Friday, November 4, 2011

MEMBANTING TULANG DEMI ADIK...


Nganjuk - Seorang budak lelaki berusia 13 tahun di Kampung Bukur, Jawa Timur, terpaksa menyabung nyawa setiap hari dengan bekerja sebagai pencari pasir semata-mata mahu menyara dua adiknya yang masih kecil.

Riswan Nur Rokim atau dikenali sebagai Okim, kematian kedua-dua ibu bapanya akibat sakit ketika dia berusia 11 tahun dan sejak itu dia mengambil tanggungjawab untuk memenuhi keperluan adik-adinya, Sugeng 11 tahun dan Yuliana, 5 tahun.

Okim terpaksa bergadai nyawa dengan berendam di dalam air Sungai Widas yang sejuk serta menyelam ke dasar sungai sedalam 10 meter untuk mencari pasir sebelum di bawa naik menggunakan bekas khas.

Menurutnya, selepas kehilangan ibu bapanya, dia dan adik-adiknya dijaga oleh neneknya yang kini telah uzur sekaligus menyebabkannya melakukan pekerjaan yang merbahaya itu.

Malah, demi masa depan adik-adiknya, Okim sanggup berhenti belajar supaya dapat bekerja untuk menanggung kos persekolahan Sugeng.

Katanya, walaupun sibuk bekerja, dia perlu menjemput pulang adiknya Yuliana yang belajar di sekolah tadika.

"Pendapatan mencari pasir tidak banyak. Kadang-kala saya hanya memperolehi RM17.60 selepas dua hari bekerja," katanya.

Bagaimanapun, dia tetap gembira dan bangga kerana dapat menanggung kos persekolahan adik-adiknya. - AGENSI

No comments:

Post a Comment