Wednesday, February 16, 2011

HUJAN WANGI IRINGI PENGKEBUMIAN MUFTI


Seperti yang diceritakan oleh Ustaz Abdullah Abdul Talib.

Menuntut ilmu adalah wajib kepada setiap umat Islam, tak kira lelaki atau perempuan. Malah kita disuruh menuntut ilmu bukan saja masa sihat dan muda, tapi hingga sampailah kita menghembuskan nafas terakhir. Dan apabila sudah berilmu, hendaklah kita amalkannya dengan bersungguh-sungguh.


Ada satu cerita yang hendak saya paparkan kepada pembaca. Ia berkaitan dengan ilmu yang dituntut dan amalan dari ilmu yang dituntut itu. Kisahnya ialah tentang kemuliaan yang Allah berikan pada hamba-Nya yang menuntut dan mengamalkan ilmu yang baik di sisi Islam.


Ia berlaku hampir 25 tahun lalu. Bagaimanapun saya tidak menguruskan jenazahnya, Cuma menjadi saksi kepada kemuliaan yang Allah berikan kepada allahyarham. Kebetulan pula allahyarham ada hubungan keluarga dengan saya dan menjadi guru saya ketika belajar agama.


Allahyarham adalah bekas mufti dan meninggal dunia kerana sakit lelah. Ketika itu allahyarham berumur dalam lingkungan 70-an.


Selepas beberapa hari dirawat di hospital, pada suatu petang lebih kurang pukul 4.30, allahyarham pun menghembuskan nanfas terakhir. Maka jenazahnya dibawa balik ke kampungnya di Melaka ini.


Maha Suci Allah, bila dibawa saja masuk ke dalam kereta jenazah untuk dihantar pulang kerumahnya, terjadilah peristiwa pertama yang bagi saya merupakan salah satu petanda betapa Allah mengurniakan kemuliaan kepada Allahyarham.


Petang itu, hari yang panas tiba-tiba saja menjadi mendung. Matahari yang sebelumnya terik tiba-tiba terus tak nampak. Awan gelap, mendung, tapi tak hujan. Sampailah kerumah Allahyarham, keadaan masih mendung.


Sampai dirumah, orang sudah berpusu-pusu menziarahinya. Masing-masing ingin menatap wajah Allahyarham. Selepas segala persiapan dilakukan, jenazah Allahyarham diurus untuk dikebumikan.



Orang yang warak macam Allahyarham memang orang cukup suka menguruskan jenazahnya. Orang berebut-rebut nak uruskan hinggakan saya sendiri tak dapat menguruskan jenazah Allahyarham. Kalau nak dikira, saya tentulah dapat peluang uruskan jenazahnya sebab saya ni bilal yang uruskan jenazah, murid dia lagi… tapi tak dapat. Bagi kami yang pernah menjadi muridnya tentulah sedih tak dapat uruskan jenazah guru sendiri.


Selepas jenazah Allahyarham selesai disempurnakan, dia dibawa ke tanah perkuburan. Takdir Allah, berlaku satu lagi peristiwa yang memang pelik. Bila jenazahnya diturunkan saja ke dalam kubur, tiba-tiba hujan turun renyai-renyai. Sepanjang jenazahnya dikebumikan hujan terus turun. Tetapi anehnya, apabila siap saja upacara pengebumian hujan serta-merta berhenti. Cuaca mendung menjadi terang balik. Allah itu Maha Agung. Hujan yang turun pada hari itu bukanlah hujan yang biasa. Ia mengeluarkan bau yang amat harum. Wanginya macam bau Hajarul Aswad. Wallahuallam… saya tak tau nak kata.



Bukan saya seorang yang terhidu haruman itu, malah siapa saja yang pergi ziarah memang dapat bau wangi hujan itu. Yang menariknya lagi, keharuman hujan tadi kekal pada badan kami sehingga dua tiga hari lamanya.


Ada orang beritahu, dalam dua tiga hari selepas pengebumian Allahyarham, badannya masih berbau wangi. Pergi kedai, pergi ladang, badan berpeluh-peluh tapi wangi tu masih terus ada.


Itulah kelebihan orang alim, yang menuntut ilmu dan mengamalkan ilmunya seperti yang dituntut oleh Islam. Sepanjang sejarah hidup saya, kejadian macam ni memang tak pernah berlaku. Itulah tanda kebesaran Allah dan mulianya orang yang menegakkan syariat-Nya.


Kalau kita kaji latar belakang Allahyarham, kita tau, memang Allahyarham layak mendapat kemuliaan itu.


Allahyarham ini seorang yang amat baik. Dia mengaji di pondok, kemudian ke Mekah, pernah tubuhkan sekolah agama. Saya juga diberitahu, Allahyarham berjaya menghafal al-Quran dalam tempoh enam bulan sahaja.


Saya pernah menjadi anak murid Allahyarham. Sepanjang berguru dengannya, saya dapati Allahyarham ada banyak keistimewaan. Muka dia macam berubah-ubah. Hari ini kita lihat macam ni, hari esok lain, lusa lain. Ada cahaya, ada nur pada wajahnya. Manis, tampan, bersih. Kita yang tengok pun suka, seronok.


Semasa hidupnya, Allahyarham nampak macam lembik saja. Tapi walaupun nampak lembik, arwah ni sangat tegas orangnya. Pendiriannya macam pepatah Melayu, anjak layu dicabut mati. Kalau dalam Islam kata haram, dia tetap akan kata haram. Dia akan tentang.


Macam dulu ada loteri, Allahyarham adalah antara orang yang paling kuat menentangnya. Tak ada sorong tarik. Bagi Allahyarham yang haram tetap haram, tak boleh jadi halal. Satu lagi, kalau Allahyarham tak suka dengan sesuatu yang orang cakap, dia terus pergi. Dia tak mahu dengar orang mengumpat, mengata dan memfitnah.


Kerana ketokohan dan ketegasannya itulah, Allahyarham terus diberi kepercayaan memegang mufti sampai dia meninggal. Allahyarham ni juga walaupun dah tua tapi fikirannya masih baik. Saya diberitahu, kerana sayangkan Allahyarham sampai pernah Ketua Menteri Melaka pada masa itu berkata, selagi Allahyarham hidup, teruslah pegang jawatan itu.


Murid kesayangan, atau kita kata orang kanan Allahyarham adalah menantunya. Dia alim dan hafal al-Quran macam Allahyarham juga. Sebab Allahyarham ni warak, jadi yang jaga dia pun kenalah orang alim juga. Menantu dialah, bersama anak-anak Allahyarham, yang menjaganya semasa dirawat di hospital.


Orang alim memang tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya pada Allah, walaupun ketika itu mereka sedang sakit. Dalam keadaan terbaring pun Allahyarham tidak pernah sekalipun meninggalkan sembahyang. Malah sebelum masuk waktu lagi dia dah suruh orang ambilkan wuduk untuknya.


Sampai hari Allahyarham meninggal dunia, ketika itu sudah hampir masuk waktu Asar, Allahyarham menyuruh orang-orang yang menjaganya mengambilkan dia air sembahyang. Selepas berwuduk, Allahyarham pun sembahyang. Kalau kita lihat, keadaannya seolah-olah Allahyarham tau dia akan meninggal dunia tidak lama selepas itu.


Selesai saja sembahyang, tidak lama kemudian Allahyarham pun kembali ke pangkuan Allah. Ketika itu wuduknya masih belum kering lagi.


Begitulah hampirnya Allahyarham kepada Allah. Bagaimana tegasnya dia mengamalkan kehendak Allah, macam tulah tegasnya dia menegakkan yang benar dan menentang yang mungkar.


Bagi kami yang pernah menjadi muridnya, kematian Allahyarham memang cukup dirasai. Kemuliaan yang Allah berikan kepadanya akan kami ingat sampai bila-bila. Agaknya kerana waraknya Allahyarham itulah maka ilmu yang diberikannya cukup lekat di hati kami.


Kita ni kalau menuntut ilmu kita mesti beramal. Kerana berkatnya ilmu itu, mesti kita nampak guru kita tu masa kita beramal. Begitulah istimewanya Allahyarham di mata saya.


Sehingga sekarang bila angkat saja tangan untuk takbir bagi mulakan sembahyang dan kemudian masuk niat, saya mesti terbayangkan wajah Allahyarham. Setiap kali saya hadap tikar sembahyang, seperti dia ada di sebelah. Bila pegang tasbih, nampak muka arwah. Belum pernah satu hari pun saya terlupakan dia (menangis).


Apa yang terjadi semasa kematian dan pengebumian Allahyarham membawa banyak pengajaran. Semoga kita memahaminya dan kembali kepada Allah dalam husnul khatimah.


Mastika

4 comments:

  1. Siapa mufti dari melaka yang hebat ni?
    Negeri lain takkan tak nak ikut jejaknya?

    ReplyDelete
  2. Berdasarkan perkembangan sekarang ni, rasanya agak payah nak ikut jejak langkah mufti ni.

    ReplyDelete
  3. artikel yang menginsafkan

    ReplyDelete