Friday, January 7, 2011

KUNYIT MAMPU CEGAH PENUAAN


Kunyit merupakan salah satu penyembuh semula jadi yang berkuasa. Berkurun lamanya kunyit telah digunakan dalam kehidupan manusia.

Di India, kunyit banyak sekali kegunaannya. Ia juga adalah tempat pertama kunyit digunakan sebagai pewarna sebelum ia menjadi herba yang popular dan terkenal seperti sekarang.


Kunyit atau nama saintifiknya Curcuma long merupakan tanaman yang berkait rapat dengan halia. Dikenali juga dengan nama turmeric (Inggeris), herba ini banyak ditanam di negara Asia, iaitu India terutamanya dan Afrika.


Tanaman kunyit merupakan tumbuhan bercabang. Batangnya tegak, bulat dan membentuk rimpang dengan warna hijau kekuningan. Batangnya tersusun dari pelepah daun. Daunnya tunggal, berbentuk bulat telur, mempunyai tulang dan berwarna hijau.


Pokok kunyit mempunyai bunga yang akan keluar dari pucuk batang. Bunganya mempunyai mahkota dan berwarna putih kekuningan. Rimpang kunyit berwarna oren kecoklatan. Manakala isi rizomnya berwarna oren kekuning-kuningan.


Akar atau rizom dan daunnya, adalah bahagian pokok yang digunakan untuk tujuan perubatan dan penyediaan makanan. Secara umumnya, sebelum bahagian-bahagian ini digunakan, ia akan direbus dam kemudiannya dikeringkan sebelum diproses menjadi serbuk. Curcumin, bahan aktif di dalam kunyit memiliki kandungan antioksidan dan dikatakan amat kuat seperti vitamin C dan E.


Selain digunakan untuk tujuan pewarnaan fabrik, kunyit juga adalah bahan yang amat penting dalam penyediaan makanan. Bukan itu sahaja, melalui pelbagai kajian juga telah mendapati bahawa kunyit juga turut mempunyai khasiat ubatan yang dikatakan mampu digunakan untuk merawat pelbagai masalah kesihatan.


Kunyit telah digunakan dalam perubatan Ayurveda dan perubatan Cina sebagai antiradang, bagi merawat masalah pencernaan dan hati, penyakit kulit, dan juga luka-luka. Bukan itu sahaja, melalui penyediaan juga telah mendapati bahawa kunyit juga mampu memberi khasiat berguna dalam rawatan penyakit daripada kanser sehinggalah kepada penyakit alzheimer.


Dalam perubatan ayurveda, ekstrak rizom yang telah dicampurkan dengan air panas digunakan sebagai minuman bagi mengurangkan masalah keradangan. Dalam perubatan ini juga kunyit dianggap sebagai herba ‘rasayana’. Untuk tujuan ini, kunyit digunakan untuk menghalang proses penuaan.


Rawat kemurungan Curcumin di dalam kunyit dikatakan mampu merangsang pundi hempedu dalam menghasilkan hempedu, dan tindakan ini mampu memperbaiki pencernaan. Malah di negara Jerman kunyit telah diterima sebagai herba yang selamat untuk merawat masalah pencernaan.


Perubatan Unani telah menggunakan kunyit untuk merawat pelbagai masalah kesihatan seperti masalah hati yang tersekat dan demam kuning. Ia juga turut digunakan untuk kegunaan luar bagi merawat ulser dan keradangan. Kunyit yang telah dipanggang pula digunakan sebagai ramuan untuk merawat disenteri. Kunyit turut digunakan dalam serbuk atau ubat gigi.


Di negara seperti India,Pakistan dan Bangladesh, rizom kunyit adalah bahagian yang banyak digunakan dalam pelbagai cara. Reputasi rizom kunyit ini amat terkenal sehinggakan ia mampu melegakan asma dan batuk. Malah kebanyakan daripada penggunannya secara tradisional ini juga banyak disokong oleh bukti saintifik.


Selain khasiat yang telah diceritakan ini, kunyit juga memiliki pelbagai kebaikan lain. Agen antiseptik dan antibakteria semula jadi dalam kunyit berguna dalam membersihkan luka. Dikatakan jika dicampurkan dengan kubis bunga, kunyit menunjukkan mampu mencegah kanser prostat dan menghentikan pembesaran kanser prostat yang wujud.


Dalam kajian yang telah dilakukan terhadap tiks ujian, dikatakan kunyit mampu mencegah kanser payudara daripada merebak ke organ paru-paru. Kunyit juga mampu mencegah dan memperlahankan peningkatan penyakit Alzheimer melalui cara membuang pembinaan plak amylod dalam otak.


Kunyit juga dikatakan mampu mencegah metastates muncul dalam kebanyakan bentuk kanser yang berbeza. Ia juga disebutkan mampu mengurangkan risiko leukemia ketika kanak-kanak. Tumbuhan ini turut mampu membantu dalam metabolisme lemak dan pengawalan berat badan. Dalam perubatan Cina, kunyit telah lama digunakan dalam rawatan kemurungan.


Walaupun terdapat pelbagai khasiat ubatan yang ditunjukkan oleh kunyit, namun begitu penggunaanya perlulah mendapat nasihat daripada pengamal perubatan terlebih dahulu bagi mengelakkan kemudaratan di kemudian hari.


Artikel ini dipetik dari
M
ajalah Mingguan Wanita
Jan 2011 m/s 50


No comments:

Post a Comment