Friday, June 12, 2015

PENGURUSAN JENAZAH KOMERSIAL...


HUKUM mengurus jenazah adalah fardu kifayah bagi umat Islam. Kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan seseorang atau sekumpulan manusia itu akan menanggung dosa.

Penekanan sedemikian kerana pengurusan jenazah perlu disegerakan, sebagaimana sabda Rasulullah SAW bermaksud:

"Janganlah kamu tangguhkan pengurusan jenazah apabila tiba (kematian)." (Riwayat Ibn Majah).

Justeru, tidak hairanlah, kursus pengurusan jenazah antara yang paling kerap diadakan, sama ada di masjid, surau, sekolah, hatta ia turut dianjurkan oleh pelbagai organisasi milik orang Islam di negara ini.


Tidak cukup dengan itu, ilmu pengurusan jenazah turut dibukukan bagi memudahkan umat Islam membuat rujukan jika ada kekeliruan atau sebagai bahan ulang kaji.

Namun begitu, ada satu lagi aspek yang mungkin jarang dibincangkan secara terbuka adalah soal kos pengurusan jenazah. Mungkin ramai yang menganggapnya sebagai satu sumbangan terakhir kepada si mati. Sedangkan aspek itu sebenarnya cukup relevan dengan gaya hidup masyarakat hari ini yang sibuk dengan urusan kerja dan ditambah pula dengan peningkatan kos hidup.

Bagi yang berduit, soal kos itu tidak menjadi persoalan, tetapi untuk kalangan yang berpendapatan sederhana dan miskin, ia sesuatu yang mungkin membebankan.

Tidak hairanlah, berdasarkan pengalamannya sebagai seorang pengurus jenazah Islam yang berpengalaman, Mohd. Zainal Khamis menyatakan, soal kos sering kali dipersoalkan oleh waris si mati. Tetapi beliau menegaskan bahawa kos yang dikenakan itu bukan sesuatu yang baharu.

 

"Persamaan fardu kifayah tersebut dengan 10 atau 20 tahun lalu adalah pengurusan itu digerakkan oleh duit atau upah kepada pelaksananya.

"Kalau 10 atau 20 tahun lalu, upah itu lebih dikenali sebagai sedekah waris si mati kepada pelaksananya," katanya ketika ditemui di Puchong, baru-baru ini.

Cuma apa yang menjadi pertikaian hari ini apabila waris si mati melihat bayaran itu dalam bentuk bil. Lebih terkejut lagi bila dia tidak menyangka jumlah bil itu agak mahal.

Bayaran itu merangkumi proses memandikan mayat sehingga kepada ia dihantar ke kubur untuk tujuan pengebumian.

TIDAK SERUPA TAPI SAMA

Mohd. Zainal yang juga Pengarah Eksekutif Bumijez Sdn. Bhd. menjelaskan, proses pengurusan jenazah yang bermula dengan mandi, kafan, solat jenazah dan pengebumian melibatkan kos tertentu.

Mungkin ada di kalangan waris si mati atau umat Islam tidak nampak kos tersebut kerana mereka beranggapan ia sebagai sagu hati atau sedekah.

"Cuma kita tidak nampak dan tidak kira sebagai kos, tetapi sekarang bila ada pihak tertentu senaraikannya, maka kita teruskan katakan sebagai kos.

"Kalau yang faham, tidak mengapa, tetapi bagi yang tidak faham, akan membawa kepada pertikaian," katanya.

Kos pertama adalah tanah kubur. Walaupun ia tanah wakaf tetapi hari ini orang yang mahu gali atau sediakan kubur, sudah tentu perlu dibayar.

Kalau dahulu, kita bagi duit minum kopi atau barangan tertentu kepada pengali kubur atas khidmat yang diberikan.

Samalah dengan proses mandi jenazah kerana kita pastinya akan bagi wang sagu hati atau kain pelekat kepada mereka yang memandikan jenazah satu ketika dahulu.

Selain penggunaan van jenazah, kain kapan dan bahan wangi lain untuk mengafankan jenazah pula perlu dibeli yang mana itu sudah tentu ada kos.

Tetapi ada sesetengah masjid atau surau menggunakan pendekatan bahawa setiap penggunaan itu perlu digantikan oleh waris si mati.

"Begitu juga dengan sembahyang jenazah. Kita beri sagu hati, sama ada dalam bentuk wang atau hadiah, dan semua itu melibatkan kos yang perlu si waris bayar.

"Imam baca talkin, tak akan kita ucap terima kasih sahaja? Setidak-tidaknya, kita bagi kain atau lain-lain barangan dan itu pun kos juga," katanya.

LEBIH TINGGI

Usaha pihak tertentu menetapkan kos bagi pengurusan jenazah seharusnya dilihat sebagai satu langkah yang perlu dihargai. Ini kerana, Mohd. Zainal memberitahu, konsep sedekah dalam pengurusan jenazah itu ada ketikanya menyukarkan mengawal pengeluaran wang tunai.

"Tidak kiralah ia membabitkan pemberian wang sagu hati atau pembelian hadiah kepada mereka yang menguruskan jenazah.


"Ada ketikanya, kita tidak perasaan sedekah itu telah meninggikan kosnya," katanya yang turut mengusahakan syarikat pengurusan jenazah, Al Barzah Enterprise.

Bagaimanapun, Mohd. Zainal tidak menafikan ada individu atau syarikat pengurusan jenazah yang mengambil kesempatan dengan menawarkan kos yang tidak munasabah.

Keadaan itu wujud kerana persaingan khususnya jika kematian itu berlaku di hospital sama ada swasta atau kerajaan.

"Pada saya untuk atasinya, setiap keluarga mesti bersedia untuk menghadapi kematian. Bukan hanya dari segi amalan tetapi juga bagaimana untuk urus kematian.

"Salah satunya mengenal pasti syarikat pengurusan jenazah yang berdaftar dengan jabatan agama negeri supaya kita tahu kos yang perlu dikeluarkan.

"Ada juga sesetengah itu menawarkan pakej atau keahlian tertentu yang mungkin bersesuaian dengan keupayaan kewangan kita," katanya.

 

No comments:

Post a Comment