Wednesday, August 17, 2016

NAJIS DADAH HANCURKAN KEBAHAGIAAN...

Gambar hiasan...

Selepas ibu dan ayahnya bercerai, hidup Azli seperti layang-layang putus tali. Dia tidak tentu arah, sukar bagi Azli menerima kenyataan ini. Tambahan pula selepas bercerai, Azli tinggal bersama ayah dan ibu tirinya. Sikap ibu tiri yang suka mendera perasaan membuatkan Azli tidak betah duduk di rumah.

Selepas tamat sekolah aku melepak dengan teman-teman, di sinilah aku mengenal rokok. Mulanya sekadar suka-suka dan mahu melepaskan tekanan namun di sini aku temui keseronokan. Dari rokok, aku berjinak-jinak pula dengan dadah. Deritaku lenyap seketika tatkala khayal akibat pengaruh dadah. Begitulah hidupku sehingga tamat sekolah.

Aktiviti tidak sihat ini masih terbatas kerana aku tidak mempunyai wang untuk membeli dadah dalam kuantiti banyak. Namun selepas bekerja, aku semakin menjadi-jadi. Aku mengalami ketagihan yang agak teruk. Semua ini akhirnya dihidu oleh ayah. Akibatnya aku dihantar ke pusat pemulihan swasta dengan harapan aku dapat sembuh daripada ketagihan.

Siapa sangka di sinilah aku mengenali Amira, gadis yang turut mengalami masalah sama seperti aku. Melihat wajahnya saja, hatiku sudah terpikat. Rupa-rupanya aku tidak bertepuk sebelah tangan. Dia juga menyukaiku. Kami saling jatuh cinta dan setelah mendapat restu keluarga, kami berkahwin setelah keluar dari pusat pemulihan.

Aku berjanji pada Amira untuk meninggalkan najis dadah, begitu juga dia. Kami mahu melupakan episod duka dalam hidup kami, sebaliknya mahu membina kehidupan yang lebih baik. Biarlah yang lalu menjadi kenangan dalam hidup kami. la adalah panduan buat aku dan Amira memperbaiki diri untuk menempuh kehidupan baru.

Perkahwinan kami sangat membahagiakan. Amira benar-benar menepati janjinya untuk berubah. Amira berusaha menjadi isteri solehah. Melihatkan kesungguhannya, aku juga bertekad mahu berubah menjadi yang terbaik buat wanita yang aku cintai.

Namun janji hanya tinggal janji. Sukar untuk aku memisahkan diri dengan dadah. Aku hanya mampu mengawal diriku seketika sahaja. Begitu kuat penangan dadah hingga sukar untuk aku melupakannya.

Lepas Gian...

Tanpa pengetahuan Amira aku kembali bergaul dengan teman-teman jalanan. Aku sering memberi alasan membuat kerja sambilan sedangkan aku asyik melepaskan gian dengan teman-teman.

Namun sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga. Amira mengetahui perbuatan terkutuk yang aku lakukan bersama teman-teman. Dia bersabar dan mengawal emosi walaupun aku tahu dia begitu marah kepadaku. Aku berjanji kepadanya untuk berubah.

Semenjak itu Amira memantau pergaulanku kerana dia tidak mahu aku kembali menagih. Katanya, jika dia boleh melakukannya, aku juga boleh. Langkah pertama yang aku lakukan dengan menjauhkan diri daripada teman-temanku. Seharusnya sejak dahulu lagi aku menjauhi mereka yang boleh menghancurkan hidupku tetapi nyata aku salah membuat perhitungan.

Tapi diriku sendiri masih gagal mengawal nafsu. Ketika Amira keluar bekerja, aku mengambil cuti semata-mata untuk melepaskan gian sendirian di rumah. Walaupun pelbagai cara aku lakukan untuk menutup perbuatanku tetapi benarlah, masakan mungkin bangkai gajah boleh ditutup dengan nyiru. Kegiatanku ini tetap dapat juga dihidu Amira. Inilah kali pertama aku melihat air mata jatuh ke pipinya. Mungkin sukar baginya menerima keadaanku. Hatinya terluka kerana ditipu berkali-kali.

Amira memintaku membuat pilihan sama ada aku meninggalkan dadah atau kami bercerai. Mana mungkin aku lepaskan wanita yang amat aku sayangi. Demi Amira, aku kembali mendaftarkan diri ke pusat pemulihan dadah.

Mohon Cerai...

Aku muhasabah diri dan berdoa agar berubah. Walaupun sudah puas aku berusaha namun aku masih gagal mengawal diri. Sukar benar untuk aku memisahkan diri daripada dadah. Banyak kaedah dan terapi telah aku lakukan demi membuktikan cinta aku kepada Amira tetapi nyata najis yang telah terpalit pada tubuhku ini sukar untuk dijauhi.

Kecewa dengan diriku, Amira tekad memohon cerai. Aku enggan melepaskan Amira namun dia sudah tidak sanggup hidup denganku. Kata Amira aku bagaikan mayat hidup. Dia tidak mahu membina masa depan dengan lelaki sepertiku.

Malah Amira tidak mahu mempunyai anak dengan aku. Sungguh, aku merasa sangat sedih mendengar butir bicara yang terbit daripada mulut wanita yang amat aku sayangi.

Walaupun perit, aku terpaksa melepaskan Amira. Semangatku semakin goyah menyebabkan aku kembali ke jalanan menagih dadah. Kali ini lebih teruk penangannya. Dek dadah, aku menjadi gelandangan. Di mana sahaja aku boleh tidur untuk merebahkan badan. Aku lupa aku masih punya keluarga. Dalam diam, aku diperhatikan seorang wanita tua yang wajahnya seperti ku kenali. Seperti aku amat mengenalinya tetapi aku kurang pasti sama ada tekaanku benar.

Saat wanita ini menyentuh tanganku, air matanya mengalir laju. Benar ya Allah, wanita ini ibuku yang telah sekian lama terpisah. Selepas bercerai, ibu membawa diri ke selatan. Dia menangis tersedu-sedu melihat keadaan diriku. Aku malu bertemu dengan ibu dalam keadaan begini.

Ibu tidak merasa jijik denganku. Dia memelukku dan kemudian mengajakku pulang ke kampungnya. Aku mengikut ibu tanpa banyak bicara.

Di kampung, aku dirawat secara tradisional oleh pengamal perubatan. Dia menggunakan herba dan latihan fizikal untuk memulihkan kesihatanku dan mengatasi masalah ketagihan yang aku alami. Ternyata sukarnya untuk aku pulih. Aku berlawan dengan perasaanku sendiri.

Tekad Berubah...

Syukur kepada Allah, selepas tiga bulan aku kembali menjalani hidup seperti insan normal yang lain. Ibu, insan yang paling gembira, malah dia bersyukur melihatkan perubahan diriku. Kali ini aku bertekad menjadi anak yang membahagiakan ibu. Atas saranan ibu, aku juga menyambung pengajian di pusat pengajian tinggi awam.

Berkat usaha dan doa ibu, aku menjadi insan yang berjaya. Belum sempat aku membalas jasa ibu, wanita ini kembali ke rahmatullah. Aku berasa sangat sedih namun aku berjanji dengan diri tidak sesekali menyentuh najis itu lagi.

Hari ini genap setahun ibu meninggal dunia, aku juga sudah empat tahun bergelar duda. Entah mengapa hati ini begitu merindui Amira. Aku mencarinya, teringin sekali aku menatap wajahnya. Tidak sukar aku menjejakinya kerana dia masih menetap di kawasan tempat tinggal lama kami. Namun aku tidak berani bertentang mata dengannya. Aku hanya mampu melihat bekas isteriku dari jauh.

Pada wajahnya terpancar kebahagiaan. Penuh seri. Dia kini bahagia bersama suami baru, malah lebih mencuit hatiku apabila mengetahui Amira juga sudah menjadi ibu. Aku tumpang gembira melihat bekas isteriku bahagia.

Bukan salah Amira tetapi aku yang bersalah kerana gagal menjadi suami soleh. Aku masih sendirian meneruskan sisa hidup ini. Hatiku tertutup rapat, bukan serik tetapi aku belum temui wanita yang dapat membuka pintu hatiku.

Dipetik dari Mingguan Wanita 7/2015...

1 comment: