Pengkaji sejarah, Shariff M. Salleh
yang merujuk kepada Terombol Tembaga yang dimilikinya berkata Malim
Kundang yang disumpah menjadi batu oleh ibunya, bukan satu dongengan
tetapi ia memang benar-benar berlaku dalam masyarakat kita satu ketika
dahulu.
Menurutnya,
nama Malim Kundang ialah Naza, dilahirkan di Kampung Sungai Panchor,
Kota Tinggi. Ibunya orang tempatan manakala bapanya dari Sumatera
Barat.
Sejak
kecil, bapanya telah meninggal dunia. Oleh kerana rindukan bapanya,
beliau sering menziarahi kubur bapanya. Rindu terhadap bapanya itu
akhirnya beliau digelar Kundang (rindu), manakala gelaran Malim bermakna
nakhoda.
Ketika
usianya 17 tahun, beliau meminta izin dari ibunya untuk merantau selama
tiga purnama (lebih kurang 3 bulan), bagaimanapun beliau tidak
pulang-pulang sehingga lebih 10 tahun.
Beliau
dikatakan telah merantau sehingga ke Sumatera Barat. Selama tempoh itu,
dari seorang budak kapal beliau akhirnya berjaya menjadi seorang
nakhoda yang berjaya.
Beliau
kemudiannya berkahwin dengan anak pengusaha kapal iaitu majikanya
sendiri. Isterinya bernama Radiah, juga berasal dari Sumatera Barat.
Beliau
yang memang mempunyai hubungan yang rapat dengan ibu dan bapanya, rasa
rindu untuk kembali menemui ibunya dan menziarahi kubur bapanya.
Beliau
kemudiannya mengambil keputusan untuk kembali ke kampung Panchor.
Setibanya di hadapan kampung itu, iaitu di Pulau Tembolo (yang masih ada
sekarang), beliau pun menurunkan sauh kapalnya. Anak-anak kampung yang
sedang menangkap ikan mengenali Malim Kundang lalu memberitahu ibunya
bahawa Kundang sudah pulang.
Si
ibu yang benar-benar merindui anaknya tanpa melengahkan masa terus
pergi menemui anaknya di kapal berkenaan. Beliau dikatakan datang
tergesa-gesa tanpa memakai pakaian yang elok.
Akibat
keadaan ibunya yang tidak begitu terurus rupanya, Malim Kundang serba
salah untuk mengakui itu ibunya, walaupun ibunya beberapa kali memanggil
dan meminta kembali ke kampung halamannya. Tambah lagi, beliau malu
dengan isterinya yang cantik lagi berada berbanding dengan ibunya yang
begitu memalukannya.
Apabila ia enggan mengakui perempuan itu sebagai ibunya, ibunya lalu bersumpah dengan kata-katanya…
“Andainya air susu ini telah diminum oleh anakku Kundang, kau turunkanlah balasan keatasnya ya Allah…derhaka kau…!!!
Setelah
disumpah ibunya, beliau segera mengarahkan anak kapalnya agar menaikkan
sauh yang didapati tersangkut. Beliau lalu mengarahkan agar sauh itu
dipotong. Dengan serta merta sauh itu terus menjadi batu.
Sauh
itu dikatakan masih ada hingga kini, walaubagaimanapun ia lebih
dikenali oleh penduduk di sini sebagai ‘Sauh Acheh’. Tetapi menurut
Shariff, sauh itu sebenarnya sauh Malim Kundang.
Sewaktu
di tengah lautan dalam pelayaran Malim Kundang kembali ke Sumatera
Barat, tiba-tiba kapalnya terkena ribut. Ketika itu beliau menyedari
akan menerima balasan atas kesalahan dan sikap derhaka terhadap ibunya.
Beliau lalu berpantun:
“Kota Padang Kota Terendam,
Nampak dari Tanjung Perigi,
Sedap terpandang hati terkenang,
Tak sedar merosak ibu sendiri…”
Selepas
berpantun, kapalnya dilanda ribut terus pecah dan akhirnya kesemua
mereka mati terdampar di Pantai Air Manis, Sumatera Barat. Di situ juga
beliau terus menjadi batu akibat sumpahan ibunya.
Di
pantai tersebut ketika ini terdapat rupa bentuk batu menyerupai seorang
yang sedang menyembah bumi meminta ampun pada seseorang. Di situ juga
terdapat peralatan pelayaran seperti tali, kemudi, bekas minuman dan
sebagainya yang semuanya menjadi batu.
Dengan
penjelasan ini di harap kita dapat membetulkan kembali catatan tentang
kisah Malim Kundang ini. Pertamanya ia bukan satu dongeng tetapi ia
kisah nyata. Kisah sejarah keluarganya adalah di tempat kita iaitu di
Kampung Panchor bukannya di Sumatera Barat.
Sehubungan
itu Shariff berkata ia tidak adil dan tidak benar sama sekali apabila
orang ramai hari ini mengatakan bahawa lagenda Malim Kundang itu berlaku
di Sumatera Barat.
Oleh
itu, perlu rasanya satu usaha mengenal pasti dan memajukan kesan tempat
tinggalnya di Kampung Panchor. Selain itu, sejarah sauh Malim Kundang
juga perlu diperbetulkan dan catatan berkaitan kehidupan nakhoda itu
perlu di tulis semula di sini.
Sesungguhnya
sejarah bangsa kita memang ada kaitan dengan sejarah dan penduduk di
nusantara, samada di Riau, Jawa mahupun Sumatera.
Dipetik dari majalah Wawancara Mac 1998 (m/s 51-53)
No comments:
Post a Comment