Tuesday, August 16, 2016

SESAT JALAN TANPA PENGHUJUNG...

Gambar hiasan...

Waktu malam memang ditunggu oleh Saleh. Sebaik sahaja habis kerja, dia akan terus bertemu dengan Kamal dan Ali, dua orang rakan baiknya sejak sekolah rendah lagi. Mereka bertiga memang akrab sejak kecil. Malam ini mereka berjanji untuk bertemu setelah seminggu tidak berjumpa.

Walaupun masing-masing mempunyai kerja yang berbeza di pekan tempat mereka dilahirkan, namun apabila ada masa terutamanya pada waktu malam mereka akan berjumpa. Malam ini mereka berjanji untuk bertemu di pusat karaoke.

Walaupun pekan kecil tempat tinggal Saleh hanya memiliki sebuah pusat karaoke tetapi itu tidak pernah menghalang Saleh keluar bergembira bersama rakan-rakannya. Dia tidak kisah walaupun terpaksa menghabiskan lebih separuh daripada gajinya untuk berbelanja ketika mengunjungi pusat karaoke itu.

Sebelum Maghrib, Saleh sudah bersiap sedia untuk keluar rumah. Belum sempat azan Maghrib berkumandang dari surau berdekatan, Saleh sudah tergesa-gesa menunggang motor buruknya menuju ke pusat karaoke tersebut.

Tepat pukul 7.30 malam sudah pasti Saleh akan berada di pintu masuk pusat karaoke. Malah dia juga adalah orang yang paling awal antara mereka bertiga yang tiba di pusat karaoke. Tetapi pada malam tersebut Saleh merasakan perjalanan singkat dari rumahnya ke pusat karaoke seakan panjang daripada kebiasaannya.

Dia melalui jalan biasa tetapi jalan yang dilalui seperti tidak ada penghujungnya. Dipecutnya juga motor buruknya tetapi Saleh tetap tidak nampak jalan biasa ke pekannya. Sudah lebih 25 tahun Saleh berulang-alik dari rumahnya di kampung ke pekan sejauh tujuh kilometer, tetapi dia tidak pernah merasakan perjalanan itu jauh.

Puas dia melihat ke bahagian kiri dan kanan jalan bagi memastikan dia berada di jalan yang betul. Tetapi apa yang dilihatnya agak menghairankan. Dia yakin jalan yang sedang dilaluinya itu bukan jalan yang biasa yang selalu dilaluinya. Saleh berasa dirinya seperti berada di tempat yang tidak dikenalinya.

Di tepi jalan kawasan kampung memang dipenuhi hutan. Saleh selalu juga masuk hutan itu tetapi kali ini dia merasakan hutan di kiri kanannya bukanlah hutan yang biasa dimasukinya. Hutan ini lebih semak dengan pokok-pokok tinggi. Tanpa sebarang kenderaan yang melaluinya, kesunyian yang dirasakan Saleh memang berbeza dari hari-hari biasa.

Berpatah Semula…

Dipecutnya juga motor buruknya, namun dia tetap juga tidak dapat keluar dari jalan yang sedang dilaluinya itu. Hatinya mula kecut. Mulutnya cuba untuk membaca ayat-ayat al-Quran tetapi tidak ada satu pun ayat-ayat suci itu keluar daripada mulutnya. Saleh mula berpeluh ketakutan.

Apabila merasakan tidak ada jalan keluar, Saleh cuba berpatah balik semula ke rumahnya. Diikutnya jalan dia datang itu tadi tetapi setelah setengah jam dia menunggang, dia tetap tidak dapat menjumpai jalan pulang ke rumahnya. Dia berpatah semula dengan harapan dia dapat menuju semula ke pekan. Tetapi setelah setengah jam menunggang, dia tetap tidak dapat menjumpai jalan ke pekan.

Minyak motornya habis. Dengan hati yang berat dan penuh rasa takut, Saleh memberhentikan motornya di tepi jalan. Agak menyeramkan apabila terpaksa berhenti di tepi hutan tebal tetapi Sateh memberanikan diri kerana sudah tidak ada jalan lain.

Disebabkan tidak mahu berada di tepi hutan, Saleh menolak motor. Penat menolak, dia berhenti berehat. Begitulah yang dilakukan oleh Saleh sepanjang jalan yang gelap. Badannya penat tetapi setelah sejam dia tetap tidak dapat menjumpai jalan ke kampung mahu pun ke pekan.

Akibat keletihan akhirnya Saleh terduduk di tepi jalan, kemudian tertidur. Begitulah juga keadaan Saleh sewaktu ditemui oleh Kamal dan Ali yang mencarinya selepas mereka tidak bertemu di pusat karaoke seperti yang dijanjikan. Mereka menemui Saleh tidur bersebelahan motornya di tepi jalan berhampiran pekan pada keesokan harinya. Mereka hairan Saleh tidur di situ sedangkan pekan hanya satu kilometer sahaja lagi.

Terus mereka mengejutkan Saleh. Terkejut Saleh apabila melihat Kamal dan Ali berada di sisinya. Mulutnya tidak putus-putus mengucapkan rasa syukur kerana bertemu mereka. Saleh terus mengajak Kamal dan Ali balik ke rumahnya.

Sejak dari hari itu, Saleh sudah tidak suka keluar pada waktu malam berseorangan. Dia hanya akan keluar malam jika Kamal dan Ali menjemputnya dahulu, kemudian barulah mereka keluar bersama

Dipetik dari Mingguan Wanita 7/2015...

No comments:

Post a Comment