SARJAN Muhammad Hassan, 50, memandu kereta merentasi Jambatan Sultan Ismail, menghubungkan bandar Muar dan seberangTanjung Agas.
Kenderaan di atas jambatan itu sesak bertali arus. Sebaik berada di tengah-tengah jambatan, tiba-tiba fikiran Muhammad melayang, teringat suatu peristiwa sekitar lapan tahun lalu. Kejadian di mana seorang gadis bertindak membunuh diri dengan terjun dari jambatan tersebut.
Entah mengapa, sukar pula Muhammad melupakan tragedi tersebut. Sebagai anggota Jabatan Per- tahanan Awam Malaysia (JPAM), sudah menjadi rutin dia mengendalikan pelbagai kes. Ada kes lebih dahsyat dan ngeri diuruskannya seperti mengutip cebisan daging mangsa kemalangan, kepala mangsa pecah, mati terbakar dan macam-macam lagi.
Tapi kes wanita bunuh diri itu sukar dilupakan. Muhammad ingat lagi, pihaknya mendapat panggilan daripada polis memaklumkan ada satu kejadian bunuh diri di Jambatan Sultan Ismail, Muar.
Muhammad dan rakan-rakan diminta segera membantu kerja mencari dan menyelamat. Pukul 6.00 petang, Muhammad tiba bersama bot dan beberapa orang anggota lain. Muhammad lihat, bomba dan polis marin sudah pun tiba di lokasi. Waktu itu, Muhammad belum tahu lagi identiti mangsa secara jelas dan mengapa mangsa bertindak membunuh diri. Orang awam hanya melaporkan, ada wanita terjun dari jambatan tersebut pada pukul 5.30 petang sebelum hilang dalam air.
Petang itu juga, operasi mencari dan menyelamat dijalankan. Malangnya, sehingga pukul 7.30 malam, jasad wanita itu gagal ditemui. Disebabkan hari gelap, operasi ditangguhkan.
Pulang ke rumah, baru Muhammad dapat tahu identiti wanita itu. Rupa-rupanya, mangsa merupakan penduduk kampungnya sendiri. Muhammad kenal gadis itu termasuk semua ahli keluarganya.
Ya, gadis itu memang cantik. Tubuhnya kurus, kulitnya putih gebu. Usianya pun masih muda. Tapi, kenapa gadis itu bunuh diri? Apa puncanya? Muhammad belum ada jawapan.
Esoknya, operasi mencari disambung. Dari pagi membawa ke malam, mayat gadis itu masih gagal ditemui. Berdasarkan pengalaman Muhammad, memang agak sukar untuk mencari mayat gadis itu. Kebiasaannya, pada hari pertama mayat mangsa akan tenggelam. Pada hari kedua pula, mayat mula terapung, tetapi akan tenggelam semula apabila cuaca panas atau sewaktu matahari terik.
Hanya pada hari ketiga, barulah mayat betul-betul terapung atau timbul di permukaan air kerana jasad sudah membengkak. Tubuh mayat dipenuhi air. Lagi pula, mangsa dikatakan terjun sekitar pukul 5.30 petang.
Waktu itu, air sedang pasang dan kemungkinan besar mayat mangsa akan bergerak naik ke hulu sungai. Ada kemungkinan juga mayat akan turun semula ke hilir apabila air surut. Itu pun jika mayat tidak tersangkut pada akar pokok bakau.
MASUK hari ketiga, operasi mencari diteruskan. Bot dipandu rakan setugas Muhammad meluncur perlahan di tepi tebing paya bakau. Selepas Asar, bot Muhammad sudah pergi sejauh tiga kilometer dari lokasi mangsa terjun. Semasa melalui suatu kawasan, mata Muhammad terpandang sesuatu yang terdampar di gigi air. Muhammad terus mengamati objek tadi.
"Sah! Mayat!" jerit Muhammad pada rakan-rakannya.
Bila dihampiri, memang benar objek tadi mayat seorang wanita. Mayat itu berada dalam keadaan tersembam ke lumpur dan masih lengkap berpakaian baju kebaya. Separuh badannya sudah terbenam dalam lumpur. Muhammad turun dari bot dan menghampiri mayat tadi lalu membalikkannya.
Ya Allah! Wajah mayat wanita itu sudah tiada. Mukanya sudah membengkak dan isi-isi sudah terlerai. Tiada rupa lagi. Perut mayat itu juga sudah mengembung bagai mahu pecah. Baju kebaya yang dipakainya sudah sendat kerana perutnya mengembang seperti belon.
Adakah itu mangsa yang dicari? Muhammad belum pasti kerana muka yang hancur menyebabkan sukar mereka membuat pengecaman. Tapi berdasarkan pakaian, sama seperti mangsa yang memakai baju kebaya semasa bertindak terjun dari jeti.
Petang itu, mayat dibawa ke Jeti Sabak Awor. Di sana, mayat diserahkan kepada anggota polis. Muhammad dan anggota lain pula, bersiap-siap untuk mengemas peralatan dan pulang semula ke pejabat. Operasi mencari dihentikan.
Dalam perjalanan pulang, Muhammad mendapat tahu memang benar mayat ditemuinya adalah mangsa sebenar. la disahkan oleh ahli keluarganya.
Sampai di pejabat, Muhammad bersihkan badan. Bot yang digunakan dalam operasi pula diletakkan di belakang pejabat. Sepatutnya Muhammad perlu membasuh bot tersebut kerana air daripada mayat membuatkan bot berbau hanyir dan busuk. Tapi kerana terlalu penat, Muhammad tangguhkan dahulu.
"Esok sahajalah aku basuh," bisik Muhammad pada diri sendiri.
Malam itu, ketika sedang terbaring di pejabat, Muhammad terdengar sesuatu. la seperti suara esakan tangis seorang perempuan. Bunyinya mendayu-dayu dan begitu sedih sekali. Muhammad menjengah mukanya ke tingkap, mencari arah bunyi itu. Bila diamati, seperti datang dari arah bot yang digunakannya tadi.
"Takkan hantu gadis tu kut," bisik Muhammad. Perasaan seram sejuk mula datang. Bulu romanya menegak dan meremang. Muhammad mematikan diri dalam bilik. Di luar masih jelas suara tangisan yang mendayu-dayu itu. Semakin lama mendengar suara tangisan itu, seolah-olah membuatkan Muhammad faham. Tangisan itu seperti mengharapkan sesuatu daripada Muhammad.
Tanpa bertikir panjang, Muhammad terus membaca surah al-Fatihah di dalam hati dengan niat disedekahkan kepada arwah gadis tersebut. Selesai baca sahaja, tangisan itu semakin kuat. Kali ini Muhammad membaca dengan suara lantang pula. Selesai dia membaca, serta-merta suara tangisan merintih itu hilang.
Keesokan harinya, baru Muhammad tahu punca gadis yang dipanggil Zara itu membunuh diri. Mendengar puncanya, Muhammad menggeleng kepala. Sedih Muhammad dibuatnya. Singkat benar fiki ran gadis itu, memilih menyelesaikan masalah dengan membunuh diri. Cara yang dipilih itu salah di sisi agama dan berdosa besar.
Muhammad mendapat tahu, Zara sebenarnya menjadi korban konflik dalaman antara teman lelaki dan keluarga. Zara sebenarnya telah mengandung anak luar nikah. Bila Zara mengadu pada keluarga, keluarganya tak mahu ambii tahu. Zara dibuang keluarga sendiri. Senang cakap, pandai buat pandai tanggung.
Kemudian, Zara jumpa pula teman lelakinya dan menceritakan tentang kandungannya itu. Tetapi teman lelaki pula tak mahu bertanggungjawab. Semasa dalam kereta itu, berlaku perang mulut. Sampai di jambatan tersebut, si gadis bertindak keluar dari kereta. Zara mengugut untuk membunuh diri.
Waktu itu teman lelakinya hanya membiarkan sahaja. Dia fikir Zara tak akan lakukannya. Lagi satu, lelaki itu juga tak dapat memberhentikan keretanya di atas jambatan untuk memujuk kerana akan menghalang laluan.
Apabila berpatah balik, rupanya Zara bertindak nekad. Belum sempat teman lelakinya berbuat apa-apa, Zara terus terjun ke sungai Muar. Zara nekad menamatkan hidupnya dengan tragis di dalam sungai itu.Teman lelaki pula hanya mampu melihat kekasihnya terkapai-kapai dalam air, sebelum tenggelam dan hilang dari mata.
Kejadian itu amat menyedihkan Muhammad. Sanggup gadis itu memilih jalan berdosa untuk selesai kan masalah. Sudahlah buat dosa berzina, selesaikan pula masalah dengan cara membunuh diri. Bagi Muhammad, memang masalahnya di dunia ini selesai. Tapi bagaimana pula nasibnya di akhirat sana? Tidak takutkah dia dengan dosa dan hukuman azab yang menanti?
Sebab itu Muhammad mahu pembaca mengambil pengajaran dari pengalamannya itu. Bagi Muhammad, setiap masalah ada penyelesaiannya. Sekiranya kita berbuat salah, masih ada jalan untuk kembali ke jalan lurus.
Keduanya, jika ada antara ahli keluarga punyai masalah, cubalah membantunya sebaik mungkin. Begitu juga sekiranya mereka buat salah. Janganlah dihina atau dipinggirkan daripada keluarga. Sebaliknya bimbing dan bantulah mereka kembali ke pangkal jalan. Itulah yang sebaik-baiknya.
Dipetik dari Majalah Mastika 8/2016
Pengarang : Kairul Anwar Yusop
Dipetik dari Majalah Mastika 8/2016
Pengarang : Kairul Anwar Yusop
No comments:
Post a Comment