Thursday, August 25, 2016

PENANGAN JAMPI DARA SUNTI...

Gambar hiasan...

Amran kacak dan bergaya. Penampilannya segak. Berjawatan sebagai Ketua Balai Polis, menjadikan dia lelaki yang digilai. Sedar dirinya menjadi pujaan ramai wanita, Amran selalu mempertahankan setianya. Dia sangat menyayangi isteri dan lima orang anaknya.

Dalam ramai-ramai anggota polis wanita, ada seorang bernama Julia yang sangat suka pada Amran. Julia memiliki personaliti menarik. Dia cantik dan periang. Walau sering digoda lelaki, hati Julia sudah terpaut pada Amran. Walaupun cintanya tidak bersambut, Julia tetap mahukan Amran.

Personaliti Amran yang tidak suka bersosial, cabaran buat Julia. Nyata lelaki itu sukar didekati. Julia hampir putus asa. Akhirnya Julia mengambil jalan singkat. Dia menemui seorang pawang untuk mendapatkan minyak pengasih. Minyak pengasih untuk mengikat kasih Amran. Minyak pengasih dari dagu anak dara sunti yang ajal dalam kemalangan.

Terngiang-ngiang di telinga Julia pesan pawang. "Jika mahu minyak ini berkesan, masukkan setitis demi setitis ke dalam minuman lelaki itu. Sedikit demi sedikit dia akan melupakan orang yang lekat di hatinya."

Sejak itu, Julia rajin membuatkan kopi untuk semua pekerja di balai. Kopi untuk Amran paling istimewa. Julia berjaya melaksanakan misinya setelah Amran memberikan respons.

Sarina, isteri Amran, merasakan ada yang tidak kena pada suaminya. Dulu, jika tidak bertugas, Amran akan menghabiskan masa bermain dengan anak-anak. Kini, jangankan bermain, pantang anak buat silap sikit, teruk mereka dimarahi Amran. Pada Sarina pula, Amran bagaikan tidak mahu memandang wajahnya. Ada-ada saja punca yang menjadi perbalahan mereka.

Sarina mengesyaki suaminya bermain kayu tiga. Dia kepingin tahu siapakah yang telah membuatkan suaminya berubah hati. Segal-galanya menjadi mudah apabila Amran tertinggal telefon bimbitnya. Beberapa mesej daripada Julia membongkar cerita.

Suatu malam, tidur Sarina terganggu kerana diseru. Sekilas, Sarina melihat bayangan lembaga hitam berambut panjang. Lembaga itu bagaikan memberi amaran supaya Sarina menjauhkan diri daripada Amran.

Menyedari sesuatu yang buruk, Sarina segera mengajak Amran bertemu Pak Kamil, lelaki tua yang tinggi amalannya. Dalam perjalanan ke rumah Pak Kamil, tayar kereta dipandu Amran pancit. Hasil pemeriksaan mendapati ada kesan cakaran pada tayar keretanya. Kerosakannya teruk. Selain itu, Amran dan Sarina juga mendengar suara mengilai wanita.

Menurut Pak Kamil, ada pihak yang tidak suka dengan menghantar hantu raya untuk menakut- nakutkan mereka. Tahulah Amran, selama ini ada orang sudah mengenakannya. Tidak mahu membiarkan diri terus hanyut dengan permainan halus itu, Amran minta dirawat. Dengan bantuan Pak Kamil, Amran berjaya dipulihkan.

Sementara Julia telah dimasukkan ke wad sakit mental kerana menangis dan ketawa tanpa sebab. Julia juga sering ketakutan kerana dakwanya ada lembaga hitam mengekori dan mahu mencekiknya.

Dipetik dari Mingguan Wanita 8/2015

5 comments:

  1. Best jugak baca cerita2 seram ni...

    ReplyDelete
  2. Asyik ceghita hantu je....tak bagus untuk membina pemikiran orang melayu

    ReplyDelete
    Replies
    1. En. Ridhuan boleh tengok di kategori. Byk citer2 nasihat & tauladan, citer dari alquran, kisah benar. Kisah2 sejarah semua ada. Terpulang kpd pembaca nak pilih yg mana suka....

      Delete
  3. Bagus kalau kita ceghita pasal sahabat nabi...apa amalan sahabat yang boleh kita amalkan bersama....macam 10 sahabar nabi yang dijanjikan syurga

    ReplyDelete
    Replies
    1. Semua citer & kisah nabi ada dlm blog ni. Sila pilih di kategori....

      Delete