatutnya dia lindungi. Sedangkan, siapa yang paling seseorang itu sayang, kalau bukan anaknya? Kalau di dunia dahulu, bila dia pandang anak dia pun dia rasa segala penat masa balik kerja hilang. Jikalau tidak jumpa sehari suntuk anaknya itu pun dia sudah rindu.

Tetapi di akhirat nanti, dia nampak sahaja anaknya itu, dia akan lari kerana takut. Alangkah lain dengan apa yang kita sangka. Jadi ini adalah perkara serius. Bukan sahaja suami akan lari dari isteri, isteri pun akan lari dari suami. Bukan ayah akan lari dari anaknya, ibu pun akan lari dan anak pun akan lari dari mereka.

Kenapa mereka lari? Kerana mereka teringat yang mereka dahulu ada buat salah dengan ahli mereka itu, sama ada pada emak, pada anak, pada pasangan hidup masing-masing. Mereka takut kena tuntut di akhirat kelak. Kerana mereka yang dizalimi boleh menuntut hak-hak mereka. Jadi dia tidak sanggup hendak serahkan apa-apa untuk mereka.

Kerana waktu itu, hak-hak itu tidak boleh dipenuhi dengan wang ringgit lagi. Mereka kena bayar dengan pahala. Dan kalau pahala mereka habis diberi kepada orang lain, mereka kena ambil dosa orang itu pula untuk ditanggung. Itu sebab pentingnya untuk kita penuhkan hak orang-orang yang dekat dengan kita semasa di dunia. Supaya kita tidak mengalami keadaan begini.

Jadi Allah ﷻ hendak beritahu kita, pada hari itu, kita semua akan memikirkan tentang hal diri sendiri sahaja. Dalam surah sebelum ini, telah diberitahu kepada kita yang di akhirat nanti, semua orang akan ingat balik segala apa yang dia telah lakukan semasa di dunia – semua, setiap satu dan tidak ada tertinggal. Kalau di dunia, macam-macam kita lupa, tetapi ingatan kita akan jadi sempurna di akhirat kelak.

Dan oleh kerana dia sudah ingat semuanya, maka dia sudah tidak tentu arah sebab dia telah ingat segala kesalahan yang dia telah buat. Dan waktu itu dia tidak mahu fikirkan bagaimana dia hendak balas balik kesalahannya kepada orang lain. Dia juga tidak mahu tolong walau sesiapa pun kerana dia sendiri ada masalah dia sendiri. Tidak kira siapa pun, walaupun pada orang yang sangat dekat dengan dirinya.

Balaghah: Terdapat keindahan susunan dalam ayat-ayat ini. Kita boleh lihat bahawa susunan yang digunakan adalah susunan yang mendekat. Disebut mereka yang jauh dahulu dengan kita (saudara mara) dan akhirnya diakhiri dengan insan yang paling dekat dengan kita (anak).

Bandingkan dengan susunan dalam Maarij:11-14. Dalam Surah Maarij itu, susunan yang digunakan adalah susunan menaik: dimulai dengan anak kita sehingga kepada seluruh manusia. Kenapa ada perbezaan dalam susunan itu?

Inilah keindahan susunan dalam Al-Qur’an. Dalam Surah Maarij itu, ianya berkenaan dengan tindakan hendak menebus seseorang untuk menyelamatkan diri. Kalau kita hendak menebus, tentulah kita mulakan dengan apa yang rapat dengan kita, kerana seolah-olah kita memilikinya. Iaitu anak kita sendiri. Tetapi dalam Surah Abasa ini, ianya berkenaan menjauhkan diri dari seseorang.

Kalau kita terpaksa menjauhkan diri dari seseorang, tentulah kita akan memulakan dengan orang jauh dari kita dahulu. Sebagai contoh, kalau kita kena berpindah dan kita tidak sanggup untuk berpisah dengan ahli keluarga kita, bukan? Tetapi kalau terpaksa juga, kita susun supaya yang kita jauhi terlebih dahulu adalah saudara kita yang paling jauh.

Ayat 37:

Kenapa kita tidak sempat dan tidak sanggup hendak memikirkan tentang hal orang lain?

لِكُلِّ امرِئٍ مِنهُم يَومَئِذٍ شَأنٌ يُغنيهِ
Setiap orang dari mereka pada hari itu mempunyai urusan yang cukup menyibukkannya.

Pada hari itu semua orang akan sibuk dengan hal masing-masing. Memikirkan tentang perbuatan mereka di dunia, menyesali segala perbuatan mereka, takut apa yang akan jadi kepada mereka, selamat atau tidak? Oleh kerana itu, setiap manusia tidak sempat hendak fikirkan pasal orang lain.

Lafaz امرِئٍ adalah dari lafaz المَرءُ dan seperti yang kita telah sebut sebelum ini, المَرءُ adalah orang yang mementingkan orang lain. Akan tetapi orang macam itu pun akan sibuk dengan diri dia sahaja. Kerana keadaan di akhirat yang begitu membimbangkan mereka.

Kalimah شَأنٌ bermaksud perkara yang penting, tugas yang penting. Oleh itu, mereka amat sibuk dengan perkara yang amat penting yang melibatkan diri mereka. Antaranya mereka sibuk memikirkan apa yang mereka telah buat dan bagaimana hendak menyelamatkan diri mereka.

Kalimah يُغنيهِ pula bermaksud mereka sibuk sangat sampai tidak ingat benda lain. Waktu itu, benda lain jadi tidak penting kerana dia sedang memikirkan satu perkara yang amat menekan kepada fikirannya. Macam kita tengah sibuk buat kerja yang amat penting, dan anak kita datang tunjuk gambar yang dia lukis. Kita waktu itu, tengok acuh tidak acuh sahaja kerana kita sedang siapkan kerja kita yang perlu dihantar segera.

Begitulah lebih kurang perasaan mereka di akhirat nanti. Tidak sempat hendak tengok orang lain, hendak cari kawan lama untuk borak-borak, hendak cari ahli keluarga untuk periksa sama ada mereka selamat atau tidak.

قَالَ ابْنُ أَبِي حَاتِمٍ: حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ عَمَّارِ بْنِ الْحَارِثِ، حَدَّثَنَا الْوَلِيدُ بْنُ صَالِحٍ، حَدَّثَنَا ثَابِتٌ أَبُو زَيْدٍ الْعَبَّادَانِيُّ، عَنْ هِلَالِ بْنِ خَبَّاب، عَنْ سَعِيدِ بْنِ جُبَيْرٍ، عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: ” تُحْشَرُونَ حُفَاةً عُرَاةً مُشَاةً غُرلا ” قَالَ: فَقَالَتْ زوجته: يا رسول الله، أوَ يرى بَعْضُنَا عَوْرَةَ بَعْضٍ؟ قَالَ: ” (لِكُلِّ امْرِئٍ مِنْهُمْ يَوْمَئِذٍ شَأْنٌ يُغْنِيهِ) أَوْ قَالَ: “مَا أَشْغَلَهُ عَنِ النَّظَرِ”.

Ibnu Abu Hatim mengatakan, telah menceritakan kepada kami Muhammad ibnu Ammar ibnul Haris Al-Walid ibnu Saleh. telah menceritakan kepada kami Sabit alias Abu Zaid Al-Ubadani, dari Hilal ibnu Khabbab, dari Sa’id ibnu Jubair, dari Ibnu Abbas yang mengatakan bahawa Rasulullah ﷺ pernah bersabda: Kelak kalian akan dihimpunkan (di hari kiamat) dalam keadaan tidak beralas kaki, telanjang, jalan kaki lagi dalam keadaan tidak bersunat (berkhitan). Maka salah seorang isteri baginda ada yang bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah kita dapat melihat (yang lain), atau sebahagian dari kita dapat melihat aurat sebahagian yang lainnya?” Maka baginda menjawab: Tiap-tiap orang dari mereka di hari itu disibukkan dengan urusannya sendiri —atau— sibuk dengan urusannya sendiri hingga tidak sempat memandang (orang lain).

Imam Nasai telah meriwayatkan hadis ini secara tunggal dengan sanad yang sama, dari Abu Daud, dari Arim, dari Sabit ibnu Yazid alias Ibnu Zaid Al-Ahwal Al-Basri salah seorang siqah, dari Hilal ibnu Khabab, dari Sa’id ibnu Jubair, dari Ibnu Abbas dengan lafaz yang sama.

Nantikan sambungan ayat 38-42 (Dua golongan sahaja)
Kembali ke ayat 1-37 dengan klik Di sini

Sumber : Celik tafsir

No comments:

Post a Comment