Monday, August 15, 2016

PERHIASAN DIRI TEMPAT PERSEMBUNYIAN SAKA...

Gambar hiasan...

Setiap bulan Asfar akan ke rumah yang disewa oleh beberapa orang gadis yang terletak di pinggir ibu kota. Dia ke sana tiada lain hanya untuk mengutip sewa bulanan daripada mereka.

Mereka masih bergelar pelajar dan jika terlambat sehari dua, Asfar dan isterinya Mirah tidak pernah ambil kisah, janji mereka masih melunaskan pada bulan itu juga.

Setiap kali Asfar ke sana, ada seorang penyewa bernama Ina yang sering memberikan wang sewa kepadanya. Tapi setiap kali ke sana ada saja perkara yang diadu. Lama kelamaan, Asfar menjadi rapat dengannya. Mungkin kesilapan Asfar apabila menerima pelawaan Ina untuk keluar minum bersama.

Tanpa dia sedari, Ina sebenarnya ada menaruh hati terhadap dirinya. Pada hal Ina sendiri tahu pemilik rumahnya itu sudah ada isteri dan anak-anak Asfar langsung tidak sedar Ina ada menaruh hati terhadapnya.

Hari demi hari perhubungan mereka semakin intim. Asfar tidak menolak ajakan cinta yang dihulurkan Ina. Tanpa pengetahuan isterinya, Asfar menjalin hubungan dengan Ina. Bermula dari situ kehidupan bahagia Asfar mula bercelaru. Apabila sampai ke pengetahuan isteri, Asfar tidak mampu mengelak. Dia berterus terang bahawa dia mahu memperisterikan Ina. Dengan berat hati isterinya mengizinkan Asfar berkahwin demi mengelakkan suami tersayang terjebak dengan maksiat.

Tiga bulan berkahwin, Mirah isteri pertama Asfar dapat rasakan sesuatu yang pelik berlaku pada suaminya. Dia jarang pulang ke rumahnya dan jika pulang ada sahaja yang tidak kena hingga menjadi bahan pergaduhan. Paling memeranjatkan hampir licin wang simpanan Asfar. Duit gaji sering kali tidak mencukupi dan perbelanjaan anak-anak sudah semakin terabai. Asfar juga seperti menurut sahaja kata-kata Ina seolah-olah sudah 'diikat' oleh isteri mudanya itu.

Suatu malam, selepas solat tahajud, Mirah terlena di atas sejadahnya. Ketika itulah dia diberi petunjuk agar mengambil kembali Asfar daripada cengkaman Ina. Dia termimpikan Asfar dalam keadaan sengsara seolah-olah ada sesuatu yang mengikutnya ke mana sahaja Asfar pergi. Disebabkan itu jugalah jika pulang ke rumah Mirah, Asfar jadi tidak senang duduk dan mahu lekas pulang berjumpa Ina.

Ilmu Penunduk...

Terjaga daripada mimpi esoknya Mirah berjumpa seorang ustazah yang juga rakannya. Ustazah Ainon meminta Mirah membawa Asfar berjumpa dengannya.

Puas dipujuk akhirnya Asfar mahu mengikut Mirah kerana dia sendiri berasa tidak sihat sejak kebelakangan ini. Benar, dia 'dikunci' oleh Ina dan berkemungkinan isteri keduanya itu ada membela sesuatu untuk kepentingan diri sendirinya.

Ustazah Ainon meminta Asfar membawa Ina ke rumahnya agar mereka boleh terus bersemuka dengan Ina. Jenuh dipaksa Ina berkeras tidak mahu mengikut Asfar. Tetapi dengan izin Allah Asfar dan Mirah berjaya memaksa Ina berjumpa Ustazah Ainon.

Di situlah terurai segala-galanya. Rupa-rupanya barang kemas yang dipakai oleh Ina yang tidak pernah sekalipun dibukanya itu adalah tempat dia membela saka. Dia menggunakan 'benda halus' untuk menundukkan Asfar dan mengikis segala harta benda milik Asfar. Di hadapan Asfar dan Mirah, Ustazah Ainon meminta dia membuka perhiasan di badannya itu. Ina enggan membukanya lalu Asfar berkeras merentap rantai di leher Ina. Tapi tidak semena-mena Ina terus jatuh pengsan.

Dari situlah Ustazah Ainon dapat bercakap dengan saka yang menghuni badan Ina. Rupa-rupanya selama ini Asfar telah ditundukkan dengan jampi serapah Ina di dalam air minuman Asfar. Apabila mengetahui semua perkara itu, Asfar tidak mahu meneruskan perkahwinannya bersama Ina. Tidak sanggup untuk dia menggadaikan kebahagiaan hidupnya selama ini. Tetapi Ina tidak mahu mengalah. Dia 'menghantar' segala jenis peliharaannya itu untuk mengganggu Mirah hingga menyebabkan madunya itu tidak dapat berjalan. Namun kuasa Allah SWT melebihi segala gala.

Pun begitu Mirah tidak pernah mengalah pada semua perkara yang dilakukan sehinggalah Ina sendiri yang putus asa lantas menghilangkan diri tanpa khabar berita. Setelah beberapa lama, Mirah melakukan rawatan perubatan Islam akhirnya dia pulih. Tanpa Ina mereka meneruskan kehidupan dan kembali bahagia seperti sebelumnya.

Dipetik dari Mingguan Wanita 12/2014...

No comments:

Post a Comment