Saturday, November 5, 2011

TELADAN YANG MULIA...

Pada suatu hari Rasulullah s.a.w. pergi dalam satu perjalanan jauh bersama para sahabatnya. Di tengah perjalanan, mereka beristirehat dulu dan mendirikan khemah di padang pasir. Kebetulan mereka membawa seekor kambing. Maka salah seorang sahabat berkata, "Aku akan sembelih kambing ini." Sedang yang lain berkata pula, "Aku akan mengulitinya," dan sahabat yang lain berkata, "Aku yang akan memasaknya nanti" Lalu Rasulullah berkata, "Dan aku yang akan mencari kayu bakarnya.

Para sahabat terperanjat dengan ucapan baginda. Mereka segera berkata, "Tidak usah ya Rasulullah, biar kami saja yang melakukan semuanya. Baginda beristirehat saja sampai masakan ini selesai.

Rasulullah s.a.w. kemudian bersabda kepada mereka semua, "Demi Allah, aku tidak akan tinggal diam sementara kamu semua bekerja. Allah membenci hamba-Nya yang mengistimewakan dirinya dari saudara-saudaranya ."

Setelah mengucapkannya, baginda pergi mencari dan memikul sendiri kayu bakar yang di carinya.

KELUHURAN BUDI...

Diriwayatkan, seorang lelaki bangsa Arab bernama Tsamamah bin Itsal dari Kabilah Al Yamamah, pergi ke Madinah Al Munawarah dengan tujuan hendak membunuh Nabi s.a.w. Dengan tekad bulat dan semangat kuat ia pergi ke majlis Rasulullah s.a.w.

Umar Al Khatab sudah mencium maksud jahat kedatangan orang itu. Maka dia pergi menghampirinya dan langsung bertanya, "Apa tujuan kedatanganmu ke Madinah? Bukankah engkau seorang musyrik?"

Orang itu dengan terang-terangan berkata, "Aku datang ke negeri ini hanya untuk membunuh Muhammad!" Mendengar perkataan keji itu, Umar dengan cepat dan tangkas langsung mencabut pedangnya dan kemudian orang itu diikatnya di salah satu tiang masjid.

Umar Al Khatab segera pergi melapurkan kejadian itu kepada Rasulullah s.a.w. Namun Rasulullah s.a.w. yang diutus sebagai rahmat bagi semesta alam tidak bersetuju dengan perbuatan sahabatnya itu.

Rasulullah s.a.w. segera keluar dari rumahnya untuk menemui orang yang hendak membunuhnya. Sebaik tiba ditempat majlis, Rasulullah s.a.w. mengamati wajah orang yang hendak membunuhnya itu, sementara Umar sudah tidak sabar menunggu perintah dari Nabi untuk memenggal leher sidurjana itu.

Sesudah mengamati wajahnya dengan cermat, Rasulullah lalu menoleh kepada para sahabatnya dan bertanya, "Apakah ada diantara kamu yang sudah memberinya makan?"

Umar terdiam sejenak mendengar pertanyaan Nabi. Dia yang sejak tadi menunggu perintah untuk membunuhnya malah ditanya pula tentang pemberian makan kepada orang itu. Umar seakan tidak percaya dengan apa yang didengarnya. maka diapun bertanya, "Makanan apa yang baginda maksudkan ya Rasulullah?"

"Makanan apa yang dia makan? Orang ini datang kesini sebagai pembunuh, bukan datang ingin masuk Islam!" Namun Rasulullah saw tidak menghiraukan ucapan Umar, bahkan baginda memerintahkan, "Tolong ambilkan segelas susu dari rumahku dan buka tali pengikat orang ini!"

Umar Al Khatab bukan main marahnya dengan si musyrik itu. Sesudah ia diberi munum, Rasulullah memerintahkan dengan sopan kepadanya, "Ucapkanlah Tiada Tuhan Selain Allah" Si musyrik menjawab "Aku tidak akan mengucapkannya." Rasulullah berkata lagi, "Katakanlah: Aku bersaksi tiada Tuhan selain Allah dan aku bersaksi Muhammad adalah Rasul Allah."

Namun orang itu tetap berkata dengan nada keras, "Aku tidak akan mengatakannya!"

Rasulullah s.a.w. kemudian memutuskan untuk membebaskan orang itu dan orang musyrik itupun bangkit dan pergi seolah-olah hendak kembali ke negerinya.

Tetapi belum berapa jauh dia melangkah dari masjid, dia kembali lagi kepada Rasulullah s.a.w. seraya berkata , "Ya Rasulullah, aku bersaksi Tiada Tuhan Selain Allah dan Muhammad adalah Rasul Allah."

Rasulullah bertanya kepadanya, "Kenapa engkau tidak mengucapkannya ketika aku memerintahkan kepadamu?"

Orang itu menjawab, "Aku tidak mahu mengucapkannya ketika masih belum kau bebaskan kerana aku bimbang ada orang yang akan menganggap aku masuk Islam kerana takut kepadamu. Akan tetapi, setelah aku dibebaskan, aku masuk Islam semata-mata kerana mengharap keredhaan Allah Robbul Alamain."

Pada satu kesempatan yang lain, Tsamamah bin Itsal berkata, ketika aku memasuki kota Madinah, tidak ada seorang pun yang paling aku benci lebih dari Muhammad. Tetapi sesudah aku meninggalkan kota ini, tidak ada seorang pun di muka bumi ini yang lebih ku cintai selain Muhammad Rasulullah.

Friday, November 4, 2011

MEMBANTING TULANG DEMI ADIK...


Nganjuk - Seorang budak lelaki berusia 13 tahun di Kampung Bukur, Jawa Timur, terpaksa menyabung nyawa setiap hari dengan bekerja sebagai pencari pasir semata-mata mahu menyara dua adiknya yang masih kecil.

Riswan Nur Rokim atau dikenali sebagai Okim, kematian kedua-dua ibu bapanya akibat sakit ketika dia berusia 11 tahun dan sejak itu dia mengambil tanggungjawab untuk memenuhi keperluan adik-adinya, Sugeng 11 tahun dan Yuliana, 5 tahun.

Okim terpaksa bergadai nyawa dengan berendam di dalam air Sungai Widas yang sejuk serta menyelam ke dasar sungai sedalam 10 meter untuk mencari pasir sebelum di bawa naik menggunakan bekas khas.

Menurutnya, selepas kehilangan ibu bapanya, dia dan adik-adiknya dijaga oleh neneknya yang kini telah uzur sekaligus menyebabkannya melakukan pekerjaan yang merbahaya itu.

Malah, demi masa depan adik-adiknya, Okim sanggup berhenti belajar supaya dapat bekerja untuk menanggung kos persekolahan Sugeng.

Katanya, walaupun sibuk bekerja, dia perlu menjemput pulang adiknya Yuliana yang belajar di sekolah tadika.

"Pendapatan mencari pasir tidak banyak. Kadang-kala saya hanya memperolehi RM17.60 selepas dua hari bekerja," katanya.

Bagaimanapun, dia tetap gembira dan bangga kerana dapat menanggung kos persekolahan adik-adiknya. - AGENSI

TERTIDUR KETIKA MENCURI...


BANDUNG - Niat seorang remaja berusia 19 tahun mencuri barang berharga di sebuah rumah tidak berhasil gara-gara tertidur akibat kesan ubat bius yang di makannya sebelum memecah masuk rumah tersebut.

Menurut pengakuan remaja yang hanya di kenali sebagai AR, dia terpaksa melakukan jenayah itu untuk membantu kedua ibu bapanya yang dihimpit masalah hutang berjumlah Rp600,000 (RM210).

Malah katanya sebelum memecah masuk rumah terbabit, dia menelan 20 biji ubat bius dengan tujuan menambah keberanian untuk melakukan kegiatan jenayah itu.

"Saya meloncat pagar rumah dengan mudah sebelum memecah masuk," katanya

Sewaktu kejadian, kesemua penghuni rumah tersebut keluar bekerja dan hanya orang gaji sahaja yang tinggal.

Katanya, dia hanya dapat mengambil satu set permainan video, Playstation (PS2) dari sebuah bilik di rumah itu, namun kesan ubat yang dimakannya menyebabkan tahap kesedarannya terganggu. "Saya berasa sangat pening dan tertidur selama sejam," katanya.

Sebaik sahaja terjaga daripada tidur, dia terkejut melihat ramai anggota polis dan penduduk setempat berada di dalam rumah tersebut untuk menangkapnya selepas mereka di maklumkan oleh pembantu rumah terbabit yang menyedari hal berkenaan.

"Saya cuba bersembunyi di dalam almari baju, namun ia tidak berhasil," katanya.

Dia kemudiannya ditangkap dan dibawa kebalai polis Lengkong untuk ditahan dan disoal siasat. - AGENSI

Thursday, November 3, 2011

SIRI KISAH RASULULLAH S.A.W.

Diriwayatkan oleh Al-Hafizh Al-Baihaqi dari Khabib b. Yasaf. Katanya, "Aku dan seorang dari kaumku datang menemui Rasulullah s.a.w. Lalu kami berkata kepada baginda, Ya Rasulullah, kami ingin berperang bersama engkau. Rasulullah bertanya, "Apakah kamu sudah Islam?" Kami menjawab, "belum." Rasulullah kemudian berkata "Kami tidak meminta bantuan orang musyrik dalam memerangi kaum musyrikin, Lalu kami pun masuk Islam dan berperang bersama baginda dalam sebuah peperangan. Tiba-tiba aku terkena pukulan yang keras pada pundakku sehingga salah satu tanganku terkulai dari persendiannya. Aku datang menemui Rasulullah, lalu baginda meludahinya dan menyambung kembali tanganku yang terkulai itu sehingga aku dapat membunuh orang telah memukulku.

...................................................................................................................................

Pada suatu hari seorang sahabat yang mulia, Abdul Rahman b. Auf ra. melihat Rasulullah bersujud lama sekali di tengah-tengah kebun kurma. lalu Abdul Rahman b. Auf berdiri menantikannya sampai Rasulullah mengangkat kepala dari sujudnya, dan kemudian dia berkata, "Ya Rasulullah, engkau bersujud lama sekali sehingga aku mengira Allah Taala telah mencabut rohmu. Mengapa engkau melakukan hal yang demikian.?"

Rasulullah s.a.w. menjawab, " Ya sahabatku, Jibril telah datang kepadaku, lalu berkata, "Allah Assalam mengucapkan salam kepadamu dan meyatakan juga siapa yang berselawat kepadamu, Aku akan berselawat kepadanya." Lalu aku bersujud atas syukurku kepada Allah."

Sunday, October 30, 2011

DETIK-DETIK AKHIR PEMERGIAN IBUKU BHG. AKHIR...

24 oktober, 2011 (Isnin). Jam 7.59 am, aku tiba di office yang terletak di Wangsa Maju untuk menjalankan tugas sepertimana biasa.

Dalam hati, timbul juga perasaan sedih bila mengenangkan emak yang sedang sakit di hospital, harap-harap adalah sesiapa yang menunggunya sepanjang hari dan dapat pula membacakan ayat-ayat suci Al-Quran atau mengajarnya mengucap. Tapi aku yakin, adik beradik aku semuanya boleh membaca Al-Quran dengan baik kerana semasa kecil, arwah ayah telah menghantar kami kepada ustaz untuk mengaji Al-Quran.

Aku terus menelefon kakakku Fatimah untuk mengetahui akan perkembangan selanjutnya tentang kesihatan emak dan bertanya siapa yang menunggu dia sekarang ini. Fatimah memaklumkan bahawa Romina yang sedang menunggu. Menurut Fatimah lagi bahawa abang kami yang nombor dua dalam keluarga iaitu Zakaria yang sekarang ini menetap di Skudai, Johor telah tiba bersama isteri, anak-anak serta menantunya kira-kira jam 8 pagi tadi dengan menaiki dua buah kereta.

Kesemua mereka tidak terus menziarahi emak di hospital kerana merasakan bahawa mereka tentu tidak dibenarkan masuk kerana masa melawat belum tiba lagi iatu kira-kira pukul 12 tengahari nanti. Sementara menanti waktu tersebut, kakakku Fatimah telah memasak makanan tengahari untuk mereka semua dan selepas itu mereka semua bercadang untuk menziarahi emak pada pukul 4 petang sahaja nanti kerana waktu melawat pada pukul 12 hingga pukul 2 petang terlalu singkat.

Kita hanya merancang tapi Allah yang menentukan segala-galanya. Kira-kira jam 12.40 tengahari, aku mendapat panggilan telefon dari kakakku Fatimah yang memaklumkan bahawa emak telahpun menghembuskan nafasnya yang terakhir dan kembali menghadap Tuhannya kira-kira jam 12.19 tengahari tadi. Ini bermakna abangku Zakaria serta keluarganya tidak sempat berjumpa emak semasa hayatnya masih ada.

Aku terus menghubungi abangku Omar dan adikku Rahim untuk memaklumkan akan berita yang baru diterima. Aku juga menghubungi isteriku yang sedang bertugas di Bank Pembangunan Malaysia Berhad yang terletak di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur supaya bersiap-siap untuk pulang segera ke kampung. Aku juga memaklumkan kepada semua rakan-rakan yang ada di pejabat ketika itu dan menulis sekeping nota kepada sahabatku Olhusni untuk dibuat pengumuman melalui pembesar suara yang menjadi amalan syarikat selama ini.

Abangku Shamsuddin (Din) yang kini berada di rumah anaknya di Shah Alam dan menunggu masa untuk berangkat ke Kompleks Jemaah Haji di Kelana Jaya pada 6 pagi esok juga menelefon aku memaklumkan bahawa ia akan pulang sebentar untuk menziarahi emak untuk kali yang terakhir sehingga selesai dikebumikan dan selepas itu, ia akan berangkat semula ke Shah Alam.

Tepat pukul 2 petang, kami semua bertolak pulang dan perlu sampai segera kerana jenazah emak akan dikebumikan selepas sembahyang Asar petang ini juga. Didalam perjalanan aku tidak putus-putus menerima ucapan takziah dari kawan-kawan melalui SMS. Dengan ucapan itu, tahulah aku bahawa pengumuman akan kembalinya ibuku kerahmatullah telah dibuat. Sepanjang perjalanan juga adikku Shamsiah memaklumkan bahawa, tukang mandi, kain kapan, keranda serta kereta jenazah telah disediakan, begitu juga kubur yang telahpun digali.

Perjalanan kami diiringi hujan lebat, aku tidak dapat memandu dengan lancar serta perlu berhati-hati. Ini membuatkan aku merasa tidak mungkin akan tiba cepat. Aku menelefon Shamsiah supaya menunggu ketibaan kami dan dia memberi tempoh sehingga pukul 5.45 petang kerana jenazah akan dibawa ke masjid untuk disembahyangkan dan seterusnya dikebumikan di tanah perkuburan berhampiran masjid tersebut.

Alhamdulillah, setelah menempuh perjalanan yang jauh, kami pun tiba di kampung jam 5.30 petang. Saudara mara, jiran-jiran serta seluruh kenalan telahpun memenuhi diluar rumah serta ruang tamu. Aku adalah orang yang terakhir tiba kerana aku dapati semua adik beradikku telahpun ada.

Tanpa membuang masa, kami terus menuju ke dalam rumah dan mendapati jenazah emak sedang dimandikan. Aku terus menuju ke jenazah emak dan mengucup dahinya. Selepas itu aku berwuduk dan terus menunaikan solat asar. Setelah itu aku mencapai surah Yassin yang ada di dalam bilik dan mula membacanya di tepi dinding berhampiran jenazah yang sedang dimandikan.

Setelah urusan mandi selesai, kami beramai-ramai mengangkat jenazah emak keruang tamu untuk di sempurnakan. Peluang diberi kepada semua anak-anak, menantu serta cucu-cucunya untuk menatap wajah emak buat kali terakhir. Jenazah telah dimasukkan kedalam keranda dan kami mengusungnya keluar, sebelum di masukkan kedalam kereta jenazah, abangku Omar telah diberi tanggungjawab untuk menyampaikan sedikit ucapan kepada semua yang hadir bagi mengucapkan terimakasih, memohon maaf dan meminta jika emak ada berhutang dengan sesiapa yang belum diselesaikan harap datang berjumpa keluarga untuk diselesaikan.

Cadangan untuk menguburkan emak selepas Asar tidak kesampaian kerana jenazah hanya siap disempurna dan dimasukkan kedalam kereta jenazah pada jam 6.45 petang dan tiba di Masjid Simpang, jam 6.55 iaitu kira-kira 5 minit azan maghrib akan dikumandangkan.

Sebaik-baik jenazah tiba di masjid, hujan pula telah turun dengan lebatnya sehinggalah sembahyang maghrib dan solat jenazah selesai. Solat jenazah telah di imamkan oleh cucu emak iaitu Hisham (anak abangku Shamsuddin yang nak pi Mekah tu..) yang menuntut di UIA Kuantan. Hujan yang turun dengan lebatnya tiba-tiba berhenti sebaik-baik jenazah dibawa keluar dari masjid untuk dibawa ketanah perkuburan.

Semua Urusan selesai pada jam 8.30 malam dan Abangku Din dengan anak-anaknya terus bergegas pulang ke Shah Alam untuk ke Mekah pagi esoknya sementara kami yang tinggal terus menuju kerumah emak dan ada yang terus kesurau kerana majlis tahlil akan dibuat oleh jemaah surau pada malam itu juga.

Emak yang berusia 85 tahun telah meninggalkan 15 orang anak, 15 orang menantu, 68 orang cucu yang masih hidup (seorang anak dan 4 cucunya telah meninggal dunia semasa kecil) dan 30 orang cicit.

Begitu lah berakhirnya hidup seorang ibu yang telah dipisahkan dari anak-anaknya , Jasanya kepada kami amatlah besar dan tidak dapat dibalas. Kami akan sentiasa merindui mu ibu dan kami juga sudah lama merindui ayah yang telah lama pergi mendahului ibu kira-kira 12 tahun yang lalu. Tiada apa yang perlu disesalkan lagi dan buktikanlah kasih sayang kita kepada keduanya dengan menjadi anak-anak yang soleh yang sentiasa mendoakan kesejahteraan mereka.

Pertautkanlah kembali ikatan dan kasih sayang sesama kita anak-anaknya semoga arwah ibu dan ayah tenang dipersemadiannya.

Akhirnya aku ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada rakanku En. Zainal Abidin Sabli yang telah menyediakan sebuah kereta syarikat yang berada dibawah seliaannya untuk membawa kawan-kawan setugasku dari Kuala Lumpur iaitu En. Rafia Olhusni, Che Hashim, Cik Sai'dah, Cik Nurul dan Muhammad Hisham datang menziarahi jenazah ibuku dimana mereka sanggup menunggu sehingga jenazah selesai disempurnakan.

Ucapan terimakasih juga aku tujukan kepada rakan-rakan yang telah mengirimkan ucapan takziah, dan yang menyumbang wang ringgit kepada keluarga kami. Budi baik semua akan dikenang sehingga keakhir hayat.

Gambar-Gambar Kenangan
bersama emak yang sukar dilupakan...

Kubur ibuku yang dikebumikan pada 24/10/2011 jam 7.30 pm
ditanah perkuburan Islam, Kg. Simpang, Taiping, Perak

Kubur emak dan ayah

Gambar emak dirakam diatas buaian kesayangannya
ketika aku pulang pada 11/7/2011

Ibuku Habsah bt. Man, berusia 85 tahun
(1926-2011).

Emak menghadiri khenduri perkahwinan
Sharifah Hanum di Kpg. Gajah, Perak

Meminta ampun di pagi Syawal 1429H

Salina juga meminta ampun dengan ibu mertuanya

Amri dan emak di pagi Syawal 1429H

Rahim memohon ampun di pagi Syawal 1429H

Fatimah dan emak

Emak bergambar dengan isteri Hazizi Ismail (tengah)
(rakan sepejabatku) dan Salina di Hari Raya 1429 H.

Alia bergambar dengan opahnya di Lumut, Perak

Rakan setugasku Sa'idah bergambar dengan emak
semasa kami singgah selepas menghadiri perkahwinan
En. Zaiful yang juga rakan setugasku di Semanggol, Perak.
Gambar di rakam pada 24/9/2011 iaitu kira-kira
sebulan sebelum emak meninggal dunia pada 24/10/2011

Liyana juga rakan setugas bersama emak dan Sa'idah


Emak bergambar bersama ibu mertua Suria cucunya

Gambar emak semasa kami mengadakan khenduri arwah pada 2009

Emak bergambar bersama Romina, Jamaliah,
Noraini (cucu), Sharif (cicit) dan suami Noraini

Emak bergambar bersama pengantin iaitu cucunya Noraini
semasa perkahwinan mereka di Manjung, Perak


Carta ini adalah carta keluarga yang aku buat pada tahun 2000 dulu.
Sehingga kini ia masih tidak diupdate. Tahun yang tertera
didalam setiap kotak adalah tahun anak-anak emak
melangsungkan perkahwinan dengan pasangan masing-masing.
(Sila klik untuk imej lebih jelas).

AL FATIHAH UNTUK IBU KU!!!


DETIK-DETIK AKHIR PEMERGIAN IBUKU BHG. 2

23 Oktober, 2011 (Ahad). Jam 3 pagi, Amri yang baru selesai menutup kedai makannya mengajak Johari dan Ahmad Rashidi (abang D) untuk pergi melawat emak di hospital. Mereka pergi dengan menaiki dua buah kereta kerana ramai yang ingin mengikutnya.

Apabila tiba di hospital, kesemua mereka merasa hampa kerana pengawal yang bertugas tidak membenarkan seorang pun masuk melawat emak. Walaupun ada diantara mereka yang menggambarkan perasaan tidak puas hati di wajah tapi akhirnya kesemua mereka akur dengan peraturan yang telah ditetapkan.

Pukul 6 pagi, Rahim bersama keluarganya seramai 10 orangpun tiba. Katanya ia bertolak malam tadi dari rumahnya di Batu Caves , tapi apabila tiba di Rawang, berlaku kesesakan yang amat teruk di lebuhraya kerana mungkin ramai yang nak pulang ke kampung masing-masing berikutan cuti Deepavali yang akan di sambut pada 26 Oktober nanti. Oleh kerana keletihan, ia mengambil keputusan untuk berhenti rehat di RNR Tapah untuk tidur terlebih dahulu. Itulah yang menyebabkan ia sampai pukul 6 pagi.

Pagi itu kami semua bersarapan di rumah emak kerana Omar telah menyediakan bahan-bahan masakan bagi sessi pagi dan sessi tengahari. Isterinya Siti Hajar (Kak Siti) yang akan memasaknya dengan dibantu oleh adik-beradik yang lain.

Aku pula mengajak abang iparku Mohd Nor dan adikku Rahim untuk bersarapan pagi di gerai MARA berhampiran Masjid Taiping, kerana aku teringin nak makan bihun sup yang boleh lah dikatakan sedap juga kerana aku telah mencubanya sebelum ini. Setelah selesai bersarapan, kami pulang semula kerumah emak dan melihat sarapan yang telah disediakan oleh Kak Siti tadi telah terhidang. Kamipun berpura-pura lapar dan menghentam bihun goreng yang telah disediakan itu.

Kak Siti dan crewnya meneruskan tugas-tugas untuk penyediaan masakan makan tengahari pula. Kami semua perlu pantas kerana waktu melawat pukul 12 tengahari hampir tiba. Kami semua tidak mahu membuang masa, tambahan pula kerana, ada yang belum dapat melawat lagi dari semalam.

Aku telah memaklumkan kepada sesiapa yang nak ikut menaiki keretaku perlu cepat bersiap kerana tepat pukul 12 tengahari aku akan bergerak. Alhamdulillah...keretaku yang boleh memuat seramai 7 orang telahpun dipenuhi dan kami terus menuju ke Wad D5, Hospital Taiping. Ketika sampai waktu melawatpun dah tiba. Tanpa membuang masa kami semua pun masuk.

Sedia menunggu didalam ialah adikku Shamsiah yang datang awal pagi tadi bersama suaminya Azman. Keadaan mak tetap tidak berubah dan dia nampaknya semakin uzur, tekanan darah emak tinggi iaitu 200/113, kandungan gula didalam darahnya juga tinggi menyebabkan doktor memberikan insulin.

Saudara mara yang datang semakin ramai dan kami terpaksa memberikan ruang kepada mereka untuk merapatkan diri ke katil emak. Aku memerhatikan di setiap wajah-wajah mereka yang hadir dan mendapati mulut mereka berkumat kamit menandakan kesemua mereka membacakan ayat-ayat suci Al-Quran mohon kepada Allah supaya mengasihani ibu kami dan memberi rahmat serta keampunan kepadanya.

Pukul 2 petang, waktu melawat pun tamat, Kami semua akan menuju kerumah abangku Shamsuddin (Din) yang terletak lebih kurang 3 km dari Hospital Taiping. Tujuan kami semua kesana ialah kerana Din dan isterinya Asni (Kak Asni) akan berangkat ke rumah anaknya di Shah Alam terlebih dahulu kerana pukul 6 pagi pada hari Selasa 25 Oktober nanti mereka perlu berada di Kompleks Tabung Haji di Kelana Jaya, Selangor untuk berangkat ke Tanah Suci Mekah bagi menunaikan Fardhu Haji pada Tahun ini 1432H. Din dan isterinya mendapat peluang ke Tanah Suci di saat-saat akhir.

Disaat-saat emak berada didalam keadaan kritikal, kami kehilangan dua tonggak utama di dalam keluarga kerana abangku yang sulung iaitu Abd Rani dan Isterinya telahpun berangkat awal ke Mekah pada 15 Oktober lalu dan diikut Din dan isterinya pada hari ini. Kedua-dua mereka ini adalah penyambung tugas dalam menjaga kebajikan emak selepas ayah meninggal pada 17 Mei, 1999 lalu.

Majlis bacaan doa selamat telah bermula, ramai jiran-jiran yang hadir untuk mengucapkan selamat jalan kepada mereka berdua. Azan telah dilaungkan menandakan mereka berdua telah bersedia untuk berangkat. Anak mereka iaitu Nuruddin akan memandu kereta sehingga ke Shah Alam. Turut menemani kedua-dua ibu bapa mereka ialah anaknya yang bongsu iaitu Rabiatul Adawiyah. Tugas mengemas rumah diserahkan kepada seorang lagi anak mereka yang dipanggil Kak Chik sebelum beliau pulang ke Pulau Pinang kerana bertugas disana.

Setelah kereta mereka berlepas, kami yang ada, akan pergi semula ke hospital kerana waktu melawat untuk sessi petang iaitu diantara pukul 4 hingga 7.30 pm akan tiba. Walaubagaimanapun Kakak aku Jamaliah (Maliah) akan terus pulang bersama suaminya ke Manjung kerana suaminya Zakaria bertugas malam itu. Kakak ku yang seorang lagi iaitu Aishah (Esah) dan suaminya Abg Lah akan menumpang kereta Maliah untuk pulang ke rumah mereka di Lenggong, Perak kerana Abang Lah tidak berapa sihat.

Kami tiba di hospital kira-kira jam 4 pm dan terus masuk untuk mendapatkan emak yang terbaring lesu. Turut berada disitu ialah adikku Shamsiah, Romina dan anak saudaraku Husni (anak abangku yang sulung Abd. Rani yang kini berada di Mekah).

Kesihatan emak makin menurun, Abang emak yang dah tinggal seorang iaitu Pak Chik Hashim tiba untuk menziarahinya. Kami semua mengelilingi katil emak dan akan memulakan bacaan Yassin dan doa secara perlahan sebentar lagi yang akan dipimpin olek kakak iparku iaitu Siti Hajar (Kak Siti). Semasa bacaan berlangsung, seorang lagi kakakku iaitu Fatimah (Timah), menyapu air ke mulut emak (Air Yasin yang dah disediakan sebelum ini) , apabila air tersebut menyentuh bibir, mulut emak kelihatan bergerak-gerak dan lidahnya menjilat-jilat air tersebut memberikan gambaran bahawa keadaan dirinya yang berada di dalam keadaan yang amat dahaga...

Walaupun waktu melawat telah tamat pada pukul 7.30 pm tadi, tapi kami masih lagi berada di situ dan jururawat yang bertugas memberikan kerjasama yang baik kepada kami untuk membenarkan kami terus berada di wad tersebut seolah-olah mereka pun tahu bahawa inilah peluang terakhir kami untuk berada disisi emak...

Kami semua perlu menghormati pesakit yang lain dan mesti meninggalkan wad segera. Sebelum beredar pulang, aku merapatkan mulut ke telinga emak dan mengajarnya Mengucap Dua Kalimah Syahadah lebih kurang dalam 5 minit. Akhir sekali aku memohon berbanyak maaf dan memohon keampunan darinya. Aku berharap emak mendengar bisikan ku itu.

Aku dan keluarga akan berangkat pulang ke Kuala Lumpur sebentar lagi kerana esok hari Isnin kami akan bekerja. Isteriku Salina mesti hadir bertugas kerana terpaksa mengambil alih tugas seorang kawannya yang bercuti disamping menjalankan tugas beliau sendiri yang sedia berlambak-lambak itu.

Sebelum pulang, seorang lagi kakak iparku iaitu Hamidah (Kak Midah) berhajat untuk belanja aku dan keluarga makan di kedai berhampiran rumahnya, tapi sebelum itu aku singgah dulu dirumahnya untuk melakukan solat Jamak Isyak dan Maghrib.

Abangku Omar dan adikku Rahim serta keluarga masing-masing telahpun berangkat pulang kerumah masing-masing di Sg. Buloh dan Batu Caves, Selangor selepas melawat sebentar tadi manakala seorang lagi abangku iaitu Johari dan isteri nya Rohani (Kak Ani) yang tinggal di Sungai Pelong tidak pulang kerana ingin menunggu dalam sehari dua lagi.

Setelah selesai sembahyang, kami pun menuju ke gerai makan yang dimaksudkan dan turut serta ialah abangku Mohd Izhar (suami Kak Midah) dan kakakku Fatimah. Selepas makan, akhirnya aku mengucapkan selamat tinggal kepada mereka semua dan tepat pukul 10 malam aku pun berangkat pulang dalam keadaan hati yang berbelah bahagi. Aku sampai dirumahku di Serdang, Selangor pada pukul 3 pagi dan kira-kira pukul 7 pagi nanti aku dan isteri akan bertolak ke pejabat untuk bekerja pada Isnin pagi itu.


Bersambung untuk siri yang akhir dan kesudahan riwayat hidup emak beserta gambar-gambar kenangan....Nantikan...