Monday, December 4, 2017

NIKMAT REZEKI TERBESAR...

"Berdoa lah, 
kerana doa itu adalah senjata orang mukmin"... 

Wahai Rasulullah, siapalah yang sudi berkahwin dengan saya. Wajah saya hodoh serta bukan daripada kalangan yang terhormat. Saya juga tidak mempunyai wang untuk dijadikan hantaran,” luah Juwaibar sayu.

Rasulullah memujuknya dengan tenang, "Wahai Juwaibar, dengan Islam Allah mengangkat martabat kaum yang tertindas menjadi orang yang mulia.

Semua manusia sama nilainya di sisi Allah. Berkulit putih mahupun hitam. Quraisy mahupun ajam, semuanya anak cucu Adam. Di sisi Allah, orang yang paling mulia ialah orang yang paling bertakwa. Demi Allah, dengan ketakwaan dan keikhlasanmu, engkau termasuk seorang daripada sahabatku yang terhormat."

Kelu lidah pemuda Bani Yamamah itu. Air matanya menitis.

Rasulullah menyambung lagi, "Ketua kabilah Bayadhah bernama Ziyad bin Labid terkenal sebagai seorang yang kuat beribadah dan keluarganya pula daripada kalangan yang terhormat. Pergilah bertemu Ziyad dan katakan, aku meminta dia mengahwinkan anak perempuannya yang bernama Zulfa denganmu."

Juwaibar tergamam lagi. Dari lubuk hatinya, terasa berbunga gembira dengan pujukan Rasulullah. Tetapi, dia khuatir akan penerimaan Ziyad.

"Ya Allah, berilah petunjuk kepadaku. Apa yang harus aku lakukan? Adakah Ziyad akan menerima lamaran yang Rasulullah cadangkan? Aku tidak sanggup mengingkari perintah Rasulullah," Juwaibar merintih sambil mengumpul kekuatan untuk melaksanakan perintah Rasulullah. Akhirnya digagahi juga langkahnya menuju ke rumah Ziyad.

Saat Mengagumkan

"Apa? Benarkah seperti yang engkau katakan, Juwaibar?

Aku tidak akan mengahwinkan Zulfa kecuali dengan pasangan yang sekufu dengannya. Biar aku pastikan dahulu kebenaran kata-katamu daripada mulut Rasulullah sendiri," jawab Ziyad tegas dan segera bertindak seperti yang diucapkannya.

Alangkah malunya Juwaibar. Namun dia tegar menyerahkan untung nasibnya kepada ketentuan Allah. Dalam pada itu, tanpa Juwaibar sedari, Zulfa turut mendengar apa yang ayahnya perkatakan. Beliau lalu mendapatkan bapanya untuk menyelesaikan persoalan yang timbul daripada perintah Rasulullah tersebut.

"Ayah, usahlah bersangka buruk terhadap Juwaibar. Mustahil dia berani berbohong atas nama Rasulullah. Panggillah dia semula...," rayu Zulfa supaya ayahnya rela mengahwinkannya dengan Juwaibar.

Akhirnya Ziyad mengalah. Dia meminta Juwaibar menunggunya pulang daripada bertemu Rasulullah. Bagi Juwaibar pula, jika diikutkan hatinya, dia ingin segera meninggalkan tempt itu. Tetapi ketaatan nya kepada Rasulullah telah melembutkan semula hatinya. Dia pasrah kepada ketentuan llahi.

Di pihak Ziyad pula, dia segera pergi menemui Rasulullah SAW untuk memastikan kebenaran kata-

kata Juwaibar. Ziyad terus mengajukan soalan kepada Rasulullah, "Ya Rasulullah, benarkah tuan tuan menyuruh Juwaibar mengahwini Zulfa? Sedangkan aku telah merancang untuk mengahwinkan anakku Zulfa dengan lelaki yang sekufu dengannya."

Rasulullah merenung Ziyad, lalu berkata, "Ketahuilah wahai Ziyad, Juwaibar adalah seorang lelaki yang bertakwa. Setiap pemuda yang bertakwa sedarjat dengan gadis yang bertakwa. Sudah tentu mereka sekufu. Tetapi barangkali engkau merasa darjatmu lebih rendah kerana iman Juwaibar lebih tinggi di sisi Allah."

Sesungguhnya Ziyad tidak mampu menyangkal penjelasan Rasulullah. Terlalu buruk pandangannya kepada Juwaibar. Sedangkan puterinya yangjelita mengakui keutamaan takwa. Akhirnya Ziyad bersetuju anaknya dijodohkan dengan Juwaibar.

Berkat Takwa Rezeki Dilimpahkan

Meriah! Pihak keluarga Zulfa membuat persiapan. Seluruh kabilah Bayadhah bergotong-royong membina rumah besar untuk pasangan pengantin. Berbagai-bagai bentuk kemewahan disediakan. Segalanya bagaikan mimpi buat Juwaibar. Harta kekayaan serta isteri yang jelita, umpama syurga yang dibentangkan buat Juwaibar. Sebagai rezeki terbesar dan tertinggi bagi ganjaran takwa.

Namun, bagi Zulfa kegembiraannya bukan pada harta serta kemewahan. Suami bertakwa cukup membahagiakannya. Keindahan cahaya takwa dalam diri Juwaibar menawan pandangan mata serta menambat kecintaan hati Zulfa. Apalah ertinya wajah tampan, seandainya jiwa ketandusan iman. Iman dan takwa itulah kemewahan sebenar yang direzekikan sebagai rezeki terbesar dan tertinggi di sisi Allah. Itulah puncak kebahagiaan hidup insan.

Namun sesuatu yang aneh berlaku dalam rumah tangga yang baru didirikan oleh Juwaibar. Setelah beberapa hari dinikahkan, Juwaibar tidak menghiraukan isterinya Zulfa. Setiap malam dia asyik membaca al-Quran dan solat sunat hingga ke subuh. Begitulah perlakuannya sehingga merisaukan Zulfa. Masalah Juwaibar itu akhirnya sampai juga kepada pengetahuan Rasulullah.

Rasulullah memanggil Juwaibar dan bertanya, "Apakah engkau tidak sukakan perempuan?"

"Bukan begitu ya Rasulullah. Tetapi tidak layakkah saya bersyukur kepada Allah.

Saya seorang pemuda miskin, hitam lagi hodoh. Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang telah mengurniakan saya seorang isteri yang jelita, di samping harta yang banyak dan rumah yang besar. Izinkanlah saya menyatakan rasa syukur saya sekurang-kurangnya selama tiga malam berturut- turut. Sesudah itu saya akan laksanakan tanggungjawab yang sepatutnya."

Mendalam sungguh ketakwaan Juwaibar, sehingga sepenuh keseronokannya diabadikan dalam munajat ke hadrat Allah. Cinta kasih llahi telah memenuhi segenap hati kecil Juwaibar, bertepatan dengan maksud firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 152:

"Ingatlah kamu kepada-Ku, nescaya Aku ingat kepadamu. Dan bersyukurlah kepada- Ku. Dan janganlah kamu mengingkari nikmat-Ku."

Berbahagialah setiap muslimah yang beroleh pasangan hidup umpama Juwaibar. Ketakwaan menguasai seluruh keseronokan, kegembiraan serta kebahagiaan. Itulah rezeki dan nikmat terbesar yang akan membawa setiap insan kepada kebahagiaan yang hakiki dan abadi di hadapan Rabbul Izzati.

Sumber : Majalah Haluan Edisi 8

No comments:

Post a Comment