Thursday, December 14, 2017

TANDA DAN RAWATAN KEMURUNGAN...

Gambar hiasan...
Selalunya, tanda-tanda kemurungan hanya dapat disedari apabila masalah tersebut sudah pun lama berlaku dan menjejaskan kehidupan pesakit tersebut. Hampir kesemua pesakit "depression" ini pasti mengalami masalah 'mood' rendah hampir pada setiap masa. Pesakit turut hilang minat atau tidak berasa seronok apabila melakukan hobi atau apa-apa perkara yang mereka gemari sebelum dilanda kemurungan. Malah, mereka akan lebih suka untuk menyendiri di bilik tanpa melakukan apa-apa dan tidur sepanjang hari. Ahli keluarga juga akan mendapati si pesakit tersebut mula tidak mahu untuk menguruskan diri sendiri seperti mandi, menukar pakaian atau mengemas diri.

Pesakit kemurungan turut selalu berasa cemas tanpa sebab (anxiety), berasa tidak selesa di khalayak ramai, mudah marah, rasa bersalah tidak bertempat, sentiasa gelisah dan berasakan tidak berupaya langsung untuk mengubah keadaan diri. Malah, mereka akan mula mengalami penurunan (atau penambahan) berat badan, selalu sakit-sakit, selera makan meningkat (atau menurun) dan rasa sentiasa penat. Jikalau pesakit tersebut tidak mendapat sebarang bantuan atau sokongan, dikhuatiri pesakit kemurungan ini akan mula mempunyai perasaan untuk mencederakan diri sendiri ataupun yang lebih serius lagi, mempunyai rancangan untuk membunuh diri.

RAWATAN MODEN UNTUK KEMURUNGAN

Menurut Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA), rawatan atau bantuan yang sewajarnya membantu hampir 85 peratus pesakit kemurungan klinikal di Malaysia. Setelah disahkan mempunyai kemurungan klinikal, pesakit selalunya diberi rawatan moden seperti sesi-sesi kaunseling, terapi atau pengambilan ubat antikemurungan yang berterusan. Namun, selalunya pesakit kemurungan terpaksa bergantung kepada ubat antikemurungan sepanjang hayat. Malah, ramai pesakit yang memerlukan gabungan rawatan kaunseling, terapi dan ubat antikemurungan untuk mampu hidup normal seperti orang lain.

Hakikatnya, rawatan-rawatan moden ini tidak berkesan jikalau ahli keluarga dan sahabat terdekat tidak memberi sokongan atau bantuan kepada si pesakit. Ahli keluarga dan sahabat harus memantau akan keadaan pesakit ini dari semasa ke semasa. Perhatian ini akan menunjukkan kepada pesakit bahawa mereka masih disayangi dan diperlukan.

Di dalam al-Quran turut ada suruhan Allah SWT untuk menyayangi insan lain. Firman Allah SWT: "Dan sayangilah manusia sebagaimana Allah sayang kepadamu. Dan janganlah kamu berbuat bencana di muka bumi sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang berbuat bencana."

RAWATAN KEMURUNGAN MENGGUNAKAN AL QURAN

Daripada pengalaman saya, ramai pesakit kemurungan mengalami perubahan positif yang ketara selepas menerapkan rawatan menggunakan ayat-ayat suci al-Quran.

Firman Allah SWT: "Dan apabila dibacakan al-Quran, maka dengarkanlah baik-baik dan perhatikanlah dengan tenang agar kamu mendapat rahmat." (Al-A'raf 7: 204) Pesakit yang mengamalkan pembacaan ayat-ayat suci al-Quran secara konsisten setiap hari akan mendapati pemikiran dan perasaan mereka menjadi lebih positif dan tenang. Malah, dengan izin Allah SWT ramai pesakit yang telah beransur-ansur dikurangkan dos ubat antikemurungan selepas mengamalkan rawatan perubatan al-Quran ini. Ada juga yang sudah tidak perlu mengambil ubat tersebut untuk mengawal 'mood' dan pemikiran mereka.

Selain itu, ramai juga yang kemurungan disebabkan oleh gangguan-gangguan makhluk halus sama ada yang datang sebagai saka ataupun yang dihantar melalui sihir. Gangguan-gangguan ini sering kali mempengaruhi pemikiran dan perasaan pesakit sehinggakan pesakit akan berasa sangat tertekan, sedih dan merasakan diri mereka sangat tidak berguna dan hanya menyusahkan orang lain.

SURAH UNTUK DIAMALKAN

Maka, setiap pesakit kemurungan yang datang berubat, akan diperiksa terlebih dahulu jikalau ada sebarang gangguan makhluk halus. Perawat akan mengeluarkan gangguan tersebut sekiranya ada dan seterusnya memberikan ayat-ayat berikut untuk mereka amalkan disertai dengan doa kepada Allah untuk memohon penyembuhan. Ayat-ayat tersebut adalah:

  • Surah Muhammad ayat 21 hingga 32
  • Surah Thaha ayat 120 hingga 135
  • Surah az-Zumar ayat 59 hingga 75
  • Surah an-Nahl ayat 81 hingga 89

KAEDAH AMALAN

1. Kaedah amalan ayat-ayat al-Quran tersebut ialah,

  • pesakit hendaklah membaca surah pertama iaitu Surah Muhammad tiga kali pada waktu malam dan surah kedua iaitu Surah Thaha tiga kali pada waktu siang. Pembacaan ini hendaklah diamalkan setiap hari selama tiga hingga empat minggu.
2. Selepas membaca tiga kali, pesakit perlu

  • memohon doa kepada Allah SWT untuk penyembuhan. Selepas membaca dua surah pertama tadi, pesakit hendaklah mengulang amalan-amalan tersebut dengan surah-surah yang seterusnya.
3. Pesakit haruslah ingat bahawa apa-apa

  • penyembuhan hanyalah dengan izin daripada Allah SWT. Oleh itu, kita janganlah berputus asa dan sentiasalah berdoa kepada Allah SWT. Seperti di dalam Surah Yusuf ayat 12, Allah SWT berfirman: "... dan janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa daripada rahmat Allah melainkan kaum yang kafir."

Kesimpulannya, apabila ada rakan-rakan atau ahli keluarga yang mengaku menghadapi kemurungan, kita tidak seharusnya memandang remeh akan isu tersebut. Dan jangan pula kita membuat pelbagai persepsi negatif atau prejudis terhadap mereka. Di kalangan rakyat Malaysia, penyakit mental sering dikaitkan dengan tanggapan negatif dan perkara yang sangat memalukan untuk diakui. Kita harus berfikiran terbuka dan positif supaya pesakit kemurungan klinikal ini mendapat sokongan dan bantuan yang sepatutnya untuk mengharungi dugaan hidup ini. Bersikap prejudis dan menjauhkan diri daripada mereka akan menyebabkan pesakit tersebut terus dilanda kemurungan dan mungkin hilang pertimbangan lalu membunuh diri.

Sumber      : Majalah Anis
Pengarang : Hj. Lokman Abdul Hamid, 
                    Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Rawatan Al-Hidayah

No comments:

Post a Comment