Dari Abu Hurairah r.a. berkata bahawa Rasulullah S.A.W. telah bersabda yang bermaksud: "Allah S.W.T. telah menjadikan Nabi Adam A.S. pada permulaan kejadiannya seperti rupanya di bumi, tingginya 60 hasta." Sebaik saja Nabi Adam A.S. selesai dicipta maka Allah S.W.T. berfirman kepadanya: "Pergilah kamu kepada kelompok malaikat yang sedang duduk dan dengarkan jawapan mereka apabila kamu memberi salam. Setelah kamu mendengar maka begitulah cara yang harus kamu dan anak cucumu nanti memberi salam."
Kemudian Nabi Adam A.S. pun pergilah menghampiri kelompok malaikat itu lalu beliau pun memberikan salam: "Assalammualaikum (semoga anda berbahagia)." Para malaikat menjawab salam itu: "Assalammualaika warahmatullah (semoga kamu bahagia pula dan beroleh rahmat Allah)."
Rasulullah S.A.W. bersabda Allah telah berfirman bahawa: "Setiap orang yang masuk syurga bentuknya seperti Adam A.S., tingginya 60 hasta. Sekalipun makhluk kemudian semakin hari semakin pendek hingga akhir zaman."
Memberi dan menjawab salam adalah salah satu tanda-tanda orang Islam dan perkataan yang harus berada dalam mulut tiap-tiap orang Islam. Dari permulaan manusia pertama Nabi Adam A.S. sehinggalah sekarang, salam itu tetap di mulut orang-orang muslim.
Sayangnya generasi sekarang yang hidup dalam kehidupan serba moden menganggap salam itu sudah tidak sesuai lagi. Mereka lebih cenderung menggunakan perkataan Yahudi seperti "Good Morning" atau sebagainya. Oleh kerana didikan dan asuhan yang diberikan oleh kedua ibu bapa itu lebih cenderung ke arah barat maka dengan sendirinya hormat anak terhadap ibu bapa sudah terhapus, apatah lagi hendak menggunakan perkataan "Assalammualaikum" kerana ia sudah tidak sesuai lagi disebut.
Kehidupan cara luar dari landasan Islam semuanya adalah penipuan ke atas diri sendiri, tidak ada agama yang lebih mulia dari agama Islam dan tidak ada pendidikan yang lebih berakhlak dari pendidikkan cara Islam.
Wahai saudara-saudaraku, janganlah kita ikuti arus kehidupan yang serba moden yang kini sedang melanda dunia hari ini. Berpakaian yang boleh menampakkan aurat seperti cara hidup orang yang tidak bermoral, meminum minuman keras seperti arak untuk menunjukkan kemegahan, bercampur gaul antara lelaki dan wanita yang tidak terbatas dan menggayakan cara hidup manusia yang bebas melakukan perkara-perkara maksiat yang dimurkai Allah S.W.T.
Apabila dunia telah menjadi moden maka manusia sendiri telah menjadikan diri mereka seorang yang bodoh. Diberikan akal fikiran untuk berpakaian sengaja dibukakan aurat supaya jelas kelihatan, meminum minuman keras kemudian menjadi mabuk dan menyiksa diri sendiri dan juga pergaulan antara lelaki dan wanita yang tidak terbatas maka berlakulah lah perkara-perkara maksiat yang boleh merosakkan diri sendiri.
Maka akan turunlah azab dari Allah, menjadikan penyakit yang sukar diubati dan bermacam-macam lagi bencana menimpa ke atas manusia hari ini.
Dipetik Dari Buku Himpunan Kisah-Kisah Teladan...
No comments:
Post a Comment