Tuesday, April 8, 2014

KUBUR PUTERA FIRAUN YANG BERPUAKA...


SUMPAHAN Tutankha­men menyebabkan ramai ahli kaji purba dan saintis yang menceroboh kuburnya menemui ajal. Setelah kubur yang menyimpan mayat anak raja Firaun itu dibongkar, mereka yang terlibat menempah mala petaka. Kecelakaan terus memburu siapa saja yang mengingkari kesaktian anak raja itu hinggalah sekarang.

Di Mesir ramai penduduk cukup gerun untuk berbual tentang Tutankhamen. Masing-masing mendakwa anak raja Firaun itu amat berpuaka hingga sebutan dan sentuhan ke atas mayatnya boleh membawa musibah yang mengerikan.

Siapakah Tutankhamen? 

Tutankhamen ialah anak raja Firaun yang meninggal dunia kira-kira 3,000 tahun yang lampau. Mayatnya seperti mana mayat-mayat keluarga Firaun yang lain disimpan di dalam sebuah kubur yang digali di tanah tinggi daerah Giza, Kaherah, Mesir.

Juga seperti mayat-mayat raja Firaun lain, kubur Tutan­khamen dipenuhi dengan khazanah diraja seperti emas, berlian, pakaian yang indah, kereta kuda dan perhiasan diri serta bermacam-macam khazanah peribadi yang istimewa. Semua khazanah di dalam kubur ini dipercayai oleh masyarakat dahulu kala sebagai prasarana untuk anak raja itu hidup di alam kubur dan di alam barzakh.

Untuk mengelakkan kha­zanah tersebut dicuri, masya­rakat lampau menebuk lubang di tengah bukit dan memisahkan kawasan kubur itu dengan membuat lubang yang dalam bagi menghindar manusia mencuri barang-barang diraja itu. 

Tutankhamen adalah anak kepada Ramses yang meninggal sewaktu masih kanak-kanak (kira-kira antara 15-17 tahun). Punca kematiannya tidak dilaporkan oleh sejarah tetapi ada satu kesan gigitan (barang kali daripada nyamuk) pada tubuhnya. Dia disemadikan bersama khazanah diraja yang sarat di dalam sebuah kubur di padang pasir Giza.

Pada tahun 1923 terdapat beberapa orang ahli kaji purba Barat yang ingin menyelidik barang-barang di dalam kubur Tutankhamen. Bagaimanapun di kalangan rakyat Mesir nama Tutankhamen sudah menggerunkan kerana ramai rakyat tempatan maut ketika menghampiri kuburnya.

Sudah lima orang awam mati setelah cuba untuk meneroka kubur anak raja itu. Kematian mereka tidak dapat dipastikan puncanya. Jadi seluruh rakyat Mesir gentar untuk mendekati kubur apatah lagi mengambil khazanah yang tersimpan di dalamnya. Bagaimanapun sumpahan anak raja Firaun ini tidak diacuhkan oleh ahli kaji purba Barat. Mereka mendakwa ketakutan rakyat tempatan tentang keberkesanan sumpah Firaun adalah karut dan tahyul.

Orang yang paling degil ialah ketua ekspedisi Britain yang bernama Lord Carnarvon yang telah diberi izin oleh kerajaan un­tuk meneroka kubur Tutan­khamen. Sebelum bertindak, Carnarvon telah beberapa kali dinasihatkan oleh penduduk tempatan supaya tidak mengusik kubur keramat itu. Tapi dia menolak tegahan itu dan terus ke tapak kubur lalu menjalankan tugasnya. Carnarvon masuk ke dalam kubur Tutankhamen pada bulan Februari 1923. Bila melihat khazanah diraja yang berharga itu maka keghairahannya menjadi memuncak.

Setelah dua bulan berada di Mesir, pada satu hari Carnarvon bangun pagi dari tidurnya kerana sukar untuk nyenyak. Dia bersungut kepada pelayan hotel bahawa malam itu dia menjadi begitu resah bagaikan berada di neraka.

Setelah mengucapkan kata-kata tersebut Carnarvon tiba-tiba jatuh pengsan dan sebelum sempat menghabiskan tidurnya pada pagi harinya dia telah dilaporkan mati.

Kematiannya dikatakan berpunca daripada nyamuk kerana doktor mendapati ada satu gigitan di tubuhnya. Tanda gigitan itu adalah sama dengan tanda yang terdapat pada tubuh Tutankhamen.

Lebih menyayatkan sewaktu Carnarvon membedil dinding untuk menceroboh kubur anak raja itu, lampu elektrik di seluruh kota Kaherah mengalami kerosakan. Ibu negara Mesir bergelap beberapa ketika. Lantas ramai penduduk kota itu semakin yakin dengan sumpah Tutankhamen bila tempat semadi anak raja itu diceroboh. Beberapa hari selepas kematian Carnarvon, seorang lagi ahli kaji purba Amerika Arthur Mace yang turut serta dalam misi menggali kubur Tutankhamen mengalami rasa yang sama.

"Saya merasa begitu keletihan," kata Mace kepada temannya. Serentak dengan kata-kata tersebut dia tiba-tiba tersungkur dan mati sekali gus. Para doktor yang membuat bedah siasat tidak dapat memastikan punca kematiannya.

Sejak daripada dua kejadian itu, maut datang menggila-gila kepada semua ahli kaji purba yang terlibat membongkar kubur anak raja Firaun.

Adik angkat Carnarvon yang bernama Aubrey Herbert mengesyaki sesuatu akan berlaku kepada keluarga mereka kerana sumpah anak raja Firaun.

"Satu mala petaka besar akan berlaku kepada anggota keluarga kita," katanya kepada akhbar. Tepat sekali ramalannya. Dia mati pada 27 Sep­tember 1923.

Berita kematian keluarga Carnarvon telah mendorong seorang teman yang rapat dengan mereka untuk bergegas ke Mesir. George Gould yang mendengar misteri sumpahan Tutankhamen segera ke Mesir dan terus melawat kubur puaka itu. 24 jam selepas itu dia juga diserang sakit dan mati tiba-tiba. Kemudiannya seorang ahli perniagaan Britain yang ghairah untuk melihat kubur itu pun menjadi korban sumpah dan mati sebelum sempat pulang. kematiannya juga didakwa sebagai kes misteri.

Bila mayat Tutankhamen diX-ray oleh pakar radiologis, maka tiada punca kematian yang dikesan. Kesimpulannya anak raja Firaun itu mati kerana sebab yang misteri. Demikianlah juga dengan ke­matian yang dialami oleh orang-orang yang menceroboh kuburnya. 

Kemudian pada tahun 1930 terdapat dua lagi ahli penyelidik yang memasuki kubur Tutankha­men. Seorang daripadanya ialah Ri­chard Adamson.

Ketika berhadapan dengan kamera TV Richard mencabar kepercayaan tentang kekeramatan kubur anak raja itu. Setiap kali dia menyuarakan tentangannya, dia diancam oleh beberapa kejadian ngeri. Tapi nyawanya terselamat. Sebaliknya isteri dan seorang anak lelakinya tidak henti-henti menerima dugaan maut walaupun dapat menyelamatkan diri hingga pada akhirnya Richard meminta ampun di atas keterlanjurannya. 

Pada tahun 1972 satu pameran khazanah Tutankhamen diadakan di kota London. Ketika persiapan untuk menghantar barang-barang peninggalan raja itu dilangsungkan, pengusaha pertama gagal untuk menyempurnakan pameran itu.

Kemudian tugas itu diambil pula oleh seorang yang lain yang bernama Dr. Gamal Mehrez yang bertugas di Muzium Kaherah. Sewaktu kha­zanah anak raja itu sedang dihimpun untuk dihantar ke London, Dr. Gamal telah ditemu bual oleh wartawan. Antara soalan yang ditanya ialah adakah ia percaya kepada sumpah Tutankha­men.

Tanpa was-was Dr. Gamal berkata, "Saya tidak sekali-kali percaya kepada mana-mana sumpah dalam apa ketika sekalipun."

Semua barang kepunyaan Tutankhamen sudah dikumpul dan disimpan kemas untuk dibawa belayar ke London. Pada hari pertama ketika sampainya topeng kepunyaan anak raja itu di London, Dr. Gamal yang berada di Mesir tiba-tiba sesak nafas dan kemudiannya meninggal dunia. Kematiannya didakwa kerana masalah pernafasan.

Lebih malang lagi adalah nasib yang diterima oleh juruterbang dan anak kapal tentera yang membawa khazanah itu ke negaranya. Setelah muatan itu dibawa ke tampat pameran, tiga daripada anggota tentera yang terlibat itu mengalami kemalangan, dua daripadanya mati dan seorang pula tidak dapat berjalan seumur hidup.

Catatan sejarah tentang kubur puaka itu bukan hanya sekadar itu sahaja tetapi kalau ditanya pada rakyat Mesir, mereka sependapat bahawa kubur Tutankhamen sesungguhnya berhantu.

Hampir semua enggan bercerita tentang sumpahan dan mala petaka yang diterima oleh manusia yang menyaksikan khazanah kubur itu.

Sebaliknya bila khazanah kubur itu dipamerkan di Muzium Kaherah, tiada pula kesan buruk kepada orang ramai yang menontonnya. Tapi kubur asal Tutankhamen sememangnya berpuaka dan siapa pun tidak lepas daripada maut bila berada di premis itu.

1 comment: