Sunday, February 13, 2011

GEMPUR JANGAN TAK GEMPUR

Sudah banyak artikel yang aku keluarkan didalam blog ini tentang pendatang asing tanpa izin di kawasan perumahan di Seri Kembangan dan Serdang ini. Banyak serbuan telah dibuat tapi masih tiada penyudahannya. Semalam satu lagi serbuan telah dibuat sepertimana laporan dibawah ini.

SERI KEMBANGAN – Ratusan warga asing yang bekerja di Pasar Borong Selangor di Seri Kembangan cuak selepas mereka dikepung ratusan Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 4 lewat malam kelmarin.

Mereka yang rata-rata tidak mempunyai dokumen perjalanan diri sah dikatakan cuba melarikan diri ke hutan berdekatan namun gagal berbuat demikian apabila anggota pihak berkuasa berjaya menahan kesemua yang cuba meloloskan diri.

Ops Rantau dilaksanakan Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang dengan kerjasama Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara, UNCHR dan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) itu berjaya memberkas 119 pendatang asing tanpa izin (Pati) atas pelbagai kesalahan.

Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Abd Razak Elias berkata, serbuan dilaksanakan selepas menerima rungutan daripada masyarakat yang mendakwa bimbang terhadap kebanjiran warga asing di pasar itu.

Beliau berkata, antara aduan yang diterima adalah peningkatan pekerja asing di pasar menyebabkan mereka memanipulasi harga barangan di situ. Selain itu, katanya terdapat laporan yang mendakwa warga asing bekerja di situ sering bergaduh sesama sendiri.

“Bertindak atas maklumat, pihak kami mengadakan operasi cegah jenayah bersepadu dengan beberapa agensi yang lain.

“Seramai 119 daripada 317 warga asing yang diperiksa ditahan untuk tindakan selanjutnya. Masing-masing didapati menyalahi pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen,” katanya.

Beliau berkata, ada di antara Pati terbabit turut ditahan kerana memiliki kad pelarian (UNHCR ) palsu.

“Seramai 78 didapati tidak mempunyai dokumen perjalanan diri yang sah, 24 permit tamat tempoh dan tinggal melebihi masa di negara ini.

“Mereka yang ditahan sebahagiannya dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ( KLIA), Sepang dan sebahagian lagi dihantar ke lokap IPD Subang Jaya,”katanya.

Menurutnya lagi, operasi berkenaan dilihat berjaya kerana tiada warga asing yang berjaya meloloskan diri apabila pihaknya terlebih dahulu mengepung kawasan pasar dengan keluasan 50 ekar itu.

“Operasi ini berjaya dengan bantuan 150 anggota polis dan agensi terlibat termasuk PGA, unit pengesan anjing (K9), unit pengesan persenjataan dan unit helikopter PDRM untuk mengesan senjata-senjata berbahaya di kawasan ini,”katanya lagi.

Sinar Harian 13/2/2011

1 comment:

  1. Hari ni semua padang permainan dipersekitaran taman perumahan ini dikuasai oleh pendatang asing sempena cuti hujung minggu.

    ReplyDelete